Soalan:

Assalamualaikum w.b.t Dato’ Seri. Ramai orang yang menganggap perkahwinan ini hanya akan menambahkan lagi komitmen diri tanpa mereka melihat kepada sudut positif yang diketengahkan oleh Islam. Bolehkah Datuk ceritakan sedikit kelebihan atau hikmah perkahwinan kepada individu? Saya berharap dengan ini masyarakat akan lebih ikhlas dan sabar melayari bahtera perkahwinan itu.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَأَنَّهُ خَلَقَ الزَّوْجَيْنِ الذَّكَرَ وَالْأُنثَىٰ

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya, Dia lah yang menciptakan pasangan – lelaki dan perempuan.”

(Surah al-Najm: 45)

Yakni Allah SWT menciptakan setiap daripada makhluk itu termasuklah haiwan, berpasang-pasangan yang terdiri daripada lelaki dan perempuan, atau jantan dan betina. (Lihat Ruh al-Ma‘ani, 14/68)

Kita sendiri dapat melihat bagaimana sebaik-baik manusia, yakni para rasul dan anbiya’ juga turut mengahwini wanita-wanita dan tidak mengamalkan hidup membujang. Hal ini secara jelas mengangkat martabat perkahwinan itu sendiri sebagai sunnah para rasul dan nabi terdahulu. Ini dirakamkan oleh Allah SWT di dalam firman-Nya:

وَلَقَدْ أَرْسَلْنَا رُسُلًا مِّن قَبْلِكَ وَجَعَلْنَا لَهُمْ أَزْوَاجًا وَذُرِّيَّةً ۚ

Maksudnya: “Dan demi sesungguhnya! Kami telah mengutus Rasul-rasul sebelum kamu, dan Kami jadikan untuk mereka isteri-isteri dan zuriat keturunan.”

(Surah al-Ra‘d: 38)

Firman Allah SWT di dalam ayat yang lain:

وَأَخَذْنَ مِنكُم مِّيثَاقًا غَلِيظًا

Maksudnya: “dan mereka pula (isteri-isteri kamu itu) telahpun mengambil perjanjian yang kuat daripada kamu?”

(Surah al-Nisa’: 21)

Oleh yang demikian, seseorang yang melangkahkan kaki dalam alam berumahtangga perlu tahu bahawa Allah SWT tidak mengangkat martabat sesuatu itu melainkan padanya kebaikan serta kelebihan, dan keduanya bergerak seiring dengan tanggungjawab yang wajib digalas oleh setiap pasangan.

Kami cuba menyenaraikan beberapa hikmah atau kelebihan perkahwinan kepada individu yang disebutkan oleh syara‘, dengan harapan agar ianya dapat membetulkan sudut pandang masyarakat terhadap perkahwinan ke arah yang lebih positif.

Pertama, perkahwinan dapat memelihara keimanan seseorang dan ketaatannya terhadap perintah agama. Kerana inilah Rasulullah SAW menyebutkan bahawa, siapa yang mengutamakan kriteria agama pada pasangannya, maka dia termasuk dalam kalangan mereka yang  beruntung. Ini sepertimana yang diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

تُنْكَحُ الْمَرْأَةُ لأَرْبَعٍ لِمَالِهَا وَلِحَسَبِهَا وَجَمَالِهَا وَلِدِينِهَا، فَاظْفَرْ بِذَاتِ الدِّينِ تَرِبَتْ يَدَاكَ

Maksudnya: “Wanita dinikahi kerana empat perkara; kerana hartanya, keturunannya, kecantikannya dan agamanya, maka pilihlah wanita yang taat beragama, nescaya engkau beruntung.”

Riwayat al-Bukhari (5090) dan Muslim (1466)

Pasangan yang soleh dan taat beragama akan menolong antara satu sama lain dalam memelihara agama, saling memberikan sokongan dan nasihat yang membolehkan pasangannya taat kepada Allah SWT serta membantunya menjauhkan diri daripada dosa. Ini sebagaimana yang diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَنْ رَزَقَهُ اللَّهُ امْرَأَةً صَالِحَةً، فَقَدْ أَعَانَهُ عَلَى شَطْرِ دِينِهِ، فَلْيَتَّقِ اللَّهَ فِي الشَّطْرِ الْبَاقِي

Maksudnya: “Barang siapa yang direzekikan oleh Allah seorang isteri yang solehah, sesungguhnya dia telah ditolong oleh Allah separuh daripada agamanya. Dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah pada separuh yang lainnya.”

Riwayat al-Tabarani (972) di dalam al-Mu‘jam al-Ausat, al-Hakim (2681), dan al-Baihaqi (5487) di dalam Syu‘ab al-Iman. Al-Albani menyebutkan bahawa status hadith ini hasan li ghairihi di dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (2/404)

Di dalam riwayat lain daripada Anas bin Malik R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

إِذَا تَزَوَّجَ الْعَبْدُ فَقَدْ اسْتَكْمَلَ نِصْفَ الدَّيْنِ، فَلْيَتَّقِ اللَّهَ فِي النِّصْفِ الْبَاقِي

Maksudnya: “Apabila seseorang hamba telah berkahwin, dia telah melengkapkan separuh agamanya, dan hendaklah dia bertaqwa kepada Allah untuk memenuhi kekosongan sebahagian lagi.”

Riwayat al-Baihaqi (5487).Al-Albani menyebutkan bahawa status hadith ini hasan di dalam Sahih al-Targhib wa al-Tarhib (2/404)

Kedua, perkahwinan juga dapat melindungi seseorang itu daripada bisikan dan godaan syaitan. Secara fitrahnya, lelaki mempunyai nafsu dan kecenderungan kepada wanita, dan begitu juga sebaliknya. Syaitan sentiasa mengambil kesempatan ke atas wanita untuk menggoda lelaki dan menggoncang nafsu syahwat mereka apabila mereka menghampiri kaum lelaki atau berinteraksi dengan mereka. Bahkan dengan hanya berlalu pergi daripada lelaki sahaja sudah cukup untuk menarik perhatian mereka.

Syaitan akan membuatkan wanita kelihatan lebih menarik kepada lelaki, sekaligus boleh menyebabkan mereka terjerumus ke dalam lembah dosa semata-mata untuk memuaskan nafsu mereka. Inilah fitnah yang disebutkan oleh Rasulullah SAW seperti dalam hadith yang diriwayatkan daripada Usamah bin Zaid R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

مَا تَرَكْتُ بَعْدِي فِتْنَةً أَضَرَّ عَلَى الرِّجَالِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Tidak aku tinggalkan selepas daripadaku yang lebih berbahaya ke atas kaum lelaki daripada wanita.”

Riwayat al-Bukhari (5096) dan Muslim (2740)

Maka, apabila seseorang itu telah berkahwin, dia mempunyai jalan yang halal  dan dibenarkan oleh syara‘ untuk melunaskan kehendak fitrahnya itu. Telah datang sebuah hadith yang diriwayatkan daripada Jabir bin Abdullah R.Anhuma, katanya:

أَنَّ رَسُولَ اللهِ ﷺ رَأَى امْرَأَةً، فَأَتَى امْرَأَتَهُ زَيْنَبَ، وَهِيَ تَمْعَسُ مَنِيئَةً لَهَا، فَقَضَى حَاجَتَهُ، ثُمَّ خَرَجَ إِلَى أَصْحَابِهِ، فَقَالَ: إِنَّ المَرْأَةَ تُقْبِلُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ، وَتُدْبِرُ فِي صُورَةِ شَيْطَانٍ، فَإِذَا أَبْصَرَ أَحَدُكُمُ امْرَأَةً فَلْيَأْتِ أَهْلَهُ، فَإِنَّ ذَلِكَ يَرُدُّ مَا فِي نَفْسِهِ

Maksudnya: “Rasulullah SAW melihat seorang wanita, lalu beliau mendatangi Zainab isteri beliau ketika dia sedang menyamak kulit. Beliau menunaikan hajatnya, kemudian keluar kepada para sahabatnya seraya bersabda, “Sesungguhnya wanita itu datang dalam bentuk syaitan dan pergi dalam bentuk syaitan. Jika salah seorang kalian melihat seorang wanita, maka hendaknya dia mendatangi isterinya. Kerana itu dapat menolak perasaan yang muncul pada jiwanya.”

Riwayat Muslim (1403)

Imam al-Qurtubi menyebutkan bahawa, jangan disangka bahawa Rasulullah SAW melakukan perkara itu kerana kecenderungan nafsu atau tewas dengan syahwat, alangkah jauhnya Baginda SAW dari semua itu. Sebaliknya Baginda melakukan perkara tersebut supaya Baginda dapat mensyariatkan hukum, diikuti (oleh umat yang mengalami syahwat akibat terlihat wanita) dan untuk memutuskan sesuatu yang dijangkakan berlaku dari dirinya. (Lihat al-Mufhim Syarh Sahih Muslim, 5/453)

Ketiga, mereka yang mendirikan rumahtangga dapat merasai kasih sayang dan belas kasihan antara satu sama lain. Kasih sayang merupakan suatu elemen penting dalam kehidupan, dan ia mampu menceriakan kehidupan seseorang disamping meningkatkan keyakinan, merasai ketenangan, dan menikmati kebahagiaan. Ini juga merupakan kurniaan dan rahmat Allah SWT yang besar, yang Dia semaikan dalam jiwa pasangan suami isteri.

Hal ini jelas seperti dalam firman Allah SWT:

وَمِنْ آيَاتِهِ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَاجًا لِّتَسْكُنُوا إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةً وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِي ذَٰلِكَ لَآيَاتٍ لِّقَوْمٍ يَتَفَكَّرُونَ ‎

Maksudnya: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Dia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”

(Surah al-Rum: 21)

Syeikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan bahawa ayat ini merupakan antara ayat-ayat Allah — yakni bukti dan tanda-tanda — yang menunjukkan kepada al-Ba‘th — yakni kebangkitan, — di mana Dia menciptakan untuk kamu pasangan-pasangan daripada jenis manusia juga, agar kamu dapat mewujudkan ketenangan dan kesenangan. Dia juga menumbuhkan rasa cinta dan kasih sayang antara suami isteri. (Lihat al-Tafsir al-Wajiz, hlm. 407)

Keempat, perkahwinan merupakan jalan memperoleh hubungan intim dan kenikmatan cinta dengan cara yang halal dan dibenarkan syara‘. Seperti yang kami sebutkan sebelum ini bahawa secara alaminya, manusia itu ditanamkan di dalam dirinya kecenderungan nafsu terhadap berlainan jantina. Allah SWT telah berfirman:

زُيِّنَ لِلنَّاسِ حُبُّ الشَّهَوَاتِ مِنَ النِّسَاءِ

Maksudnya: “Dihiaskan (dan dijadikan indah) kepada manusia suka kepada perkara-perkara yang diingini nafsu, iaitu perempuan-perempuan.”

(Surah Ali ‘Imran:14)

Akan tetapi, ia tidak boleh dipenuhi melainkan dengan cara yang dibenarkan oleh syara‘, iaitu ikatan perkahwinan. Sekiranya nafsu ini dilunaskan melalui jalan yang tidak halal, maka ia boleh mengakibatkan kemusnahan kepada individu dan juga masyarakat. Oleh yang demikian, Allah SWT mengurniakan satu jalan untuk melepaskan syahwat dengan ikatan ini. Hal ini telah disebutkan dalam banyak nas-nas syara‘.

Antaranya, firman Allah SWT:

نِسَاؤُكُمْ حَرْثٌ لَّكُمْ فَأْتُوا حَرْثَكُمْ أَنَّىٰ شِئْتُمْ ۖ

Maksudnya: “Isteri-isteri kamu adalah sebagai kebun tanaman kamu, oleh itu datangilah kebun tanaman kamu menurut cara yang kamu sukai.”

(Surah al-Baqarah: 223)

Dan juga firman Allah SWT:

هُنَّ لِبَاسٌ لَّكُمْ وَأَنتُمْ لِبَاسٌ لَّهُنَّ ۗ

Maksudnya: “Isteri-isteri kamu itu adalah sebagai pakaian bagi kamu dan kamu pula sebagai pakaian bagi mereka.”

(Surah al-Baqarah: 187)

Di antaranya adalah sebuah hadith yang diriwayatkan oleh Abdullah bin ‘Amr R.A bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‏ الدُّنْيَا مَتَاعٌ وَخَيْرُ مَتَاعِ الدُّنْيَا الْمَرْأَةُ الصَّالِحَةُ

Maksudnya: “Dunia adalah perhiasan, dan sebaik-baik perhiasan dunia adalah wanita yang solehah.”‏

Riwayat Muslim (715)

Diriwayatkan juga daripada Ibn ‘Abbas R.A katanya, seorang lelaki datang dan menceritakan kepada Rasulullah SAW bahawa dia menjaga seorang anak yatim wanita, dan dia telah dilamar oleh orang kaya dan juga orang miskin. Lelaki tersebut lebih suka untuk mengahwinkannya dengan orang kaya, tetapi wanita tersebut mempunyai perasaan cinta kepada orang miskin. Maka Rasulullah SAW bersabda:

لَمْ نَرَ لِلْمُتَحَابَّيْنِ مِثْلَ النِّكَاحِ

Maksudnya: “Kami tidak melihat perkara yang sesuai bagi orang yang saling mencintai itu kecuali kahwin.”

Riwayat Ibn Majah (1847)

Kelima, perkahwinan juga merupakan gedung pahala. Ramai yang tidak tahu bahawa dalam setiap kebaikan yang dilakukan bersama suami isteri itu dikira sebagai sedekah dan diganjarkan pahala.

Ini disebutkan dalam sebuah hadith daripada Abu Zarr R.A bahawa beliau meriwayatkan beberapa orang sahabat Rasulullah SAW mengadu kepada Baginda bahawa orang kaya hartawan dapat bersedekah dengan harta mereka. Lalu Rasulullah SAW bersabda:

أَوَلَيْسَ قَدْ جَعَلَ اللَّهُ لَكُمْ مَا تَصَّدَّقُونَ؟ إِنَّ بِكُلِّ تَسْبِيحَةٍ صَدَقَةً، وَكُلِّ تَكْبِيرَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلِّ تَحْمِيدَةٍ صَدَقَةٌ، وَكُلِّ تَهْلِيلَةٍ صَدَقَةٌ، وَأَمْرٌ بِالْمَعْرُوفِ صَدَقَةٌ، وَنَهْىٌ عَنْ مُنْكَرٍ صَدَقَةٌ، وَفِي بُضْعِ أَحَدِكُمْ صَدَقَةٌ. قَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَيَأْتِي أَحَدُنَا شَهْوَتَهُ وَيَكُونُ لَهُ فِيهَا أَجْرٌ قَالَ: أَرَأَيْتُمْ لَوْ وَضَعَهَا فِي حَرَامٍ أَكَانَ عَلَيْهِ فِيهَا وِزْرٌ، فَكَذَلِكَ إِذَا وَضَعَهَا فِي الْحَلاَلِ كَانَ لَهُ أَجْرٌ

Maksudnya: “‘Bukankah Allah telah menjadikan berbagai-bagai cara untuk kamu bersedekah? Sesungguhnya setiap kalimah tasbih (سُبْحَانَ اللهِ) adalah sedekah, dan setiap kalimah takbir (اللهُ أَكْبَرُ) adalah sedekah, dan setiap kalimah tahmid (الحَمْدُ للهِ) adalah sedekah, dan setiap kalimah tahlil (لَا إِلَهَ إِلَّا اللهُ) adalah sedekah, mengajak kepada kebaikan adalah sedekah, menegah daripada kemungkaran adalah sedekah, bahkan pada kemaluan kamu juga terdapat (unsur) sedekah.’ Mereka bertanya: ‘Adakah kami memperoleh pahala apabila kami memuaskan nafsu syahwat kami?’ Rasulullah SAW menjawab: ‘Sekiranya kamu melakukannya dengan cara yang haram, tentu kamu berdosa. Sebaliknya jika kamu lakukan dengan cara yang halal, maka kamu beroleh pahala’.”

Riwayat Muslim (1006)

Syeikh al-Albani menukilkan kalam al-Suyuti dalam Izkar al-Azkar, katanya: “Seseorang yang menyetubuhi isterinya adalah sedekah, meskipun dia tidak mempunyai niat untuk melakukan sedekah.” Syeikh al-Albani kemudian memberikan komentar bahawa, perkara ini mungkin benar untuk setiap kali melakukan hubungan, tetapi dengan syarat niat seperti itu (yakni niat melakukan sedekah) ketika dia mengahwini isterinya. Dan sesungguhnya Allah lebih mengetahui. (Lihat Adab al-Zifaf, hlm. 138)

Di dalam riwayat yang lain daripada Abu Zarr, Rasulullah SAW bersabda:

كَذَلِكَ فَضَعْهُ فِي حَلَالِهِ وَجَنْبِهِ حَرَامَهُ، فَإِنْ شَاءَ اللَّهُ أَحْيَاهُ، وَإِنْ شَاءَ أَمَاتَهُ، وَلَكَ أَجْرٌ

Maksudnya: “Tempatkanlahnya (benih kamu) di mana ia halal (berjimak dengan isteri), dan jauhilah yang haram (zina). Maka jika Allah menghendaki, Dia akan menghidupkannya (dikurniakan zuriat), dan jika Dia menghendaki, Dia akan mematikannya. Dan kamu akan mendapat ganjaran bagi kedua-duanya.”

Riwayat al-Nasa’ie (9027) dan Ahmad (21484)

Beginilah serba sedikit yang mampu kami kongsikan tentang hikmah perkahwinan yang mungkin sebahagian pihak terlepas pandang. Pastinya dalam melayari bahtera perkahwinan itu terdapat asam garamnya, hanya sanya bagaimana kita mengemudi bahtera tersebut dengan ilmu pengetahuan dan kesabaran dalam menempuh badai ombak.

Semoga dengan penerangan ringkas kami ini dapat memberikan kesedaran kepada masyarakat, sejurus memupuk rasa ikhlas dan sifat sabar dalam mendepani cabaran kehidupan berumahtangga dengan berlandaskan telunjuk syara‘.

Kami akhiri dengan doa:

رَبِّ اجْعَلْنِي مُقِيمَ الصَّلَاةِ وَمِن ذُرِّيَّتِي ۚ رَبَّنَا وَتَقَبَّلْ دُعَاءِ

Maksudnya: “Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikianlah juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan kami, perkenankanlah doa permohonanku.

(Surah Ibrahim: 40)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 6 September 2023 bersamaan 20 Safar 1445

Leave a Reply