#2405: Kenapa Rasulullah SAW Memilih Kota Madinah Sebagai Tempat Berhijrah?

Soalan:

Assalamualaikum wbt Dato saya ingin bertanya, kenapa nabi Muhammad SAW memilih Madinah sebagai tempat untuk berhijrah ?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Madinah merupakan salah satu kota suci umat Islam yang dituntut untuk kita menziarahinya. Kota Madinah juga merupakan tempat hijrah Rasulullah SAW, yang merupakan tempat yang dipilih oleh Allah dan Allah yang memerintahkan Rasulullah SAW untuk berhijrah ke Madinah. Madinah juga merupakan kota yang Rasulullah SAW cinta kepadanya sebagaimana hadith yang diriwayatkan daripada Aisyah R.Anha, bahawa Rasulullah SAW berdoa:

اللَّهُمَّ حَبِّبْ إلَيْنا المَدِينَةَ كَحُبِّنا مَكَّةَ أوْ أشَدَّ، اللَّهُمَّ بارِكْ لَنا في صاعِنا وفي مُدِّنا، وصَحِّحْها لَنا، وانْقُلْ حُمّاها إلى الجُحْفَةِ

Maksudnya: Ya Allah Jadikan kami mencintai Madinah, seperti cinta kami kepada Makkah atau lebihkan lagi dari Makkah. Ya Allah berkatilah timbangan dan ukuran kami. Sehatkan lah Madinah untuk kami. Pindahkan lah wabah penyakit ini ke kota Juhfah.” 

Riwayat al-Bukhari (1889)

Madinah juga merupakan salah satu daripada tempat suci umat Islam. Ini kerana, di sana terdapat hadith sahih yang menuntut agar kita bermusafir ke Masjid al-Nabawi yang terletak di Madinah sebagaimana yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari:

Diriwayatkan daripada  Abu Hurairah RA, bahawa Nabi SAW bersabda:

لاَ تُشَدُّ الرِّحَالُ إِلَّا إِلَى ثَلاَثَةِ مَسَاجِدَ: المَسْجِدِ الحَرَامِ، وَمَسْجِدِ الرَّسُولِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، وَمَسْجِدِ الأَقْصَى

Maksudnya: “Janganlah kamu bersusah payah mengembara  (atau bermusafir bagi tujuan ibadah) melainkan pada tiga buah masjid iaitu masjid al-Haram, masjid Rasulullah SAW dan juga masjid al-Aqsa”.

Riwayat al-Bukhari no 1189

Menjawab bagi persoalan di atas, Rasulullah SAW memilih kota Madinah sebagai tempat untuk berhijrah adalah sepertimana berikut :

  1.     Perintah daripada Allah SWT untuk berhijrah ke Madinah

Firman Allah SWT:

إِلَّا تَنصُرُوهُ فَقَدْ نَصَرَهُ اللَّـهُ إِذْ أَخْرَجَهُ الَّذِينَ كَفَرُوا ثَانِيَ اثْنَيْنِ إِذْ هُمَا فِي الْغَارِ إِذْ يَقُولُ لِصَاحِبِهِ لَا تَحْزَنْ إِنَّ اللَّـهَ مَعَنَا ۖ فَأَنزَلَ اللَّـهُ سَكِينَتَهُ عَلَيْهِ وَأَيَّدَهُ بِجُنُودٍ لَّمْ تَرَوْهَا وَجَعَلَ كَلِمَةَ الَّذِينَ كَفَرُوا السُّفْلَىٰ ۗ وَكَلِمَةُ اللَّـهِ هِيَ الْعُلْيَا ۗ وَاللَّـهُ عَزِيزٌ حَكِيمٌ

Maksudnya : Maksudnya: “Kalau kamu tidak menolongnya (Nabi Muhammad) maka sesungguhnya Allah telah menolongnya, iaitu ketika kaum kafir (di Makkah) mengeluarkannya (dari negerinya Makkah) sedangkan dia salah seorang daripada dua (sahabat) ketika mereka berlindung di dalam gua. Pada ketika itu, dia berkata kepada sahabatnya: “Janganlah kamu berdukacita, sesungguhnya Allah bersama kita.” Maka Allah menurunkan ketenangan kepada (Nabi Muhammad) dan menguatkannya dengan bantuan tentera (malaikat) yang kamu tidak melihatnya. Dan Allah menjadikan seruan (syirik) orang-orang kafir terbawah (kalah dengan sehina-hinanya) dan Kalimah Allah (Islam) adalah yang tertinggi (selama-lamanya) kerana Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana.”

(Al-Taubah:40)

Di dalam ayat ini, jelas menunjukkan bahawa Nabi SAW dan Abu Bakar al-Siddiq RA menempuh pelbagai ujian dan cubaan ketika ingin berhijrah ke Madinah atau nama sebelumnya adalah Yathrib sehinggakan baginda SAW terpaksa bersembunyi di dalam sebuah gua bagi mengelak dijejaki oleh kaum musyrikin pada waktu. Antara perkara lain yang boleh difahami menerusi ayat di atas adalah perancangan kaum musyrikin Makkah dalam usaha mereka untuk membunuh Nabi SAW. Maka dengan sebab itu, Allah SWT perintahkan Nabi SAW agar keluar berhijrah dan meninggalkan tanah airnya yang tercinta.

Diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.A mengatakan: 

بُعِثَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ لِأَرْبَعِينَ سَنَةً، فَمَكُثَ بِمَكَّةَ ثَلاَثَ عَشْرَةَ سَنَةً يُوحَى إِلَيْهِ، ثُمَّ أُمِرَ بِالهِجْرَةِ فَهَاجَرَ عَشْرَ سِنِينَ، وَمَاتَ وَهُوَ ابْنُ ثَلاَثٍ وَسِتِّينَ

Maksudnya: “Nabi SAW dilantik menjadi rasul pada usia 40 tahun dan baginda tinggal di Makkah selama 13 tahun (dalam menyampaikan dakwahnya). Kemudian, baginda menerima wahyu daripada Allah SWT dan diperintahkan agar berhijrah. Maka baginda SAW berhijrah dan menetap di sana selama 10 tahun lalu wafat ketika berusia 63 tahun.

 Riwayat al-Bukhari (3902)

Dalam riwayat lain pula menceritakan bahawa Rasulullah SAW melihat kota Madinah di dalam mimpi baginda sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh  Abu Musa RA, bahawa Nabi SAW bersabda: 

رَأَيْتُ فِي المَنَامِ أَنِّي أُهَاجِرُ مِنْ مَكَّةَ إِلَى أَرْضٍ بِهَا نَخْلٌ، فَذَهَبَ وَهَلِي إِلَى أَنَّهَا اليَمَامَةُ، أَوْ هَجَرُ، فَإِذَا هِيَ المَدِينَةُ يَثْرِبُ

Maksudnya: “Aku telah bermimpi bahawa sesungguhnya aku berhijrah dari kota Makkah menuju ke suatu tempat yang ada pohon kurma padanya. Lalu aku mengira tempat itu ialah adalah al-Yamamah atau Hajr. Akan tetapi, ia sebenarnya adalah Yathrib (Nama lama bagi kota Madinah).”

 Riwayat al-Bukhari (3622)

  1.     Menyebarkan dakwah islam

Islam tidak diturunkan kepada Nabi Muhammad SAW untuk memberi peringatan kepada satu umat saja, tetapi diturunkan bagi semua bangsa dan negara agar hanya menyembah Allah semata dan tidak mempersekutukan-Nya dengan apapun.

Firman Allah SWT:

وَمَا أَرْسَلْنَاكَ إِلَّا كَافَّةً لِّلنَّاسِ بَشِيرًا وَنَذِيرًا وَلَٰكِنَّ أَكْثَرَ النَّاسِ لَا يَعْلَمُونَ

MaksudnyaDan tiadalah Kami mengutusmu (wahai Muhammad) melainkan untuk umat manusia seluruhnya, sebagai Rasul pembawa berita gembira (kepada orang-orang yang beriman), dan pemberi amaran (kepada orang-orang yang ingkar); akan tetapi kebanyakan manusia tidak mengetahui (hakikat itu).

(Surah Saba’:28)

Islam harus membangun jembatan untuk menyebarluaskan ajarannya ke seluruh dunia. Oleh kerana itulah kota Madinah menjadi salah satu pusat penting yang mungkin menjadi pusat utama penyebaran dakwah. Para Ansar di Madinah telah berbaiat kepada Nabi Muhammad SAW sebelum kedatangannya, dan di sana mereka menemukan ketaatan dan cinta terhadap Islam. Oleh yang demikian, hijrah ke Madinah menjadi suatu penting agar umat Muslim dapat mengumpulkan kekuatannya dan mulai menyebarluaskan Islam ke seluruh dunia.[1]

Apabila umat Islam tiba di Madinah, mereka berusaha sekuat tenaga untuk menyebarkan dakwah. Mereka tidak mensia-siakan waktu, sebaliknya, mereka memanfaatkannya sepenuhnya untuk berkhidmat kepada agama dan meninggikan martabat islam. Di antara usaha mereka adalah berjuang dijalan allah dengan menyertai beberapa peperangan di sekitar kota Madinah. Para Muslim di Madinah dapat menjalankan ibadah dan meninggikan syiar Allah tanpa takut atau khuatir terhadap musyrik. Mereka juga berhak untuk berdakwah dan berjihad dalam mempertahankan agama mereka.(Lihat Sirah al-Nabawiyyah Dan Dakwah Fi ‘Ahdi Al-Madani, hlm.64 )

  1.     Menubuhkan daulah islamiyyah dan masyarakat Islam

Hijrah Nabi ke Madinah adalah  bertujuan menubuhkan negara Islam dan masyarakat Islam iaitu negara di mana setiap orang yang beriman kepada Allah  SWT  berada di bawah naungan negara tersebut dan menjadi individu yang soleh yang beribadah kepada Tuhannya tanpa takut kepada musuh yang mengintai atau kafir yang mengancam. Al-Mubarakfuri berkata tentang masyarakat baru ini: “Mereka telah sampai pada masa untuk menjadi masyarakat baru, masyarakat Islam, yang berbeza dalam setiap fasa kehidupan daripada masyarakat jahiliyyah, dan membezakan diri daripada mana-mana masyarakat yang ada di dunia manusia. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, 1/161 )

  1.     Sifat Dan Akhlak Penduduk Madinah Yang Mulia

Perbezaan sifat  penduduk Madinah dengan manusia lainnya, terlihat jelas oleh Nabi Muhammad ketika Baginda bertemu dengan delegasi mereka pada musim haji. Baginda melihat kesopanan akhlak yang ditunjukkan oleh mereka, kecerdasan pikiran dan ketenangan hati serta kefasihan bahasa mereka  terutama para pemimpin mereka. Mereka tidak menunjukkan permusuhan yang jelas sampai pada tahap pertempuran, bahkan mereka  yang tidak menerima Islam dari awal.[2]

Justeru kami katakan, teladanilah kisah-kisah para rasul khususnya Nabi kita Muhammad SAW  agar kita dapat mengambil ibrah atau pengajaran daripada kisah-kisah tersebut.

Firman Allah SAW:

لَقَدْ كَانَ فِي قَصَصِهِمْ عِبْرَةٌ لِّأُولِي الْأَلْبَابِ

Maksudnya : Demi sesungguhnya, kisah Nabi-nabi itu mengandungi pelajaran yang mendatangkan iktibar bagi orang-orang yang mempunyai akal fikiran.

(Surah Yusuf:111)

Semoga Allah memberikan kita kefahaman yang jelas dalam memahami agama.

Wallahua’lam

[1] https://islamonline.net/لهجرة-النبوية-لماذا؟-كيف؟-ومتى؟/

Diakses pada 21 Julai 2023

[2] https://www.alukah.net/sharia/0/130447/دواعي-اختيار-مدينة-رسول-الله-عاصمة-لدولة-رسول-الله-صلى-الله-عليه-وسلم

Diakses pada 21 Julai 2023

Bertarikh: 27 Julai 2023 bersamaan 9 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *