#1750: Mandikan Kereta dengan Air Yasin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Baru-baru ini saya direzekikan untuk membeli sebuah kereta baharu. Isteri saya ada pesan untuk membuat solat hajat, kemudian menjirus air yasin pada kereta baru saya. Tetapi, saya ada terbaca artikel dari Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusof Ahmad yang mengatakan perbuatan itu mengundang kepada khurafat. Saya ingin minta pandangan Dato’ Seri berkenaan perkara ini.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga hari kiamat.

Terlebih dahulu, kami datangkan kenyataan Mufti Negeri Sembilan Datuk Mohd Yusuf Ahmad seperti yang tertulis di dalam keratan akhbar Sinar Harian bertarikh 20 November 2017. Kata beliau berkenaan isu kereta dimandikan dengan air yasin: “Boleh menimbulkan khurafat dan tohmah kepada orang lain. Maka (perbuatan sebegitu) perlu ditegah dan tidak boleh dijadikan ikutan.”

Khurafat menurut kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat ialah suatu kepercayaan yang karut, dongeng, dan tahyul. Menurut bahasa arab [ula, khurafat ditakrifkan sebagai cerita-cerita mempesona yang karut dan dicampur adukkan dengan perkara dusta. (Lihat al-Mu‘jam al-Wasit, 1/237; al-Munajjid fi al-Lughah wa al-A‘lam, hlm. 175)

Jawatankuasa Muzakarah Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia yang bersidang pada 9 Ogos 1996 menyimpulkan di dalam Garis Panduan Khurafat Dan Azimat bahawa khurafat bermaksud semua cerita sama ada rekaan atau khayalan, ajaran-ajaran, pantang-larang, adat istiadat, ramalan-ramalan, pemujaan atau kepercayaan yang menyimpang dari ajaran islam.[1]

 

Mandikan Kereta dengan Air Yasin

Pada adat sebahagian pihak, amalan ini dilakukan dengan kepercayaan menolak bala yang bakal menimpa dan melindungi pemilik kereta daripada perkara yang tidak diingini.

Bahkan ada di antara mereka yang meletakkan kaifiyat khusus untuk amalan ini. Mereka mengatakan bahawa selepas kereta tersebut dimandikan dengan air yasin, ia perlu dibiarkan selama 3 hari tanpa dimandikan dengan air biasa. Ia merupakan perkara khurafat yang dicampur adukkan agama dan kepercayaan mengarut padanya.

Perbuatan ini juga jelas tiada sandarannya daripada al-Quran atau Sunnah Nabi SAW. Sesuatu amalan, meskipun ia disangka baik, akan tetapi tidak mempunyai sebarang dalil yang membenarkannya maka amalan tersebut tertolak.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Ummul Mukminin ‘Aisyah R.Anha katanya, Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal darinya, maka ianya tertolak.”

Riwayat al-Bukhari (2697) dan Muslim (1718)

Di dalam riwayat yang lain, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ عَمِلَ عَمَلًا لَيْسَ عَلَيْهِ أَمْرُنَا فَهُوَ رَدٌّ

Maksudnya: “Barangsiapa yang beramal dengan amalan yang bukan berasal dari agama kami, maka amalan itu tertolak.”

Riwayat Muslim (1718)

Sebaliknya, kita amalkanlah doa yang thabit dalam sebuah hadith riwayat Abdullah bin ‘Amru R.Anhuma bahawa Nabi SAW bersabda:

إِذَا أَفَادَ أَحَدُكُمْ امْرَأَةً أَوْ خَادِمًا أَوْ دَابَّةً فَلْيَأْخُذْ بِنَاصِيَتِهَا وَلْيَقُلْ اللَّهُمَّ ِإِنِّي أَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِهَا وَخَيْرِ مَا جُبِلَتْ عَلَيْهِ وَأَعُوذُ بِكَ مِنْ شَرِّهَا وَشَرِّ مَا جُبِلَتْ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Jika kalian mendapatkan isteri, atau hamba atau haiwan tunggangan, maka pegang ubun-ubun kemudian bacalah: ‘Ya Allah, aku memohon kepada-Mu kebaikannya dan kebaikan sifat yang ada di dalamnya. Dan aku berlindung kepada-Mu dari keburukannya dan keburukan sifat yang ada di dalamnya’.”

Riwayat Ibn Majah (1918), al-Hakim (2757) dan al-Baihaqi (14212)

Pada zaman kita ini, kereta atau kenderaan lain yang dinaiki boleh kita qiaskan dengan haiwan tunggangan. Hal ini kerana kesemuanya mempunyai fungsi yang sama iaitu dijadikan sebagai pengangkutan untuk bergerak daripada satu tempat ke suatu tempat yang lain. Maka doa ini sangatlah sesuai untuk kita amalkan apabila dikurniakan rezeki yang lebih seperti membeli kenderaan dan sebagainya.

Kami akhiri dengan satu nasihat, ingatlah bahawa Allah akan mengabulkan doa hamba-Nya yang meminta daripada-Nya. Mintalah daripada Allah SWT agar dijauhkan daripada perkara yang tidak diingini. Firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ ۚ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepadaKu nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

(Surah Ghafir: 60)

Wallahua‘lam

[1] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/16007. Disemak pada 26 Mei 2023.

Bertarikh: 2 Jun 2023 bersamaan 13 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *