#2434: Doa Akhir dan Awal Tahun Itu Bid’ah?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Betulkah doa akhir tahun dan doa awal tahun itu bid’ah?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Daripada Ummi al-Mu’minin Ummi Abdillah Aisyah R.Anha, beliau berkata: Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ أَحْدَثَ فِي أَمْرِنَا هَذَا مَا لَيْسَ مِنْهُ، فَهُوَ رَدٌّ ، وَفِيْ رِوَايَةٍ لِمُسْلِمٍ: مَنْ عَمِلَ عَمَلاً لَيْس عَلَيْهِ أمْرُناَ؛ فَهْوَ رَدُّ

Maksudnya: “Sesiapa yang mengadakan pembaharuan dalam urusan kami ini (agama) yang bukan berasal darinya, maka ianya tertolak.”

Manakala dalam (riwayat Muslim): “Barangsiapa yang beramal dengan amalan yang bukan berasal dari agama kami, maka amalan itu tertolak.”

Riwayat al-Bukhari (2550) dan Muslim (1718)

Imam Nawawi berkata: “Hadis ini sewajarnya dihafal dan dijadikan hujah bagi menghapuskan kemungkaran.”

Imam al-Nawawi telah memberikan pengertian bid’ah seperti berikut: “Bid’ah (بدعة) dibaca dengan baris bawah pada huruf ba’. Dari segi istilah syara’ bermaksud mencipta sesuatu amalan ibadah yang tidak wujud pada zaman Rasulullah. Bid’ah terbahagi kepada bid’ah yang baik dan bid’ah yang keji.”

Definisi bid’ah dalam perkara ibadat menurut Imam al-Syatibi:

طَرِيقَةٌ فِي الدِّينِ مُخْتَرَعَةٌ، تُضَاهِي الشَّرْعِيَّةَ يُقْصَدُ بِالسُّلُوكِ عَلَيْهَا الْمُبَالَغَةُ فِي التَّعَبُّدِ لِلَّهِ سُبْحَانَهُ

Maksudnya: “Suatu jalan dalam agama yang dibuat-buat (tanpa ada dalil) yang menyerupai syari’at (ajaran Islam), yang dimaksudkan ketika menempuhnya adalah untuk berlebih-lebihan dalam beribadah kepada Allah SWT.”

Menurut Syeikh Abdul Rahman al-Sa’di: “Hadis ini menunjukkan makna lafzi dan mafhum. Secara lafzi hadis ini menunjukkan, segala amal perbuatan yang diada-adakan dalam urusan beragama yang tidak ada dasarnya dalam al-Quran mahupun Sunnah akan ditolak. Bid’ah mungkin dalam bentuk perkataan atau fahaman seperti Jahmiyyah, Rafidhah, Mu’tazilah ataupun berbentuk bid’ah-bid’ah amaliah seperti melakukan ibadah yang tidak disyariatkan oleh Allah dan Rasul-Nya. Manakala makna mafhum hadis ini adalah siapa sahaja yang melakukan amalan berdasarkan ajaran Allah dan Rasul-Nya sama ada yang wajib, sunat mahupun mustahab, amalannya diterima Allah dan diberi balasan oleh-Nya.”

Imam al-Syafie berkata: “Apa yang diada-adakan dan menyanggahi al-Quran, sunnah, ijmak atau athar, maka ia adalah bid’ah yang sesat. Manakala perkara baharu yang baik yang diwujudkan dan tidak menyanggahi semua itu, maka ia adalah bid’ah yang terpuji.”

Kami nukilkan dari sebuah buku yang dikaryakan oleh Syeikh Abdullah Siddiq al-Ghumari Rahimahullah antara lain berkata: “Sesiapa yang mengadakan sesuatu yang baharu dalam urusan kami “yang ia bukannya dari urusan kami maka ia tertolak”, maka ia membawa maksud perkara baharu yang diadakan dua jenis:

Yang bukan daripada agama ini seperti perkara yang bercanggah dengan kaedah dan dalil agama maka ia adalah tertolak. Inilah yang dimaksudkan dengan bid’ah yang sesat.

Yang termasuk dalam agama ini disokong oleh prinsip agama atau disokong dengan dalil maka ia adalah betul dan diterima. Inilah yang dimaksudkan dengan sunnah yang baik.”

Syeikh al-Tahtawi berkata: “Hadis ini menjadi dalil bahawa ibadat seperti mandi, wudu’, puasa dan solat. Jika dilakukan bercanggah dengan syara’ maka ia ditolak.” (Lihat Syarh al-Arba’in al-Nawawiyyah, hlm. 46)

Berdasarkan kenyataan kami di atas, kami katakan bahawa sekadar niat berdoa tanpa menyatakan bahawa itu adalah sunnah pada setiap awal dan akhir tahun maka hukumnya diharuskan dan dibolehkan. 

Bahkan, kita diajar untuk berdoa apabila berada pada satu-satu masa dan ketika, sama ada pagi mahu pun petang. Begitu juga, pada waktu-waktu yang tertentu untuk kita berdoa. Justeru, kami katakan keumuman suruhan berdoa hendaklah dilebarkan pada semua keadaan tanpa menisbahkan kepada Nabi SAW jika Nabi SAW tidak melakukannya. Firman Allah SWT:

وَقَالَ رَبُّكُمُ ادْعُونِي أَسْتَجِبْ لَكُمْ

Maksudnya: “Dan Tuhan kamu berfirman: “Berdoalah kamu kepada-Ku nescaya Aku perkenankan doa permohonan kamu.”

Surah Ghafir (60)

Ayat di atas menunjukkan bahawa Allah SWT bukan sahaja memerintahkan kepada para hamba-Nya untuk beribadah bah- kan Dia juga memberikan jaminan bahawa doa tersebut akan dimustajabkan. Kata Khalid al-Rib’ie: Sangat ajaib buat umat ini, dikatakan kepada mereka: “Berdoalah kepada-Ku nescaya Aku akan mustajabkan.” Allah memerintahkan kepada mereka untuk berdoa, serta menjanjikan kepada mereka kemustajaban tanpa ada sebarang syarat antara keduanya. (Lihat al-Jami’ li Ahkam al- Quran, 15/292)

Kemudian Allah SWT berfirman dalam ayat yang sama:

إِنَّ الَّذِينَ يَسْتَكْبِرُونَ عَنْ عِبَادَتِي سَيَدْخُلُونَ جَهَنَّمَ دَاخِرِينَ

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang sombong takbur daripada beribadat dan berdoa kepada-Ku, akan masuk neraka Jahannam dalam keadaan hina.”

Surah Ghafir (60)

Ibn ‘Asyur di dalam tafsirnya menyatakan bahawa ayat ini menjadi dalil bahawa Allah SWT menuntut hamba-Nya untuk berdoa kepada-Nya berkaitan hajat-hajatnya serta ia menjadi dalil akan pensyariatannya dan perkara ini tidak mempunyai khilaf dalam kalangan umat Islam sendiri. (Lihat Tafsir Ibn ‘Asyur, 24/183)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَرنَا الْحَقَّ حَقًّا، وَارْزُقْنَا اتَّبَاعَهُ، وَأَرنَا الْبَاطِلَ بَاطِلا وَارْزُقْنَا اجْتِنَابَهُ، وَلَا تَجْعَلْهُ مُلْتَبِسًا عَلَيْنَا فَنَضِلَّ، وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Ya Allah, tunjukkanlah kepada kami kebenaran itu sebagai kebenaran, dan rezekikanlah kepada kami untuk mengikutinya. Dan tunjukkanlah kepada kami kebatilan itu sebagai kebatilan dan rezekikanlah kepada kami untuk menjauhinya, dan jangan jadikannya terkeliru atas kami sehingga kami sesat. Dan jadikanlah kami sebagai pemimpin bagi orang yang bertaqwa.” (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 3/75)

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *