Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato Seri. Isteri saya telah meninggal dan kami tiada anak, dan arwah mempunyai 3 orang adik-beradik perempuan sahaja sebagai waris terdekat. Persoalan saya, betulkah jika saya mahu mewakafkan harta arwah isteri saya, lebih afdhal kepada adik-adik arwah yang niatkan dan uruskan dengan pihak yang ingin diwakafkan?

Saya juga dimaklumkan oleh ahli masjid kampung saya yang hubungan saya dan arwah dah terputus, maka sebarang wakaf atau sedekah saya tidak akan sampai pahalanya pada arwah isteri saya.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

الَّذِي خَلَقَ الْمَوْتَ وَالْحَيَاةَ لِيَبْلُوَكُمْ أَيُّكُمْ أَحْسَنُ عَمَلًا

Maksudnya: “Yang menjadikan mati dan hidup, supaya Dia menguji kamu, siapa antara kamu yang lebih baik amalnya.”

(Surah al-Mulk: 2)

Imam Ibn Kathir menyebutkan bahawa ayat ini menerangkan mengenai kewujudan makhluk daripada ketiadaannya, Allah SWT mewujudkan mereka bagi menguji dan menilai siapakah di kalangan mereka yang paling baik amalannya. Ibn Abi Hatim berkata, diriwayatan daripada Qatadah berkenaan ayat ini, Rasulullah SAW bersabda:

إِنَّ اللهَ أَذَلَّ بَنِي آدَمَ بِالمَوْتِ وَجَعَلَ الدُنْيَا دَارَ حَيَاةٍ ثُمَّ دَارَ مَوْتٍ وَجَعَلَ الآخِرَةَ دَارَ جَزَاءٍ ثُمَّ دَارَ بَقَاءٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah menghinakan anak-anak Adam dengan kematian, dan menjadikan dunia ini tempat dihidupkan (kehidupan sementara) dan kemudian tempat dimatikan, dan menjadikan akhirat sebagai tempat pembalasan dan tempat kekal abadi.” (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 8/197)

Apabila berlakunya kematian, terdapat beberapa langkah yang perlu diambil terlebih dahulu sebelum membolehkan seseorang menggunakan harta peninggalan si mati untuk tujuan wakaf, infaq dan lain-lain. Perkara-perkara tersebut adalah seperti berikut:

  • Bayaran untuk pengurusan jenazah seperti membeli kain kafan dan sebagainya.

Diriwayatkan Abdullah bin ‘Abbas R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

كَفِّنُوهُ في ثَوْبَيْنِ

Maksudnya: “Kafankan dia dengan dua lapis kain.”

Riwayat al-Bukhari (1265) dan Muslim (1206)

Ibn Qayyim al-Jauzi mengatakan bahawa pengurusan jenazah seperti mengkafankannya adalah didahulukan berbanding membayar hutangnya, ini kerana Nabi SAW tidak bertanya terlebih dahulu berkenaan pewarisan hartanya atau hutangnya. Adapun jika membayar hutang lebih utama daripada pengurusan jenazah, pasti Nabi SAW akan bertanya tentangnya dahulu. (Lihat Zad al-Ma‘ad, 2/222)

  • Melangsaikan hutang si mati. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada ‘Ali bin Abi Talib R.A katanya:

أنّ النَّبيَّ ﷺ قَضى بالدَّينِ قبلَ الوصيَّة

Maksudnya: “Sesungguhnya Nabi SAW perintahkan agar hutang dilangsaikan sebelum wasiat.”

Riwayat al-Tirmizi (2122)

  • Menunaikan wasiat si mati. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

مِن بَعْدِ وَصِيَّةٍ يُوصِي بِهَا أَوْ دَيْنٍ ۗ

Maksudnya: “(Pembahagian itu) ialah sesudah diselesaikan wasiat yang telah diwasiatkan oleh si mati, dan sesudah dibayarkan hutangnya.”

(Surah al-Nisa’: 11)

(Lihat Taqrib al-Fara’id, hlm. 16)

Melihat kepada persoalan yang ditanyakan, jika isteri tersebut meniggal dunia dalam perkahwinan yang sah, maka suaminya layak mendapat satu perdua (1/2) atau separuh daripada harta peninggalan si isteri sekiranya si isteri tidak mepunyai anak. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلَكُمْ نِصْفُ مَا تَرَكَ أَزْوَاجُكُمْ إِن لَّمْ يَكُن لَّهُنَّ وَلَدٌ ۚ

Maksudnya: “Dan bagi kamu satu perdua dari harta yang ditinggalkan oleh isteri-isteri kamu jika mereka tidak mempunyai anak.”

(Surah al-Nisa’: 12)

Manakala adik beradik si mati yang perempuan layak mendapat dua pertiga (2/3) daripada harta peninggalan si mati. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِن كَانَتَا اثْنَتَيْنِ فَلَهُمَا الثُّلُثَانِ مِمَّا تَرَكَ ۚ

Maksudnya: “(Jika seseorang mati yang tidak mempunyai anak) maka kalau pula saudara perempuannya itu dua orang, maka keduanya mendapat dua pertiga dari harta yang di tinggalkan oleh si mati.”

(Surah al-Nisa’: 176)

Manakala baki lebihan daripada harta peninggalan tersebut boleh dibahagikan kepada mereka yang masih hidup daripada kalangan datuk, pakcik sebelah bapa ataupun anak-anak lelaki kepada pakcik sebelah bapa. ((Lihat Taqrib al-Fara’id, hlm. 88)

Ulama’ mengeluarkan hukum ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَهُوَ يَرِثُهَا إِن لَّمْ يَكُن لَّهَا وَلَدٌ ۚ

Maksudnya: “Dan dia pula (saudara lelaki itu) mewarisi (semua baki harta) saudara perempuannya, jika saudara perempuannya tidak mempunyai anak.”

(Surah al-Nisa’: 176)

Jika si isteri ada meninggalkan wasiat ketika hayatnya untuk menginfaqkan atau mewakafkan sebahagian daripada hartanya, maka wajib bagi suami atau ahli warisnya menunaikan wasiat tersebut terlebih dahulu tanpa mengubahnya. Firman Allah SWT:

فَمَن بَدَّلَهُ بَعْدَ مَا سَمِعَهُ فَإِنَّمَا إِثْمُهُ عَلَى الَّذِينَ يُبَدِّلُونَهُ ۚ إِنَّ اللَّهَ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya: “Kemudian sesiapa yang mengubah mana-mana wasiat sesudah ia mendengarnya, maka sesungguhnya dosanya hanya ditanggung oleh orang-orang yang mengubahnya; sesungguhnya Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Baqarah: 181)

Imam Ibn Jarir al-Tabari berkata: “Yang dimaksudkan oleh Allah SWT didalam firman-Nya itu: ‘Maka sesiapa yang mengubah apa yang telah diwasiatkan oleh si mati (daripada wasiatnya yang menyuruh untuk berbuat baik pada kedua ibu bapanya dan kaum kerabat yang tidak mewarisi harta pusaka) selepas dia mendengar wasiat itu, maka orang yang mengubah wasiat tersebut dikira berdosa’.” (Lihat Jami‘ al-Bayan, 3/396)

Setelah selesai semua pembahagian harta pusaka tersebut, si suami boleh untuk mewakafkan atau menginfaqkan sebahagian daripada harta yang dia terima dan meniatkan waqaf atau infaq tersebut atas nama arwah isterinya.

Adapun jika dia ingin mewakafkan atau menginfaqkan harta peninggalan sebelum ia dibahagikan, maka perlulah mendapat persetujuan kesemua ahli waris. Hal ini kerana kesemua mereka mempunyai hak daripada bahagian-bahagian yang telah ditentukan oleh Allah SWT.

Berkenaan terputusnya pertalian antara suami isteri selepas kematian salah seorangnya, kami cenderung mengatakan bahawa ia tidak tepat. Ini kerana telah datangnya sebuah hadith yang diriwayatkan daripada ‘Aisyah R.Anha katanya, ketika mana Rasulullah SAW pulang daripada perkuburan al-Baqi‘,  Baginda melihat ‘Aisyah R.Anha yang sedang mengeluh kerana sakit kepala. Kemudian Baginda SAW bersabda:

مَا ضَرَّكِ لَوْ مِتِّ قَبْلِي فَقُمْتُ عَلَيْكِ فَغَسَّلْتُكِ وَكَفَّنْتُكِ وَصَلَّيْتُ عَلَيْكِ وَدَفَنْتُكِ

Maksudnya: “Tiada mudarat bagimu jika engkau meninggal sebelumku, maka aku berdiri di sisi kamu, memandikan kamu, mengafankan kamu, mendoakan kamu, dan mengebumikan kamu.”

Riwayat al-Bukhari (5666), Ibn Majah (1206), Ahmad (25950), dan al-Nasa’i (7080) dalam al-Sunan al-Kubra

Berdasarkan hadith di atas, sekiranya pertalian antara suami dan isteri terputus selepas meninggal dunia, tidak mungkin Nabi SAW membenarkan suami atau isteri memandikan pasangannya yang telah meninggal dunia.

Kami mendoakan agar Allah SWT memberi ganjaran dengan sebaik-baik ganjaran kepada si suami kerana masih berusaha untuk melakukan yang terbaik buat arwah isteri yang tercinta. Kami juga akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لَهَا وَارْحَمْهَا وَعَافِهَا وَاعْفُ عَنْهَا

Maksudnya: “Ya Allah, ampunlah dosanya, limpahkan rahmat kepadanya, selamatkan dia dan ampunkan kesalahannya.”

Bertarikh: 31 Mei 2023 bersamaan 11 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply