#2477: Hukum Membuka Kain Kafan di Bahagian Muka dan Tidak Membuka Tali Kain Kafan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apakah hukum membuka kain kafan dibahagian muka jenazah dan membiarkan hidung atau muka jenazah menyentuh tanah. Apakah hukum sekiranya tali kain kafan tidak dibuka ataupun terlupa dibuka. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, kita dituntut untuk menyegerakan pengurusan jenazah yang meliputi pemandian, mengkafankan, mensolatkan, serta pengebumian. Ini seperti yang dinyatakan dalam sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah R.A. bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَسْرِعُوا بِالْجَنَازَةِ فَإِنْ تَكُ صَالِحَةً فَخَيْرٌ تُقَدِّمُونَهَا عَلَيْهِ وَإِنْ تَكُنْ غَيْرَ ذَلِكَ فَشَرٌّ تَضَعُونَهُ عَنْ رِقَابِكُمْ

Maksudnya: “Segerakanlah dengan jenazah. Sekiranya dia merupakan jenazah yang soleh, nescaya dia merupakan suatu kebaikan yang kamu hantarkan ia padanya. Namun sekiranya dia tidak soleh, maka itu suatu keburukan yang kamu pikul di atas bahu-bahu kamu.”

Riwayat al-Bukhari (1315) dan Muslim (944)

Menyegerakan pengebumian jenazah di dalam hadith di atas termasuk proses memandikan, mengkafankan, mengangkat serta mengusungnya ke tanah perkuburan. (Lihat Fatawa Syeikh Ilisy, 1/155)

Justeru, pada asasnya, jenazah hendaklah dilakukan ke atasnya empat perkara. Pertama, memandikan. Kedua, mengkafankan. Ketiga, menyembahyangkan iaitu melaksanakan solat jenazah ke atasnya. Keempat, mengebumikannya. Ini adalah asas fardu kifayah menurut ijma’ para ulama’ tanpa khilaf. (Lihat al-Majmu’ Syarh al-Muhazzab, 5/104)

Sesungguhnya tiada satu pun yang akan dibawa ke liang kubur melainkan kain kafan dan wangi-wangian pada kain kafan, sama ada mereka yang mati pada zaman dahulu mahu pun pada zaman sekarang. Ini tentunya menjadi iktibar dan nasihat berharga bagi setiap orang yang mahu mengambil pelajaran. Firman Allah SWT:

وَلَقَدْ جِئْتُمُونَا فُرَادَىٰ كَمَا خَلَقْنَاكُمْ أَوَّلَ مَرَّةٍ وَتَرَكْتُم مَّا خَوَّلْنَاكُمْ وَرَاءَ ظُهُورِكُمْ ۖ وَمَا نَرَىٰ مَعَكُمْ شُفَعَاءَكُمُ الَّذِينَ زَعَمْتُمْ أَنَّهُمْ فِيكُمْ شُرَكَاءُ ۚ لَقَد تَّقَطَّعَ بَيْنَكُمْ وَضَلَّ عَنكُم مَّا كُنتُمْ تَزْعُمُونَ

Maksudnya:Dan demi sesungguhnya, kamu tetap datang kepada Kami (pada hari kiamat) dengan bersendirian, sebagaimana Kami jadikan kamu pada mulanya; dan kamu tinggalkan di belakang kamu apa yang telah kami kurniakan kepada kamu; dan Kami tidak melihat beserta kamu penolong-penolong yang kamu anggap dan sifatkan bahawa mereka ialah sekutu-sekutu Allah dalam kalangan kamu. Demi sesungguhnya, telah putuslah perhubungan antara kamu (dengan mereka), dan hilang lenyaplah daripada kamu apa yang dahulu kamu anggap dan sifatkan (memberi faedah dan manfaat).”

(Surah al-An’am: 94)

Hukum Tidak Membuka Ikatan Pada Kain Kafan Setelah Dimasukkan ke dalam Kubur

Kafan bermaksud suatu yang membalut atau menutup badan jenazah yang meninggal dunia. Secara umumnya, mengkafankan jenazah dengan kain putih adalah dituntut di sisi syarak. Ini berdasarkan sebuah hadis yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

الْبَسُوا مِنْ ثِيَابِكُمُ الْبَيَاضَ فَإِنَّهَا خَيْرُ ثِيَابِكُمْ وَكَفِّنُوا فِيهَا مَوْتَاكُمْ

Maksudnya: “Pakailah dari pakaian kamu yang berwarna putih, sesungguhnya ia merupakan pakaian terbaik kamu dan kafankanlah orang yang meninggal dunia dari kalangan kamu dengan warna putih.” 

Riwayat Abu Dawud (4061)

Kata perintah dalam hadis tersebut membawa kepada hukum sunat. Ini kerana, Rasulullah SAW ada memakai pakaian-pakaian yang tidak berwarna putih dalam keadaan yang banyak bagi menjelaskan keharusannya.

Berkenaan dengan hukum membuka ikatan pada kain kafan, disunnahkan untuk membuka simpulan kain kafan selepas dimasukkan ke dalam kubur, kerana kain kafan ini diikat supaya kain kafan itu tidak terbuka, dan pabila dia telah dimasukkan ke dalam kubur, maka tujuan ia diikat itu sudah tiada lagi. 

Ibn Qudamah berkata dalam al-Mughni: “Berkenaan dengan membuka simpulan di kepala dan kakinya, adalah mustahab, kerana mereka diikat supaya kain kafan itu tidak terbuka, tetapi itu tidak lagi menjadi kebimbangan apabila dia telah dikebumikan. Diriwayatkan bahawa ketika Nabi saw meletakkan Nu’aim ibn Mas’ud al-Asyja’i di dalam kubur, baginda mencabut tali dengan menggunakan giginya. Dan riwayat yang serupa telah diriwayatkan daripada Ibn Mas’ud dan Samurah bin Jundub.” (Lihat al-Mughni, 2/191)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin berkata: Berkenaan dengan membuka simpulan pada kain kafan, terdapat riwayat daripada ‘Abdullah bin Mas’ud R.A yang berkata: 

إذَا أَدْخَلْتُمْ المَيِّتَ القَبْرَ فَحُلُّوا العُقَدَ

Maksudnya: “Apabila kamu masukkan jenazah ke dalam kubur, maka lepaskanlah tali ikatan.”

Berkenaan dengan membuka wajah si mati sama sekali, tidak ada ada asal padanya. Yang paling banyak diriwayatkan mengenainya jika ia sahih ialah riwayat ‘Umar ibn al-Khattab R.A yang berkata: 

إذَا جَعَلْتُمُونِي فِي اللَّحْدِ فَأَفْضُوا بِخَدِّي إلَى الْأَرْضِ

Maksudnya: “Apabila aku mati dan kamu masukkan aku ke dalam kuburku, biarkan pipiku menyentuh tanah.” (Lihat Majmu’ Fatawa, 17/183)

Syeikh Abdul Aziz bin Baz berkata: “Yang disyariatkan adalah dengan menutupi wajah dan seluruh tubuh mayat apabila diletakkan dalam kubur, tidak ada bahagian tubuh yang dibuka daripadanya, malah kain kafan akan menutupi seluruh badannya, dari kepala hingga ke kaki. Ini adalah Sunnah, dan Rasulullah SAW telah mengamalkannya dan mengajarkannya. Oleh itu, tidak boleh membuka wajahnya. Apa yang dipercayai oleh sesetengah orang awam bahawa wajahnya boleh dibiarkan terdedah adalah salah. Yang wajib adalah menutupi seluruhnya, kecuali jika si mati itu mati dalam keadaan ihram, maka kepala dan wajahnya tidak ditutupi, kerana ketika Rasulullah SAW melihat seseorang meninggal dunia dalam keadaan Ihram, baginda SAW bersabda: ‘Kafanilah jenazah itu dengan dua pakaian ihramnya, dan janganlah menutup kepala dan wajahnya, kerana dia akan dibangkitkan pada Hari Kiamat dengan bertalbiyah.’ Jadi, jika seseorang meninggal dalam keadaan Ihram, kepala dan wajahnya tidak ditutupi. Namun, jika itu seorang wanita, wajahnya dan kepala harus ditutup, kerana tidak masalah untuk seorang wanita untuk menutupi wajahnya walaupun dia dalam keadaan Ihram. Tetapi untuk lelaki, tidak boleh. Jika dia meninggal dalam keadaan Ihram, dia akan dimandikan dan dikafankan, tetapi wajahnya dan kepala tidak ditutupi.” (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 14/83)

Syeikh Khalid bin Abdullah al-Muslih ketika ditanya soalan begini, beliau menjawab: “Sunnah apabila mayat dimasukkan ke dalam kuburnya adalah dengan membuka tali-tali yang ada pada kain kafan, agar tidak menyebabkan kesempitan pada tubuhnya yang akan reput akibat kematian. Namun, mengenai membuka wajahnya, ini tidak disunahkan. Wallahua’lam.

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan kepada persoalan di atas, kami katakan bahawa disunatkan membuka tali kain kafan pada jenazah kerana pada asalnya ia diikat untuk mengelakkan kain kafan tersebut terbuka. Apabila jenazah telah dimasukkan ke dalam kubur, maka keperluan tersebut telah hilang. Selain itu, ia juga merupakan sunnah yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah SAW sebagaimana hujjah yang telah kami sebutkan di atas.

Manakala berkenaan membuka mukanya, maka kebanyakan ulama’ menyatakan bahawa ia tidak disunnahkan dan tidak ada riwayat yang menceritakan mengenainya melainkan riwayat daripada Umar bin al-Khattab sekiranya riwayat itu benar.

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Wallahua`lam.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةٌ ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةٌ ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

Surah al-Baqarah (201)

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *