Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Apa hukum melakukan tawaf Qudum. Dan adakah tawaf Qudum gugur bagi orang yang melakukan umrah?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Terdapat tiga jenis tawaf dalam ibadah haji, iaitu Tawaf Qudum, Tawaf Ifadhah dan Tawaf Wada’. Manakala dalam ibadah umrah, terdapat dua jenis iaitu Tawaf Umrah dan Tawaf Wada’. Manakala yang tidak berhubungan dengan kedua ibadah tersebut dan bersifat umum adalah Tawaf Tatawwu’. (Lihat Nihayah al-Mathaf, hlm. 18)

Tawaf Qudum juga disebut beberapa nama seperti tawaf wurud (طَوَافُ الوُرُوْد), tawaf tahiyyah (طَوَافُ التَّحِيَّة), tawaf warid (طَوَافُ الوَارِد), tawaf liqa’ (طَوَافُ اللِّقَاء) dan tawaf qadim (طَوَافُ القَادِم).

Tawaf Qudum adalah merupakan tawaf yang dilakukan oleh mereka yang baru sampai di Makkah. Ia dilakukan sebagai satu bentuk penghormatan terhadap Ka’bah dan disyariatkan kepada orang yang datang dari luar Makkah sebagai penghormatan kepada Baitullah (Ka’bah).

Tawaf Qudum ini dilakukan oleh orang yang melakukan Haji Ifrad dan Haji Qiran apabila telah berihram dari luar kota Makkah dan memasuki Makkah sebelum wukuf di Arafah. Adapun, bagi mereka yang melakukan Haji Tamattu’, maka tidak melakukannya kerana mereka melakukan ibadah umrah, kemudian melakukan haji.

Hukum Tawaf Qudum

Secara asasnya, para ulama’ berbeza pandangan berkenaan hukum tawaf Qudum kepada dua pendapat:

Pandangan pertama, hukumnya sunat dan tidak wajib, sehingga tidak ada dosa dan hukuman bagi yang meninggalkannya. Inilah pendapat Hanafiyyah, Syafi’iyyah dan Hanabilah serta Ibn Munzir. (Lihat al-Majmu’, 8/25; Hasyiyah Ibn ‘Abidin, 3/448 dan Nail al-Autar, 3/46)

Pandangan ini berdalilkan dengan beberapa dalil berikut:

Firman Allah SWT:

 وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ ‎

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”

(Surah al-Hajj: 29)

Para ulama yang menyatakan tidak wajib tawaf Qudum, berhujahkan bahawa yang dimaksudkan dengan ayat di atas adalah tawaf Ifadhah, lalu ia tidak boleh dijadikan asas untuk mewajibkan tawaf Qudum. Al-Syaukani menyebut: “Berhujah dengan ayat ini untuk menyatakan wajibnya (tawaf Qudum), (dibantah) oleh pensyarah al-Bahr dengan menyatakan bahawa ayat ini tidak menunjukkan tawaf Qudum, kerana yang dimaksudkan pada ayat ini adalah tawaf ziyarah menurut ijma’. (Lihat Ahkam al-Tawaf bi al-Bait, hlm. 40)

Daripada ‘Urwah bin Mudharris R.A bahawa Nabi SAW bersabda:

مَنْ شَهِدَ صَلاَتَنَا هَذِهِ، وَوَقَفَ مَعَنَا حَتَّى نَدْفَعَ وَقَدْ وَقَفَ بِعَرَفَةَ قَبْلَ ذَلِكَ لَيْلاً، أَوْ نَهَارًا، فَقَدْ أَتَمَّ حَجَّهُ

Maksudnya: “Sesiapa yang menyaksikan solat kami ini dan wukuf bersama kami hingga kami keluar dalam keadaan telah wukuf di Arafah sebelumnya pada waktu malam atau siang, maka telah sempurna hajinya.”

Riwayat Abu Daud (1950), al-Tirmizi (891) dan al-Nasa’ie (3043).

Di sini, Nabi SAW tidak menyebut tawaf Qudum, lalu menunjukkan bahawa tidak wajibnya tawaf Qudum.

Tawaf Qudum juga secara ijma’ telah dinyatakan bahawa ia tidak diwajibkan terhadap penduduk Makkah. Sekiranya ia adalah rukun, sudah tentu ia wajib bagi mereka juga. Ini kerana rukun tidak ada perbezaannya dalam hukumnya antara penduduk Makkah dan penduduk luar Makkah. (Lihat Bada’i’ al-Sana’i’, 3/119)

Pandangan kedua, hukumnya adalah wajib bagi mereka yang datang ke kota Makkah sebagai bentuk penghormatan kepada Baitullah, melainkan bagi orang yang tidak sempat kerana mengejar wukuf di Arafah. Inilah pandangan yang dikemukakan oleh Malikiyyah dan Ahmad dalam satu riwayat. (Lihat al-Mudawanah, 1/298; Syarh al-’Umdah, 3/652)

Antara dalil bagi pandangan ini adalah:

Firman Allah SWT:

 وَلْيَطَّوَّفُوا بِالْبَيْتِ الْعَتِيقِ ‎

Maksudnya: “Dan hendaklah mereka tawaf akan Baitullah (Kaabah) yang tua sejarahnya itu.”

(Surah al-Hajj: 29)

Mereka menyatakan bahawa dalam ayat ini, terdapat perintah Allah SWT untuk melakukan tawaf dan perintah menunjukkan kepada wajib.

Meskipun begitu, hujah ini dibantah kerana ayat di atas adalah berkenaan tawaf Ifadhah mengikut ijma’ ahli tafsir, sepertimana yang dinyatakan oleh Ibn Jarir al-Tabari dan beliau menegaskan bahawa tidak ada perbezaan pandangan antara ulama tafsir dalam hal ini. (Lihat Jami’ al-Bayan, 9/142)

Pandangan ini juga berdalilkan hadith Nabi SAW, di mana Baginda bersabda:

مَنْ أَتَى الْبَيْتَ فَلْيُحَيِّهِ بالطَّوَافِ

Maksudnya: “Sesiapa yang datang ke Ka’bah, maka hendaklah dia menghormatinya dengan tawaf.” (Disebut dalam kitab al-Hidayah Syarh al-Bidayah, 3/51)

Hujah ini juga dibantah kerana hadith yang disebut di atas tidak ditemui dalam kitab-kitab hadith yang ada. Seandainya hadis ini sahih pun, maka ia tidak mengandungi asas yang kuat untuk mewajibkan tawaf Qudum kerana di sana ada petunjuk yang boleh memalingkan hukumnya daripada wajib iaitu lafaz al-tahiyyah (menghormati), yang merupakan bentuk penghormatan dengan memulakan tawaf ketika datang ke Ka’bah. (Lihat Ahkam al-Tawaf, hlm. 40)

Berkenaan persoalan di atas, kami kemukakan juga di sini pandangan Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili yang menyebut:

Tawaf qudum adalah wajib menurut Malikiyyah bagi orang yang melakukan ihram dari luar tanah haram, meskipun itu termasuk daerah Makkah. Dan ia adalah sunat menurut jumhur fuqaha’ bagi orang yang melaksanakan haji dengan memasuki Makkah sebelum wukuf di Arafah sama ada haji ifrad mahupun qiran.

Tawaf Qudum menjadi gugur disebabkan tiga perkara

  • Bagi penduduk Makkah dan yang termasuk di dalamnya, 
  • Bagi orang yang hidup di tanah haram iaitu orang yang rumahnya ada pada selain daerah yang dikenal, juga; 
  • Bagi orang yang melakukan umrah dan orang yang melakukan haji tamattu’ meskipun dia selain penduduk Makkah yang menuju Arafah untuk melakukan wukuf.

(Lihat Fatawa Mu’asirah oleh Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili, hlm. 40)

Penutup

Kami katakan amatlah baik bagi siapa yang ingin menunaikan ibadat haji dan umrah untuk mempelajari haji dengan sempurna begitu juga dengan umrah. Hal ini kerana nasihat Rasulullah SAW kepada umatnya:

خُذُوا عَنِّي مَنَاسِكَكُمْ

Maksudnya:Ambillah daripadaku ibadah haji kalian.

Riwayat al-Nasa’i (3062)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa kepada Allah SWT semoga kita dikurniakan haji yang mabrur dan umrah yang mabrurah. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً ، وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً ، وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah: 201)

 

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply