Soalan:
Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada dengar orang berkata sebab hancurnya umat ini dengan banyaknya maksiat. Adakah ini benar?
Jawapan:
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.
Tanpa dinafikan apabila mereka lagha, berfoya-foya dan banyak melakukan maksiat boleh menyumbang ke arah kebinasaan. Firman Allah SWT:
وَإِذَا أَرَدْنَا أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا فَفَسَقُوا فِيهَا فَحَقَّ عَلَيْهَا الْقَوْلُ فَدَمَّرْنَاهَا تَدْمِيرًا
Maksudnya: “Dan apabila sampai tempoh Kami hendak membinasakan penduduk sesebuah negeri, Kami perintahkan (lebih dahulu) orang-orang yang melampau dengan kemewahan di antara mereka (supaya taat), lalu mereka menderhaka dan melakukan maksiat padanya; maka berhaklah negeri itu dibinasakan, lalu kami menghancurkannya sehancur-hancurnya.”
Surah al-Isra’ (16)
Al-Syaukani berkata: Firman Allah, ‘وَإِذَا أَرَدْنَا أَن نُّهْلِكَ قَرْيَةً أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا’, Yakni Kami akan perintahkan mereka untuk melakukan ketaatan dan kebaikan, namun mereka melakukan maksuat dan melakukan kejahatan. Terdapat pendapat yang menyebut bahawa, yang dimaksudkan dengan ‘أَمَرْنَا مُتْرَفِيهَا’ adalah, yakni Kami akan memperbanyakkan orang-orang yang melakukan kefasikan di negeri tersebut. Makna ‘مُتْرَفِيهَا’ adalah orang-orang yang mendapat kenikmatan, yang terlena dalam kenikmatan mereka. Mereka adalah orang yang bertindak dengan sewenang-wenangnya dan juga penguasa yang zalim serta orang-orang kaya yang fajir. (Lihat Fath al-Qadir, 4/53)
Syeikh Abdul Aziz al-Tarifi berkata, “Apabila telah mati segala maruah, maka berhaklah umat tersebut mengalami kehilangan dan kejatuhan.”
Dalam sebuah athar, daripada Ibn ‘Abbas R.Anhuma, katanya:
وَلَا فَشَا الزِّنَا فِي قَوْمٍ إِلَّا كَثُرَ فِيهِمُ الْمَوْتُ
Maksudnya: “Tidaklah banyaknya perzinaan pada satu-satu kaum kecuali akan banyaklah pada kaum tersebut kematian.” (Lihat Jami’ al-Usul, 11/271; al-Targhib wa al-Tarhib oleh al-Munziri, 2/569)
Justeru, siapa yang menyediakan ke arah sebab-sebab zina nescaya Allah SWT akan mudahkan sebab-sebab binasa.
Membaca kisah dan tarikh umat-umat terdahulu sama ada daripada al-Quran atau hadith menunjukkan apabila mereka samseng dan takabbur di muka bumi serta bertindak zalim menindas golongan miskin dan rakyat jelata. Maka, mereka berakhir dengan kehinaan dan kehancuran serta buruk akibatnya dengan azab Allah SWT.
Semoga Allah SWT selamatkan kita dari sifat-sifat yang mazmumah yang membawa kepada maksiat. Kami akhiri dengan doa:
اللَّهُمَّ إنَّا نَسْأَلُكَ الْعَافِيَةَ فِي الدُّنْيَا وَالآخِرَةِ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الْعَفْوَ وَالْعَاقِيَةَ فِي دِيْنِنَا وَدُنْيَانَا وَأَهْلِنَا وَمَالِنَا، اللَّهُمَّ اسْتُرْ عَوْرَاتِنَا وَآمِنْ رَوْعَاتِنَا ، اللَّهُمَّ احْفَظْنَا مِنْ بَيْنَ أَيْدِيْنَا وَمِنْ خَلْفِنَا وَعَنْ أَيْمَانِنَا وَعَنْ شَمَائِلَنَا وَمَنْ فَوْقِنَا ، وَنَعُوذُ بِعَظَمَتِكَ أَنْ نُغْتَالَ مِنْ تَحْتِنَا
Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) di dunia dan akhirat. Ya Allah, sesungguhnya kami memohon pada-Mu keampunan dan keselamatan (‘afiyat) dalam agama, dunia, keluarga dan harta kami. Ya Allah, tutupilah aib kami dan berilah ketenteraman di hati kami. Ya Allah, jagalah kami dari depan, belakang, kanan, kiri, dan atas kami. Kami memohon perlindungan dengan keagungan-Mu agar tidak disambar dari bawah kami.”
Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H