#261 Memberi Salam Berlainan Jantina

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Bolehkah kita memberi salam kepada yang berlainan jantina seperti ucapan salam seorang murid kepada gurunya atau antara rakan-rakan sepejabat? Terima kasih

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

فَإِذَا دَخَلْتُم بُيُوتًا فَسَلِّمُوا عَلَىٰ أَنفُسِكُمْ تَحِيَّةً مِّنْ عِندِ اللَّـهِ مُبَارَكَةً طَيِّبَةً

Maksudnya: “Maka apabila kamu masuk ke mana-mana rumah, hendaklah kamu memberi salam kepada (sesiapa yang seperti) kamu dengan memohon kepada Allah cara hidup yang berkat lagi baik.”

(Surah al-Nur: 61)

Ayat di atas bermaksud apabila kamu memasuki sebuah rumah, sama ada rumah tersebut berpenghuni ataupun tidak, maka sebahagian daripada kamu berilah salam kepada sebahagian yang lain dengan lafaz (السلام عليكم ورحمة الله وبركاته) atau (السلام علينا وعلى عباد الله الصالحين) sekiranya tiada seorang pun — di dalam rumah tersebut. Ucapan salam ini telah disyariatkan oleh Allah SWT dan ia merupakan ucapan yang diberkati, yang menumbuhkan rasa kasih sayang dan cinta. Lebih-lebih lagi disukai oleh orang yang mendengar. (Lihat al-Tafsir al-Muyassar, hlm. 358)

Ibn Juzai al-Kalbi menyatakan di dalam kitab tafsirnya bahawa ada yang berpandangan ucapan salam tersebut tidak terhad hanya kepada rumah-rumah (kediaman) sahaja tetapi juga masjid-masjid dan kita diperintahkan memberi salam kepada sesiapa yang ada di dalamnya. Sekiranya tiada sesiapa di dalamnya, berilah salam kepada Nabi SAW, para malaikat dan hamba-hamba Allah yang soleh. (Lihat al-Tashil li ‘Ulum al-Tanzil, 2/76)

Hukum memberi dan menjawab salam

Hukum memberi salam asalnya ialah sunat muakkad (yang sangat dituntut). Manakala hukum menjawabnya pula adalah wajib. Hal ini adalah sebagaimana disebutkan oleh al-Nawawi bahawa hukum memulakan salam adalah sunat muakkad manakala menjawabnya pula adalah fardhu ain atau wajib secara ijma‘. Sekiranya seseorang memberi salam kepada seseorang yang lain maka yang kedua itu wajib menjawabnya sebagai fardu ain. Manakala sekiranya diberi salam kepada sekelompok manusia, maka menjawabnya menjadi fardu kifayah. Jika salah seorang daripada kelompok itu menjawabnya, maka sudah cukup dan gugur kewajipan menjawabnya bagi yang lain. Jika semua menjawabnya, maka semuanya dikira sebagai menunaikan yang fardu, sama ada mereka menjawabnya secara serentak ataupun tidak. Jika tiada seorang pun dalam kalangan mereka yang menjawabnya, maka mereka semua telah berdosa. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/593-594)

Memberi dan menjawab salam berlainan jantina

Selain itu, al-Nawawi ada juga menyatakan bahawa hukum memberi dan menjawab salam antara kaum wanita sesama mereka adalah sama hukumnya antara lelaki dengan lelaki. Kemudian, ulama mazhab al-Syafi‘i menyatakan, sekiranya seorang lelaki memberi salam kepada seorang perempuan atau perempuan memberi salam kepada lelaki — jika di antara mereka berdua terdapat hubungan mahram, perkahwinan atau hamba — maka hukumnya adalah sunat dan menjawabnya pula adalah wajib. Namun, sekiranya tiada hubungan tersebut, maka tidak wajib menjawabnya, melainkan dia sudah tua yang mengeluarkannya daripada punca fitnah.

Lalu al-Nawawi menukilkan daripada al-Mutawalli yang menyatakan bahawa jika seorang lelaki memberi salam kepada seorang perempuan muda yang asing, maka tidak boleh bagi perempuan itu untuk menjawabnya. Namun, jika perempuan itu yang memberi salam kepada lelaki berkenaan, maka hukumnya adalah makruh bagi lelaki itu untuk menjawabnya. Begitu juga, jika sekumpulan perempuan memberi salam kepada seorang lelaki atau sekumpulan lelaki memberi salam kepada seorang perempuan, hukumnya adalah sunat sekiranya tidak ditakuti terjadi ke atas mana-mana pihak — sama ada lelaki yang berseorangan itu, atau perempuan yang berseorangan itu atau sekelompok perempuan itu — sebarang fitnah. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 4/600-601)

Hal ini adalah berdasarkan kepada sebuah hadith daripada Asma’ binti Yazid R.Anha, beliau berkata:

مَرَّ عَلَيْنَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي نِسْوَةٍ فَسَلَّمَ عَلَيْنَا

Maksudnya:Nabi SAW berjalan berhampiran kami sekumpulan perempuan, lalu Baginda memberi salam kepada kami.

[Riwayat Abu Dawud (5204); Ibn Majah (3701) dan Syu‘aib al-Arna’ut menyebutkan bahawa hadith ini adalah hasan. Sanad hadith ini adalah dhaif kerana terdapat padanya perawi yang lemah iaitu Syahr bin Husyab, tetapi mempunyai mutaba‘ah. Manakala baki perawinya yang lain pula adalah thiqah.]

Syeikh ‘Abd al-Muhsin al-‘Abbad ketika mensyarahkan hadith ini menyatakan bahawa mengucapkan salam kepada wanita sekiranya mereka ialah mahram atau kaum kerabat, maka perkara tersebut adalah jelas, tiada masalah padanya. Namun, jika wanita itu ialah wanita asing — yakni bukan mahram mahupun kaum kerabat — maka tidak dibolehkan untuk memberi salam kepada mereka kecuali aman daripada timbulnya fitnah.

Dalam erti kata lain, jika perbuatan memberi salam itu tidak menimbulkan sebarang fitnah, atau wanita tersebut bersama keluarga atau kaum kerabatnya dan salam itu diucapkan kepada semua, atau wanita itu sudah berusia sehingga tidak akan tertimbulnya lagi fitnah, dan disyaratkan bagi semua keadaan ini mesti aman daripada timbulnya fitnah dan tidak ada di sana sesuatu pun perkara yang dilarang, maka selagi mana aman daripada fitnah selagi itulah dibolehkan untuk memberi salam. Beliau juga menyebutkan bahawa jika ada kebarangkalian timbulnya fitnah atau adanya kemudaratan, maka seorang lelaki tidak boleh memberi salam kepada perempuan dan begitulah juga sebaliknya sekalipun hanya bertemu atau berselisih di jalanan. (Lihat Syarh Sunan Abi Dawud oleh al-‘Abbad, 255/16)

Terdapat juga dalam sebuah hadith lain menunjukkan bahawa para sahabat mengucapkan salam kepada seorang wanita tua sebagaimana yang diriwayatkan oleh Sahl bin Sa‘d, beliau berkata:

كَانَتْ فِينَا امْرَأَةٌ تَجْعَلُ عَلَى أَرْبِعَاءَ فِي مَزْرَعَةٍ لَهَا سِلْقًا، فَكَانَتْ إِذَا كَانَ يَوْمُ جُمُعَةٍ تَنْزِعُ أُصُولَ السِّلْقِ، فَتَجْعَلُهُ فِي قِدْرٍ، ثُمَّ تَجْعَلُ عَلَيْهِ قَبْضَةً مِنْ شَعِيرٍ تَطْحَنُهَا، فَتَكُونُ أُصُولُ السِّلْقِ عَرْقَهُ، وَكُنَّا نَنْصَرِفُ مِنْ صَلاَةِ الجُمُعَةِ، فَنُسَلِّمُ عَلَيْهَا، فَتُقَرِّبُ ذَلِكَ الطَّعَامَ إِلَيْنَا، فَنَلْعَقُهُ وَكُنَّا نَتَمَنَّى يَوْمَ الجُمُعَةِ لِطَعَامِهَا ذَلِكَ.

Maksudnya:Dalam kalangan kami ada seorang wanita (yang sudah tua) yang menanam sawi di tepi parit kebunnya. Tatkala hari Jumaat tiba, dicabutnya batang sawi itu dan direbusnya dalam periuk. Kemudian dia mencampurkannya dengan segenggam tepung gandum yang sudah diulinya, sehingga batang sawi itu menjadi ganti kepada dagingnya. Apabila kami kembali pulang setelah solat Jumaat, kami datang mengucapkan salam kepadanya. Lalu, dia menghidangkan makanan tadi kepada kami dan kami mencedoknya. Kami selalu mengharapkan hari Jumaat kerana hidangan wanita itu.

Riwayat al-Bukhari (938)

Oleh itu, kita mengetahui bahawa batasan keharusan memberi salam antara lelaki dan perempuan asing itu adalah selagi mana perbuatan itu tidak menimbulkan fitnah dan mudarat.

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan di atas, kami berpendapat bahawa memberi salam antara lelaki dan perempuan yang asing adalah diharuskan selagi mana perbuatan tersebut jauh dan aman daripada timbulnya fitnah sepertimana ucapan salam seorang lelaki dan perempuan kepada mahram atau kaum kerabatnya. Dalam isu seperti ini terdapat kaedah menyebut:

الأُمُورُ بِمَقَاصِدِهَا

Maksudnya:Segala perkara itu bergantung kepada tujuannya.”

Maknanya ialah segala percakapan dan perbuatan seseorang itu adalah bergantung kepada niat dan tujuannya.(Lihat al-Qawa’id al-Fiqhiyyah wa Tatbiqatuha fi al-Mazahib al-Arba‘ah, 1/63)

Justeru, begitulah juga ucapan salam seorang murid kepada gurunya atau seorang guru kepada muridnya yang berlainan jantina adalah diharuskan dengan syarat perbuatan tersebut jauh daripada fitnah, tidak membawa kepada syahwat atau kemudaratan yang lain. Sekiranya ia menimbulkan fitnah atau membawa kepada mudarat seperti gangguan daripada individu terbabit, maka perbuatan memberi salam itu adalah tidak dibolehkan dan lebih baik dielakkan.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 8 Januari 2022 bersamaan 5 Jamadil Akhir 1443H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *