#2684: Sisa Minuman Kucing Selepas Ia Makan Bangkai

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apakah hukum sisa air minuman kucing yang sebelumnya memakan bangkai dan air itu dalam jumlah yang sedikit kurang daripada dua qullah? Adakah masih dikira suci? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami terangkan terlebih dahulu maksud 2 kullah:

Rasulullah SAW bersabda:

‏ إِذَا بَلَغَ الْمَاءُ قُلَّتَيْنِ لَمْ يُنَجِّسْهُ شَىْءٌ

Maksudnya: “Apabila air mencapai dua kolah, maka ia tidak dinajiskan oleh sesuatu.”

Riwayat al-Tirmizi (67), Ibn Majah (517), Ahmad (5803) dan al-Nasa’ie (52)

Nilai dua kolah mengikut:

  • Dua Kolah ataupun dalam istilah arabnya, qullah (قُلَّة) ialah 500 kati Baghdad, bersamaan 192.857 kg atau 1 ¼ hasta padu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 1/175)
  • Sebenarnya sukatan atau kadar air yang dikemukakan oleh ulama’ berkenaan dengan dua qullah bersifat taqribi bukan tahdidi atau tepat. Dr Wahbah al-Zuhaili dalam al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh menyebut nilainya seperti berikut:
    • Dari segi timbangan iaitu 446 3/7 kati Mesir, 81 kati Syam (1 kati Syam bersamaan 2.5 kg. justeru, 2 qullah bersamaah 195.113 kg).
    • Dari segi sukatan 10 tin (ada pendapat mengatakan 15 tin atau 270 liter).
    • Dari segi ukuran 1 ¼ hasta segi empat panjang, lebar dan dalam berdasarkan hasta sederhana. Bagi bekas bulat pula seperti telaga 2 hasta dalam dan 1 hasta lebar. Menurut pandapat ulama’ Hanbali, ukurannya ialah 2 ½ hasta dalam dan 1 hasta lebar. (Lihat al-Fiqh al-Islami wa Adillatuh, 1/273)

  • Majlis Agama Islam Singapura juga mentakrifkan dua kolah sebagai 270 liter. 
  • Mengikut Dr Abdul Salam Muhammad Shukri, dari Kulliyah Ilmu Wahyu dan Sains Kemanusiaan, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, ukuran dua kolah adalah isi padu air kira-kira 9 ¾ tin minyak tanah atau 192.121 kilogram.
  • Jabatan Mufti Negeri Melaka mengirakan jumlah 2 kolah dengan seberat 162.72 kg dan dari segi ukuran tempat empat persegi ia memerlukan 60 X 60 cm.

Secara umumnya, Imam al-Nawawi menyatakan bahawa mazhab kami (mazhab Syafi‘i) berpendapat, lebihan minuman atau makanan kucing adalah suci dan tidak makruh. Demikianlah juga lebihan makanan dan minuman seluruh haiwan seperti kuda, baghal, keldai, haiwan buas, tikus, ular dan cicak. Begitu juga seluruh haiwan yang halal dimakan dagingnya mahupun yang tidak halal dimakan dagingnya, lebihan makanannya dan juga minumannya serta peluhnya adalah suci dan tidak makruh, kecuali anjing dan babi serta haiwan yang lahir daripada kedua-duanya. Pengarang al-Hawi menukilkan seperti mana pendapat mazhab kami daripada Umar bin al-Khattab, Ali, Abu Hurairah, al-Hasan al-Basri, ‘Ata’ dan al-Qasim bin Muhammad.

Manakala Imam Abu Hanifah dan Ibn Abi Laila berpendapat, makruh lebihan makanan dan minuman kucing. Demikian juga Ibn Umar berpendapat ia adalah makruh. Ibn al-Musayyib dan Ibn Sirin berpendapat, dibasuh bekas yang terdapat padanya air liur kucing sebanyak sekali, manakala Tawus pula berpendapat dibasuh sebanyak tujuh kali. Sedangkan jumhur ulama berpendapat, ia tidak makruh sebagaimana pendapat mazhab kami. Imam Abu Hanifah menyatakan bahawa haiwan itu terbahagi kepada empat jenis. Jenis pertama, haiwan yang dimakan dagingnya seperti lembu dan kambing, maka lebihan makanan dan minumannya adalah suci. Jenis kedua, binatang buas seperti singa dan serigala, maka lebihan makanan dan minumannya adalah najis. Jenis ketiga, burung pemburu seperti helang dan falkon, maka lebihan makanan dan minumannya adalah suci melainkan dihukumkan sebagai makruh untuk menggunakannya, begitu juga dengan kucing (makruh hukumnya). Jenis keempat, baghal dan keldai yang diragukan pada lebihan makanan dan minumannya. Maka tidak boleh dihukumkan secara pasti akan kesuciannya mahupun kenajisannya, serta tidak boleh berwuduk dengan lebihan air minumannya. (Lihat Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 1/172-173).

Seterusnya, di dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah (24/104-105), setelah dibawakan pendapat ulama mazhab Syafi‘i, dinyatakan pula bahawa sekiranya salah satu daripada haiwan-haiwan ini (selain babi dan anjing serta haiwan yang lahir daripada kedua-duanya) menjilat suatu makanan, maka harus untuk kita memakan makanan itu tanpa makruh, begitu juga jika ia meminum air, maka harus digunakan air itu untuk berwuduk tanpa dihukumkan sebagai makruh. Di antara hujah ulama yang mengharuskannya adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

 وَمَا جَعَلَ عَلَيْكُمْ فِي الدِّينِ مِنْ حَرَجٍ

Maksudnya: “Dia tidak menjadikan kamu menanggung sesuatu keberatan dan susah payah dalam perkara agama.

(Surah al-Hajj: 78)

Hal ini kerana menghukumkan sebagai najis lebihan makanan dan minuman haiwan-haiwan itu terdapat suatu keberatan dan kepayahan, serta sukar untuk menjaga atau mengawasi daripada sebahagiannya seperti kucing dan haiwan seumpamanya yang berada di sekitar rumah-rumah.

Kabsyah binti Ka‘ab bin Malik ada meriwayatkan bahawa pada suatu hari Abu Qatadah berada di dalam rumah, lalu dia telah menyediakan baginya sebekas air untuk dijadikan sebagai air wuduk. Kemudian, datang seekor kucing meminum air tersebut. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu meminum air daripada bekas tersebut. Kemudian, Abu Qatadah perasan yang Kabsyah memandang kepadanya lalu dia bertanya: “Adakah kamu merasa pelik wahai anak saudaraku?” Kabsyah menjawab: “Ya.”  Lalu Abu Qatadah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”

Riwayat al-Tirmizi (92); Abu Daud (75); al-Nasa’i (68) dan Ibn Majah (367)

Kemudian Imam al-Tirmizi menyatakan selepas menyebutkan hadith di atas bahawa hadith ini adalah hasan sahih. Ini adalah pendapat kebanyakan ulama daripada kalangan sahabat Nabi, tabi‘in dan ulama selepas mereka seperti Imam al-Syafi‘i, Ahmad dan Ishaq yang berpendapat sisa minuman kucing tidak mengapa.

Al-San‘ani menyebutkan dalam kitabnya bahawa Allah SWT telah memberi keringanan kepada hamba-Nya (hukum berkaitan kucing) dengan menjadikannya tidak najis, bagi menghilangkan kesusahan kepada manusia, dan hadith ini merupakan dalil bahawa kucing itu adalah suci, begitu juga bekas minumannya (air yang telah diminum). (Lihat Subul al-Salam, 1/33).

Adapun babi dan anjing serta haiwan yang lahir daripada kedua-duanya atau salah satu daripadanya, maka lebihan makanan dan minumannya adalah najis. Ini berdasarkan kepada firman Allah SWT: 

فَإِنَّهُ رِجْسٌ

Maksudnya: “Kerana sesungguhnya ia adalah kotor.

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga berdasarkan sabda Nabi SAW:

طَهُورُ إِنَاءِ أَحَدِكُمْ إِذَا وَلَغَ فِيهِ الْكَلْبُ، أَنْ يَغْسِلَهُ سَبْعَ مَرَّاتٍ أُولَاهُنَّ بِالتُّرَابِ

Maksudnya:Sucinya bekas salah seorang di antara kamu apabila ia (bekas) dijilat anjing adalah dengan cara membasuhnya sebanyak tujuh kali dan (basuhan) yang pertama dengan tanah.”

Riwayat Muslim (279)

Dalam riwayat lain datang dengan lafaz: “فلْيُرِقْهُ” iaitu tuanglah (buanglah) lebihan air dijilat oleh anjing itu. Perbuatan membuang air itu termasuk dalam merosakkan harta benda.

Hadith ini jelas menunjukkan kepada kenajisan anjing itu. Dalam erti kata lain, jika ia bukan dianggap sebagai najis, sudah tentu tidak diperintahkan untuk menuangnya — yakni membuang baki air daripada sisa minum anjing — kerana perbuatan tersebut termasuk dalam mensia-siakan (membazir) harta. Kalaulah air itu dihukumkan sebagai suci, sudah tentu tidak diperintahkan untuk menuangnya — yakni membuang baki air daripada sisa minum anjing — kerana perbuatan tersebut termasuk dalam mensia-siakan (membazir) harta.

Berbalik kepada soalan yang diajukan, dinyatakan dalam al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah bahawa jika seseorang melihat seekor kucing atau haiwan seumpamanya memakan najis, lalu kucing itu kembali ke air yang sedikit iaitu yang kurang dari dua qullah, kemudian minum dari air itu, maka terdapat tiga pendapat dalam kalangan ulama mazhab Syafi‘i:

Pendapat pertama, dan ini pendapat yang paling sahih iaitu jika kucing tersebut telah menghilang (pergi), kemudian barulah ia kembali, maka ia tidak menajiskan air kerana boleh untuk (adanya kemungkinan) ia telah pergi ke air yang banyak dan minum darinya sehingga mulutnya telah menjadi bersih. Justeru, dalam hal ini, kita telah yakin akan kesucian air dan berlaku syak pada kenajisan mulutnya. Maka, air yang sudah diyakini kesuciannya itu tidak akan menjadi najis dengan sebab syaknya (pada kenajisan mulut kucing tersebut). 

Pendapat kedua menyatakan sisa air yang diminum itu menjadi najis kerana kita telah yakin mengenai kenajisan mulutnya.

Pendapat ketiga menyatakan sisa air yang diminum itu tidak menjadi najis dalam apa keadaan pun kerana susah untuk menghindarinya, maka ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan. Dalilnya adalah hadith (sebagaimana yang telah disebutkan di atas): “Kerana kucing ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.” Pendapat ini adalah yang terbaik menurut Imam al-Ghazali dan ulama selainnya disebabkan keumuman keperluan kepadanya dan susah untuk menghindarinya, sehingga hal ini serupa dengan orang Yahudi dan peminum arak kerana sisa minuman kedua-duanya tidak dikira sebagai makruh di sisi ulama mazhab Syafi‘i. (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 24/105). 

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa sisa minuman kucing yang sebelumnya ada makan najis seperti tikus dan seumpamanya adalah tetap dikira suci sekalipun kurang dua qullah dengan syarat air tersebut tidak berubah warna, bau dan rasanya ataupun terdapat kesan najis pada air itu. Akan tetapi jika sisa air itu itu telah berubah warna, bau atau rasanya atau terdapat kesan najis padanya, maka dalam hal ini air tersebut tidak lagi dihukumkan sebagai suci sebaliknya dikira sebagai najis. 

Kesucian sisa minuman kucing adalah berdasarkan kepada hadith (sebagaimana yang telah disebutkan di atas) yang menceritakan mengenai kucing yang meminum air daripada bekas air wuduk. Abu Qatadah membiarkan sahaja kucing itu minum air daripada bekas itu sehingga menimbulkan perasan pelik kepada Kabsyah. Lalu Abu Qatadah menjelaskan bahawa Rasulullah SAW pernah bersabda:

إِنَّهَا لَيْسَتْ بِنَجَسٍ، إِنَّمَا هِيَ مِنَ الطَّوَّافِينَ عَلَيْكُمْ، أَوِ الطَّوَّافَاتِ

Maksudnya: “Sesungguhnya kucing itu tidak najis kerana ia ialah haiwan yang berkeliaran di sekeliling kamu.”

Riwayat al-Tirmizi (92); Abu Daud (75); al-Nasa’i (68) dan Ibn Majah (367)

Lebih-lebih lagi, sebagaimana yang diketahui bahawa kucing sememangnya memakan tikus dan haiwan seumpamanya, lalu menjadikan mulutnya terkena darah yang bernajis, dan begitu juga bangkai tikus yang sudah mati. Kemudian ia menjilat-jilat pula bulunya. Meskipun demikian, syarak tetap menyatakan ia termasuk dalam perkara yang dimaafkan (yakni tidak mengapa) dan bukan najis (yakni haiwan yang suci). Oleh sebab itu, para fuqaha’ memutuskan bahawa jika kucing memakan najis, kemudian minum air sedikit, maka sisa air tersebut tidak dihukumkan sebagai najis. Secara zahirnya, air liurnya telah menyucikan atau membersihkan najis yang ada dalam mulutnya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a‘lam

 

Bertarikh: 17 Ogos 2023 bersamaan 30 Muharram 1445 H

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *