#2479: Mukadimah Fitnah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Benarkah fitnah mempunyai mukadimahnya dan bagaimana cara kita menghindarinya?

 

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami telah nyatakan dalam jawapan kami beberapa kali berkenaan dengan fitnah yang boleh melanda umat ini. Bahkan, Rasulullah SAW mengajar kita untuk berlindung daripada sebarang bentuk fitnah.

Fitnah yang tersembunyi biasanya tidak dilihat oleh kebanyakan manusia dan ia berlaku atau dilakukan oleh manusia secara bermudah-mudahan dan dia merupakan mukadimah bagi fitnah yang zahir lagi besar. Benarlah hadith Nabi SAW, daripada Zaid bin Thabit R.A, sabda Rasulullah SAW:

 تَعَوَّذُوا باللَّهِ مِنَ الفِتَنِ، ما ظَهَرَ منها وَما بَطَنَ

Maksudnya: “Berlindunglah kamu dengan Allah dari sebarang fitnah, sama ada zahir daripadanya mahu pun batin.

Riwayat Muslim (2867)

Rasulullah SAW mengajar kita supaya berlindung dari sebarang fitnah dalam kehidupan ini bahkan ketika mati. Sabda Rasulullah SAW:

اللَّهُمَّ إنِّي أَعُوذُ بكَ مِنْ عَذَابِ الْقَبْرِ ، وَمِنْ عَذَابِ النَّارِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَحْيَا وَالْمَماتِ، وَمِنْ فِتْنَةِ الْمَسِيحَ الدَّجَّالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya aku berlindung kepada-Mu daripada seksa kubur, daripada azab api neraka, daripada fitnah kehidupan dan kematian, dan daripada fitnah al-Masih al-Dajjal.”

Riwayat al-Bukhari (1377) dan Muslim (1352)

Imam al-Nawawi menyebut: Hadith ini menunjukkan thabitnya azab kubur dan fitnahnya. Inilah mazhab yang benar berbanding dengan pegangan mazhab Muktazilah. (Lihat Syarh Sahih Muslim, 5/85)

Al-Hafiz Ibn Hajar menjelaskan: Para ahli bahasa berkata bahawa fitnah ialah ujian dan cubaan. Al-Qadhi ‘lyadh berkata: “Dalam kehidupan seharian. perkataan tersebut digunakan untuk sesuatu yang tidak disukai.” Perkataan ini boleh juga bermakna pembunuhan, naminah (adu domba) dan sebagainya (Lihat Fath al-Bari, 4/682)

Al-Azhari menyebut: “Inti makna fitnah di dalam bahasa Arab terkumpul pada makna cubaan dan ujian.” (Lihat Tahzib al-Lughah, 14/296 dan Mujam Maqayis al-Lughah, 4/472)

Ibn al-Athir pula berkata: “(Perkataan fitnah) banyak penggunaannya dalam perkara yang tidak disukai. Kemudian ia banyak digunakan untuk makna-makna, dosa, kekafiran, perang, pembakaran, penghilangan dan memalingkan sesuatu.” (Lihat al-Nihayah, 3/410)

Ibn al-A’rabi telah meringkaskan makna-makna fitnah dengan menyebut: “Fitnah bermakna ujian, fitnah bermakna cubaan, fitnah bermakna harta, fitnah bermakna anak-anak, fitnah bermakna kekafiran, fitnah bermakna perselisihan pendapat di antara manusia, fitnah bermakna pembakaran dengan api.” (Lihat Lisan al-‘Arab, 13/317)

Justeru, marilah sama-sama kita padamkan api fitnah dan jangan sekali-kali kita mengejutkannya. Benarlah sabda Nabi SAW:

الفِتْنَةُ نَائِمَةٌ لَعَنَ اللهُ مَنْ أَيْقَظَهَا

Maksudnya: “Fitnah itu bersifat tidur. Allah melaknat sesiapa yang mengejutkannya.”

Riwayat al-Rafi’e dalam al-Tadwin fi Akhbar Qazwin (1/291). Hadis ini bertaraf dha’if tetapi makna nas sahih. Inilah pendapat sebahagian ulama’ hadis.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah: 201)

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *