#1807: Warna Haiwan Korban yang Afdhal

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Apakah warna haiwan yang paling baik untuk dijadikan sebagai haiwan korban? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, korban hanya sah dengan unta, lembu kambing dan biri-biri. Hal ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَلِكُلِّ أُمَّةٍ جَعَلْنَا مَنسَكًا لِّيَذْكُرُوا اسْمَ اللَّهِ عَلَىٰ مَا رَزَقَهُم مِّن بَهِيمَةِ الْأَنْعَامِ

Maksudnya: Dan bagi tiap-tiap umat, Kami syariatkan ibadat menyembelih korban (atau lain-lainnya) supaya mereka menyebut nama Allah sebagai bersyukur akan pengurniaan-Nya kepada mereka; binatang-binatang ternak yang disembelih itu.

(Surah al-Haj: 34) 

Selain daripada itu, Imam al-Baghawi juga ada menyatakan, lafaz “بَهِيمَة” (haiwan) diikat dengan lafaz “النَّعَم” (ternakan) kerana ada daripada haiwan yang bukan daripada jenis haiwan ternakan seperti kuda, baghal dan keldai. Oleh itu, tidak boleh menyembelihnya sebagai korban. (Lihat Ma‘alim al-Tanzil, 5/385).

Begitu juga tidak terdapat hadith Nabi SAW atau kata-kata sahabat yang menunjukkan bahawa yang dijadikan korban selain daripada binatang-binatang tersebut. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/233).

Justeru, pada asasnya mana-mana haiwan ternakan daripada unta, lembu dan kembing berserta jenis-jenisnya seperti kerbau, kibas, ma‘iz dan lain-lain adalah sah untuk dijadikan sebagai haiwan korban, tidak kira warna apa pun dengan syarat ia memenuhi syarat sebagai haiwan korban dari segi umurnya dan juga tidak ada kecacatan dan aib yang menyebabkan kurang dagingnya.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, para ulama ada membahaskan berkenaan keutamaan haiwan korban dari sudut warna. Imam al-Nawawi menyebutkan, warna haiwan korban yang paling baik (afdhal) ialah warna putih, kemudian warna kekuningan, kemudian warna al-ghabra’ (warna seperti debu atau tanah) iaitu tidak menggambarkan keputihannya, kemudian warna balqa’ iaitu sebahagiannya berwarna putih dan sebahagiannya lagi berwarna hitam, kemudian warna hitam. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 8/396-397).

Selain daripada itu, Ibn Qudamah turut menyebutkan, sebaik-baik haiwan korban daripada jenis kambing ialah yang berwarna putih. (Lihat al-Mughni, 9/439). Begitu juga dalam Da’irah al-Ifta’ al-Urduniyyah ada menyatakan pendapat Dr. Nidhal Sultan bahawa sebaik-baik haiwan korban dari sudut warna ialah warna putih, kemudian warna kekuningan, kemudian warna ‘afra’ (putih yang tidak bersih), kemudian warna kemerahan, kemudian warna hitam. Manakala dari sudut saiznya pula adalah yang paling gemuk. [1]

Hal ini adalah berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, beliau berkata:

ضَحَّى النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم بِكَبْشَيْنِ أَمْلَحَيْنِ أَقْرَنَيْنِ، ذَبَحَهُمَا بِيَدِهِ، وَسَمَّى وَكَبَّرَ وَوَضَعَ رِجْلَهُ عَلَى صِفَاحِهِمَا

Maksudnya: “Nabi SAW menyembelih dua ekor kibas yang berwarna putih dan terbaik, yang bertanduk besar sebagai korban dengan tangannya sendiri sambil menyebut nama Allah dan bertakbir, serta Baginda meletakkan kakinya di tengkuk kibasy tersebut.”

Riwayat al-Bukhari (5565) dan Muslim (1966)

Dalam menjelaskan maksud “أَمْلَحَيْنِ”, Al-Hafiz Ibn Hajar menyebut: Perkataan amlah (أَمْلَح) bermaksud yang berwarna hitam dan putih, tetapi warna putihnya lebih banyak, dan kadang-kala disebut aghbar. Demikian menurut al-Asma’i. Al-Khattabi pula menambah: “Ia adalah yang berwarna putih dan terdapat warna hitam di sela-sela bulunya.” Ada pula yang berpendapat bahawa ia adalah yang berwarna putih bersih, sepertimana pendapat Ibn al-A‘rabi. Pendapat ini dijadikan dalil ulama mazhab Syafi‘i yang mengutamakan haiwan putih untuk dijadikan korban. Menurut sebahagian ulama lain, ia adalah yang banyak warna merahnya.

Al-Hafiz Ibn Hajar kemudian menjelaskan, berlaku perbezaan berkenaan sebab pemilihan sifat amlah (أَمْلَح) untuk haiwan korban. Dikatakan ia kerana bagus penampilannya atau kerana banyak lemak dan dagingnya. Hal ini dijadikan dalil oleh mereka yang mengutamakan kuantiti (daging) dalam berkorban. Atas dasar itu,
para ulama mazhab Syafi‘i berpendapat, melakukan korban dengan tujuh ekor kambing lebih utama daripada seekor unta, kerana darah yang ditumpahkan lebih banyak, dan pahalanya bertambah sesuai dengan jumlahnya. Sesiapa yang ingin melakukan korban lebih daripada seekor, hendaklah dia menyegerakannya. (Lihat Fath al-Bari, 27/225).

Selain daripada itu, dalam al-Misbah al-Munir turut dinyatakan bahawa di antara makna perkataan amlah ialah putih bersih. (Lihat al-Misbah al-Munir, 2/578).

Tambahan lagi, terdapat hadith lain, daripada riwayat Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

دمُ عَفْراءَ أحبُّ إلى اللهِ من دمِ سوداوَيْن

Maksudnya: Menyembelih seekor haiwan korban berwarna ‘afra’ adalah lebih disukai oleh Allah berbanding menyembelih dua ekor haiwan korban berwarna hitam.

Riwayat Ahmad (9393); al-Harith dalam Musnadnya (402) dan lafaz hadith daripadnya; al-Hakim (7543); Hadith ini dinilai sebagai hasan li ghairihi dalam al-Silsilah al-Sahihah (1861)

Perkataan al-‘Afra’ (العَفْرَاءُ) berasal daripada perkataan al-‘Afar (الْعَفَرِ) iaitu merujuk kepada warna putih tetapi tidak bersih. (Lihat al-Misbah al-Munir, 2/417).

Selain daripada itu, sekalipun para ulama membahaskan berkenaan keutamaan haiwan korban dari segi warna dan menyatakan warna putih adalah warna yang paling baik tetapi mereka tidak menghukumkan sebagai makruh bagi warna-warna lain pada haiwan korban. Cumanya di sisi mereka warna putih adalah lebih baik (afdhal). Inilah sebagaimana yang ditegaskan juga oleh Dr. Husamuddin ‘Afanah. (Lihat al-Mufassal fi Ahkam al-Udhiyyah, hlm. 103).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbahasan di atas, jelaslah bahawa sebaik-baik warna haiwan korban adalah warna putih. Sekalipun begitu, ini tidaklah bermaksud haiwan korban selain daripada warna putih dihukumkan sebagai makruh. Hal ini kerana ia hanyalah dari sudut keutamaan atau afdhaliyyah sahaja.

Justeru, kami tegaskan sekali lagi bahawa mana-mana haiwan ternakan daripada unta, lembu dan kembing berserta jenis-jenisnya seperti kerbau, kibas, ma‘iz dan lain-lain adalah sah untuk dijadikan sebagai haiwan korban, tidak kira haiwan korban itu warna apa pun sekalipun bukan warna putih ataupun warna-warna yang disebutkan oleh para ulama mengikut turutan keutamaan. Akan tetapu dengan syarat ia memenuhi syarat sebagai haiwan korban dari segi umurnya dan juga tidak ada kecacatan dan aib yang menyebabkan kurang dagingnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

[1] Lihat https://www.aliftaa.jo/Article.aspx?ArticleId=307. Diakses pada 29 Mei 2023.

Bertarikh: 16 Jun 2023 bersamaan 27 Zulkaedah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *