#2954: Pergaulan Nabi SAW dengan Keluarga Baginda Secara Ringkas

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh jelaskan secara ringkas, bagaimana pergaulan dan muamalah Nabi SAW dengan keluarganya dan orang sekelilingnya? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pergaulan Nabi SAW dengan seluruh keluarga Baginda menghimpunkan seluruh bentuk kemuliaan akhlak dan budi pekerti yang luhur. Ketinggian akhlak dan peribadi Baginda serta gambaran umum tentang muamalah dan pergaulan Baginda SAW boleh dilihat melalui firman Allah SWT:

وَإِنَّكَ لَعَلَىٰ خُلُقٍ عَظِيمٍ ‎

Maksudnya: “Dan bahawa sesungguhnya engkau mempunyai akhlak yang amat mulia.”

(Surah al-Qalam: 4)

Syeikh Tahir Ibn Asyur berkata: “Sebagaimana Allah SWT menjadikan Rasul-Nya di atas akhlak yang agung, Dia juga menjadikan Syariat-Nya supaya membawa manusia dengan akhlak yang agung dalam kemuncak ketaatan. Dengan ini, bertambah jelaslah makna tamakkun yang membawa kepada huruf isti’la’, yang menggambarkan ketinggian pekerti dan nilai akhlak yang agung, yang dimiliki oleh Baginda SAW sehingga ia juga tamakkun dalam menyampaikan dakwah agamanya.” (Lihat al-Tahrir wa al-Tanwir, 29/64)

Syeikh ‘Abd al-Rahman bin Nasir al-Sa’di berkata: Baginda SAW memiliki akhlak yang paling sempurna dan agung. Baginda selalu berada di puncak tertinggi pada masing-masing akhlak baik. Rasulullah SAW adalah sosok lembut, mudah (bergaul) dan dekat dengan orang ramai. Baginda memenuhi jemputan, memenuhi keperluan orang yang meminta, Baginda sentiasa memberi dan tidak menolak. Apabila sahabat-sahabat Baginda menginginkan sesuatu daripada Baginda, Baginda mengiyakan dan mengikuti mereka jika tiada halangan. Jika bertekad melakukan sesuatu, Baginda tidak pernah memutuskan sendiri, tetapi berunding dengan para sahabat. Baginda adalah sosok yang menerima kebaikan orang, memaafkan kesalahan orang dan selalu memperlakukan teman secara baik dan sempurna. Baginda tidak pernah bermuka masam, tidak berkata kasar, tidak bersikap dingin, tidak pernah berdendam dengan perlakuan dingin orang lain, sebaliknya dibalas dengan kebaikan, dan Baginda sangat penyabar. (Lihat Taisir al-Karim al-Rahman, hlm. 332)

Dalam menjawab persoalan di atas, sesungguhnya akhlak Rasulullah SAW dalam bergaul bersama keluarga Baginda terlalu luas untuk ditulis dalam jawapan ini. Namun, ia boleh difahami melalui pembacaan dalam kitab-kitab hadith dan sirah yang membincangkan perkara ini.

Secara ringkasnya, antara bentuk pergaulan Nabi SAW ialah:

  • Nabi SAW biasa bergurau dengan anak kecil mahupun orang dewasa.

Diriwayatkan daripada Mahmud bin al-Rabi’ R.Anhuma, katanya:

عَقَلْتُ مِنَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَجَّةً مَجَّهَا فِي وَجْهِي وَأَنَا ابْنُ خَمْسِ سِنِينَ مِنْ دَلْوٍ

Maksudnya: “Aku masih ingat lagi semburan air oleh Nabi SAW dengan mulutnya ke mukaku, yang diambil daripada satu timba dan ketika itu aku baru berusia 5 tahun.”

Riwayat al-Bukhari (77)

Al-Qastalani menjelaskan, bahawa perbuatan Nabi SAW itu adalah bertujuan untuk bergurau atau mendatangkan keberkatan kepadanya (iaitu Mahmud), sepertimana Baginda SAW selalu melakukannya dengan anak-anak para Sahabat. (Lihat Irsyad al-Sari, 1/177)

Diriwayatkan daripada Anas bin Malik R.A, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَحْسَنَ النَّاسِ خُلُقًا، وَكَانَ لِي أَخٌ يُقَالُ لَهُ أَبُو عُمَيْرٍ – قَالَ: أَحْسِبُهُ – فَطِيمًا، وَكَانَ إِذَا جَاءَ قَالَ: «يَا أَبَا عُمَيْرٍ، مَا فَعَلَ النُّغَيْرُ» نُغَرٌ كَانَ يَلْعَبُ بِهِ

Maksudnya: “Nabi SAW merupakan insan yang paling baik akhlaknya. Aku mempunyai seorang saudara lelaki yang diberi gelaran Abu ‘Umair – dia berkata: Aku kira dia sudah berhenti daripada menyusu ibu. – Sekiranya Baginda datang, Baginda akan bertanya: “Wahai Abu ‘Umair! Apa yang sedang dilakukan al-Nughair?” Iaitu sejenis burung pipit yang selalu dia bermain-main dengannya.”

Riwayat al-Bukhari (6203)

Diriwayatkan bahawa Baginda SAW menundukkan belakang Baginda untuk dinaiki oleh al-Hasan dan al-Husain semasa mereka kanak-kanak untuk ditunggangi. Kedua-duanya juga berseronok tanpa terjatuh dan tidak juga tercedera. Pada ketika itu, datang seorang sahabat kepada Baginda dan menyaksikan keadaan itu, lalu sahabat itu pun berkata: “Tunggangan yang kamu berdua naiki adalah sebaik-baik tunggangan.” Lantas Baginda SAW menjawab:

وَنِعْمَ الفَارِسَانِ هُمَا!

Maksudnya: “Dan sebaik-baik pengemudi kuda ialah mereka berdua.”

Riwayat al-Bazzar (293) dalam Musnadnya, Ibn Kathir menyatakan hadith ini gharib dengan wajh ini. (Lihat Musnad al-Faruq, 2/680). Dinyatakan sebagai dha’if jiddan dalam al-Silsilah al-Dha’ifah (6594).

Anas bin Malik R.A pernah meriwayatkan bahwa Rasulullah SAW didatangi oleh seseorang dan bertanyakan supaya membawanya seekor tunggangan. Lalu Baginda bersabda kepadanya:

إِنِّي حَامِلُكَ عَلَى وَلَدِ النَّاقَةِ فَقَالَ: يَا رَسُولَ اللَّهِ، مَا أَصْنَعُ بِوَلَدِ النَّاقَةِ؟ فَقَالَ رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: وَهَلْ تَلِدُ الإِبِلَ إِلَّا النُّوقُ؟

Maksudnya: “Aku akan membawa kamu di atas belakang seekor anak unta.” Maka lelaki itu pun menjawab: “Wahai Rasulullah! Apa yang aku dapat perbuat dengan anak unta?” (Lelaki itu menganggap dia perlu menunggangi anak unta). Lalu Rasulullah SAW bersabda: “Bukankah unta yang besar ini dahulunya kecil?”

Riwayat Abu Daud (4994) dan al-Tirmizi (1991). Syeikh Syu’aib menyatakan sanadnya sahih dalam takhrij Syarh al-Sunnah (3605).

  • Baginda tidak marah untuk diri Baginda sendiri, akan tetapi Baginda marah apabila larangan-larangan Allah SWT dilanggar.

Daripada Ali R.A, katanya:

أَهْدَى إِلَيَّ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حُلَّةَ سِيَرَاءَ، فَلَبِسْتُهَا، فَرَأَيْتُ الغَضَبَ فِي وَجْهِهِ فَشَقَقْتُهَا بَيْنَ نِسَائِي.

Maksudnya: “Nabi SAW menghadiahkan kepadaku satu persalinan pakaian sutera, maka aku pun memakainya. Lalu aku melihat kemarahan di wajah Baginda SAW. Akhirnya aku memotong-motongnya untuk dibahagikan antara golongan wanita kaum kerabatku.”

Riwayat al-Bukhari (2614) dan Muslim (2071)

Daripada Jabir bin Abdillah R.A, katanya: Bahawa Mu‘az bin Jabal pernah solat bersama-sama Nabi SAW, kemudian dia pulang dan mengimamkan kaumnya pula. Maka dia menunaikan solat Isyak dan membaca Surah al-Baqarah. Setelah itu ada seorang lelaki meninggalkan solat (kerana bacaan imam terlalu lama), dan Mu‘az mencaci sikap lelaki itu. Maka hal ini sampai kepada Nabi SAW, lalu Baginda bersabda:

فَتَّانٌ، فَتَّانٌ، فَتَّانٌ، ثَلاَثَ مِرَارٍ – أَوْ قَالَ: «فَاتِنًا، فَاتِنًا، فَاتِنًا» – وَأَمَرَهُ بِسُورَتَيْنِ مِنْ أَوْسَطِ المُفَصَّلِ، قَالَ عَمْرٌو: لاَ أَحْفَظُهُمَا.

Maksudnya: “Engkau ini menimbulkan fitnah, engkau ini menimbulkan fitnah, engkau ini menimbulkan fitnah.”  (sebanyak tiga kali) – atau Baginda bersabda: “Engkau pembuat fitnah, engkau pembuat fitnah, engkau pembuat fitnah” – dan Baginda menyuruh Mu‘az membaca dua surah yang sederhana panjangnya daripada surah-surah al-Mufassal . ‘Amr berkata: “Aku tidak mengingati kedua-duanya (nama surah tersebut).”

Riwayat al-Bukhari (701), Muslim (465), Abu Daud (790), al-Nasa’ie (835), Ibn Majah (986) dan Ahmad (14190)

  • Baginda SAW adalah seorang yang sangat tawadhu’ (rendah hati), menjahit sendiri sandal dan pakaian Baginda, bergaul dengan isteri-isteri Baginda sesuai dengan kadar akal dan pengetahuan mereka.

Daripada Aisyah R.Anha, bahawa dia ditanya: “Apakah yang dilakukan oleh Rasulullah SAW ketika di rumah?” Aisyah menjawab:

كَانَ يَخِيطُ ثَوْبَهُ، وَيَخْصِفُ نَعْلَهُ، وَيَعْمَلُ مَا يَعْمَلُ الرِّجَالُ فِي بُيُوتِهِمْ

Maksudnya: “Baginda menjahit kainnya, menjahit kasutnya, dan melakukan apa sahaja yang dilakukan oleh seseorang lelaki di rumah mereka.”

Riwayat Ahmad (26239), Abu Ya’la (4875) dan Ibn Hibban (5677). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan bahawa hadith ini sahih dalam takhrijnya atas al-Musnad.

Bahkan, terkadang, Baginda berlumba dengan mereka, sepertimana diriwayatkan dalam hadith Aisyah R.Anha, bahawa Baginda berlumba lari dengan Aisyah. Kata Aisyah R.Anha:

خَرَجْتُ مَعَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ وَأَنَا جَارِيَةٌ لَمْ أَحْمِلِ اللَّحْمَ وَلَمْ أَبْدُنْ ، فَقَالَ لِلنَّاسِ : تَقَدَّمُوا فَتَقَدَّمُوا ، ثُمَّ قَالَ لِي : تَعَالَيْ حَتَّى أُسَابِقَكِ فَسَابَقْتُهُ فَسَبَقْتُهُ ، فَسَكَتَ عَنِّي ، حَتَّى إِذَا حَمَلْتُ اللَّحْمَ وَبَدُنْتُ وَنَسِيتُ ، خَرَجْتُ مَعَهُ فِي بَعْضِ أَسْفَارِهِ ، فَقَالَ لِلنَّاسِ : تَقَدَّمُوا فَتَقَدَّمُوا ، ثُمَّ قَالَ : تَعَالَيْ حَتَّى أُسَابِقَكِ فَسَابَقْتُهُ ، فَسَبَقَنِي ، فَجَعَلَ يَضْحَكُ ، وَهُوَ يَقُولُ : هَذِهِ بِتِلْكَ.

Maksudnya: “Aku keluar bersama Nabi SAW dalam sebahagian musafirnya. Ketika itu, aku seorang gadis yang tidak gemuk. Baginda berkata kepada sahabat-sahabat yang lain: “Pergi dahulu.” Lalu para sahabat pun bergerak dahulu. Kemudian Baginda bersabda kepadaku: “Mari ke sini (Baginda mengajak untuk berlumba lari). Aku akan menewaskanmu.” Aisyah berkata: “Lalu aku telah menewaskan Baginda.” Lalu Baginda mendiamkan diri. Hinggalah tiba pada masa aku sudah menjadi gemuk, dan aku pun sudah terlupa akan hal itu. Aku telah keluar lagi bersama Baginda dalam sebahagian musafirnya. Lalu Baginda berkata kepada orang ramai: “Pergi dahulu.” Lalu para sahabat pun bergerak dahulu. Kemudian Baginda berkata: “Mari ke sini. Aku akan menewaskanmu.” Kali ini, Baginda telah menewaskanku. Baginda pun ketawa dan berkata: “Ini merupakan untuk itu (iaitu balasan untuk kekalahan sebelum itu).”

Riwayat Abu Daud (2578), al-Nasa’ie (8944), Ibn Majah (1979) dan Ahmad (26277). Syeikh Syu’aib al-Arna’ut menyatakan bahawa isnadnya jayyid dalam takhrij al-Musnad.

  • Selain itu, Baginda juga sama sekali tidak pernah mencela makanan. Jika berselera, Baginda makan. Dan jika tidak, Baginda diam.

Daripada Abu Hurairah R.A, katanya:

مَا عَابَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَعَامًا قَطُّ، إِنِ اشْتَهَاهُ أَكَلَهُ، وَإِنْ كَرِهَهُ تَرَكَهُ.

Maksudnya: “Nabi SAW tidak pernah mencela makanan sama sekali. Jika Baginda SAW berselera (untuk memakannya) maka Baginda SAW akan memakannya dan jika Baginda SAW tidak menyukainya maka Baginda SAW akan meninggalkannya.”

Riwayat al-Bukhari (5409), Muslim (2064), Abu Daud (3763), al-Tirmizi (2031), Ibn Majah (3259) dan Ahmad (10141)

Penutup

Sesungguhnya Rasulullah SAW adalah contoh dan ikutan terbaik dalam serba serbi termasuklah kehidupan berkeluarga. Benarlah firman Allah SWT:

لَّقَدْ كَانَ لَكُمْ فِي رَسُولِ اللَّهِ أُسْوَةٌ حَسَنَةٌ لِّمَن كَانَ يَرْجُو اللَّهَ وَالْيَوْمَ الْآخِرَ وَذَكَرَ اللَّهَ كَثِيرًا

Maksudnya: “Demi sesungguhnya, adalah bagi kamu pada diri Rasulullah itu contoh ikutan yang baik, iaitu bagi orang yang sentiasa mengharapkan (keredaan) Allah dan (balasan baik) hari akhirat, serta ia pula menyebut dan mengingati Allah banyak-banyak (dalam masa susah dan senang).”

(Surah al-Ahzab: 21)

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 8 September 2023 bersamaan 22 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *