#2482: Imam Mengangkat Takbir 3 Kali Sahaja Dalam Solat Jenazah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Mohon pencerahan. Semua sedia maklum solat jenazah 4 takbir, sebelum solat pun imam sudah nyatakan 4 takbir tetapi selesai solat hanya 3 takbir yang dilakukan. Ada makmum yang menegur dan teguran itu lebih daripada 1 teguran. Tetapi imam tegaskan dia yakin, tiada solat ulangan dan dia tanggung. Itu perkataan dia. Apabila ditegur lagi oleh orang lain, dia marah dan jangan pertikaikan kerana Nabi Muhammad pun solat 2 rakaat, 3 rakaat, 4 rakaat. Nabi tak pertikaikan pun. Pengurusan jenazah tidak sempurna kan ustaz?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Jumlah takbir di dalam solat jenazah adalah sebanyak empat kali takbir. Ini berdasarkan perbuatan Nabi SAW yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah:

نَعَى لِلنَّاسِ النَّجَاشِىَ فِى الْيَوْمِ الَّذِى مَاتَ فِيهِ فَخَرَجَ بِهِمْ إِلَى الْمُصَلَّى وَكَبَّرَ أَرْبَعَ تَكْبِيرَاتٍ

Maksudnya: “Rasulullah menangisi Najasyi di hadapan orang ramai pada hari kematiannya. Kemudian Baginda keluar ke tempat solat dan bertakbir sebanyak empat takbir.”

Riwayat Muslim (2247)

Dalam menjelaskan hadith ini, Imam al-Nawawi menyebut: “Di dalam hadis ini terdapat dalil di mana mana jumlah takbir solat jenazah adalah empat kali takbir. Ini adalah mazhab kami dan mazhab jumhur.” (Lihat Syarh al-Nawawi ‘ala Sahih Muslim, 7/23)

Hal ini menjadi dalil bahawa takbir di dalam solat jenazah itu berjumlah empat kali. Ini merupakan pandangan jumhur fuqaha’. Imam al-Nawawi menegaskan hal ini ketika mengulas berkenaan rukun solat jenazah di dalam kitabnya Minhaj al-Talibin (1/332).

Al-Hafiz Ibn Hajar menukilkan kata-kata Saidina Umar R.A yang direkodkan oleh Imam al-Baihaqi daripada Said bin al-Musayyab. Kata Saidina Umar R.A: “Jumlah takbir pernah dibuat empat, lima dan 6 kali. Lalu kami putuskan untuk dibuat 4 sahaja.” (Lihat Subul al-Salam Syarh Bulugh al-Maram, 2/301)

Imam Mengangkat Takbir 3 Kali dalam Solat Jenazah

Takbir solat jenazah mempunyai empat takbir, dan solat jenazah tidak sah kecuali dengan menyertakan 4 takbir tersebut.

Dalam al-Mausu’ah al-Fiqhiyah disebutkan, “Tidak ada perbezaan pendapat dalam kalangan para fuqaha bahawa ke semua takbir solat jenazah adalah rukun dan tidak sah solat jenazah jika ia dilakukan tanpa menyertakan takbir tersebut.” (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyah, 13/211)

Dalam Hasyiah al-Dasuqi menyatakan sebabnya adalah kerana setiap takbir memiliki kedudukan seperti suatu rakaat. (Lihat Hasyiah al-Dasuqi, 1/411).

Al-Buhuti berkata: “Jika seseorang itu sengaja meninggalkan salah satu takbir daripada empat takbir, maka solatnya menjadi batal karena dia sengaja meninggalkan kewajiban, maka batal solatnya sebagaimana solat-solat yang lain. Namun, jika dia meninggalkannya kerana terlupa, maka dia mengangkat takbir tersebut. (Lihat Daqaiq Uli al-Nuha, 1/362).

Jika imam mengucapkan takbir sebanyak tiga kali dalam keadaan lupa tanpa diberi peringatan, maka jika dia kembali dan mengucapkan takbir keempat, solatnya menjadi sah. Tetapi jika dia tidak kembali, maka yang menjadi tanggung jawab para makmum adalah menyelesaikan takbir keempat tersebut, kemudian melakukan salam.

Diriwayatkan oleh al-Bukhari dalam Bab Takbir sola Jenazah, Humaid berkata:

صَلَّى بِنَا أَنَسٌ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ فَكَبَّرَ ثَلاَثًا ثُمَّ سَلَّمَ، فَقِيلَ لَهُ فَاسْتَقْبَلَ الْقِبْلَةَ، ثُمَّ كَبَّرَ الرَّابِعَةَ ثُمَّ سَلَّمَ.

Maksudnya: “Anas R.A solat bersama kami dan beliau bertakbir sebanyak tiga kali lalu memberi salam. Ditegur kepadanya, lalu beliau menghadap kiblat, dan melengkapkan takbir yang keempat lalu memberi salam.” (Lihat Sahih al-Bukhari, 2/89)

Ibn Hajar al-’Asqalani berkata: “Diriwayatkan oleh Abd al-Razzaq, daripada Ma’mar, daripada Qatadah, daripada Anas, bahawa beliau mengucapkan takbir pada jenazah sebanyak tiga kali, kemudian beliau pergi dalam keadaan terlupa. Lalu mereka berkata, ‘Wahai Abu Hamzah, engkau telah mengucapkan takbir sebanyak tiga kali.’ Maka beliau berkata, ‘Berbarislah!’ Mereka berbaris, lalu beliau mengucapkan takbir yang keempat.’ (Lihat Fath al-Bari, 3/202).

Syeikh Muhammad bin Soleh al-’Uthaimin ditanya soalan ‘Jika imam mengucapkan takbir tiga kali dan salam, apa yang harus dilakukan oleh makmum’, maka beliau menjawab: “Wajib bagi makmum untuk menegurnya, jika imam tidak menyedarinya, maka makmum perlu menyelesaikan takbir yang keempat dan dengan itu, telah terpenuhi kewajiban fardhu kifayah. (Lihat al-Syarh al-Kafi)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa solat jenazah sebanyak 3 takbir adalah tidak sah kerana solat jenazah wajib dilakukan dengan 4 takbir. Sekiranya imam terlupa, maka makmum perlu menegurnya, tetapi jika imam tidak menyedarinya, maka makmum perlulah melengkapkan takbir yang keempat itu sebagai pelengkapnya dan itu sudah memadai untuk memenuhi kewajipan fardhu kifayah.

Marilah kita berdoa untuk orang yang mati di kalangan kita:

اللَّهُمَّ اغْفِرْ لِحَيِّنَا وَمَيِّتِنَا وَصَغِيرِنَا وَكَبِيرِنَا وَذَكَرِنَا وَأُنْثَانَا وَشَاهِدِنَا وَغَائِبِنَا اللَّهُمَّ مَنْ أَحْيَيْتَهُ مِنَّا فَأَحْيِهِ عَلَى الْإِيمَانِ وَمَنْ تَوَفَّيْتَهُ مِنَّا فَتَوَفَّهُ عَلَى الْإِسْلَامِ اللَّهُمَّ لَا تَحْرِمْنَا أَجْرَهُ وَلَا تُضِلَّنَا بَعْدَهُ

Maksudnya: “Ya Allah, Ampunkanlah dosa orang yang hidup di kalangan kami, yang mati, yang kecil, yang besar, lelaki, perempuan, yang hadir dan yang ghaib. Ya Allah, siapa yang Kamu hidupkannya di kalangan kami maka hiduplah ia di atas iman dan siapa yang mematikannya maka matilah ia di atas Islam. Ya Allah janganlah Kamu halangkan kami dari pahalanya dan sesatkan kami selepasnya.”

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 3 Ogos 2023 bersamaan 16 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *