#634 Nasab Anak Angkat

Soalan

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya mengambil seorang anak angkat lelaki. Suami saya bernama Muhammad Azim. bolehkah saya meletakkan nasab nama anak angkat lelaki saya kepada Abdul ‘Azim?

Jawapan

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Anak angkat didefinisikan sebagai anak orang lain yang dipelihara seperti anak sendiri. Manakala Mengikut Seksyen 6(1) Akta Pendaftaran Pengangkatan 1952 (9), Akta 253, anak angkat bermaksud: Telah dalam jagaan dan dipelihara serta dididik oleh seseorang atau pasangan sebagai anaknya yang berterusan atau anak mereka secara anak angkat selama 2 tahun sebelum tarikh permohonan.[1]

Islam merupakan agama yang sangat mementingkan nasab sehinggakan diharamkan untuk menasabkan anak angkat kepada bapa angkatnya. Hal ini kerana Rasulullah SAW telah mengambil Zaid bin Harithah sebelum kenabian baginda dengan menjadikannya sebagai anak angkat sehinggakan Zaid digelar dengan Zaid bin Muhammad. Setelah itu, turunnya arahan daripada Allah SWT untuk menghapuskan budaya menasabkan anak angkat kepada bapa angkat sebagaimana firman-Nya:

مَّا جَعَلَ اللَّـهُ لِرَجُلٍ مِّن قَلْبَيْنِ فِي جَوْفِهِ ۚ وَمَا جَعَلَ أَزْوَاجَكُمُ اللَّائِي تُظَاهِرُونَ مِنْهُنَّ أُمَّهَاتِكُمْ ۚ وَمَا جَعَلَ أَدْعِيَاءَكُمْ أَبْنَاءَكُمْ ۚ ذَٰلِكُمْ قَوْلُكُم بِأَفْوَاهِكُمْ ۖ وَاللَّـهُ يَقُولُ الْحَقَّ وَهُوَ يَهْدِي السَّبِيلَ (4) ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِندَ اللَّـهِ ۚ فَإِن لَّمْ تَعْلَمُوا آبَاءَهُمْ فَإِخْوَانُكُمْ فِي الدِّينِ وَمَوَالِيكُمْ ۚ وَلَيْسَ عَلَيْكُمْ جُنَاحٌ فِيمَا أَخْطَأْتُم بِهِ وَلَـٰكِن مَّا تَعَمَّدَتْ قُلُوبُكُمْ ۚ وَكَانَ اللَّـهُ غَفُورًا رَّحِيمًا

Maksudnya: “(Diperintahkan dengan yang demikian kerana) Allah tidak sekali-kali menjadikan seseorang mempunyai dua hati dalam rongga dadanya; dan Ia tidak menjadikan isteri-isteri yang kamu “zihar” kan itu sebagai ibu kamu; dan Ia juga tidak menjadikan anak-anak angkat kamu, sebagai anak kamu sendiri. Segala yang kamu dakwakan mengenai perkara-perkara) yang tersebut itu hanyalah perkataan kamu dengan mulut kamu sahaja. Dan (ingatlah) Allah menerangkan yang benar dan Dia lah jua yang memimpin ke jalan yang betul. Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah. Dalam pada itu, jika kamu tidak mengetahui bapa-bapa mereka, maka panggilah mereka sebagai saudara-saudara kamu yang seugama dan sebagai ‘maula-maula’ kamu.”

(Surah al-Ahzab: 4-5)

Imam al-Qurtubi berkata: “Ahli tafsir telah bersepakat bahawa ayat ini diturunkan kepada Zaid bin Harithah. Para imam meriwayatkan bahawa Ibn Umar berkata, ‘Tidaklah kami memanggil Zaid bin Harithah kecuali Zaid bin Muhammad sehingga turun ayat ini.” (Lihat Mukhtasar Tafsir al-Qurtubi, 3/450)

Syeikh al-Maraghi berkata, “Hal ini dianggap lebih adil menurut hukum Allah dan lebih benar daripada kamu menasabkannya dengan nama orang yang mengambilnya sebagai anak angkat. (Lihat Tafsir al-Maraghi, 21/128)

Pada frasa (ادْعُوهُمْ لِآبَائِهِمْ هُوَ أَقْسَطُ عِنْدَ اللَّهِ) yang memberi maksud “Panggilah anak-anak angkat itu dengan ber”bin”kan kepada bapa-bapa mereka sendiri; cara itulah yang lebih adil di sisi Allah.” Dr. Wahbah al-Zuhaili berkata, “Ia lebih adil bahkan lebih berhak di sisi Allah. Maka keadilan yang diputuskan dan hak yang mewajibkan nisbah anak kepada bapanya yang hakiki dan bukan bapanya yang palsu. Ini kerana, Islam adalah agama yang sebenar dan adil. Unsur yang asing daripada keluarga samada lelaki atau wanita tidak bersamaan dan sesuai secara qat’ie pada akhlak dan agama. Ini sudah barang tentu akan menatijahkan kerosakan dan kemungkaran kepadanya. Hal ini tidaklah menyebabkan Islam menegah untuk mentarbiyah anak pungut, mendidik dan mengajarnya. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 10/7248-7249)

Begitu juga dengan beberapa larangan daripada sunnah, Daripada Abi Hurairah RA, sabda Rasulullah SAW:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ أَدْخَلَتْ عَلَى قَوْمٍ مَنْ لَيْسَ مِنْهُمْ، فَلَيْسَتْ مِنَ اللَّهِ فِي شَيْءٍ، وَلَنْ يُدْخِلَهَا اللَّهُ جَنَّتَهُ، وَأَيُّمَا رَجُلٍ جَحَدَ وَلَدَهُ، وَهُوَ يَنْظُرُ إِلَيْهِ، احْتَجَبَ اللَّهُ مِنْهُ، وَفَضَحَهُ عَلَى رُءُوسِ الْأَوَّلِينَ وَالْآخِرِينَ

Maksudnya: “Mana-mana perempuan yang memasukkan kepada satu kaum sedangkan ia bukan daripada mereka, maka tiadalah daripada Allah sesuatu pun. Dan Allah pasti tidak memasukkannya (perempuan tersebut) ke syurga. Mana-mana lelaki yang mengingkari anaknya sedangkan dia mengetahui hakikatnya, maka Allah akan menghijabkannya daripada-Nya dan menghinanya di khalayak mereka yang terdahulu hingga akhirnya.”

Riwayat Abu Dawud (2263), al-Nasa’ie, (3481) dan Ibn Hibban (4108)

Begitu juga hadith daripada Abi Bakrah dan Sa’d bin Abi Waqas RAnhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنِ ادَّعَى إِلَى غَيْرِ أَبِيهِ، وَهُوَ يَعْلَمُ أَنَّهُ غَيْرُ أَبِيهِ، فَالْجَنَّةُ عَلَيْهِ حَرَامٌ

Maksudnya: Siapa yang mendakwa untuk menisbahkan kepada selain ayahnya, sedangkan dia mengetahui bahawa orang itu bukan ayahnya, maka haram ke atasnya untuk menghuni syurga.

Riwayat al-Bukhari (6766), Muslim (63), Abu Daud (5113), Ibn Majah (2610) dan Ahmad (1553)

Berdasarkan nas-nas di atas, jelaslah menunjukkan larangan keras untuk menasabkan anak angkat kepada bapa angkatnya, tetapi perlu dinasabkan kepada bapanya yang sebenar. Sekiranya tidak diketahui siapa bapanya, maka hendaklah dinasabkan dengan beberapa kaedah:

  • Dinasabkan kepada Abdullah atau mana-mana nama yang dimulakan dengan Abdu seperti “bin Abdul Ghani” “bin Abdul Rahman” “bin Abdul Latif”
  • Dinasabkan kepada ibunya. Nasab anak sabit kepada ibunya dalam semua keadaan samada kelahiran syar’ie atau tidak seperti ‘Isa bin Maryam, Muhammad bin bintu Syafie.[2]
  • Nasab anak dinisbahkan kepada ayahnya seperti “Ziyad bin Abihi”[3]

Kesimpulan

Justeru, berdasarkan persoalan di atas, kami nyatakan bahawa, sekiranya anak angkat tersebut diketahui siapa bapanya, hendaklah dinasabkan kepada nama bapanya yang sebenar. Namun begitu, sekiranya tidak diketahui siapa sebenarnya nama bapa kepada anak angkat tersebut, maka dibolehkan untuk menasabkan dengan nama Abdullah ataupun mana-mana daripada Nama Asma Allah al-Husna yang diletakkan Abdu didepannya seperti Abdul Rahman, Abdul Majid dan seumpamanya selagimana nama tersebut tidak menyerupai nama bapa angkatnya. Jikalau nama bapa angkat tersebut bernama Abdullah, tidak boleh menasabkan dengan nama Abdullah kerana ia seolah-olah menasabkan kepada bapa angkatnya, akan tetapi perlu diletakkan dengan nama lain seperti Abdul Rahman dan seumpamanya.

Sekiranya nama bapa angkat tersebut Muhammad Azim, maka dibolehkan untuk menasabkan anak angkat tersebut kepada Abdul ‘Azim (عبد العظيم) kerana al-Azim merupakan salah satu daripada Nama Asma Allah al-Husna. Hal ini kerana Muhammad Azim menunjukkan perbezaan dengan nama Abdul ‘Azim dan ia tidak merujuk kepada bapa angkatnya Muhammad Azim.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahu a’lam

Bertarikh: 4 Mac 2022 bersamaan 1 Syaaban 1443H

 

[1] Lihat https://www.malaysia.gov.my/portal/subcategory/1654?language=my

[2] Nama sebenarnya Abu Muhammad Ahmad bin Muhammad. Ibunya Bintu al-Syafie adalah anak perempuan Imam al-Syafie yang bernama Zainab.

[3] Ziyad bin Ubaid al-Thaqafi dan Abu Sufyan menisbahkan Ziyad kepada dirinya sebagai anaknya kecuali tidak diisytiharkannya. Pada zaman Muawiyah, beliau menisbahkan Ziyad kepada ayahnya dan digelar dengan “Ziyad bin Abihi”

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *