#2671: Benarkah Dibenarkan Memukul Isteri?

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ada persoalan yang sering bermain di fikiran, adakah benar sebenarnya kefahaman kita bahawa Islam membenarkan untuk memukul isteri, iaitu pukulan secara fizikal?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Sebelum menjawab persoalan d atas, kami dahulukan dengan firman Allah SWT:

وَاللَّاتِي تَخَافُونَ نُشُوزَهُنَّ فَعِظُوهُنَّ وَاهْجُرُوهُنَّ فِي الْمَضَاجِعِ وَاضْرِبُوهُنَّ ۖ

Maksudnya: “Dan perempuan-perempuan yang kamu bimbang melakukan perbuatan derhaka (nusyuz) hendaklah kamu menasihati mereka, dan (jika mereka berdegil) pulaukanlah mereka di tempat tidur, dan (kalau juga mereka masih degil) pukullah mereka (dengan pukulan ringan yang bertujuan mengajarnya).”

(Surah al-Nisa’: 34)

Berkenaan memukul isteri ini juga thabit berdasarkan hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma , bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَاتَّقُوا اللَّهَ فِي النِّسَاءِ فَإِنَّكُمْ أَخَذْتُمُوهُنَّ بِأَمَانِ اللَّهِ وَاسْتَحْلَلْتُمْ فُرُوجَهُنَّ بِكَلِمَةِ اللَّهِ وَلَكُمْ عَلَيْهِنَّ أَنْ لاَ يُوطِئْنَ فُرُشَكُمْ أَحَدًا تَكْرَهُونَهُ،‏‏ فَإِنْ فَعَلْنَ ذَلِكَ فَاضْرِبُوهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ

Maksudnya: “Bertaqwalah kepada Allah dalam mengendalikan urusan kaum wanita. Kamu mengambil mereka dengan amanah Allah dan dihalalkan bagi kamu kemaluan mereka dengan kalimah Allah. Hak kamu yang wajib ditunaikan oleh isteri kamu ialah mereka tidak membenarkan orang yang kamu benci masuk ke tempat tidurmu. Jika mereka melakukannya, pukullah mereka dengan cara yang tidak menyakitkan.”

Riwayat Muslim (1218)

Persoalan yang timbul sebenarnya adalah, bagaimanakah pukulan yang dibenarkan oleh Islam itu? Persoalan ini timbul kerana perkataan ‘pukul’ itu sendiri di dalam uruf negara kita membawa maksud yang berat dan perlakuan yang keras.

Menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat, ‘memukul’ didefinisikan sebagai mengenakan sesuatu yang keras atau berat dengan kuat, memalu, membalun, menempa, mengetuk, meninju, menokok, menumbuk, dan lain-lain.

Benarkah pukulan begini yang dibenarkan oleh Islam? Kami cuba  bawakan beberapa pandangan yang menyebutkan bentuk pukulan yang dibenarkan oleh syara‘.

Antaranya adalah riwayat Jabir bin Abdullah R.Anhuma di atas, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَاضْرِبُوهُنَّ ضَرْبًا غَيْرَ مُبَرِّحٍ

Maksudnya: “Pukullah mereka dengan cara yang tidak menyakitkan.”

Riwayat Muslim (1218)

Imam Abu bakar al-Jaza’iri ketika menafsirkan ayat di atas berkata, langkah ketiga iaitu memukul isteri dengan pukulan yang tidak menyakitkan, menyebabkan luka dan mematahkan mana-mana anggota. (Lihat Aysar al-Tafasir, 1/474)

Imam al-Qurtubi pula menukilkan sebuah riwayat daripada ‘Ata’, dia bertanya kepada Ibn ‘Abbas R.A tentang maksud pukulan yang tidak menyakitkan. Ibn ‘Abbas menjawab: “Pukulan dengan siwak (kayu sugi) atau sesuatu yang seumpama dengannya.” (Lihat al-Jami‘ li Ahkam al-Quran, 5/173)

Imam al-Dusuqi ketika membincangkan tentang masalah ini berkata, dibolehkan bagi suami untuk memukul isterinya (yang nusyuz) dengan pukulan yang tidak menyakitkan, iaitu pukulan yang tidak mematahkan tulang dan tidak menyebabkan luka. Dan tidak boleh baginya memukul dengan pukulan yang menyakitkan, meskipun dia tahu isterinya hanya akan meninggalkan perbuatan nusyuz dengan pukulan yang menyakitkan tersebut. Sekiranya berlaku hal tersebut (suami pukul dengan pukulan yang menyakitkan), maka isteri boleh meminta untuk diceraikan atau meminta qisas. (Lihat Hashiyah al-Dusuqi ‘ala al-Syarh al-Kabir, 2/343)

Dr. Muhammad al-Zuhaili juga menyebutkan hal yang sama dan menambah, suami perlu menjauhi dari memukul bahagian badan yang dimuliakan dan kawasan badan yang membahayakan nyawa, dan pukulan hanya dibenarkan jika diyakini boleh mendidik isteri dan isteri akan kembali mematuhi suami. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 4/93)

Cara pukulan yang betul ini juga merupakan salah satu hak isteri ke atas suami. Ini berdasarkan Mu‘awiyah al-Qusyairi R.A, Rasulullah SAW ditanya tentang hak isteri. Lalu Baginda SAW bersabda:

تُطْعِمُهَا إِذَا أَكَلْتَ، وَتَكْسُوهَا إِذَا اِكْتَسَيْتَ، وَلَا تَضْرِبِ الْوَجْهَ، وَلَا تُقَبِّحْ، وَلَا تَهْجُرْ إِلَّا فِي اَلْبَيْتِ

Maksudnya: “Berikan dia (isteri) makan jika kamu makan, berikan dia pakaian jika  kamu memakai pakaian, tidak memukul wajahnya, tidak mendoakan keburukan ke atasnya, tidak memulaukannya kecuali di dalam rumah sahaja.”

Riwayat Abu Dawud (2142), Ibn Majah (1850), dan Ibn Hibban (1268)

Walaupun terdapat keharusan bagi suami memukul isterinya apabila berbuat nusyuz, ini tidak bermakna perbuatan tersebut disukai dalam Islam. Bahkan kesemua nas al-Quran dan riwayat hadith yang mengajarkan didikan terhadap isteri dimulai dengan nasihat, dan pukulan dijadikan sebagai pilihan terakhir. Syara‘ juga menekankan agar para suami bergaul bersama isteri-isteri mereka dengan cara yang baik. Ini berdasarkan firman Allah SWT:

وَعَاشِرُوهُنَّ بِالْمَعْرُوفِ

Maksudnya: “Dan bergaullah kamu dengan mereka (isteri-isteri kamu itu) dengan cara yang baik.”

(Surah al-Nisa’: 19)

Bahkan telah datangnya sebuah riwayat yang dengan jelas membuktikan bahawa memukul isteri sekalipun kerana mereka nusyuz merupakan perbuatan yang tidak disukai. Diriwayatkan daripada Iyas bin Abdullah al-Dausi R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ تَضْرِبُوا إِمَاءَ اللَّهِ‏

Maksudnya: “Jangan kamu memukul hamba Allah yang wanita.”

‏ فَجَاءَ عُمَرُ إِلَى رَسُولِ اللَّهِ ﷺ فَقَالَ ذَئِرْنَ النِّسَاءُ عَلَى أَزْوَاجِهِنَّ، فَرَخَّصَ فِي ضَرْبِهِنَّ فَأَطَافَ بِآلِ رَسُولِ اللَّهِ ﷺ نِسَاءٌ كَثِيرٌ يَشْكُونَ أَزْوَاجَهُنَّ

Maksudnya: “Lalu Saidina ‘Umar R.A datang bertemu Rasulullah SAW dan berkata: “Wanita-wanita itu menderhaka kepada suami mereka.” Lalu Baginda SAW membenarkan para suami untuk memukul isteri mereka (jika ada keperluan dan itu saja jalan terakhir). (Pada hari berikutnya) ramai wanita datang ke rumah isteri-isteri Rasulullah SAW untuk mengadu.”

Kemudian Rasulullah SAW bersabda:

لَقَدْ طَافَ بِآلِ مُحَمَّدٍ نِسَاءٌ كَثِيرٌ يَشْكُونَ أَزْوَاجَهُنَّ لَيْسَ أُولَئِكَ بِخِيَارِكُمْ ‏

Maksudnya: “Sesungguhnya ramai wanita (kira-kira tujuh puluh orang) datang berduyun-duyun mendatangi keluarga Muhammad, setiap wanita mengadu perihal suami masing-masing yang memukul mereka. Mereka (yang memukul isterinya) itu bukanlah orang yang baik dikalangan kamu.”

Riwayat Abu Dawud (2146), al-Nasa’ie (9167), dan Ibn Majah (1985)

Sekiranya seseorang suami melanggar syarat-syarat yang telah disebutkan dengan bertindak mengikut kehendak emosi dengan membelasah isterinya sehingga mendatangkan mudharat serta kecederaan lain, maka dia telah berbuat zalim kepada isterinya. Perbuatan ini tidak dibolehkan dan haram hukumnya seorang suami itu dengan sengaja berbuat zalim dan memudharatkan isterinya.

Ini berdasarkan hadith qudsi yang diriwayatkan daripada Abu Zarr al-Ghifari R.A, Rasulullah SAW bersabda: “Allah SWT berfirman:

يَا عِبَادِي إِنِّي حَرَّمْتُ الظُّلْمَ عَلَى نَفْسِي وَجَعَلْتُهُ بَيْنَكُمْ مُحَرَّمًا فَلاَ تَظَالَمُوا

Maksudnya: “Wahai hamba-hambaku, sesungguhnya aku mengharamkan ke atas diriku kezaliman, dan aku menjadikannya (kezaliman) haram di antara kamu, maka janganlah kamu melakukan zalim.”

Riwayat Muslim (2577)

Diriwayatkan juga daripada Ibn ‘Abbas R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

لاَ ضَرَرَ وَلاَ ضِرَارَ

Maksudnya: “Tidak ada kemudaratan dan tidak boleh membuat kemudaratan.”

Riwayat Ahmad (2865) dan Ibn Majah (2340)

Tidak dapat dibayangkan bagaimana mungkin seseorang suami itu menyangka perbuatannya memukul isterinya sehingga mencederakan itu sebahagian dari bentuk didikan, kemudian mengharapkan mereka untuk kembali taat padanya. Ini suatu bentuk kezaliman yang nyata. Telah datang sebuah riwayat daripada Abdullah bin Zam‘ah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

يَعْمِدُ أَحَدُكُمْ يَجْلِدُ امْرَأَتَهُ جَلْدَ الْعَبْدِ، فَلَعَلَّهُ يُضَاجِعُهَا مِنْ آخِرِ يَوْمِهِ

Maksudnya: “Terdapat seseorang kamu yang sengaja memukul isterinya bagaikan dia memukul seekor unta, dan kemudian menyetubuhinya pula pada malam hari.”

Riwayat al-Bukhari (4942)

Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin ketika mensyarah hadith ini mengatakan, iaitu seorang lelaki menyebat isterinya seperti menyebat orang yang tidak ada pertalian apa-apa antara mereka, seolah-olah dia memiliki seorang hamba yang ditawan yang cuba melawan. Ini tidak patut, kerana pertalian antara suami isteri merupakan pertalian yang khusus. Kerana hal inilah Rasulullah SAW menegur perbuatan begini. (Lihat Syarh Riyadh al-Salihin, 3/118)

Kesimpulan

Islam telah menggariskan pelbagai hukum dan adab dalam kehidupan berumahtangga untuk mengekalkan kesejahteraan dan keharmonian di antara suami dan isteri. Bagi memulihkan permasalahan nusyuz ini, Allah SWT telah memberikan jalan kepada suami untuk mendidik isterinya dengan ketetapan-ketetapan yang dibenarkan oleh syara‘.

Kebenaran memukul ini juga diikat oleh para ulama’ dengan memastikan bahawa pukulan tersebut boleh mendidik isteri dan kembali mematuhi suami. Akan tetapi, sebaiknya suami tersebut memilih cara yang lebih lembut kerana sifat wanita itu sendiri adalah sukakan pada kelembutan.

Suami juga perlu jelas dan faham, pada zaman ini cara untuk mengesahkan bahawa isteri telah nusyuz tidak boleh dilakukan sewenang-wenangnya, ia memerlukan prosedur dan rujukan di mahkamah syariah. Apabila isteri telah kembali melaksanakan kewajipannya dengan mentaati suami suami tidak boleh menzalimi isterinya atau mendatangkan sebarang mudharat ke atasnya. Ini jelas berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِنْ أَطَعْنَكُمْ فَلَا تَبْغُوا عَلَيْهِنَّ سَبِيلًا

Maksudnya: “Kemudian jika mereka taat kepada kamu, maka janganlah kamu mencari-cari jalan untuk menyusahkan mereka.”

(Surah al-Nisa’: 34)

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan: 74)

Wallahu a‘lam

Bertarikh: 17 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *