Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Adakah Mariah al-Qibtiyyah isteri Rasulullah SAW dan bagaimana sejarahnya?

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Berkenaan hal ini, Ibn Kathir menukilkan daripada al-Waqidi yang menyebutkan, Ya‘qub bin Muhammad bin Abu Sa‘sa‘ah menyampaikan kepada kami, daripada Abdullah bin ‘Abd al-Rahman bin Abu Sa‘sa‘ah, katanya: “Rasulullah SAW tertarik dengan Mariah al-Qibtiyyah.

Beliau ialah seorang yang berkulit putih, rambutnya kerinting dan memiliki kecantikan. Maka, Rasulullah SAW telah meletakkannya dan saudara perempuannya untuk tinggal bersama Ummu Sulaim binti Milhan Setelah itu, Rasulullah SAW telah masuk menemui mereka berdua dan menerangkan mengenai agama Islam kepada mereka.

Lalu kedua-duanya memeluk agama Islam di sana. Setelah itu, Baginda telah menggaulinya sebagai seorang tuan dan hamba. Kemudian Baginda telah memindahkannya ke harta (tanah) miliknya di al-‘Aliyah, yang asalnya merupakan harta-harta milik Bani al-Nadhir. Ketika itu adalah musim panas dan buah-buah kurma dituai. Baginda SAW mendatanginya di sana. Selain itu, Mariah al-Qibtiyyah juga ialah seorang yang baik agamanya (kuat pegangannya).

Di samping itu, Baginda SAW telah menghadiahkan saudara perempuannya iaitu Sirin kepada Hassan bin Thabit dan dia telah melahirkan buat Hassan seorang anak bernama ‘Abd al-Rahman. Manakala Mariah pula telah melahirkan buat Rasulullah SAW seorang anak lelaki yang diberi nama Ibrahim. Baginda SAW telah melakukan akikah untuknya dengan seekor kibasy pada hari ketujuh kelahirannya, mencukur rambutnya, dan bersedekah kepada orang miskin mengikut kadar timbangan rambut tersebut dengan perak. Begitu juga Baginda memerintahkan agar rambut yang dicukur itu ditanam di dalam tanah. Baginda menamakannya sebagai Ibrahim.

Orang yang menyambut kelahiran tersebut ialah Salma maulah Rasulullah SAW. Lalu dia keluar menemui suaminya, Abu Rafi‘ mengkhabarkan kepadanya bahawa Mariah telah melahirkan seorang anak lelaki. Kemudian Abu Rafi‘ telah pergi menemui Rasulullah SAW dan menyampaikan berita gembira tersebut, lalu Baginda menghadiahkannya seorang hamba. Isteri-isteri Rasulullah SAW merasa cemburu dengannya, dan kecemburuan itu semakin bertambah bila mana dikurniakan daripadanya seorang anak lelaki. (Lihat al-Bidayah wa al-Nihayah, 8/229).

Mariah al-Qibtiyyah telah meninggal dunia pada zaman pemerintahan Umar bin al-Khattab, iaitu pada bulan Muharram tahun 16 Hijrah. Umar R.A telah menghimpunkan orang ramai dengan sendirinya bagi menyaksikan jenazahnya. Jenazahnya juga telah disolatkan (diimamkan oleh Umar R.A. Beliau dikebumikan di perkuburan Baqi‘. (Lihat al-Isti‘ab fi Ma‘rifah al-Ashab, 4/1912). (Lihat Garis Hayat al-Rasul SAW, hlm. 322-323)

Sesungguhnya, mereka yang pernah bersama Rasulullah SAW sama ada isterinya bahkan hambanya atau sahabatnya adalah insan-insan yang terpilih yang mendapat kelebihan yang banyak di sisi Allah SWT. Mereka juga dianggap para sahabat yang ada kelebihannya. Benarlah firman Allah SWT:

مُّحَمَّدٌ رَّسُولُ اللَّهِ ۚ وَالَّذِينَ مَعَهُ أَشِدَّاءُ عَلَى الْكُفَّارِ رُحَمَاءُ بَيْنَهُمْ ۖ تَرَاهُمْ رُكَّعًا سُجَّدًا يَبْتَغُونَ فَضْلًا مِّنَ اللَّهِ وَرِضْوَانًا ۖ سِيمَاهُمْ فِي وُجُوهِهِم مِّنْ أَثَرِ السُّجُودِ ۚ ذَٰلِكَ مَثَلُهُمْ فِي التَّوْرَاةِ ۚ وَمَثَلُهُمْ فِي الْإِنجِيلِ كَزَرْعٍ أَخْرَجَ شَطْأَهُ فَآزَرَهُ فَاسْتَغْلَظَ فَاسْتَوَىٰ عَلَىٰ سُوقِهِ يُعْجِبُ الزُّرَّاعَ لِيَغِيظَ بِهِمُ الْكُفَّارَ ۗ وَعَدَ اللَّهُ الَّذِينَ آمَنُوا وَعَمِلُوا الصَّالِحَاتِ مِنْهُم مَّغْفِرَةً وَأَجْرًا عَظِيمًا

Maksudnya: “Nabi Muhammad SAW ialah Rasul Allah; dan orang-orang yang bersama dengannya bersikap keras dan tegas terhadap orang-orang kafir yang (memusuhi Islam), dan sebaiknya bersikap kasih sayang serta belas kasihan kasihan sesama sendiri (umat Islam). Engkau melihat mereka tetap beribadat rukuk dan sujud, dengan mengharapkan limpah kurnia (pahala) dari Tuhan mereka serta mengharapkan keredaanNya. Tanda yang menunjukkan mereka (sebagai orang-orang yang soleh) terdapat muka mereka – dari kesan sujud (dan ibadat mereka yang ikhlas). Demikianlah sifat mereka yang tersebut di dalam Kitab Taurat; dan sifat mereka di dalam Kitab Injil pula ialah: (bahawa mereka diibaratkan) sebagai pokok tanaman yang mengeluarkan anak dan tunasnya, lalu anak dan tunasnya itu menyuburkannya, sehingga ia menjadi kuat, lalu ia tegap berdiri di atas (pangkal) batangnya dengan keadaan yang mengkagumkan orang-orang yang menanamnya. (Allah menjadikan sahabat-sahabat Nabi Muhammad, s.a.w dan pengikut-pengikutnya kembang biak serta kuat gagah sedemikian itu) kerana Ia hendak menjadikan orang-orang kafir merana dengan perasaan marah dan hasad dengki – dengan kembang biaknya umat Islam itu. (Dan selain itu) Allah telah menjanjikan orang-orang yang beriman dan beramal soleh dari mereka, keampunan dan pahala yang besar.

(Surah al-Fath: 29)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Wallahu a’lam

 

Bertarikh: 7 September 2023 bersamaan 21 Safar 1445

Leave a Reply