#1859: Haiwan Korban dan Aqiqah Yang Terpatah Tanduk

Soalan:

Saya ada bela kambing dan kebanyakan yang jantan tanduknya tidak sempurna. Jadi untuk ibadah aqiqah dan korban, bolehkah kita sembelih kambing yang tanduknya patah? Sebab biasanya kambing jantan sifatnya bergaduh dan berlaga kepala. Maka, tak boleh nak elak jika berlaku tanduknya patah. Sekian, terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَصَلِّ لِرَبِّكَ وَانْحَرْ

Maksudnya: “Maka dirikanlah sembahyang kerana Tuhanmu dan berkorbanlah (sebagai bersyukur).”

(Surah al-Kauthar: 2)

Haiwan sembelihan yang boleh dijadikan korban ialah unta, lembu, kambing dan biri-biri. Haiwan tersebut sama ada jantan atau betina atau yang telah dikasi. (Rujuk Minhaj al-Talibin  wa Umdatun Muftin fi  al-Fiqh, 320)

Sementara itu, haiwan korban mestilah dipilih daripada yang terbaik dan tiada cacat cela berdasarkan  hadith  sahih daripada  al-Bara’ bin ‘Azib R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda :

أربعٌ لا تجوزُ في الأضاحي العوراءُ البيِّنُ عَوَرُها والمريضةُ البيِّنُ مرَضُها والعرجاءُ البيِّنُ ظَلَعُها والكسيرةُ التي لا تُنقِي

Maksudnya: “Empat perkara yang tidak boleh ada pada haiwan korban ialah yang jelas buta matanya, yang ketara sakitnya, yang ketara tempang kakinya dan yang kurus kering tidak ada sum-sumnya”.

Riwayat Abu Daud  (2802)

Para ulama bersepakat bahawa digalakkan mencari yang terbaik dan sempurna dalam pemilihan haiwan korban. Mereka juga bersepakat bahawa kecacatan yang disebut di dalam hadis di atas atau lebih teruk dari keempat-empat kecacatan tersebut tidak sah untuk dijadikan binatang korban (Rujuk Syarh al-Nawawi ‘ala Muslim, 13/120) .

Al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya Minhaj al-Talibin : “Maksudnya: “Syarat haiwan korban mestilah   selamat daripada aib yang boleh mengurangkan dagingnya. Maka tidak sah binatang yang sangat kurus, gila, putus sebahagian telinga, tempang,  buta sebelah mata, sakit dan kudis yang jelas kelihatan. Tidak terjejas yang sedikit aibnya  begitu juga ketiadaan tanduk-tanduk,  koyak telinga, dan tebukan telinga menurut pendapat yang paling sahih. Menurut pendapatku: Pendapat yang sahih dan yang dinyatakan dalam kitab al-Umm bahawa tidak sah kudis yang sedikit” (Rujuk Minhaj al-Talibin  wa Umdatun Muftin fi al-Fiqh, 320).

Ulama berpandangan disunatkan mencari haiwan korban yang bertanduk dan ulama turut bersepakat harus menyembelih haiwan korban anak lembu yang masih tiada tanduk lagi. Walau bagaimanapun, fuqaha mazhab Syafi’i serta pandangan jumhur menyatakan hukum harus menyembelih haiwan korban yang tanduknya patah  sama ada ia berdarah atau tidak. 

Selain itu, haiwan korban yang bertanduk lebih berat timbangan pahala berdasarkan hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَا عَمِلَ آدَمِيٌّ مِنْ عَمَلٍ يَوْمَ النَّحْرِ أَحَبَّ إِلَى اللَّهِ مِنْ إِهْرَاقِ الدَّمِ، إِنَّهُ لَيَأْتِي يَوْمَ القِيَامَةِ بِقُرُونِهَا وَأَشْعَارِهَا وَأَظْلَافِهَا، وَأَنَّ الدَّمَ لَيَقَعُ مِنَ اللَّهِ بِمَكَانٍ قَبْلَ أَنْ يَقَعَ مِنَ الأَرْضِ، فَطِيبُوا بِهَا نَفْسًا

Maksudnya: “Tidak ada amalan yang dilakukan oleh anak Adam pada hari al-Nahr (Raya Aidiladha) yang lebih dicintai oleh Allah selain daripada menumpahkan darah (binatang korban). Sesungguhnya ia akan datang pada hari Kiamat dengan tanduknya, bulunya dan kukunya dan sesungguhnya darah tersebut akan sampai kepada redha Allah SWT sebelum ia jatuh ke bumi. Maka, bersihkanlah jiwa kamu (dengan berkorban).” 

Riwayat al-Tirmidzi (1493)

Hadis ini bermaksud setiap anggota daripada haiwan korban terdapat padanya ganjaran (pahala) dan ia akan datang pada hari kiamat sebagaimana di dunia, tanpa mengurangkan sedikitpun daripadanya. Haiwan tersebut akan menjadi tunggangan orang yang berkorban itu ketika melintasi titian sirat. (Lihat Tuhfah al-Ahwazi Bi Syarh Jami’ al-Tirmidzi, 5/62)

Kembali kepada persoalan yang diajukan,kami berpandangan diharuskan untuk melakukan aqiqah atau korban dengan haiwan yang patah tanduknya kerana aib yang sedikit tidak memberi kesan kepada daging.Sekiranya ia memberi kesan kepada daging haiwan korban tersebut maka hukumnya tidak sah.Justeru,bagi mereka yang ingin melaksanakan ibadah korban atau aqiqah disunatkan memilih haiwan korban yang sempurna sifatnya dan bertanduk.

Akhir kalam, Semoga Allah SWT memberi kefahaman kepada kita dalam mengamalkan segala suruhan dan menjauhi segala larangan-Nya. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 21 Jun 2023 bersamaan 2 Zulhijjah 1444H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *