#2448: Solat Jamak Bagi Pengantin

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ seri saya ingin bertanya, anak saya in sya Allah akan bernikah nanti, kami ambil pakej perkahwinan dimana segala aturcara telah ditetapkan dari pukul 10 pagi sampai ke asar. Soalan saya, adakah pasangan pengantin ini boleh melakukan solat jamak takhir. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sesungguhnya solat adalah kewajipan yang diwajibkan bagi orang-orang yang beriman. Oleh itu, seorang mukmin wajib memelihara solatnya kerana ia merupakan salah satu rukun daripada rukun-rukun islam dan merupakan tiang agama. Selain itu, ia merupakan ciri yang membezakan seorang Muslim dengan yang lain.

Firman Allah SWT :

حَافِظُوا عَلَى الصَّلَوَاتِ وَالصَّلَاةِ الْوُسْطَىٰ وَقُومُوا لِلَّهِ قَانِتِينَ

Maksudnya: Peliharalah kamu (kerjakanlah dengan tetap dan sempurna pada waktunya) segala sembahyang fardu, khasnya sembahyang Wusta (sembahyang Asar), dan berdirilah kerana Allah (dalam sembahyang kamu) dengan taat dan khusyuk.

(Surah al-Baqarah: 238)

Pada asasnya, solat secara  jamak  mahupun secara  qasar  termasuk dalam bentuk rukhsah atau kemudahan yang diberikan kepada orang yang bermusafir ketika bersolat. Justeru, dia boleh melakukan solat yang 4 rakaat, iaitu Zuhur, Asar dan Isyak dengan 2 rakaat sahaja. Begitu juga dia boleh menghimpunkan (secara jamak) dua solat ketika menunaikannya iaitu antara solat Zuhur dan Asar dan antara solat Maghrib dan Isyak.

Daripada Ibn Abbas R.Anhuma, katanya:

كَانَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَجْمَعُ بَيْنَ صَلاَةِ الظُّهْرِ وَالعَصْرِ، إِذَا كَانَ عَلَى ظَهْرِ سَيْرٍ وَيَجْمَعُ بَيْنَ المَغْرِبِ وَالعِشَاءِ

Maksudnya: Rasulullah SAW pernah menjamakkan solat Zohor dan Asar apabila Baginda dalam perjalanan, dan Baginda turut menjamakkan antara solat Maghrib dan Isyak.

Riwayat al-Bukhari (1107)

Ibn Daqiq al-‘Aid menyebutkan bahawa para ulama’ tidak berbeza pendapat berkenaan ‘illah atau sebab dibolehkan jamak antara dua solat fardhu adalah permusafiran. Akan tetapi, Mazhab Hanafi mengkhususkan musafir itu antara Arafah dan Muzdalifah sahaja, maka ‘illah mereka berubah daripada permusafiran kepada nusuk haji. (Lihat Ihkam al-Ihkam Syarh Umdah al-Ahkam, 1/329)

Riwayat Muslim (1605)

Keadan-keadaan yang mengharuskan jamak solat

  •     Ketika berada di Arafah (Bagi yang menunai haji)
  •     Permusafiran
  •     Sakit
  •     Hujan Yang membasahi baju
  •     Dalam keadaan ketakutan

Ulama bersepakat tidak dibolehkan untuk melakukan jamak solat kecuali dengan sebab-sebab yang telah dinyatakan di atas.

Menjawab bagi persoalan di atas, dalam isu ini kami katakan kesibukan dengan majlis perkahwinan bukanlah termasuk dalam perkara-perkara yang diberi rukhsah oleh syara’ untuk melakukan solat jamak dan ia tidak menghalang pasangan pengantin menunaikan solat pada waktunya. Namun sekiranya, majis perkahwinan itu dilangsungkan di tempat yang jaraknya lebih dari dua marhalah daripada tempat tinggal pengantin maka dalam keadaan tersebut dibolehkan untuk melakukan jamak solat.

Justeru suka kami nasihati supaya, jagalah solat walau sesibuk mana pun kita dan di mana sahaja kita berada kerana solat itu merupakan tanggungjawab harian yang mesti ditunaikan oleh seluruh kaum muslimin. Ingatlah ancaman yang disebutkan dalam al-Quran tentang orang yang lalai mendirikan kewajipan solat seperti firman Allah SWT:

فَوَيْلٌ لِّلْمُصَلِّينَ ‎﴿٤﴾‏ الَّذِينَ هُمْ عَن صَلَاتِهِمْ سَاهُونَ

Maksudnya: maka kecelakaan besar bagi orang-orang yang mengerjakan sembahyang – (laitu) mereka yang berkeadaan lalai daripada menyempurnakan sembahyangnya.

(Surah al-Ma’un: 4-5)

Moga kita semua termasuk dalam golongan yang mendirikan solat. Marilah sama-sama kita berdoa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.”

Wallahua’lam

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *