#2464: Muharram Dinamakan Sebagai Bulan Allah?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada terbaca bahawa Muharram adalah bulan Allah. Apakah maksudnya? Benarkah ia sebagai bulan Allah dan kenapa diberi nama sebegitu?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT yang berikut:

إِنَّ عِدَّةَ الشُّهُورِ عِنْدَ اللَّهِ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا فِي كِتَابِ اللَّهِ يَوْمَ خَلَقَ السَّمَاوَاتِ وَالْأَرْضَ مِنْهَا أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ ۚ ذَٰلِكَ الدِّينُ الْقَيِّمُ ۚ فَلَا تَظْلِمُوا فِيهِنَّ أَنْفُسَكُمْ

Maksudnya: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah SWT adalah sebanyak dua belas bulan sebagaimana yang terdapat di dalam kitabullah (Lauh al-Mahfuz) pada hari diciptakan langit-langit dan juga bumi. Di antaranya (bulan-bulan tersebut) adalah empat bulan haram. Demikian itulah agama yang lurus maka janganlah kalian menzalimi diri kalian di dalam bulan-bulan tersebut.

Surah al-Taubah (36)

Rasulullah SAW telah pun memberikan penjelasan berkenaan dengan empat bulan haram tersebut dengan sabda baginda:

السَّنَةُ اثْنَا عَشَرَ شَهْرًا مِنْهَا، أَرْبَعَةٌ حُرُمٌ، ثَلاَثٌ مُتَوَالِيَاتٌ، ذُو الْقَعْدَةِ وَذُو الْحِجَّةِ وَالْمُحَرَّمُ وَرَجَبُ مُضَرَ الَّذِي بَيْنَ جُمَادَى وَشَعْبَانَ

Maksudnya: Dalam setahun itu ada dua belas bulan dan di antaranya adalah empat bulan haram. Tiga bulan yang berturut-turut iaitu Zulkaedah, Zulhijjah, dan Muharram serta bulan Rejab yang berada di antara Jamadil Akhir dan juga Syaaban.

Riwayat al-Bukhari (184)

Justeru, dua nas di atas jelas menunjukkan bahawa bulan Muharram dimuliakan kerana ia termasuk dalam kalangan empat bulan haram yang mana diharamkan untuk berperang pada bulan-bulan haram serta ianya sangat dihormati dari sudut amalan soleh di dalamnya menjadi besar ganjarannya manakala dosa dan maksiat juga turut menjadi lebih besar di dalam bulan-bulan haram.

Muharram Dinamakan dengan Bulan Allah

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan hadith daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ أَفْضَلُ الصِّيَامِ بَعْدَ رَمَضَانَ شَهْرُ اللَّهِ الْمُحَرَّمُ

Maksudnya: “Sebaik-baik puasa selepas puasa Ramadhan adalah puasa dalam bulan Allah, iaitu bulan Muharram.”

Riwayat Muslim (1163)

Imam al-Nawawi menjelaskan: Hadith ini jelas menunjukkan bahawa ia (bulan Muharram) adalah bulan yang paling afdhal untuk berpuasa. Sebelum ini telah disebutkan jawapan kepada persoalan tentang Nabi SAW yang membanyakkan puasa dalam bulan Sya’ban dan bukannya Muharram. Kami telah menyebut bahawa terdapat dua jawapan untuk persoalan ini. Pertama, boleh jadi Rasulullah SAW hanya mengetahui kelebihannya (iaitu puasa di bulan Muharram) ketika di penghujung usia Baginda. Kedua, boleh jadi Rasulullah SAW tidak berpuasa kerana keuzuran disebabkan musafir, sakit atau selainnya. (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 8/238)

Dalam menjawab persoalan di atas, kami nukilkan di sini kenyataan Imam Ibn Rajab al-Hanbali yang menyebut: “Sesungguhnya Nabi SAW telah menamakan bulan Muharram sebagai bulan Allah. Penisbahannya kepada Allah menunjukkan kemuliaan dan kelebihannya. Sesungguhnya Allah tidak menisbahkan kepada diri-Nya melainkan makhluk-makhluk-Nya yang istimewa. Ketika mana bulan ini mendapat status istimewa dengan dinisbatkan kepada Allah, puasa pula merupakan amalan yang dinisbatkan kepada Allah. Sesungguhnya puasa adalah milik Allah. Amalan yang mempunyai sifat yang sama dengan keistimewaan bulan ini, iaitu dinisbahkan kepada Allah, ialah puasa. (Lihat Lata’if al-Ma’arif, hlm. 36)

Akhir kalam, sebagai mukadimah dalam bulan takwim Hijri, maka sewajarnya kita mengisi bulan Muharram dengan pelbagai acara kebaikan terutamanya ibadat seperti puasa pada 9 & 10 Muharram dan juga ibadat-ibadat yang lain.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *