#2678: Isteri Tunai Haji Tanpa Izin Suami

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Adakah seorang wanita boleh melaksanakan haji wajib tanpa izin suaminya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Secara umumnya seorang wanita turut diwajibkan untuk menunaikan fardhu haji sekiranya dia berkemampuan. Hal ini berdasarkan umumnya firman Allah SWT:

وَلِلَّـهِ عَلَى النَّاسِ حِجُّ الْبَيْتِ مَنِ اسْتَطَاعَ إِلَيْهِ سَبِيلًا

Maksudnya: “Dan Allah mewajibkan manusia mengerjakan ibadat Haji dengan mengunjungi Baitullah iaitu sesiapa yang mampu sampai kepadanya.”

(Surah Ali Imran: 97)

Dalam kitab Fiqh al-Nisa’ fi al-Hajj, disebut bahawa wajib bagi seorang isteri untuk meminta izin kepada suaminya untuk keluar pergi menunaikan ibadah haji dan suami tidak boleh menegah isteri yang ingin menunaikan haji pertama. Disebut: “Ulama’ Hanafi dan Ahmad, serta pendapat yang sahih daripada Imam al-Syafi’i menyatakan bahawa seorang suami tidak boleh melarang isterinya yang hendak pergi menunaikan haji yang pertama.”

Ibn Qudamah dalam al-Mughni berkata: “Suami tidak dibolehkan melarang isterinya menunaikan haji Islam. Dan ini adalah pendapat al-Nakha’i, Ishaq, Abu Thaur dan ashab Abu Hanifah. Dan begitu juga pendapat yang terkuat daripada al-Syafi’i. Kerana ia adalah wajib, maka disebabkan itu tidak boleh melarangnya. Ini juga sepertimana puasa Ramadhan dan solat lima waktu. Dan dianjurkan untuk meminta izin akan hal itu. Ditegaskan hal ini oleh Ahmad. Jika diizinkan, maka dia berangkat. Dan jika tidak, maka dia berangkat tanpa izinnya. Adapun bagi haji sunat, maka suami dibolehkan untuk menegahnya. (Lihat al-Mughni, 5/35)

Hal ini juga seperti yang dinyatakan oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam fatwanya yang menyebut: Sah hukumnya bagi seorang isteri melaksanakan haji wajib tanpa izin suaminya. Adapun haji tatawwu’ (sunat), maka hendaklah dengan izin suaminya kerana ia berkaitan dengan penghilangan haknya. (Lihat Fatawa Mu’asirah oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, hlm. 42)

Penutup

Kami katakan, haji merupakan salah satu rukun Islam yang lima dan menjadi puncak dalam ibadat. Peri pentingnya umat Islam melaksanakan ibadat haji untuk menyaksikan manfaat-manfaat sama ada manfaat duniawiyah mahupun diniyah atau ukhrawiyyah.

Di sini dibentangkan beberapa hikmah disebalik pensyariatan haji sekali seumur hidup kepada setiap muslim. Antaranya:

  • Kewajipan haji sekali seumur hidup seperti disabdakan Nabi saw adalah tepat. Ia menggambarkan sifat Rahmatan lil Alamin yang disebut dalam al-Quran. Islam merupakan agama yang tidak memberatkan penganutnya dengan pensyariatan yang membebankan. Hal ini terbukti dalam suasana pada hari ini apabila pelaksanaan haji itu menuntut kemampuan dari segi kewangan dan juga fizikal.
  • Bagi mereka yang memiliki dana lebih, maka alangkah baiknya mengalihkan dana hajinya untuk kepentingan sosial seperti bantuan kepada agensi dan persatuan agama Islam, bantuan kemanusiaan dan sebagainya.
  • Dengan melaksanakan sekali haji, ia bakal memberikan ruang dan peluang kepada orang lain menunaikan rukun Islam yang kelima tersebut. Hal ini lebih terserlah apabila kita sering dengar orang ramai yang menunggu giliran haji yang bertahun-tahun lamanya. Selain itu, pihak kerajan Arab Saudi juga telah mengenakan kouta haji bagi mengelakkan kesesakan jemaah haji ketika musim haji seterusnya mampu mengelak sebarang kemudaratan kepada mereka.

Oleh itu, jelaslah di sini bahawa ibadah haji ini merupakan pensyariatan yang diturunkan berdasarkan kepada kemampuan manusia. Namun, pelaksanaannya menuntut kepada iltizam yang tinggi dan merupakan rukun yang terakhir yang melengkapkan kesempurnaan Islam seseorang.

Akan tetapi, pelaksanaan mestilah mengikut syarat-syarat dan istita’ah sebagaimana yang dinaskan oleh Allah SWT.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ أَعِنَّا عَلَى ذِكْرِكَ ، وَشُكْرِكَ ، وَحُسْنِ عِبَادَتِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, tolonglah kami untuk zikir kepada-Mu, bersyukur kepada-Mu dan elok dalam beribadat kepada-Mu.”

 

Bertarikh: 17 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *