#2476: Cuka Arak (Wine Vinegar)

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Jika tidak keberatan, bolehkah ustaz huraikan tentang wine vinegar yang ada dalam vinegar. Adakah ia halal ataupun tidak? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu definisi cuka arak atau dipanggil juga sebagai wine vinegar. Britannica Dictionary mendefinisikan wine vinegar sebagai sejenis cuka yang diperbuat daripada wine (arak).[1]

Ringkasnya, cuka wain sama ada diperbuat daripada wain merah atau wain putih. Tukang masak menggunakan cuka untuk banyak tujuan seperti; penjerukan, memerap daging, membuat sos dan sebagai bahan dalam pencuci mulut tertentu. Cuka wain merah biasanya digunakan di negara-negara Mediterranean, menjadi makanan ruji biasa di kebanyakan rumah Perancis. Terdapat beberapa kualiti cuka wain merah yang berbeza. Lebih lama cuka wain matang, lebih baik ia. Kebanyakan wain merah boleh matang sehingga dua tahun. Cuka wain putih pula ialah cuka sederhana masam yang digunakan oleh tukang masak Perancis untuk membuat sos Hollandaise dan Bearnaise, vinaigrette, sup dan rebusan. Ia juga merupakan asas yang sangat baik untuk cuka buah atau herba buatan sendiri.[2]

Selain itu, perbezaan yang paling ketara antara cuka wain putih dan cuka putih ialah cuka wain putih dibuat dengan menapai wain. Sebaliknya, cuka putih dibuat daripada air dan asid asetik, dengan pencairan lima hingga sepuluh peratus asid kepada air.[3]

Menurut Norliah binti Sajuri daripada Cawangan Syariah, Bahagian Penyelidikan JAKIM, pada masa dahulu, cuka terjadi hasil daripada reputan minuman anggur (wain). Anggur melalui proses penapaian akan menjadi wain dan penapaian wain dengan asid asetik akan menghasilkan cuka. Dengan kata lain wine vinegar ini terhasil daripada penapaian asid wain segar. Apabila kandungan asid asetik menjadi tinggi, wain akan berubah menjadi cuka. Ini boleh berlaku sekiranya wain didedahkan kepada udara yang banyak yang menyebabkan pertumbuhan Acetobacter. Acetobacter adalah bakteria yang bertanggungjawab mengubah etanol menjadi asid asetik. Perubahan ini juga boleh dicapai dengan menambah kultur Acetobacter ke dalam wain. Cuka dihasilkan melalui dua peringkat proses penapaian. Pertama melibatkan penapaian gula kepada etanol oleh yis, biasanya dari spesies Saccharomyces dan peringkat kedua melibatkan proses oksidasi etanol oleh bakteria, biasanya dari spesies Acetobacter.

Proses penapaian asid asetik ialah proses biokimia di mana spesies Acetobacter mengoksidakan etanol kepada asid asetik. Dua genera bakteria asid asetik yang biasa digunakan di dalam penghasilan cuka ialah Acetobacter dan Glucunobacter. Untuk menukarkan wain kepada cuka wain dalam skala industri, wain akan dibenarkan berubah di dalam reaktor yang mengandungi strain bakteria asid asetik. Reaktor ini akan mempunyai sistem pengudaraan yang membenarkan pengedaran oksigen yang maksimum. Ini kerana oksigen amat diperlukan untuk bakteria mengoksidasikan etanol kepada asid.

Penghasilan cuka pada mulanya adalah melalui proses semula jadi penapaian wain atau arak dan ia juga merupakan kerja sampingan bagi pengusaha produk arak. Bagaimanapun, melalui perkembangan zaman, proses penghasilan cuka telah menjadi semakin jelas dan diusahakan secara komersial dan ia telah menjadi pekerjaan yang induk yang berpisah daripada pekerjaan menghasilkan arak. Secara ringkas bagi penghasilan cuka proses pertama ialah membuat wain; kedua, menggunakan asid asetik untuk menapai wain tersebut, dan akhirnya menghasilkan cuka.[4]

Dalam menjawab soalan di atas, pertamanya, jika arak berubah menjadi cuka dengan sendirinya tanpa sebarang rawatan/proses tertentu, maka tidak ada khilaf dalam kalangan ulama  berkenaan keharusan menggunakan cuka yang terhasil daripada arak itu. Begitu juga jika ia berubah menjadi cuka dengan sebab dipindahkan dari tempat yang terkena sinaran matahari ke tempat yang teduh atau sebaliknya, menurut majoriti fuqaha.

Ini kerana telah sabit dalam hadith bahawa Nabi SAW memakan cuka dan memujinya sebagaimana hadith yang diriwayatkan oleh Imam Muslim daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ سَأَلَ أَهْلَهُ الْأُدُمَ، فَقَالُوا: مَا عِنْدَنَا إِلَّا خَلٌّ، فَدَعَا بِهِ، فَجَعَلَ يَأْكُلُ بِهِ، وَيَقُولُ: نِعْمَ الْأُدُمُ الْخَلُّ، نِعْمَ الْأُدُمُ الْخَلُّ

Maksudnya: “Nabi SAW meminta kepada isterinya lauk. Mereka berkata: ‘Kami tidak mempunyai lauk melainkan hanya cuka.’ Lalu Baginda memintanya dan memakan dengannya serta bersabda: ‘Sebaik-baik lauk ialah cuka, sebaik-baik lauk ialah cuka.’

Riwayat Muslim (2052)

Adapun jika arak itu diproses sehingga berubah menjadi cuka, dengan menambahkan cuka, bawang atau garam ke dalamnya, atau memanaskannya di atas api dengan tujuan mengubahnya menjadi cuka, maka rawatan atau prosedur seperti ini adalah diharamkan menurut pandangan yang kuat (rajih) di sisi ulama. Ini adalah pandangan mazhab al-Syafi‘i dan Hanbali, serta satu riwayat daripada Imam Malik.

Manakala ulama mazhab Hanafi dan pendapat yang kuat di sisi ulama mazhab Maliki bahawa dibolehkan mengubah atau memproses arak menjadi cuka, dan halal untuk meminum dan memakan cuka tersebut berdasarkan kepada sabda Nabi SAW, “نِعْمَ الْأُدُمُ الْخَلُّ” (sebaik-baik lauk ialah cuka), kerana ia datang dalam bentuk mutlak tanpa dibezakan antara cuka yang terhasil melalui proses alami (semula jadi) dan cuka yang dihasilkan melalui proses rawatan/prosedur tertentu.

Hal ini kerana mengubah arak menjadi cuka melalui proses rawatan/prosedur tertentu dengan sengaja telah menghilangkan sifat-sifat buruk daripada arak dan mengekalkan sifat-sifat baiknya kerana di dalamnya terdapat maslahah rawatan (kesihatan), sebagai makanan dan maslahah-maslahah yang lain. Jadi, jika unsur buruk atau merosakkan yang menyebabkannya dihukumkan sebagai haram telah dihilangkan, maka ia menjadi halal, sama seperti ketika arak menjadi cuka dengan sendirinya. Ini juga kerana proses rawatan/prosedur mengubah arak menjadi cuka itu termasuk dalam proses pemulihan, maka ia diharuskan berdasarkan kaedah qiyas ke atas keharusan menyamak kulit. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 19/260; lihat juga al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 4/2629).

Seterusnya, dalil yang menunjukkan kepada pengharaman proses rawatan/prosedur mengubah arak menjadi cuka ialah hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Abu Daud daripada Anas bin Malik R.A bahawa:

أَنَّ أَبَا طَلْحَةَ سَأَلَ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ عَنْ أَيْتَامٍ وَرِثُوا خَمْرًا، فَقَالَ:  أَهْرِقْهَا  قَالَ: أَفَلَا نَجْعَلُهَا خَلًّا؟ قَالَ:  لَا

Maksudnya:Abu Talhah bertanya kepada Nabi SAW tentang seorang anak yatim yang mempunyai warisan berupa arak. Baginda bersabda: ‘Buanglah!’ Abu Talhah bertanya: ‘Tidakkah sebaiknya kita menjadikannya cuka?’ Baginda menjawab: ‘Tidak.’

Riwayat Ahmad (12189) dan Abu Daud (3675)[5]

Imam al-Nawawi menyebutkan, menurut pendapat mazhab ulama mengenai arak yang berubah menjadi cuka dengan sendirinya dan arak yang diproses untuk menjadi cuka, jika arak berubah menjadi cuka dengan sendirinya maka ia adalah suci di sisi jumhur ulama dan al-Qadhi ‘Abd al-Wahhab al-Maliki menukilkan ijma‘ mengenainya. Akan tetapi ulama selainnya menukilkan daripada Sahnun al-Maliki bahawa cuka tersebut tidak suci.

Adapun jika arak diproses menjadi cuka dengan memasukkan sesuatu di dalamnya, maka menurut mazhab kami (mazhab al-Syafi‘i), ia tidak suci. Ini juga merupakan pendapat Imam Ahmad dan majoriti ulama. Manakala Imam Abu Hanifah, al-Auza‘i dan al-Laith pula berpendapat, cuka itu adalah suci.

Seterusnya, dalam mazhab Imam Malik terdapat tiga riwayat mengenainya. Riwayat yang paling sahih mengenainya menurut mereka ialah arak yang diproses untuk menjadi cuka adalah haram. Namun, jika ia tetap diproses bagi menjadikannya cuka, cuka itu adalah suci. Riwayat yang kedua menyatakan, ia adalah haram dan tidak dikira suci, dan riwayat ketiga pula menyatakan, ia adalah halal dan suci. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/596).

Begitu juga Syeikh Muhammad al-Mukhtar al-Syanqiti dalam syarahannya terhadap kitab Zad al-Mustaqni‘ bahawa jumhur ulama berpendapat, jika arak berubah menjadi cuka dengan sendirinya, maka cuka tersebut dikira halal dan suci kerana Nabi SAW bersabda sebagaimana dalam hadith sahih: “Sebaik-baik lauk ialah cuka.” Cuka tidak akan menjadi cuka melainkan setelah menjadi arak. Inilah yang dimaksudkan apabila arak berubah menjadi cuka dengan sendirinya. Dalil yang menunjukkan bahawa jika ia berubah dengan sendirinya dikira halal adalah berdasarkan hadith Abu Talhah R.A, ketika beliau bertanya kepada Nabi SAW berkenaan arak yang dimiliki oleh anak-anak yatim. Lalu Nabi SAW memerintahkannya untuk menuangkan (membuang) arak-arak itu. Justeru, jika sememangnya dibolehkan untuk memproses arak menjadi cuka, pasti Nabi SAW tidak akan memerintahkan untuk membuangnya. Ini menunjukkan bahawa pemilik arak tidak boleh mengubahnya menjadi cuka melalui proses atau prosedur tertentu daripadanya sendiri. Akan tetapi jika arak itu berubah menjadi cuka dengan sendirinya (secara alami), maka ia adalah diharuskan dan dikira suci. (Lihat Syarh Zad al-Mustaqni‘ oleh al-Syanqiti, 230/5).

Keduanya, jika arak itu telah menjadi cuka melalui proses rawatan/prosedur tertentu, maka adakah proses yang dihukumkan sebagai haram tersebut telah menyucikan arak dan mengharuskan penggunaan cuka yang terhasil daripadanya? Secara ringkasnya, para ulama berselisih pendapat mengenainya kepada dua pendapat. Ada yang berpendapat, ia adalah suci dan cuka yang terhasil daripadanya halal untuk digunakan, jika penggunaannya yang banyak tidak memabukkan. Ada juga yang berpendapat, ia adalah suci dan cuka yang terhasil melalui proses tersebut adalah halal bagi sesiapa yang berpendapat arak adalah diharuskan. Oleh itu, cuka yang terhasil daripada arak melalui proses tertentu di sisi ahli kitab adalah harus.

Ini adalah sebagaimana yang dinyatakan oleh Syeikh Ibn Soleh al-‘Uthaimin, sekiranya arak berubah menjadi cuka disebabkan ditambahkan seseuatu kepadanya seperti nabiz dan sebagainya bagi menghilangkan kesan mabuknya atau diproses sehingga hilang kesan mabuknya itu, maka pendapat yang masyhur dalam mazhab (Hanbali), ia tidak dikira suci sekalipun kesan mabuknya telah hilang. Mereka berhujah dengan menyatakan bahawa hilangnya kesan memabukkan adalah disebabkan oleh tindakan yang diharamkan. Jadi, ia tidak memberi sebarang kesan kepadanya (dalam hukum) kerana proses mengubah arak kepada cuka tidak dibenarkan. Hal ini berdasarkan riwayat daripada Anas, bahawa Nabi SAW ditanya mengenai arak yang hendak diproses menjadi cuka? Baginda menjawab: “Tidak.” Selain itu, ini juga kerana proses tersebut (iaitu perbuatan mengubah arak kepada cuka) tidak diperintahkan oleh Allah mahupun oleh Rasul-Nya. Maka, ia adalah batil dan tertolak. Atas dasar itu, ia tidak memberi apa-apa kesan (ke atas hukum) sebagaimana sabda Nabi SAW: “Sesiapa yang melakukan suatu amalan yang bukan daripada ajaran kami, maka ia adalah tertolak.”[6]

Sebahagian ulama lagi berpendapat, cuka itu dikira suci dan halal untuk digunakan dengan sebab tersebut sekalipun perbuatan/proses itu adalah haram. Mereka menjelaskan bahawa sebab kenapa ia dikira najis (haram) adalah kerana memabukkan, tetapi apabila kesan memabukkan itu telah dihilangkan, jadi ia menjadi halal.

Sebahagian yang lain pula berpendapat, jika arak itu diproses menjadi cuka oleh seseorang yang berpegang bahawa arak adalah diharuskan (menurut agamanya) seperti ahli kitab dalam kalangan Yahudi dan Nasrani, maka ia adalah halal dan dikira suci. Namun, jika ia diproses menjadi cuka oleh seseorang yang menurut pegangan agamanya arak adalah tidak halal, maka cuka yang terhasil melalui proses tersebut adalah haram dan dikira najis. Inilah pendapat yang dekat dengan kebenaran (aqrab)  ̶  menurut Syeikh al-‘Uthaimin. Atas dasar tersebut, cuka yang dihasilkan oleh orang Yahudi dan Nasrani adalah halal dan suci kerana mereka melakukannya dalam keadaan mereka berpegang akan keharusan perbuatan tersebut. Oleh kerana itu, mereka tidak dilarang daripada meminum arak. (Lihat al-Syarh al-Mumti‘, 1/432).

Ketiganya, proses menjadikan cuka daripada arak ini juga sering kali dikaitkan dengan konsep istihalah. Untuk memahami bab istihalah ini, kami nyatakan seperti berikut: Kaedah istihalah “الاِسْتِحَالَة”, atau juga dikenali sebagai kaedah inqilab al-‘ain “انْقِلَابُ الْعَيْن”, atau disebut juga di sisi mazhab Hanbali dengan kaedah al-‘ain al-munghamirah “العَيْنُ الْمُنْغَمِرَة”.

Istihalah merujuk kepada teori perubahan jirim atau zat sesuatu bahan kepada zat bahan yang lain di mana identiti asalnya tidak lagi dapat dikenalpasti untuk dikaitkan dengan zat bahan yang asal. (Lihat al-Muhalla, 7/418). Manakala Dr. Wahbah al-Zuhaili mentakrifkannya sebagai perubahan sesuatu benda yang bernajis secara sendirinya atau dengan melalui perantaraan seperti darah rusa menjadi kasturi, arak menjadi cuka dengan sendirinya atau melalui perantaraan proses tertentu, bangkai berubah menjadi garam atau anjing yang terjatuh ke dalam garam (lalu menjadi hancur), tahi yang berubah menjadi abu melalui pembakaran, minyak yang mutanajjis dijadikan sabun dan lain-lain. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/250).

Dalam erti kata lain, ia merupakan satu tindak balas kimia yang berlaku terhadap sesuatu bahan yang menyebabkannya bertukar menjadi bahan yang lain. Contohnya minyak atau lemak haiwan yang bertukar menjadi sabun selepas berlaku satu tindakbalas kimia terhadap minyak atau lemak tersebut. (Lihat al-Mawad al-Muharramah wa al-Najisah fi al-Ghiza’, hlm. 8)

Dalam isu ini juga, Ibn ‘Abidin telah memberi pandangan yang amat baik. Beliau menyebutkan, sesungguhnya syarak telah meletakkan sifat kenajisan terhadap sesuatu benda. Hakikat sesuatu benda akan luput jika hilang sebahagian ciri-ciri asasnya. Apatah lagi jika hilang sama sekali ciri-ciri asasnya. Sebagai perbandingan, air mani adalah najis dan ia tetap najis apabila bertukar menjadi segumpal darah. Kemudian apabila ia bertukar menjadi seketul daging maka ia menjadi suci. Begitu juga dengan jus anggur. Ia adalah suci. Apabila ia bertukar menjadi arak maka ia dihukumkan najis. Apabila bertukar pula menjadi cuka maka ia bertukar menjadi suci. Maka jelaslah di sini bahawa proses istihalah memberi kesan hukum terhadap perubahan yang berlaku kepada sesuatu bahan. (Lihat Radd al-Mukhtar ‘ala al-Durr al-Mukhtar, 1/217).

Konsep istihalah ini adalah berdasarkan firman Allah SWT:

وَإِنَّ لَكُمْ فِي الْأَنْعَامِ لَعِبْرَةً  نُّسْقِيكُم مِّمَّا فِي بُطُونِهِ مِن بَيْنِ فَرْثٍ وَدَمٍ لَّبَنًا خَالِصًا سَائِغًا لِّلشَّارِبِينَ

Maksudnya: “Dan sesungguhnya pada binatang-binatang ternak itu, kamu beroleh pelajaran yang mendatangkan iktibar. Kami beri minum kepada kamu daripada apa yang terbit dari dalam perutnya, yang lahir dari antara hampas makanan dengan darah; (iaitu) susu yang bersih, yang mudah diminum, lagi sedap rasanya bagi orang-orang yang meminumnya.”

(Surah al-Nahl: 66)

Dalam ayat ini, diterangkan tentang kesucian susu yang dihasilkan oleh binatang ternakan serta ia adalah halal untuk diminum meskipun ia berada di antara najis dengan darah.

Proses istihalah boleh dibahagikan kepada tiga bentuk, iaitu:

  • Perubahan fizikal dan kandungan seperti darah kijang yang bertukar menjadi kasturi.
  • Perubahan fizikal sahaja (daripada aspek luaran) seperti kulit binatang selain anjing dan babi yang berubah menjadi suci setelah melalui proses samak.
  • Perubahan kandungan sahaja seperti arak yang bertukar menjadi cuka. Secara fizikalnya, arak dan cuka tetap dalam bentuk cairan. Namun yang berbezanya adalah dari segi kandungan.

Dalam isu konsep Istihalah ini, para ulama secara dasarnya telah bersepakat untuk menerimanya sebagai satu proses atau alat penyucian bahan bernajis. Namun dari sudut pemakaian proses ini, sebahagian ulama ada yang memperluaskan penggunaannya, manakala sebahagian yang lain mengehadkan pemakaiannya kepada kes-kes dan syarat tertentu sahaja. Perbezaan pandangan ini boleh diringkaskan seperti berikut:

Pertama: Mazhab Hanafi, Maliki dan Ibn Hazm: Istihalah merupakan salah satu proses yang membolehkan sesuatu bahan yang najis menjadi suci sama ada terjadi secara semula jadi ataupun melalui perantaraan iaitu percampuran dengan bahan lain atau aktiviti lain seperti pembakaran. Hujah mereka adalah bahawa zat asal sesuatu benda itu telah berubah kepada bentuk atau sifat lain.

Kedua: Mazhab Syafi‘i dan Hanbali: Benda yang najis tidak menjadi suci dengan berubah sifat benda tersebut. Bagi mazhab Syafi‘i, perubahan daripada sesuatu yang haram kepada suci atau halal hanya berlaku dalam tiga perkara sahaja.

  • Arak yang bertukar menjadi cuka secara semulajadi,
  • Kulit bangkai binatang selain anjing dan babi menjadi suci apabila disamak dan;
  • Sesuatu yang berubah menjadi binatang hidup seperti bangkai berubah menjadi ulat kerana terjadi suatu kehidupan baru. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 29/107-108; al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/251).

Dalam fatwa dan ijtihad semasa, kebanyakan fatwa-fatwa ulama Timur Tengah didapati menggunakan pendapat mazhab Maliki dan Hanafi dengan memperluaskan penggunaan Istihalah. Perkara ini boleh dilihat melalui keputusan Nadwah Pengurusan Islam ke-8 dalam Ilmu Perubatan yang diadakan di Kuwait pada 22-24 Mei 1995. Resolusi yang dicapai antara lain merumuskan:

  • Gelatin yang terbentuk daripada proses istihalah daripada tulang binatang najis, kulit dan uratnya adalah bersih dan halal dimakan.
  • Sabun yang dihasilkan melalui proses istihalah daripada lemak khinzir ataupun bangkai binatang adalah bersih dan harus digunakan.
  • Keju yang dihasilkan daripada rennet yang didapati daripada bangkai haiwan yang halal dimakan adalah bersih dan harus digunakan.
  • Alat-alat solek yang mengandungi lemak khinzir tidak boleh digunakan, kecuali jika telah pasti berlaku proses istihalah dan telah berlaku pertukaran ain atau zatnya.
  • Bahan makanan yang mengandungi lemak khinzir sebagai kandungannya dengan tidak berubah zatnya seperti yang terdapat pada sesetengah keju, minyak, mentega, dadih, biskut, coklat dan aiskrim adalah haram dimakan. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 7/5261-5266).

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa cuka wain atau wine vinegar yang dihasilkan daripada arak melalui suatu proses tertentu dengan dicampur bahan-bahan luar atau bahan tambahan adalah tidak halal untuk digunakan. Namun, sekiranya perubahan daripada wain kepada cuka berlaku dengan sendirinya (proses semula jadi), maka ia adalah halal. Inilah pendapat yang dilihat lebih berhati-hati dan selamat.

Pendapat ini juga selari dengan keputusan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-73 yang bersidang pada 4-6 April 2006 telah membincangkan Hukum Wine Vinegar (Cuka Wain). Muzakarah telah memutuskan bahawa haram menggunakan cuka wain (Wine Vinegar) yang diproses dan dicampur dengan bahan-bahan luar. Walau bagaimanapun, sekiranya perubahan daripada cuka wain kepada cuka berlaku dengan sendirinya, maka ia adalah halal.[7] Keputusan yang sama turut diputuskan oleh Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor kali ke 3/2006 yang bersidang pada 26-27 Jun 2006.[8]

Sekalipun begitu, kami tidak menafikan di sana terdapat sebahagian sarjana yang berpendapat ia adalah diharuskan dengan berhujahkan bahawa telah berlaku proses istihalah dan zatnya telah berubah daripada sesuatu yang bernajis (iaitu arak) kepada sesuatu yang suci (cuka). Maka, ‘illah (sebab) pengharaman arak tersebut telah dihilangkan, apabila ia berubah menjadi cuka. Ini bertepatan dengan kaedah yang menyebutkan:

إِذَا زَالَتِ العِلَّةُ زَالَ الحُكْمُ

Maksudnya:Apabila hilang ‘illahnya, maka tiadalah hukum tersebut.”

Begitu juga kaedah fiqh lain menyebutkan:

الحُكْمُ يَدُورُ مَعَ عِلَّتِهِ وُجُودًا وَعَدَمًا

Maksudnya: “Sesuatu hukum berlegar bersama-sama ‘illahnya ketika ia ada dan tiada.”

Menurut Ibn Qayyim al-Jauziyyah, kaedah ini bermaksud: Apabila Allah mengaitkan sesuatu hukum dengan sebab ataupun ‘illah tertentu, maka hukum tersebut akan hilang apabila hilangnya sebab atau ‘illah. (Lihat I‘lam al-Muwaqqi‘in, 4/80).

Akan tetapi meninggalkan daripada menggunakan cuka arak yang terhasil melalui proses/prosedur tertentu adalah lebih baik dan menenangkan jiawa sebagai mengambil langkah keluar daripada khilaf mereka yang mengharamkannya. Kaedah menyebutkan:

الخُرُوجُ مِنَ الخِلَافِ مُسْتَحَبٌّ

Maksudnya:Keluar daripada khilaf adalah digalakkan (sunat).” (Lihat al-Qawaid al-Fiqhiyyah baina al-Asalah wa al-Taujih, 14/1).

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلًا مُتَقَبَّلاً 

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan diterima.”

[1] Lihat https://www.britannica.com/dictionary/wine-vinegar. Diakses pada 25 Julai 2023.

[2] Lihat https://www.food.com/about/wine-vinegar-493. Diakses pada 25 Julai 2023.

[3] Lihat https://bolboreta.shop/blogs/news/white-wine-vinegar-vs-white-vinegar-what-s-the-difference#. Diakses pada 25 Julai 2023.

[4] Lihat Penggunaan Cuka Wain atau Wine Vinegar oleh Norliah binti Sajuri, Cawangan Syariah, Bahagian Penyelidikan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia. https://myjurnal.mohe.gov.my/filebank/published_article/33929/Article_2.PDF. Diakses pada 26 Julai 2023.

[5] Syeikh al-Albani menilainya sebagai sahih dalam Sahih Abi Daud.

[6] Riwayat Muslim (1718)

[7] Lihat https://www.facebook.com/MyJAKIMmalaysia/posts/hukum-wine-vinegar-cuka-wainmuzakarah-jawatankuasa-fatwa-majlis-kebangsaan-bagi-/930179777032592/. Diakses pada 26 Julai 2023.

[8] Lihat http://e-smaf.islam.gov.my/e-smaf/index.php/main/mainv1/fatwa/pr/16098 dan https://www.muftiselangor.gov.my/fatwa-tahunan/keputusan-fatwa/2006/726-hukum-wine-vinegar-cuka-wain. Diakses pada 26 Julai 2023.

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *