#2936: Zakat Harta Anak Yatim

Soalan:

Assalamualaikum wbt Dato seri, saya ingin bertanya, sahabat saya baru sahaja meninggal dunia dan dia meninggalkan harta dan seorang anak kecil lelaki. Adakah harta tersebut diwajibkan zakat ? Jika diwajibkan siapa yang perlu mengeluarkan zakat tersebut? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Firman Allah SWT:

خُذْ مِنْ أَمْوَالِهِمْ صَدَقَةً تُطَهِّرُهُمْ وَتُزَكِّيهِم بِهَا وَصَلِّ عَلَيْهِمْ ۖ إِنَّ صَلَاتَكَ سَكَنٌ لَّهُمْ ۗ وَاللَّهُ سَمِيعٌ عَلِيمٌ

Maksudnya : “Ambilah (sebahagian) dari harta mereka menjadi sedekah (zakat), supaya dengannya engkau membersihkan mereka (dari dosa) dan mensucikan mereka (dari akhlak yang buruk); dan doakanlah untuk mereka, kerana sesungguhnya doamu itu menjadi ketenteraman bagi mereka. Dan (ingatlah) Allah Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui.”

(Surah al-Taubah:103)

Al-Sa’di menyatakan bahawa Allah SWT memerintahlan kepada Rasul-Nya dan kepada orang yang memegang amanah (pemimpin)  supaya menyucikan orang-orang yang beriman daripada dosa-dosa dan akhlak yang buruk dan menyempurnakan iman mereka  dengan mengambil zakat dari harta mereka sebagai sedekah iaitu zakat yang wajib. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm.350)

Imam al-Mawardi berkata dalam tafsirnya bahawa yang dimaksudkan dengan kalimah ‘sadaqah’ ialah sedekah menurut kalam Ibn Zaid dan keduanya ia bermakna zakat, menurut kata-kata ‘Ikrimah. (Lihat Tafsir al-Mawardi, 2/398)

Selain itu, kewajiban zakat juga boleh dilihat melalui hadith ketika Rasulullah SAW ingin mengutuskan Saidina Mu’az Ibn Jabal RA ke Yaman untuk berdakwah, lalu Rasulullah SAW bersabda:

فأخْبِرْهُمْ أنَّ اللَّهَ قدْ فَرَضَ عليهم صَدَقَةً تُؤْخَذُ مِن أغْنِيائِهِمْ فَتُرَدُّ على فُقَرائِهِمْ

Maksudnya:Maka khabarkanlah kepada mereka bahawa sesungguhnya Allah SWT telah menfardhukan ke atas mereka zakat, yang diambil daripada orang-orang kaya dan diberikan kepada orang-orang fakir miskin dalam kalangan mereka.”

Riwayat al-Bukhari (1496)

Menjawab persoalan di atas, kami katakan bahawa apabila seorang anak yatim mewarisi harta dari ayah, ibu, atau waris-waris lainnya, dan jumlah harta tersebut melebihi nisab serta telah mencapai  haul, iaitu setahun dalam kepemilikan, maka diwajibkan bagi harta tersebut untuk dikeluarkan zakat.

Tanggungjawab mengurus harta anak yatim dan mengeluarkan zakatnya berada pada wali atau waris yang bertanggung jawab atas harta tersebut. Hal ini telah ditegaskan dalam ajaran agama melalui firman Allah SWT:

وَيَسْأَلُونَكَ عَنِ الْيَتَامَىٰ ۖ قُلْ إِصْلَاحٌ لَّهُمْ خَيْرٌ ۖ

Maksudnya: mereka bertanya lagi kepadamu (wahai Muhammad), mengenai (masalah) anak-anak yatim. Katakanlah: “Memperbaiki keadaan anak-anak yatim itu amatlah baik.

(Surah al-Baqarah:220)

Begitu juga firman Allah SWT:

وَلَا تَقْرَبُوا مَالَ الْيَتِيمِ إِلَّا بِالَّتِي هِيَ أَحْسَنُ

Maksudnya: “Dan janganlah kamu menghampiri harta anak yatim melainkan dengan cara yang baik (untuk mengawal dan mengembangkannya)”.

(al-Isra’:34)

Syaikh al-Sa’di ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan bahawa: Ini adalah bentuk kasih dan rahmat Allah SWT kepada anak yatim yang telah kehilangan ayahnya, pada saat masih kecil dan belum memahami sepenuhnya kemaslahatan dirinya. Dengan demikian, tugas para walinya adalah untuk melindunginya, serta menjaga harta yang dimilikinya. Lebih dari itu, wali-wali ini tidak diperbolehkan menggunakan harta anak yatim kecuali dengan cara yang baik, seperti mengembangkan harta tersebut dan menjauhkannya dari hal-hal yang dapat merugikannya. Mereka memiliki tanggung jawab untuk menjaga harta anak yatim hingga ia mencapai usia dewasa. Ketika anak yatim mencapai usia dewasa, tanggung jawab perwalian atasnya berakhir, dan dia menjadi tanggungjawab atas dirinya sendiri. Pada saat itulah harta anak yatim tersebut harus diserahkan kepadanya.(Lihat Taisir al-Karim al-Rahman,hlm.457)

Dalil-dalil di atas menunjukkan bahawa tanggungjawab ke atas wali adalah menjaga kebajikan anak yatim termasuklah menjaga harta anak tersebut dan tidak dibolehkan bagi wali menggunakannya melainkan untuk kemaslahatan anak yatim tersebut.

Ibn Qudamah menyatakan bahawa: Zakat wajib ke atas harta kanak-kanak dan orang gila. Wali hendaklah mengeluarkan zakat daripada harta mereka kerana zakat ke atas mereka  merupakan kewajipan yang harus ditunaikan seperti zakat orang yang baligh dan berakal. Wali mengambil alih dalam menguruskan zakat yang diwajibkan ke atas mereka dan dikira niat wali dalam mengeluarkan zakat . (Lihat al-Mughni,2/256)

Telah dikhabarkan oleh imam al-Syafi’e bahawa Ibn Umar mengeluarkan zakat dari harta anak yatim (Lihat al-Syafi fi Syarh Musnad al-Syafi’e,3/102 )

Justeru kami katakan, wali kepada anak yatim diwajibkan untuk mengeluarkan zakat dari harta anak yatim dengan segera setelah kewajipan itu dikenakan. Tidak dibenarkan baginya menangguhkan zakat tersebut sehingga anak yatim itu sudah baligh. Niat wali mencukupi ketika mengeluarkan zakat tersebut.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam menjalani kehidupan seharian dengan mengikut segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً وَفِي الْآخِرَةِ حَسَنَةً وَقِنَا عَذَابَ النَّار

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami kebaikan di dunia dan kebaikan di akhirat, dan peliharalah kami dari azab neraka.”

(Surah al-Baqarah:201)

Wallahu a’lam

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *