#2277: Mengambil Sisa Sembelihan Korban yang Ditinggalkan

Last Updated: July 14, 2023By

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya merupakan petugas ketika menguruskan ibadah korban, tetapi saya bukanlah tukang sembelih. Bolehkah saya membawa balik sisa sembelihan korban yang ditinggalkan seperti lemak, ekor, kepala lembu, limpa dan sebagainya?

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Islam adalah agama yang sangat menuntut kita untuk elakkan pembaziran, atau yang seumpama dengannya seperti pemborosan, hal ini kerana kedua-duanya tergolong dalam sifat berlebih-Iebihan atau melampaui batas.

Ini berdasarkan firman Allah SWT:

يَا بَنِي آدَمَ خُذُوا زِينَتَكُمْ عِنْدَ كُلِّ مَسْجِدٍ وَكُلُوا وَاشْرَبُوا وَلَا تُسْرِفُواۚ إِنَّهُ لَا يُحِبُّ الْمُسْرِفِينَ

Maksudnya: “Wahai anak-anak Adam! Pakailah pakaian kamu yang indah berhias pada tiap-tiap kali kamu ke tempat ibadat (atau mengerjakan sembahyang), dan makanlah serta minumlah, dan jangan pula kamu melampau; sesungguhnya Allah tidak suka akan orang-orang yang melampaui batas”.

(Surah al-A‘raf: 31)

Di dalam ayat lainnya, Allah SWT berfirman:

وَلَا تُبَذِّرْ تَبْذِيرًا ﴿٢٦﴾‏ إِنَّ الْمُبَذِّرِينَ كَانُوا إِخْوَانَ الشَّيَاطِينِ ۖ وَكَانَ الشَّيْطَانُ لِرَبِّهِ كَفُورًا

Maksudnya: “Janganlah kamu membazir dengan pembaziran yang melampau. Sesungguhnya orang-orang yang membazir itu adalah saudara-saudara Syaitan, sedang Syaitan itu pula adalah makhluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

(Surah al-Isra’: 26-27)

Bahkan telah thabit dalam sebuah hadith yang diriwayatkan daripada  Anas bin Malik R.A, katanya bahawa Nabi SAW berjalan lalu ternampak sebutir tamar gugur (dari pohonnya) lantas Baginda bersabda:

لَوْلَا أَنْ تَكُونَ مِنْ صَدَقَةٍ لَأَكَلْتُهَا

Maksudnya: “Kalaulah buah kurma itu bukan daripada sedekah, nescaya aku akan memakannya’(yakni: terdapat kemungkinan kurma tersebut merupakan harta sedekah).”

Riwayat al-Bukhari (3055)

Jelas di atas bahawa Islam sangat menitik beratkan perkara ini kerana mengelakkan pembaziran merupakan salah satu cara kita menzahirkan rasa syukur terhadap segala nikmat yang telah Allah SWT kurniakan kepada kita, sehinggakan Rasulullah SAW sendiri sentiasa memastikan agar tidak ada berlaku sebarang pembaziran walaupun pada sekecil-kecil perkara seperti sebutir kurma yang jatuh dari pohonnya. 

Sisa Sembelihan Korban yang Ditinggalakan

Ramai daripada ummat Islam di dunia ini yang Allah SWT kurniakan kepada mereka limpahan rezeki sehinggakan mereka mampu untuk melaksanakan ibadah korban. Akan tetapi, segelintir mereka mungkin hanya mengagihkan daging sembelihan korban sahaja sehingga terlupa bahawa bahagian lain daripada binatang tersebut seperti organ dalaman, kulit dan kepala juga turut termasuk dalam bahagian korban yang boleh diberikan sebagai sedekah.

Apabila terjadinya lambakan organ dalaman yang ditinggalkan kerana tidak ramai yang menggemarinya, maka ia terkadang berakhir dengan suatu pembaziran yang sangat banyak. Terkadang, ianya hanya ditinggalkan di masjid-masjid atau surau-surau atas harapan bahawa pihak pengurusan korban dapat menguruskan perkara tersebut dengan apa jua cara sekali pun.

Mengikut sebahagian uruf setempat, apabila sesuatu itu ditinggalkan maka itu merupakan tanda bahawa pemiliknya sudah tidak menginginkannya dan membenarkan sesiapa sahaja untuk mengambilnya  secara percuma. Jika diyakini kebiasaan setempat di kawasan saudara yang bertanya adalah sama seperti ini, maka hukum mengambil sisa sembelihan korban yang ditinggalkan tersebut adalah dibolehkan agar sebarang pembaziran dapat dielakkan.

Ini berdasarkan lafaz umum kaedah fiqhiyyah yang menyebutkan:

العَادَةُ مُحَكَّمَةٌ

Maksudnya: “Adat setempat yang dijadikan sebagai hukum.”

Dr Muhammad al-Zuhaili menyebutkan, adat setempat mestilah suatu amalan kebiasaan yang berterusan (dalam masyarakat). Jika bukan adat kebiasaan, maka tidak dijadikan adat sebagai hukum. (Lihat al-Qawa‘id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, 1/323)

Berdasarkan dalil dan contoh tauladan yang dibawakan Rasulullah SAW seperti dalam hadith di atas, diharuskan untuk mengambil sisa sembelihan korban yang ditinggalkan oleh pemiliknya. Syaratnya adalah pihak pengurusan korban tersebut yakin bahawa sisa tersebut boleh diambil manfaat daripadanya, dan mendapat kepastian bahawa pemiliknya memang sudah benar-benar tidak mahukan sisa tersebut.

Kesimpulan

Haiwan korban yang disembelih dengan cara yang halal dan dibersihkan dengar kaedah yang betul menurut syara‘, maka setiap bahagian daripada anggotanya boleh diambil manfaat seperti memakannya, dijadikan kompang dari kulitnya, atau dijadikan hamparan. 

Jika sekiranya pihak pengurusan korban mendapati sisa sembelihan korban yang ditinggalkan oleh peserta korban, dan mereka yakin berdasarkan uruf setempat bahawa peserta korban tidak mahukan sisa tersebut, maka harus hukumnya untuk mengambil sisa tersebut.

Akan tetapi, kami syorkan 2 perkara sebagai langkah selamat agar lebih bertambah keyakinan bahawa perbuatan kita tersebut tidak bertentangan dengan hukum syara‘:

  • Pihak pengurusan korban boleh menghubungi peserta korban secara terus bagi mendapatkan kepastian tentang sisa sembelihan yang ditinggalkan tersebut, sama ada mereka masih mahukannya atau tidak.
  • Jika peserta korban memberi kebenaran untuk pihak pengurusan korban mengambil sisa tersebut, pastikan ia diberikan dalam bentuk sedekah dan bukannya sebagai upah atas  khidmat pengurusan mereka.

Akhir kalam, kami doakan supaya Allah SWT menerima ibadah korban yang kita lakukan, dan memberikan ganjaran yang melimpah kepada semua pihak yang membantu dalam menjayakan pelaksanaan ibadah korban yang merupakan salah satu perayaan besar dalam agama Islam ini. Amin.

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 13 Julai 2023 bersamaan 24 Zulhijjah 1444 H

Leave A Comment