#2569: Waktu Khusus untuk Ziarah Kubur

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya tentang kesahihan info yang sudah lama tersebar di dalam masyarakat kita. Di antara isi kandungannya:

“Ramai orang tidak sedar dan tidak tahu waktu afdal ziarah kubur. Roh Ibu bapa ada di kubur tunggu anak mereka. Terutama kubur ibubapa. Disunatkan menziarah pada hari Khamis selepas Solat Asar, sepanjang hari Jumaat dan hari Sabtu sebelum Zohor. Waktu ini roh ada di perkuburan dan menunggu anak-anak menziarahinya.

Imam al-Bukhari meriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A hadith Rasulullah SAW: Seorang anak yg menziarahi kubur ibu bapanya pada hari-hari tersebut di atas akan dicatatkan kepadanya pahala seperti membuat kebaikan kepada kedua ibubapanya semasa hayat mereka. Dan dosa-dosa anak tersebut diampunkan oleh Allah SWT.” 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Umat Islam digalakkan untuk menziarahi kubur kerana ia mampu mengingatkan kita bahawa dunia ini hanyalah sebuah tempat persinggahan yang bersifat sementara, dan akhirat adalah tempat pulang yang akan kekal abadi. Dengan menziarahi kubur juga mampu mengingatkan agar sentiasa mempersiapkan diri untuk akhirat.

Ini bertepatan dengan hadith yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

زُورُوا الْقُبُورَ فَإِنَّهَا تُذَكِّرُكُمُ الْآخِرَةَ

Maksudnya: “Pergilah menziarahi kubur, sesungguhnya ia mengingatkan kamu kepada akhirat.”

Riwayat al-Nasa’ie (2034) dan Ibn Majah (1569)

Status Hadith dan Analisis Perawi

Berbalik kepada persoalan yang diajukan, kami cuba untuk menyemak terlebih dahulu status hadith yang dikemukakan oleh saudara yang bertanya. Ia merupakan sebuah riwayat daripada Abu Hurairah R.A dengan lafaz yang disandarkan kepada Rasulullah SAW, sabdanya:

مَنْ زَارَ قَبْرَ أَبَوَيْهِ أَوْ أَحَدِهِمَا فِي كُلِّ جُمُعَةٍ غُفِرَ لَهُ وَكُتِبَ بَرًّا

Maksudnya: “Sesiapa yang menziarahi kubur kedua ibubapanya atau salah seorang daripada mereka setiap hari Jumaat, diampuni dosanya dan dituliskan kebaikan untuknya.”

Kami tidak menjumpai mana-mana riwayat daripada Imam al-Bukhari, tidak di dalam kitab al-Jami‘ al-Sahih beliau dan tidak juga di dalam al-Tarikh al-Kabir. Adapun yang kami jumpai adalah riwayat al-Tabarani (6114) di dalam al-Mu‘jam al-Awsat (6/175).

Imam Al-Iraqi memberikan komentar tentang status hadith di atas dengan mengatakan bahawa ia diriwayatkan oleh al-Tabarani di dalam al-Mu‘jam al-Saghir dan al-Mu‘jam al-Awsat daripada hadith Abu Hurairah, dan juga diriwayatkan oleh Ibn Abi al-Dunya di dalam kitab al-Qubur daripada riwayat Muhammad bin Nu‘man. Beliau juga mengatakan bahawa riwayat tersebut berstatus Mu‘dhal, dan Muhammad bin Nu‘man adalah seorang yang tidak dikenali. Beliau juga menukilkan bahawa al-Tabarani mengatakan guru Muhammad bin Nu’man yang bernama Yahya bin al-‘Ala’  al-Bajali adalah seorang yang matruk. (Lihat Takhrij Ahadith Ihya’ Ulum al-Din, 6/509)

Al-Tabarani juga memberikan komentar selepas meriwayatkan hadith ini di dalam al-Mu‘jam al-Saghir bahawa al-Nu‘man bin Syibl bersendiri ketika meriwayatkan hadith ini daripada Abu Hurairah R.A. (Lihat  al-Mu‘jam al-Saghir, 2/160)

Imam al-Zahabi menukilkan kritikan al-‘Uqaili ke atas Muhammad bin al-Nu‘man bin Abdul Rahman bahawa dia seorang yang tidak dikenali. (Lihat Mizan al-I‘tidal, 4/56)

Roh Ibu Bapa Menunggu Anak-anak

Mengenai isu roh ibu bapa yang menunggu kehadiran anak-anak mereka, maka ia merupakan perkara yang harus bersandarkan kepada dalil yang sahih daripada al-Quran atau al-Sunnah. Hal ini kerana tidak ada yang lebih mengetahui tentang urusan alam ghaib melainkan Allah SWT dan Rasulullah SAW melalui ilham daripada Allah. Adapun hadith yang sahih tentang ahli kubur mengetahui bahawa ada orang yang menziarahinya, telah thabit riwayat tentang perkara tersebut ketika mana diucapkan salam pada mereka.

Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Abdullah bin ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ أَحَدٍ يَمُرُّ عَلَى قَبْرِ أَخِيهِ المُؤْمِنِ فَيُسَلِّمُ عَلَيْهِ إِلَّا عَرَفَهُ، وَرَدَّ عَلَيْهِ

Maksudnya: “Tidak ada seorang pun yang melintasi kubur saudaranya yang beriman, kemudian dia memberi salam, melainkan saudaranya  tersebut akan mengetahui perkara tersebut lalu menjawabnya.”

Riwayat al-Syaukani di dalam Nail al-Autar (3/305) dan Ibn Abd al-Barr di dalam al-Istizkar (1/185)

Rasulullah SAW juga telah mengajarkan kepada sahabat adab dan cara memberi salam ketika menziarahi kubur. Ini berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Buraidah bin al-Husaib al-Aslami R.A, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ كَانَ إِذَا أَتَى عَلَى المَقَابِرِ قَالَ: السَّلامُ عَلَيْكُمْ أَهْلَ الدِّيَارِ مِنَ المُؤْمِنِينَ وَالمُسْلِمِينَ وَإِنَّا إِنْ شَاءَ اللهُ بِكُمْ لَاحِقُونَ، أَنْتُمْ لَنَا فَرَطٌ وَنَحْنُ لَكُمْ تَبَعٌ، أَسْأَلُ اللهَ العَافِيَةَ لَنَا وَلَكُمْ

Maksudnya: “Sesungguhnya Rasulullah SAW apabila Baginda menziarahi kubur, Baginda akan berkata: ‘Selamat sejahtera wahai tuan rumah (ahli kubur) dari kalangan orang-orang beriman dan muslimin. Dengan kehendak Allah kami akan menyusuli, kamu semua mendahului dan kami menuruti. Aku memohon kepada Allah keampunan buat kami dan kamu semua’.”

Riwayat al-Nasa’ie (2039)

Mengkhususkan Hari Tertentu Untuk Ziarah Kubur

Mengkhususkan hari tertentu untuk menziarahi kubur memerlukan kepada sandaran dalil yang sahih daripada syara‘. 

Syeikh Abdul Aziz ibn Baz pernah ditanya tentang mengkhususkan hari Jumaat untuk menziarahi kubur. Beliau mengatakan bahawa perbuatan tersebut tidak mempunyai asal, sedang yang disyariatkan untuk seseorang itu menziarahi pada bila-bila masa yang dia berkelapangan sama ada siang atau malam. (Lihat Majmu‘ Fatawa, 13/336)

Disebutkan juga di dalam Fatawa al-Lajnah al-Da’imah berkenaan menziarahi kubur pada hari-hari yang tertentu daripada mana-mana tahun. Disimpulkan bahawa tidak boleh untuk mengkhususkan hari yang tertentu daripada mana-mana tahun untuk menziarahi kubur, tidak pada hari Jumaat dan tidak juga pada awal atau akhir Rejab. Hal ini kerana tidak terdapat dalil tentang perkara tersebut, bahkan yang disyariatkan adalah menziarahi kubur pada bila-bila masa yang mudah, berdasarkan umum sabda Rasulullah SAW: “Pergilah menziarahi kubur, sesungguhnya ia mengingatkan kamu kepada akhirat.” (Lihat Fatawa al-Lajnah al-Da’imah, 9/114)

Kesimpulan

Berdasarkan perbincangan mengenai riwayat hadith di atas, kami dapati bahawa hadith ini berstatus sangat lemah, maka ianya tidak boleh disebarkan kecuali bertujuan untuk menerangkan tentang kelemahan hadith tersebut. Adapun menyandarkan periwayatannya kepada Imam al-Bukhari tanpa sebarang bukti atau rujukan, maka ia merupakan perbuatan yang tidak wajar.

Sebaiknya bagi seorang yang mementingkan ketulenan ilmu agama, adalah dengan sentiasa mengkaji kesahihan sesebuah kisah atau kenyataan sebelum membuat perkongsian. Hal ini kerana setiap penuntut ilmu memikul suatu amanah yang berat bagi memastikan masyarakat memperolehi ilmu dari sumber yang benar.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ اخْتِمْ لَنَا بِحُسْنِ الْخَاتِمَةِ وَلَا تَخْتِمْ عَلَيْنَا يَا اللَّهُ بِسُوءِ الْخَاتِمَةِ

Maksudnya: “Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah dan janganlah kamu matikan kami dalam keadaan su’ul khatimah.”

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 11 Ogos 2023 bersamaan 24 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *