Soalan:
Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin tahu apa akibatnya orang yang menisbahkan diri kepada bapa angkat di akhirat kelak? Terima kasih.
Jawapan:
Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.
Islam merupakan agama yang sangat mementingkan nasab keturunan kerana ia mempengaruhi banyak perkara, seperti pewarisan harta, hak perwalian, dan sebagainya. Oleh yang demikian, perbuatan menisbahkan diri kepada bapa angkat diharamkan oleh Islam, dan hukum ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:
مَّا جَعَلَ اللَّـهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ ۚ وَمَا جَعَلَ أَزْوَاجَكُمُ اللَّائِي تُظَاهِرُونَ مِنْهُنَّ أُمَّهَاتِكُمْ ۚ وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءَكُمْ أَبْنَاءَكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ قَوْلُكُم بِأَفْوَاهِكُمْ ۖ وَاللَّـهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي السَّبِيلَ (4) ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ اللَّـهِ ۚ فَإِن لَّمْ تَعْلَمُوا آبَاءَهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَمَوَالِيكُمْ ۚ وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا
Maksudnya: “(Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu ‘zihar’ kan itu sebagai ibu kamu; dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seagama dan sebagai maula-maula kamu.”
(Surah al-Ahzab: 4-5)
Imam al-Qurtubi menukilkan persepakatan ahli tafsir bahawa ayat ini diturunkan kepada Zaid bin Harithah. Para imam meriwayatkan bahawa Ibn ‘Umar R.Anhuma berkata: “Tidaklah kami memanggil Zaid bin Harithah kecuali Zaid bin Muhammad sehingga turun ayat ini.” (Lihat Mukhtasar Tafsir al-Qurtubi, 3/450)
Melihat kepada persoalan yang diajukan oleh saudara yang bertanya, terdapat beberapa dalil menyebutkan akibat-akibat yang akan diterima oleh mereka yang menisbahkan diri kepada selain bapanya di akhirat kelak. Antara akibat-akibat tersebut:
- Diharamkan baginya syurga
Ini berdasarkan hadith yang daripada Abi Bakrah dan Sa’d bin Abi Waqas RAnhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:
مَنِ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ، وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ غَيْرُ أَبِيهِ، فَالْجَنَّةُ عَلَيْهِ حَرَامٌ
Maksudnya: “Siapa yang mendakwa untuk menisbahkan kepada selain ayahnya, sedangkan dia mengetahui bahawa orang itu bukan ayahnya, maka haram ke atasnya untuk menghuni syurga.”
Riwayat al-Bukhari (6766), Muslim (63), Abu Daud (5113), Ibn Majah (2610) dan Ahmad (1553)
- Dilaknat oleh Allah SWT, para malaikat, dan manusia seluruhnya
Ini thabit dalam hadith yang diriwayatkan daripada Ali bin Abi Talib R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:
وَمَنِ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ أَوِ انْتَمَى إِلَى غَيْرِ مَوَالِيهِ فَعَلَيْهِ لَعْنَةُ اللَّهِ وَالْمَلاَئِكَةِ وَالنَّاسِ أَجْمَعِينَ
Maksudnya: “Dan sesiapa yang mendakwa bapa selain daripada bapa kandungnya atau kepunyaan orang lain selain daripada maulanya, maka laknat Allah, malaikat dan semua manusia ke atasnya.”
Riwayat al-Bukhari (3172), Muslim (1370), Ahmad (615), dan al-Tirmizi (2127)
- Tidak diterima urusan dan keadilannya
Ini berdasarkan sambungan daripada hadith Ali bin Abi Talib R.A di atas, Rasulullah SAW bersabda:
لاَ يَقْبَلُ اللَّهُ مِنْهُ يَوْمَ الْقِيَامَةِ صَرْفًا وَلاَ عَدْلاً
Maksudnya: “Allah tidak akan menerima daripadanya pada hari Kiamat sarf (mana-mana urusan) dan keadilan.”
Riwayat al-Bukhari (3172), Muslim (1370), Ahmad (615), dan al-Tirmizi (2127)
Maksud sarf (صَرْفٌ) dan keadilan (عَدْلٌ) di dalam hadith menurut majoriti adalah:
- Sarf (صَرْفٌ) adalah amalan-amalan fardhu.
- Keadilan (عَدْلٌ) adalah amalan-amalan sunat. (Lihat Fath al-Bari, 4/86)
- Diancam dengan kekufuran
لَيْسَ مِنْ رَجُلٍ ادَّعَى لِغَيْرِ أَبِيهِ – وَهُوَ يَعْلَمُهُ – إِلَّا كَفَرَ
Maksudnya: “Tidaklah seseorang lelaki itu mendakwa bapa selain daripada bapa kandungnya, sedangkan dia mengetahuinya, melainkan dia telah kufur.”
Riwayat al-Bukhari (3508) dan Muslim (61)
Al-Qastalani mengatakan bahawa ia bermaksud kufur nikmat. Beliau juga menukilkan daripada Abu Zarr bahawa maksud kufur di sini adalah kufur kepada Allah. (Lihat Irsyad al-Sari, 2/10)
Kesimpulan
Justeru, berdasarkan persoalan di atas, kami nyatakan bahawa sekiranya anak angkat tersebut diketahui siapa bapanya, hendaklah dinisbahkan kepada nama bapanya yang sebenar.
Antara akibat-akibat yang kami bawakan di atas adalah jelas berdasarkan dalil-dalil yang sahih, maka jelas bahawa terdapat ancaman yang amat dahsyat bagi mereka yang sengaja menisbahkan dirinya kepada selain bapa kandungnya.
Adapun bagi mereka yang tidak mengetahui nama bapa kandungnya atas sebab-sebab tertentu, maka boleh rujuk perinciannya dalam jawapan kami berkenaan nasab anak angkat di pautan berikut:
(https://maktabahalbakri.com/634-nasab-anak-angkat/#_ftnref7).
Kami akhiri dengan doa:
رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا
Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”
Surah al-Furqan (74)
Wallahu a‘lam
Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H