#2787: Qunut Nazilah

Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Boleh terangkan kepada kami apa itu qunut nazilah?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami katakan bahawa qunut nazilah merupakan qunut yang dilakukan apabila berlaku bala dan musibah kepada umat Islam sama ada seperti peperangan, serangan musuh, dan juga wabak.

Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim berkata, “Yang sahih lagi masyhur apabila datang bala seperti serangan musuh atau kemarau panjang, wabak, kehausan dan kekeringan, serta mudarat yang zahir terkena kepada orang Islam dan seumpamanya, maka mereka melakukan qunut pada semua solat fardhu.”

Qunut nazilah ini adalah dilakukan pada rakaat akhir sama ada sebelum atau selepas rukuk. Daripada Ibnu Abbas R.Anhuma katanya:

 قَنَتَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ شَهْرًا مُتَتَابِعًا فِي الظُّهْرِ وَالْعَصْرِ وَالْمَغْرِبِ وَالْعِشَاءِ وَصَلاَةِ الصُّبْحِ فِي دُبُرِ كُلِّ صَلاَةٍ إِذَا قَالَ ‏ “‏ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ ‏”‏ ‏.‏ مِنَ الرَّكْعَةِ الآخِرَةِ يَدْعُو عَلَى أَحْيَاءٍ مِنْ بَنِي سُلَيْمٍ عَلَى رِعْلٍ وَذَكْوَانَ وَعُصَيَّةَ وَيُؤَمِّنُ مَنْ خَلْفَهُ

Maksudnya: “Rasulullah SAW berqunut selama sebulan berturut-turut pada sembahyang Zuhur, Asar, Maghrib, Isyak dan solat Subuh pada setiap akhir solat selepas beliau mengucapkan ‏ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُpada rakaat akhir, lantas, dia mendoa kecelakaan kepada perkampungan Bani Sulaim terhadap Ri’lin, Zakwan, Usaiyah dan diaminkan sahabat di belakangnya.

Riwayat Abu Dawud (1443). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan isnadnya sahih dalam takhrij Sunan Abi Dawud.

Hadith yang sama diriwayatkan daripada Anas bin Malik secara muttafa ‘alaih. Mengikut riwayat al-Bara’ RA katanya, “Rasulullah SAW berqunut pada solat fajar dan juga Maghrib.” Hadith ini dikeluarkan oleh Muslim.

Pengalaman kami ketika berada di Universiti Islam Madinah ketika berlakunya Perang Teluk pada awal 1990-an imam Masjid Nabawi dan Masjidil Haram juga melakukan qunut nazilah.

Semoga Allah SWT selamat dan sisihkan kita daripada bala dan malapetaka. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوْذُ بِكَ مِنْ جَهْدِ البَلَاءِ، وَدَرَكِ الشَّقَاءِ، وَسُوءِ القَضَاءِ ، وَشَمَاتَةِ الأَعْدَاءِ

Maksudnya: “Wahai Allah! Kami berlindung kepada-Mu daripada ujian yang berat, hinanya kecelakaan, buruknya takdir dan celaan para musuh (atas bala, ujian dan kecelakaan yang menimpa).”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *