#1962: Penggunaan Arak Dalam Rawatan

Soalan:

Assalamualaikum wrt. wbt. Dato’ Seri. Bolehkah menggunakan arak sebagai salah satu elemen perubatan?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab persoalan ini, Rasulullah SAW dengan tegas pada asalnya tidak membenarkan kita menggunakan arak. Akan tetapi kami nyatakan seperti berikut:

Penggunaan Arak dalam Keadaan Darurat

Seseorang yang terpaksa meminum arak dengan sebab paksaan, maka dia boleh minum tanpa sebarang khilaf. Tetapi jika disebabkan kelaparan dan kehausan, Imam Malik berpendapat tidak harus seseorang itu meminumnya kerana menurutnya arak itu hanya akan menambahkan kehausannya. Imam Malik juga menegaskan Allah mengharamkan arak secara mutlak, manakala bangkai diharamkan secara bersyarat iaitu jika tidak ada darurat.

Abu Bakar al-Abhari berpendapat sekiranya arak itu dapat menghilangkan haus dan dahaga, maka harus meminumnya kerana Allah berfirman bahawa khinzir itu adalah keji, kemudian Allah mengharuskannya dalam keadaan darurat. Allah juga berfirman bahawa arak itu adalah keji. Memandangkan khinzir dan arak adalah sesuatu yang keji, maka keharusan meminum arak dalam keadaan darurat adalah sama dengan keharusan memakan khinzir ketika darurat.

Seseorang yang tercekik tidak diharuskan menghilangkannya dengan meminum arak kerana dibimbangi itu hanya alasannya sahaja untuk mengelakkan daripada hukuman manakala Ibnu Habib mengharuskannya sekiranya dalam keadaan darurat. Keharusan ini berdasarkan persamaan hukum khinzir dan arak yang diharuskan dalam darurat. 

Walau bagaimanapun, pendapat yang menyatakan bahawa pengharaman itu tidak boleh menjadi halal kerana arak bukannya melegakan kehausan malahan menambahkan lagi kedahagaan dan kehausan. Sekiranya dakwaan ini benar, maka minum arak adalah tetap haram walaupun dalam keadaan darurat, namun sebaliknya harus meminum arak ketika darurat untuk menghilangkan kehausan.

Penggunaan Arak dalam Perubatan

Penggunaan arak dalam bidang perubatan memerlukan kajian yang terperinci terutama daripada pakar-pakar perubatan untuk mengenal pasti kandungan sebenar sesuatu ubat atau produk perubatan yang digunakan untuk merawat pesakit, contohnya penggunaan ubat menggunakan bahan yang memabukkan seperti arak. Sekiranya ubat yang dihasilkan itu telah sebati dengan bahan yang memabukkan dan tidak lagi dapat dikenali sifat dan ciri-cirinya, maka ubat ini diharuskan penggunaannya oleh pesakit dengan nasihat doktor. Namun, keharusan tersebut adalah dengan syarat tiada ubat lain yang boleh menggantikannya.

Sekiranya ubat yang dihasilkan itu tidak sebati dengan bahan yang memabukkan, maka tidak harus menggunakannya untuk mengubati penyakit walaupun dengan nasihat doktor atau arahannya. Ini adalah kerana, telah jelas bagi sebarang penyakit, bahawa bahan yang memabukkan bukanlah satu-satunya ubat yang tidak boleh digantikan dengan yang lain. Malah kemudharatan yang tersembunyi di dalamnya lebih banyak daripada kebaikan dan faedah yang disangkakan.

Terdapat beberapa hadis yang menjelaskan keadaan ini antaranya: Daripada Tariq bin Suwaid al-Hadhrami RA katanya: Aku bertanya: “Hai Rasulullah SAW! Di tempat kami terdapat banyak buah anggur yang kami pecahkan, bolehkah kami meminumnya”?  Jawab Baginda SAW: “Tidak”. Aku kembali merujuk kepada Baginda SAW dan bertanya lagi: “Bolehkah kami menggunakannya untuk mengubati pesakit”? Sabda Nabi SAW:

إنَّ ذَلِكَ ليس بِشِفاءٍ، ولكنَّه دَاءٌ

Maksudnya: “ Ia bukan ubat tetapi penyakit.”

Riwayat Abu Daud (3873)

Daripada Ummu Salamah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إنَّ اللَّهَ لَـمْ يَجْعَلْ شِفَاءَكُمْ فِيمَا حرَّمَ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah tidak menjadikan penyembuh buat kamu pada perkara yang telah Dia haramkan ke atas kamu.” 

Riwayat Ibn Hibban (1381)

Fatwa Ulama Masa Kini Berkenaan Dengan Perubatan Menggunakan Bahan Najis

Sebelum dikemukakan pendapat para ulama masa kini, suka ditegaskan dengan dua resolusi:

Pertama: Resolusi daripada Majlis Majma’ al-Fiqhi al-Islami, Jeddah yang bersidang untuk kali ke-3, bulan Oktober 1986: “Bagi pesakit Islam berhak mengambil ubat yang mengandungi nisbah daripada alkohol jika tidak memperolehi ubat selainnya, dan disifatkan ubat tersebut oleh doktor yang boleh dipercayai dalam bidangnya”.

Kedua: Nadwah Fiqhiyyah Perubatan kali ke-8, Organisasi Perubatan Islam, Kuwait yang bersidang pada bulan Mei 1995 mengharuskan perubatan dengan menggunakan kulit khinzir atau anjing berdasarkan kepada darurat dan ianya tidaklah menjadikan harus secara mutlak sebagaimana nas yang berbunyi: “Menampal kulit yang diambil daripada khinzir dan anjing adalah tidak harus menggunakannya kecuali apabila tiada sebarang gantian yang harus pada syarak dan ketika darurat dengan syarat terhad kepada masa yang tertentu.”

Syeikh Abdullah bin Humaid berkata: Tidak harus menggunakan arak untuk diminum sebagai ubat kerana Rasulullah SAW telah bersabda yang bermaksud: “Tidak, akan tetapi ia adalah racun”.

Hadis ini menunjukkan bahawa arak sebagai racun atau penyakit dan perubatan masa kini semuanya bersetuju serta sependapat bahawa arak memberi mudarat. Hal ini banyak dinyatakan di dalam buku-buku dan dikarang oleh golongan orientalis. 

Syeikh Abd al-Aziz bin Abdillah bin Baz berkata lagi: Ubat yang menghasilkan kerehatan kepada pesakit dan mengurangkan kesakitan tidaklah menjadi kesalahan dan boleh menggunakannya sebelum pembedahan dan selepas pembedahan. Kecuali jika diketahui adanya sesuatu yang memabukkan dan kandungannya adalah dalam kuantiti yang banyak. Maka, tidak harus menggunakannya kerana sabda Rasulullah SAW yang bermaksud: “Apa yang memabukkan kerana banyaknya, maka sedikitnya juga dikira haram.”

Namun, sekiranya tidak memabukkan, dan dalam kandungan yang banyak, tetapi hasil daripadanya dapat mengurangkan kesakitan maka tidaklah menjadi kesalahan menggunakan demikian itu.

Dr.Wahbah al-Zuhaili berkata: “Rawatan dengan menggunakan alkohol dan perkara yang memabukkan dari bahan perubatan adalah harus kerana darurat dalam keadaan terpaksa.”

Dr. Muhammad bin Muhammad bin Mukhtar al-Syanqiti berkata: Jika sampai ke tahap darurat dan juga keperluan maka ia dibolehkan. Namun, sekiranya tidak sampai pada tahap darurat dan keperluan maka ia tidak dibolehkan. Ini berdasarkan kepada beberapa kaedah fiqhiyyah, antaranya:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya:Keadaan dharurat (terdesak) boleh mengharuskan yang haram.” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 84 dan al-Asybah wa al-Naza’ir oleh Ibn Nujaim, hlm. 85).

Kaedah turut menyebut:

الْحَاجَةُ تَنْزِلُ مَنْزِلَةَ الضَّرُورَةِ عَامَّةً كَانَتْ أَوْ خَاصَّةً

Maksudnya: “Keperluan itu menduduki tempat darurat, pada peringkat umum atau khas.” (Lihat al-Asybah wa al-Nazha`ir, hlm. 88)

Oleh itu, keharusan menggunakan segala perkara yang haram termasuk dalam kaedah pengecualian yang diizinkan kerana darurat. Penggunaan bahan najis dalam bidang perubatan dilihat dapat membantu dalam menyelesaikan beberapa penyakit yang tertentu. Penggunaan bahan najis ini juga bukan sahaja hanya melibatkan anggota-anggota binatang yang keras sahaja malahan anggota-anggota yang tidak keras juga digunakan dalam merawat pesakit. Penggunaan bahan najis daripada bangkai binatang juga telah dibincangkan dengan panjang lebar seperti di atas.

Secara keseluruhannya, perbincangan ini lebih tertumpu kepada penggunaan bahan najis daripada binatang yang haram dimakan iaitu khinzir dan anjing seperti anggota, tisu dan organ binatang tersebut. Umumnya, Islam membenarkan penggunaan bahan-bahan ini dalam bidang perubatan dengan beberapa syarat dan garis panduan antaranya:

  • Hendaklah dalam keadaan darurat, iaitu sekiranya tahap pesakit telah sampai ke peringkat yang benar-benar darurat dan tiada harapan untuk sembuh sekiranya tidak menggunakan bahan najis tersebut.
  • Tiada bahan pengganti lain yang halal boleh menggantikannya.
  • Tiada kaedah atau cara rawatan lain yang mampu merawat mahupun menahan penyakit pesakit.
  • Mendapat khidmat nasihat dari doktor Muslim yang pakar dalam bidang perubatan yang boleh dipercayai.
  • Memastikan penggunaan bahan tersebut tidak akan memberikan kesan sampingan kepada pesakit pada masa akan datang dan bebas dari kemudharatan pada tubuh badan pesakit.

Mengikut Persidangan Antarabangsa Perubatan Islam pertama bertempat di Kuwait pada 1401H yang mengesahkan dokumen ini dikenali sebagai “Kod Islam bagi Etika Perubatan” (Islamic Code of Medical Ethica) antara lain menyatakan bahawa doktor mempunyai hak dan tugas yang perlu diselesaikan dalam merumuskan dan mengeluarkan fatwa (verdict) agama yang berkesan atas tindakan yang menyalahi undang-undang atau atas penghasilan baru yang ditemui hasil daripada kemajuan sains bio perubatan hari ini pada masa hadapan. 

Fatwa ini hendaklah dicapai dan dikeluarkan dengan penyatuan kedua-dua golongan yang pakar dalam bidang keagamaan dan pakar dalam bidang sains bio perubatan. Dalam Islam dinyatakan dengan rasminya Apa juga kebajikan yang ditemui maka disitu wujudlah peraturan Tuhan.

Sebagai penutup penulis menyebut kenyataan Imam al-Syatibi dalam al-Muwafaqat, katanya: Segala taklif syariah kembali kepada pemeliharaan segala maksudnya untuk makhluk dan segala maksud ini tidak keluar dari tiga bahagian:

  • Termasuk dalam darurat.
  • Termasuk dalam hajiyat.
  • Termasuk dalam tahsiniyat.

Justeru, diharap isu penggunaan bahan najis dalam perubatan menjadi perkara yang jelas berdasarkan kepada kaedah serta kemudharatan. 

Semoga Allah SWT selamatkan kita dan sembuhkan kita daripada sebarang penyakit. Semoga kita semua sentiasa redha dalam takdir Ilahi serta mampu untuk mencari pelbagai alternatif yang terbaik dalam rawatan.

Saya mengakhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اشْفِ مَرْضَانَا وَعَافِ مُبْتَلَانَا وَارْحَمْ مَوْتَانَا

Maksudnya: “Ya Allah! Sembuhkanlah orang sakit di kalangan kami. Afiatkanlah orang yang diuji di kalangan kami dan rahmatilah orang yang telah mati dari kalangan kami.”

Bertarikh: 26 Jun 2023 bersamaan 7 Zulhijjah 1444 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *