#2834: Dalil Daging Itik adalah Halal

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Saya tahu itik adalah halal tetapi adakah di sana terdapatnya dalil yang menunjukkan bahawa itik itu halal dimakan? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan mengemukakan terlebih dahulu takrifan dan penjelasan ringkas mengenai itik.  Menurut Kamus Dewan Edisi Keempat, itik ialah sejenis binatang yang lebih kecil daripada angsa, bebek. Secara ringkasnya, itik ialah burung yang mempunyai bulu kalis air dan kaki renang. Itik berkaitan dengan angsa dan swan. Tetapi itik mempunyai leher dan sayap yang pendek dan paruh yang lebih leper. Itik menguak atau bersiul, tidak berbunyi ang. Itik hidup di seluruh dunia di tanah basah, termasuk rawang dan kawasan dekat sungai, kolam, tasik, dan lautan. la hidup di kawasan Artik kawasan beriklim sederhana atau tropika, selama sebahagian, atau sepanjang tahun. Banyak jenis itik berhijrah jauh setiap tahun di antara tempat pembiakan, di mana ia berehat dan memelihara anaknya, dan tempat menghabiskan musim sejuk, di mana air tidak membeku. Sesetengah itik berhijrah beribu-ribu kilometer dalam kawanan yang besar setiap tahun.

Common Shelduck - eBird

Gambar atas: Di antara contoh Shelduck

Kebanyakan itik sedap dimakan. Penternak membela itik yang kita beli dan makan di rumah atau di restoran. Penternakan itik adalah satu perusahaan yang menguntungkan di beberapa bahagian di Eropah, Australasia dan Amerika Syarikat.

Itik menghabiskan banyak masa di air. Kaki renang itik berfungsi sebagai dayung untuk berenang dan menyelam. Itik kelihatan cantik di air tetapi terkedek-kedek apabila berjalan di darat kerana kakinya terletak di sisi dan ke arah belakang badannya. Kebanyakan itik liar biasa beratnya dari satu hingga dua kilogram, tetapi sesetengah spesies kecil beratnya kurang daripada 0,45 kilogram.

Pelbagai jenis itik mendapat makanan dengan cara yang berbeza, bergantung pada ciri-ciri badannya. Sesetengah itik menjulurkan lehernya yang panjang ke dalam air yang cetek. Yang lain menyelam dalam air yang dalam untuk mendapatkan makanan. Itik yang menyaring makanan mempunyai paruh yang lebar dengan tepinya yang menapis biji-bijian, serangga dan siput daripada air. Sesetengah itik mempunyai paruh yang pendek yang digunakan untuk menanggalkan teritip daripada batuan atau untuk menangkap kima. Yang lain mempunyai paruh yang panjang dan halus dengan tepinya bak gergaji untuk menangkap dan memegang ikan.

Itik melindungi dirinya daripada kesejukan air dengan mengalisairkan bulunya. Ia menggunakan paruhnya untuk menyapu bulu dengan minyak berlilin daripada kelenjar di pangkal ekornya. Di bawah bulu yang diminyakkan ini terdapat satu lapisan bulu yang lembut dan gebu yang dinamakan bulu kapas. Bulu kapas ini membantu menebat badan itik, kerana ia memerangkap udara di bawah bulu di luar. Bulu kapas itik elder betina terkenal sebagai isi untuk peralatan tempat tidur. Kebanyakan itik jantan mempunyai bulu berwarna terang. Warna ini termasuk hijau, biru, merah, dan perang berangan. Tetapi itik jantan sesetengah spesies kebanyakannya berwarna hitam dan putih. Kebanyakan itik betina berwarna perang dan boleh bersembunyi dengan berbaur dengan keadaan sekelilingnya semasa mengeramkan telur atau menjaga anak.

Makanan. Itik yang tidak menyelam untuk mendapatkan makanan, dinamakan itik menyudu. la memakan tumbuh-tumbuhan tanah basah, termasuk biji rumpai air, rumput, rusiga dan rush. la juga memakan serangga dan lain-lain haiwan kecil yang didapatinya di permukaan atau dalam air. Itik menyelam air tawar memakan akar, biji-bijian, siput, serangga, dan kima kecil dari dasar kolam dan tasik. Di air masin, itik menyudu memakan siput, teritip, udang, dan kupang, dan juga tumbuh-tumbuhan. Itik kayu memakan buah ok, buah-buahan kecil, serangga, dan biji-bijian. Merganser, sejenis itik laut, biasanya memakan ikan yang ditangkapnya sama ada di air masin atau air tawar. Itik elder dan lain-lain itik laut memakan ketam, teritip dan udang yang ditarik dari batuan dan rumpai. la menggali siput, kerang, kupang, dan kima dari dasar laut dan juga menangkap ikan.

Itik - Wikipedia Bahasa Melayu, ensiklopedia bebas

Gambar atas: Di antara contoh itik laut

Jenis itik. Ahli sains mengelaskan itik kepada lapan kumpulan. Di antaranya itik menyudu (Anatini), itik menyelam air tawar (Aythyini), itik tenggek (Cairinini), itik laut (Mergini), Shelduck (Tadomini), itik kapal stim (Tachyerini), itik berekor keras (Oxyurini), dan itik elder. Begitu juga di sana ada itik hutan iaitu burung air yang berwarna-warni, yang tinggal di hutan di selatan Kanada dan di seluruh kawasan hutan di Amerika Syarikat. Kebanyakan itik hutan terdapat di separuh bahagian timur Amerika Utara, tetapi sesetengahnya hidup di sepanjang pantai Pasifik. Hutan tanah rendah di sepanjang Sungai Mississippi menyediakan habitat yang paling sesuai bagi itik hutan. Itik hutan kerap mengunjungi kolam, paya dan lain-lain kawasan bencah dekat hutan. Itik ini memakan akon, biji-bijian dan serangga di air cetek.

Begitu juga itik melewar iaitu satu daripada itik liar yang paling biasa. la terdapat di sebahagian besar Asia, Eropah dan Amerika Utara. Itik ini berbeza-beza panjangnya dari 50 sentimeter hingga 70 sentimeter. Itik melewar memakan serangga air, siput, dan krustasea pada awal musim panas. Bagaimanapun pada waktu lain, ia memakan biji-bijian dan tumbuh-tumbuhan. (Lihat Ensiklopedia Dunia, terj. DBP, 9/518-522).

Dalam menjawab soalan di atas, pada asasnya, terdapat kaedah menyebutkan bahawa hukum asal — yakni dalam menentukan status halal — bagi suatu haiwan itu adalah harus dan halal dimakan selagi mana tiada dalil yang mengharamkannya. Firman Allah SWT:

أُحِلَّتْ لَكُم بَهِيمَةُ الْأَنْعَامِ إِلَّا مَا يُتْلَىٰ عَلَيْكُمْ

Maksudnya: “Dihalalkan bagi kamu (memakan) binatang-binatang ternak (dan sebagainya), kecuali apa yang akan dibacakan (tentang haramnya) kepada kamu.”

(Surah al-Ma’idah: 1)

Tambahan lagi, Syeikh Muhammad bin Soleh juga ada menyebutkan bahawa hukum asal bagi suatu makanan itu adalah halal melainkan adanya dalil yang mengharamkannya. Jika timbul keraguan dalam diri kita mengenai suatu makanan itu, yakni adakah ia halal ataupun haram. Maka, ia dihukumkan sebagai halal sehinggalah jelas kepada kita bahawa hukumnya adalah haram. Hal ini adalah berdasarkan kepada firman Allah SWT:

هُوَ الَّذِي خَلَقَ لَكُم مَّا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا

Maksudnya:Dia lah (Allah) yang menjadikan untuk kamu segala yang ada di bumi.

(Surah al-Baqarah: 29)

Ayat di atas merangkumi segala sesuatu yang ada di atas muka bumi ini yang terdiri daripada haiwan-haiwan, tumbuh-tumbuhan, pakaian dan sebagainya. Begitu juga firman Allah SWT:

وَسَخَّرَ لَكُم مَّا فِي السَّمَاوَاتِ وَمَا فِي الْأَرْضِ جَمِيعًا مِّنْهُ

Maksudnya: “Dan Dia (Allah) telah menundukkan untukmu apa yang di langit dan apa yang di bumi semuanya, (sebagai rahmat) daripada-Nya.”

(Surah al-Jathiyah: 13)

Begitulah juga dalam sebuah riwayat daripada Abu al-Darda’ bahawa Rasulullah SAW bersabda:

ما أَحَلَّ اللهُ فِي كِتَابِهِ فَهُوَ حَلَالٌ، وَمَا حَرَّمَ فَهُوَ حَرَامٌ، وَمَا سَكَتَ عَنْهُ فَهُوَ عَفْوٌ

Maksudnya:Apa yang Allah SWT halalkan dalam kitab-Nya, maka ia adalah halal. Apa yang Allah SWT haramkan, maka ia adalah haram, dan apa yang didiamkan mengenainya, maka ia adalah dimaafkan.”

Riwayat al-Bazzar (4087); al-Tabarani dalam Musnad al-Syamiyyin (2102)

Oleh yang demikian, hukum asal bagi seluruh haiwan adalah halal sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan keharamannya. (Lihat Fatawa Nur ‘ala al-Darb, 20/2).

Selain itu, al-Qarafi ada menyebutkan dalam al-Furuq (2/19) bahawa sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya, kami katakan, ia adalah diharuskan berdasarkan kepada hukum asal (berlepas daripada hukum haram).

Begitu juga al-Zarkasyi turut menyatakan, halal di sisi Imam al-Syafi‘i ialah sesuatu yang tidak terdapat dalil mengenai pengharamannya. Kemudian, Imam al-Syafi‘i menguatkan pendapatnya itu dengan firman Allah SWT:

قُل لَّا أَجِدُ فِي مَا أُوحِيَ إِلَيَّ مُحَرَّمًا عَلَىٰ طَاعِمٍ يَطْعَمُهُ إِلَّا أَن يَكُونَ مَيْتَةً أَوْ دَمًا مَّسْفُوحًا أَوْ لَحْمَ خِنزِيرٍ فَإِنَّهُ رِجْسٌ أَوْ فِسْقًا أُهِلَّ لِغَيْرِ اللَّهِ بِهِ

Maksudnya: “Katakanlah (wahai Muhammad): ‘Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi – kerana sesungguhnya ia adalah kotor – atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah.’

(Surah al-An‘am: 145)

Begitu juga dengan sabda Nabi SAW:

وَسَكَتَ عَنْ أَشْيَاءَ رَحْمَةً بِكُمْ؛ فَلَا تَبْحَثُوا عَنْهَا

Maksudnya: “Dan sesuatu yang didiamkan mengenainya (berkenaan hukumnya) adalah rahmat buat kamu, maka janganlah kamu mencari-cari mengenainya.

Berdasarkan kepada kaedah dan prinsip ini, banyak permasalahan yang rumit diselesaikan. (Lihat al-Manthur fi al-Qawa’id al-Fiqhiyyah, 2/70-71).

Selain itu, di sana terdapat juga ulama yang jelas menyatakan berkenaan kehalalan itik. Ini adalah seperti mana yang disebutkan oleh al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani bahawa mana-mana haiwan yang tidak terdapat padanya larangan, maka ia adalah halal (untuk dimakan), tetapi dengan syarat ia disembelih (mengikut syarak) seperti itik dan burung air. (Lihat Fath al-Bari, 9/619).

Begitu juga Imam al-Nawawi ada menyatakan, para ashab kami (ulama mazhab Syafi‘i) bersepakat mengenai kehalalan untuk memakan burung unta, ayam, burung kurki (yakni burung jenjang), burung hubara (الْحُبَارَى – chlamydotis), burung hajal (الْحَجَلِ – partridge), itik, burung qata (الْقَطَا – sandgrouse), burung ‘usfur (عصفور), burung qunbarah (قُنْبَرَة – iaitu burung jambul), burung durraj (دُرّاج), dan burung merpati. (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/21)

Selain itu, Imam al-Nawawi turut menyebutkan, mana-mana haiwan yang hidup di air dan juga di darat, di antaranya burung air seperti itik dan angsa serta seumpamanya, maka ia adalah halal. Namun, bangkainya tidak halal tanpa sebarang khilaf. Sebaliknya disyaratkan padanya sembelihan (menurut syarak bagi menghalalkannya). (Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 9/32)

Bahkan sebahagian ulama menyatakan bahawa kehalalan daging itik itu sebagai ijma‘ ulama. Ini sebagaimana yang dinyatakan oleh ‘Ala’uddin  al-Samarqandi bahawa adapun burung-burung yang jinak (yang biasanya dipelihara) seperti ayam, itik dan angsa, maka hukum memakannya adalah halal berdasarkan kesepakatan umat (ijma‘ al-Ummah). (Lihat Tuhfah al-Fuqaha’, 3/65).

Begitu juga al-Kasani turut menyebutkan, burung-burung yang jinak, di antaranya seperti ayam dan itik, begitu juga yang liar seperti burung merpati, burung fakhitah (dove) dan burung ‘usfur adalah halal (untuk dimakan) berdasarkan ijma‘ ulama. (Lihat Badai‘ al-Sanai‘, 5/39).

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, jelaslah bahawa itik termasuk dalam jenis burung yang halal untuk dimakan sebagaimana dalil-dalil yang telah dikemukakan di atas. Hal ini kerana ia termasuk dalam jenis haiwan yang tidak terdapat nas syarak mengenai pengharamannya, tidak terdapat perintah untuk membunuhnya mahupun larangan daripada membunuhnya. Jadi, ia kekal sebagaimana hukum asalnya iaitu halal dan diharuskan untuk memakannya. Kaedah fiqh menyatakan:

الْأَصْلُ فِي الْأَشْيَاءِ الْإِبَاحَةُ حَتَّى يَدُلُّ الدَّلِيلُ عَلَى التَّحْرِيمِ.

Maksudnya:Hukum asal bagi sesuatu perkara adalah harus sehinggalah datangnya dalil yang menunjukkan kepada keharaman (perkara tersebut).” (Lihat al-Asybah wa al-Naza’ir oleh al-Suyuti, hlm. 60).

Begitu juga dengan kaedah fiqh yang dipersetujui para ulama:

الأَصْلُ فِي الأَطْعِمَةِ الْحِلُّ، وَلاَ يُصَارُ إِلَى التَّحْرِيمِ إِلاَّ لِدَلِيلٍ خَاصٍّ

Maksudnya:Hukum asal bagi makanan adalah halal dan hukumnya tidak berubah kepada haram melainkan terdapat dalil khusus.” (Lihat al-Mausu‘ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 5/124-125).

Apatah lagi ia juga bukanlah burung yang memiliki kuku mencengkam yang digunakan untuk memburu haiwan sebagai makanan. Larangan untuk memakan burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam (yang digunakan untuk memburu) adalah jelas melalui riwayat daripada Ibn Abbas R.Anhuma, beliau berkata:

نَهَى رَسُولُ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم عَنْ كُلِّ ذِي نَابٍ مِنَ السِّبَاعِ وَعَنْ كُلِّ ذِي مِخْلَبٍ مِنَ الطَّيْرِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melarang memakan setiap binatang buas yang bertaring dan setiap jenis burung yang mempunyai kuku untuk mencengkam.”

Riwayat Muslim (1934) dan Abu Daud (3803)

Selain itu, hal ini juga dikuatkan lagi dengan nukilan ijma‘ oleh sebahagian ulama yang menyatakan mengenai keharusan dan kehalalan untuk memakannya. 

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 4 September 2023 bersamaan 18 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *