#263 Ziarah Bukan Islam yang Sakit

Soalan:         

Assalamualaikum w.b.t. Apakah hukum menziarahi kawan-kawan bukan Islam yang sakit? Mohon pencerahan.

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t.

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَرَحْمَتِي وَسِعَتْ كُلَّ شَيْءٍ

Maksudnya:Dan rahmat-Ku meliputi tiap-tiap sesuatu.

(Surah al-A‘raf: 156)

Fakhruddin al-Razi menyebutkan bahawa ayat di atas bermaksud rahmat Allah itu umumnya adalah kepada semua semasa di dunia. Manakala di akhirat kelak ia adalah dikhususkan hanya untuk orang yang beriman. (Lihat Mafatih al-Ghaib, 15/379)

Kelebihan Menziarahi Orang Sakit

Terdapat banyak hadith yang menceritakan mengenai anjuran dan kelebihan menziarahi orang yang sakit. Antaranya riwayat daripada Abu Musa al-Asy‘ari R.A, Nabi SAW bersabda:

أَطْعِمُوا الْجَائِعَ وَعُودُوا الْمَرِيضَ وَفُكُّوا الْعَانِيَ

Maksudnya:Berilah makan kepada orang yang kelaparan, ziarahilah orang yang sakit, dan bebaskanlah tawanan perang.”

Riwayat al-Bukhari (5373)

Begitu juga riwayat daripada Thauban R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ عَادَ مَرِيضًا لَمْ يَزَلْ فِى خُرْفَةِ الْجَنَّةِ حَتَّى يَرْجِعَ

Maksudnya:Sesiapa yang menziarahi orang sakit, dia berada dalam kebun syurga sehinggalah dia pulang.”

Riwayat Muslim (6717)

Demikianlah juga, riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ عَادَ مَرِيضًا، نَادَى مُنَادٍ مِنَ السَّمَاءِ: طِبْتَ، وَطَابَ مَمْشَاكَ، وَتَبَوَّأْتَ مِنَ الْجَنَّةِ مَنْزِلاً

Maksudnya:Sesiapa yang menziarahi orang sakit, maka ada penyeru yang menyeru dari langit: ‘Kamu ialah orang baik, langkahmu juga baik dan engkau berhak mendapat tempat di syurga.’

Riwayat Ibn Majah (1443); al-Tirmizi (2008)

Menziarahi orang sakit dalam kalangan non-Muslim

Secara asasnya, nas-nas yang menyebutkan berkenaan menziarahi orang sakit adalah bersifat umum, tidak kira orang sakit itu orang Islam atau bukan Islam. Lebih-lebih lagi perkara dikuatkan lagi satu peristiwa di mana Baginda SAW menziarahi seorang Yahudi yang sakit sebagaimana diriwayatkan daripada daripada Anas R.A, beliau berkata:

كَانَ غُلاَمٌ يَهُودِيٌّ يَخْدُمُ النَّبِيَّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَمَرِضَ، فَأَتَاهُ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَعُودُهُ، فَقَعَدَ عِنْدَ رَأْسِهِ، فَقَالَ لَهُ: أَسْلِمْ، فَنَظَرَ إِلَى أَبِيهِ وَهُوَ عِنْدَهُ فَقَالَ لَهُ: أَطِعْ أَبَا القَاسِمِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، فَأَسْلَمَ، فَخَرَجَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ وَهُوَ يَقُولُ: الحَمْدُ لِلَّهِ الَّذِي أَنْقَذَهُ مِنَ النَّارِ

Maksudnya: “Dahulu ada seorang budak lelaki Yahudi yang bekhidmat dengan Nabi SAW, lalu dia jatuh sakit. Maka Nabi SAW datang kepadanya untuk menziarahinya dan Baginda duduk di sisi kepalanya, lalu Baginda bersabda kepadanya: ‘Masuklah Islam.’ Lalu budak itu melihat kepada bapanya yang berada di sisinya, lalu bapanya berkata: ‘Patuhilah Abu al-Qasim SAW.’ Maka, beliau memeluk Islam, lalu Nabi SAW keluar dan Baginda SAW bersabda: ‘Segala puji bagi Allah yang menyelamatkannya daripada api neraka.’

Riwayat al-Bukhari (1356)

Hadith di atas jelas menunjukkan bahawa menziarahi orang sakit dalam kalangan bukan Islam adalah dibolehkan. Dr. Yusuf al-Qaradhawi menyebutkan bahawa menziarahi orang sakit termasuk dalam hak seorang Muslim kepada Muslim yang lain. Namun ini tidak bermakna pesakit dalam kalangan non-Muslim tidak perlu diziarahi. Aktiviti ziarah-menziarahi tanpa mengira bangsa, warna kulit atau agama merupakan amalan yang berteraskan kepada asas kemanusiaan. Malah Islam menganggapnya sebagai ibadah dan amal soleh yang mendekatkan diri seseorang kepada Allah SWT. Meskipun asas akidah antara orang Islam dan orang bukan Islam adalah berbeza, namun hak dan tanggungjawab antara satu sama lain tidak seharusnya diabaikan khususnya apabila melibatkan hubungan kejiranan, persahabatan dan sebagainya. Oleh itu, dapat difahami bahawa seorang Muslim dibolehkan untuk menziarahi orang bukan Islam yang sakit. Tambahan pula, moga-moga dengan asbab ziarah itu, hatinya terbuka untuk menerima Islam sebagaimana peristiwa Baginda SAW dan kanak-kanak Yahudi yang memeluk Islam pada akhir hayatnya. (Lihat Fatawa Mu‘asirah, 2/545)

Selain itu, Syeikhul Islam Ibn Taimiyyah juga pernah ditanya mengenai hukum orang Islam menziarahi jirannya yang beragama Kristian ketika dia sakit. Beliau menjawab, tidak mengapa menziarahinya kerana sesungguhnya pada perbuatan tersebut adanya maslahah bagi melembutkan hatinya kepada agama Islam. (Lihat al-Fatawa al-Kubra, 3/5)

Dr. ‘Abd al-Karim al-Khudhair juga ada menyatakan bahawa dibolehkan sekiranya menziarahi orang bukan Islam itu memberi faedah dari sudut dakwahnya dan membantu melembutkan serta melunakkan hatinya terhadap Islam. Hal ini kerana Nabi SAW menziarahi seorang kanak-kanak Yahudi yang sakit dan menyerunya memeluk Islam. Natijah daripada ziarah ini, budak tersebut memeluk agama Islam selepas diperintahkan oleh bapanya dengan katanya: “Taatilah Abu al-Qasim.”[1]

Kesimpulannya

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami menyimpulkan bahawa menzirahi orang bukan Islam yang sakit adalah dibolehkan. Lebih-lebih lagi, boleh jadi dengan asbab ziarah tersebut hatinya menjadi lunak terhadap Islam dan seterusnya memeluk agama yang benar ini.

Begitu juga orang yang sakit adalah saudara kita sekalipun bukan Islam dari sudut kemanusiaan. Nilai persahabatan amat perlu diberi kecaknaan bahkan ia sejuzuk daripada bentuk dakwah dan mempamerkan nilai akhlak yang tinggi serta unggul.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Ameen.

Wallahua‘lam.

Bertarikh: 8 Januari 2022 bersamaan 5 Jamadil Akhir 1443H

[1] Lihat https://shkhudheir.com/fatawa/342430502.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *