Soalan
Saya dan abang saya memiliki sebidang tanah yang dimiliki bersama. Persoalan saya, adakah dibenarkan untuk saya mewakafkan bahagian yang dimiliki oleh saya pada tanah itu? Mohon pencerahan.
Jawapan
Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.
Mewakafkan harta adalah antara amalan yang amat dituntut di dalam Islam. Ini kerana, ganjaran pahala yang berterusan akan diperolehi bagi mereka yang melakukan amalan tersebut ikhlas kerana Allah SWT. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT:
لَن تَنَالُوا الْبِرَّ حَتَّىٰ تُنفِقُوا مِمَّا تُحِبُّونَ ۚ وَمَا تُنفِقُوا مِن شَيْءٍ فَإِنَّ اللَّـهَ بِهِ عَلِيمٌ
Maksudnya: “Kamu tidak sekali-kali akan dapat mencapai (hakikat) kebajikan dan kebaktian (yang sempurna) sebelum kamu dermakan sebahagian dari apa yang kamu sayangi. Dan sesuatu apa jua yang kamu dermakan maka sesungguhnya Allah mengetahuinya.”
(Surah Ali Imran: 92)
Terdapat satu kisah yang menarik berkaitan reaksi sahabat apabila diturunkan sahaja ayat di atas. Dalam satu hadis Anas bin Malik R.A, diceritakan bahawa Abu Talhah merupakan seorang sahabat Ansar yang memiliki kebun kurma yang paling banyak di Madinah. Antara kebun kurma yang paling disayanginya adalah yang terletak di Bairuha’. Apabila Allah SWT mewahyukan ayat tersebut, lantas Abu Talhah terus berkata kepada Rasulullah SAW: “…Sesungguhnya antara harta-harta yang saya paling sayangi adalah kebun Bairuha’; Harta itu saya sedekahkan untuk Allah dan saya mengharap balasan kebaikan dan simpanan (pahala) di sisi Allah. Ya Rasulullah, silakan apa yang akan anda lakukan menurut petunjuk Allah kepadamu (terhadap kebun itu)…”
Lalu Rasulullah SAW bersabda:
بَخٍ، ذَلِكَ مَالٌ رَابِحٌ، ذَلِكَ مَالٌ رَابِحٌ، وَقَدْ سَمِعْتُ مَا قُلْتَ، وَإِنِّي أَرَى أَنْ تَجْعَلَهَا فِي الأَقْرَبِينَ
Maksudnya: “Wah, itu adalah harta yang menguntungkan (mendatangkan pahala untukmu), itu adalah harta yang menguntungkan (mendatangkan pahala untukmu). Aku telah mendengar apa yang engkau katakan tentangnya, dan sesungguhnya aku berpendapat agar engkau menjadikannya (memberikannya) buat kaum kerabatmu.”
Riwayat al-Bukhari (2769)
Setelah itu, Abu Talhah pun menyedekahkan harta tersebut kepada keluarganya. Kata perawi: “Antara mereka ialah Ubay dan Hassan.”
Demikian juga hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A, Nabi SAW bersabda:
إِذَا مَاتَ الإِنْسَانُ انْقَطَعَ عَمَلُهُ إِلاَّ مِنْ ثَلاَثَةٍ مِنْ صَدَقَةٍ جَارِيَةٍ وَعِلْمٍ يُنْتَفَعُ بِهِ وَوَلَدٍ صَالِحٍ يَدْعُو لَهُ
Maksudnya: “Apabila matinya seorang insan, terputuslah amalnya kecuali tiga, sedekah jariah, ilmu yang bermanfaat dan anak soleh yang mendoakannya.”
Riwayat Muslim (1631) dan al-Nasa’i (3651)
Wakaf itu sendiri bermaksud menahan sesuatu harta yang tidak susut fizikalnya serta boleh digunakan dan diambil manfaat darinya dengan cara menyerahkan hak miliknya kepada seorang pengguna yang harus dan wujud. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/376).
Menjawab kepada isu di atas, harta musya’ atau harta yang dikongsi bersama adalah dibolehkan serta diharuskan syarak untuk diwakafkan sekalipun hanya melibatkan sebahagian harta sahaja. Ini termasuk harta yang boleh dialih seperti kereta atau tidak boleh di alih seperti kebun, tanah dan lain-lain. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 3/198). Hal ini berdasarkan kepada hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin Umar R.Anhuma, Umar R.A telah berkata kepada Nabi SAW:
إِنَّ الْمِائَةَ سَهْمٍ الَّتِي لِي بِخَيْبَرَ لَمْ أُصِبْ مَالاً قَطُّ أَعْجَبَ إِلَىَّ مِنْهَا قَدْ أَرَدْتُ أَنْ أَتَصَدَّقَ بِهَا . فَقَالَ النَّبِيُّ صلى الله عليه وسلم “ احْبِسْ أَصْلَهَا وَسَبِّلْ ثَمَرَتَهَا ”
Maksudnya: “Seratus bahagian yang saya perolehi di Khaibar merupakan harta yang amat saya kagumi dan saya mahu sedekahkannya. Lantas, Nabi SAW bersabda: “Wakafkanlah tanahnya dan sedekahkan hasil buah-buahannya.”
Riwayat al-Nasa’i (3603)
Berdasarkan kepada mafhum hadith di atas, kita dibolehkan untuk mewakafkan harta yang dimiliki secara bersama selagimana harta tersebut adalah termasuk dalam harta yang boleh diwakafkan serta dikira bernilai disisi syarak. Ini kerana harta yang tidak susut nilai fizikalnya serta boleh mendatangkan manfaat sahaja yang boleh diwakafkan di sisi syarak.
KESIMPULAN
Dalam isu ini, kami berpandangan bahawa harus dan dibolehkan bagi seorang pemilik harta perkongsian seperti kebun buah-buahan di atas untuk mewakafkan bahagian yang dimilikinya. Hal ini kerana, amalan tersebut hanyalah bermatlamatkan mencari reda dan mendekatkan diri kepada Allah SWT semata-mata dan bukanlah untuk mencari habuan serta keuntungan di dunia. Justeru, perbuatan tersebut adalah sah dan diangkat disisi Allah SWT.
Semoga dengan penjelasan yang diberikan ini memberi manfaat kepada kita semua dalam memahami agama Islam dengan lebih baik. Amin.
Wallahua`lam.
Bertarikh 5 Januari 2022 bersamaan 2 Jamadil Akhir 1443 H