#2325: Maksud Istidraj

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh Dato’ Seri terangkan kepada kami apakah maksud istidraj?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Istidraj (الاسْتِدْرَاجُ) ialah suatu kelebihan atau keunggulan yang diberikan Allah kepada para hamba-Nya yang bukan daripada golongan orang yang bertakwa dan soleh, termasuk juga sebahagian hamba-Nya yang kafir dan menentang Islam. Kelebihan ini sengaja diberikan oleh Allah kepada mereka agar mereka bertambah jauh daripada Allah dan melakukan lebih banyak maksiat kepada-Nya, sampai pada waktu dan batas yang ditentukan. Pada umumnya, ia diakhiri dengan akibat buruk bagi orang itu.

Contohnya, kekuasaan dan keunggulan yang diberikan kepada Firaun. Yang mana dengan kekuasaan itu, Firaun tidak bertambah taat kepada Allah. Bahkan makin bertambah derhaka kepada Allah SWT malah mendakwa dirinya sebagai Tuhan.

Al-Quran sendiri banyak menerangkan tentang Istidraj yang diberikan Allah kepada orang yang menderhaka kepada Allah SWT agar mereka semakin bertambah derhaka kepada-Nya. Firman Allah SWT dalam surah al-A’raf, ayat 182-183

وَالَّذِينَ كَذَّبُوا بِآيَاتِنَا سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ ‎﴿١٨٢﴾‏ وَأُمْلِي لَهُمْ ۚ إِنَّ كَيْدِي مَتِينٌ

Maksudnya: “Dan orang yang mendustakan ayat-ayat Kami, nanti Kami akan menarik mereka secara beransur-ansur (ke arah kebinasaan), dengan cara yang tidak mereka ketahui. Dan Aku memberi tangguh kepada mereka. Sesungguhnya rencana-Ku amat teguh.”

Surah al-A’raf (182-183)

Al-Hasan berkata: “Betapa ramai orang yang terkena fitnah dengan cara dipuji dan betapa ramai orang yang terpedaya dengan cara ditutupi aibnya.” (Lihat al-Jami’ li Ahkam al-Quran, 18/251 dan Tafsir al-Siraj al-Munir, 4/264)

Sahl bin Abdullah mentafsirkan ayat di atas dengan maksud: “Nikmat-nikmat yang diberikan akan menyebabkan mereka lupa bersyukur.” (Lihat al-Bahr al-Madid, 2/581)

Al-Razi berkata: “Istidraj ialah dengan meminta kurnia turun kepadanya satu darjat kepada darjat yang lain sehingga mereka terpedaya. Tatkala mereka melakukan dosa, Allah SWT menambahkan lagi nikmat sehingga melupakan mereka daripada istighfar.” (Lihat al-Tafsir al-Kabir, 15/77)

Begitu juga, bala istidraj ialah apabila seseorang itu tidak menyangka datangnya hukuman Allah SWT sama ada secara mengejut atau secara beransur-ansur. Firman Allah SWT:

فَذَرْنِي وَمَن يُكَذِّبُ بِهَٰذَا الْحَدِيثِ ۖ سَنَسْتَدْرِجُهُم مِّنْ حَيْثُ لَا يَعْلَمُونَ

Maksudnya: “Biarkanlah Aku sahaja (wahai Muhammad) dengan orang yang mendustakan keterangan Al-Quran ini, Kami akan menarik mereka sedikit demi sedikit (ke jurang kebinasaan), dari arah yang mereka tidak mengetahuinya.

Surah al-Qalam (44)

Justeru, sewajarnya kita mensyukuri nikmat Allah SWT dan kembali kepada-Nya dengan menginsafi bahawa nikmat tersebut adalah pinjaman dan ujian daripada Allah SWT. Marilah kita amalkan doa sebagaimana yang sentiasa dibaca oleh Nabi Allah Sulaiman AS:

رَبِّ أَوْزِعْنِي أَنْ أَشْكُرَ نِعْمَتَكَ الَّتِي أَنْعَمْتَ عَلَيَّ وَعَلَىٰ وَالِدَيَّ وَأَنْ أَعْمَلَ صَالِحًا تَرْضَاهُ وَأَدْخِلْنِي بِرَحْمَتِكَ فِي عِبَادِكَ الصَّالِحِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku, ilhamkanlah daku supaya tetap bersyukur akan nikmatMu yang Engkau kurniakan kepadaku dan kepada ibu bapaku, dan supaya aku tetap mengerjakan amal soleh yang Engkau redai; dan masukkanlah daku – dengan limpah rahmatMu – dalam kumpulan hamba-hambaMu yang soleh.

Surah al-Naml (19)

Bertarikh: 20 Julai 2023 bersamaan 1 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *