#2707: Perempuan Membotakkan Kepala

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. bolehkah perempuan membotakkan rambut atas alasan rambut gugur terlalu banyak/kulit kepala gatal? Mohon pencerahan. Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan sabda Nabi SAW:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم أَنْ تَحْلِقَ الْمَرْأَةُ رَأْسَهَا

Maksudnya: Rasulullah SAW melarang wanita dari mencukur kepala mereka.

Riwayat al-Tirmidhi (914) dan al-Nasa’ie (5049)

Hadith di atas menjelaskan bahawa larangan untuk bercukur bagi perempuan ketika bertahallul (Haji & Umrah) dan secara mutlaknya kecuali sekiranya terdapat darurat. (Lihat Mirqah al-Mafatih Syarh Misykah al-Masabih, 5/1832).

Begitu juga, dalam hadith yang lain, Abu Salamah bin Abdurrahman RA, bahawa dia menyatakan:

وَكَانَ أَزْوَاجُ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَأْخُذْنَ مِنْ رؤوسهن حَتَّى تَكُونَ كَالْوَفْرَةِ

Maksudnya: “Para isteri Nabi SAW menipiskan sedikit rambut di kepala mereka, sehingga menjadi seperti ‘wafrah’ (iaitu rambut yang tidak melebihi telinga).“

Riwayat Muslim (320)

Imam al-Nawawi menyatakan harus menipiskan rambut wanita  namun tidak melebihi telinga. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 4/4). Hal ini kerana fitrah bagi seorang  wanita itu untuk membiarkan rambutnya  panjang dan hanya dibenarkan memotong rambut pada kadar yang  tidak sampai tahap menyerupai lelaki  iaitu tidak melebihi telinga.

Selain itu, Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-80 yang bersidang pada 1 – 3 Februari 2008 telah membincangkan Hukum Wanita Membotakkan Kepala dan Berhias Secara Aneh. Muzakarah telah memutuskan bahawa Wanita dilarang membotakkan kepala kecuali untuk tujuan rawatan perubatan bagi mengatasi masalah atau penyakit yang tertentu.

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan hukum asal perempuan membotakkan rambut adalah haram. Namun, ia dibenarkan (harus) apabila terdapat darurat seperti apabila gugur akibat kanser dan seumpamanya. Hal ini bersesuaian dengan kaedah fiqhiah:

الضَّرُورَاتُ تُبِيحُ الْمَحْظُورَاتِ

Maksudnya: Darurat mengharuskan perkara-perkara yang dilarang atau diharamkan.

Oleh itu, dalam isu saudara kami berpandangan sekiranya terdapat saranan oleh doktor kerana kulit berpenyakit, maka hukumnya adalah harus. Namun, sekiranya ada alternatif lain seperti mencuba shampoo rambut yang bersesuaian dalam merawat masalah kelemumur, maka itu lebih baik.

Semoga Allah SWT mengurniakan ilmu dan kefahaman kepada kita dalam beragama. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 22 Ogos 2023 bersamaan 5 Safar 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *