Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Saya ingin bertanya kenapa qunut nazilah dilakukan semasa qiyam dan bukan ketika sujud sedangkan kita tahu ketika sujud doanya mustajab?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan hadith Nabi SAW: Daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَقْرَبُ مَا يَكُونُ الْعَبْدُ مِنْ رَبِّهِ وَهُوَ سَاجِدٌ فَأَكْثِرُوا الدُّعَاءَ ‏

Maksudnya: Keadaan paling rapat seorang hamba dengan Tuhan-nya adalah ketika dia bersujud, maka perbanyakkanlah kalian dengan berdoa (pada waktu sujud).

Riwayat Muslim (482)

Adapun qunut nazilah sebagaimana yang kami nukilkan daripada Imam al-Nawawi dalam Syarah Muslim, “Yang sahih lagi masyhur apabila datang bala seperti serangan musuh atau kemarau panjang, wabak, kehausan dan kekeringan, serta mudarat yang zahir terkena kepada orang Islam dan seumpamanya, maka mereka melakukan qunut pada semua solat fardhu.”

Berkenaan dengan hikmah menjadikan qunut pada masa qiyam bukan pada masa sujud, al-Hafiz Ibnu Hajar menyatakan, “Zahir bagiku bahawa hikmah pada menjadikan qunut nazilah semasa iktidal bukan ketika sujud sedangkan sujud tempat yang disangka terima dan mustajab doa, bahawa yang dikehendaki daripada qunut nazilah adalah bersektuu dan bersepakat, makmum dan imam dalam doa sekalipun dengan mengaminkannya. Dengan sebab itu, sepakatlah mereka untuk menjahar atau menguatkan bacaaan qunut.” (Lihat Fath al-Bari, 2/484)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 1 September 2023 bersamaan 15 Safar 1445 H

Leave a Reply