#2997: Hukum Membeli Sijil Premium BSN

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Apa hukum membeli sijil simpanan premium BSN? Duit ini kalau dapat saya niatkan untuk membawa keluarga mengerjakan umrah sekeluarga.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan terlebih dahulu dengan mendefinisikan maksud premium: Perkataan ‘Premium’ berdasarkan Kamus Dewan Bahasa Edisi Keempat bermaksud:

  • “Sejumlah wang dibayar secara tetap kepada syarikat insurans bagi sesuatu polisi insurans;
  • Bayaran tambahan yang dibuat bagi sesuatu;
  • Amaun nilai saham yang lebih tinggi daripada harga tawaran asal (nilai tara) apabila saham itu mula disenaraikan di Bursa Saham. Contohnya: “Syarikat itu mencatatkan premium sebanyak 50 sen apabila dibuka pada harga RM2.00 berbanding dengan harga tawaran asalnya RM1.50 sesaham;
  • Bermutu dan harganya lebih mahal sedikit (bkn sesuatu produk dsb): dia lebih suka menggunakan minyak petrol premium.”

Manakala, Sijil Simpanan Premium yang ditawarkan oleh pihak Bank Simpanan Nasional (BSN) diertikan sebagai ‘produk simpanan BSN Patuh Syariah yang menawarkan peluang kepada penyimpan untuk memenangi hadiah dalam Cabutan BSN SSP.’[1] Produk ini, berdasarkan dokumen Terma dan Syarat yang disediakan oleh pihak BSN, ‘dikendalikan mengikut prinsip Mudharabah serta tertakluk kepada Akta Bank Simpanan Nasional (BSN) 1974’ dan ‘menggunakan kaedah PER (Profit Equalisation Reserve) dalam menguruskan pulangan ke atas deposit akaun-akaun di bawah konsep Mudharabah.’[2]

Produk ini dalam kata lain ialah sejenis akad pelaburan (mudharabah) yang memberi peluang kepada pelanggan untuk hadiah cabutan bertuah sama ada dalam kategori Cabutan Bulanan, Tempatan dan Istimewa.

Fatwa daripada Badan Berautoriti di Malaysia

  • Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor

Dalam satu fatwa yang telah digazetkan (Jil. 66/No.21) pada 7 Oktober 2013 bertajuk ‘Fatwa Pematuhan Syariah Skim Sijil Simpanan Premium (SSP) yang Dikeluarkan oleh Bank Simpanan Nasional (BSN)’ menyatakan:

Skim Sijil Simpanan Premium (SSP) yang diperkenalkan oleh Bank Simpanan Nasional adalah diharuskan oleh syara’ dengan syarat :

  • Menggunakan akad Mudharabah (Perkongsian untung)
  • Dana SSP dilaburkan dalam instrument dan aset yang mematuhi syariah.
  • Hadiah yang disumbangkan adalah menggunakan dana dari sumber skim Perbankan Islam.
  • Jawatankuasa Fatwa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang

Dalam Mesyuarat Jawatankuasa Perunding Hukum Syarak Negeri Pahang Kali Ke-1/2012, pada 14 dan 15 Mac 2012 pada membincangkan ‘Status Terkini Pematuhan Syariah Skim Sijil Simpanan Premium Bank Simpanan Nasional’, Jawatankuasa memutuskan bahawa:

“Skim Simpanan Nasional yang telah diperbaharui pelaksanaanya oleh BSN adalah produk yang sepenuhnya mematuhi syariah dan diharuskan oleh syarak.”

  • Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan

Muzakarah yang bersidang pada kali ke-98 pada 13-15 Februari 2012 telah membincangkan tajuk: “Status terkini Pematuhan Syariah Skim Sijil Simpanan Premium bank Simpanan Nasional (BSN)”, dan telah memetuskan:

“Setelah mendengar taklimat dan penjelasan daripada Bank Simpanan Nasional (BSN), Muzakarah mendapati dan berpuashati bahawa pelaksanaan skim Sijil Simpanan Premium (SSP) oleh BSN telah dikemaskini dengan menggunakan akad Mudharabah (perkongsian untung) dan dana SSP dilaburkan dalam instrumen dan aset yang mematuhi Syariah serta hadiah-hadiah yang disumbangkan adalah menggunakan dana dari sumber Skim Perbankan Islam (SPI) BSN.

Sehubungan itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa skim Sijil Simpanan Premium yang telah diperbaharui pelaksanaannya oleh BSN adalah produk yang sepenuhnya mematuhi Syariah dan diharuskan oleh syarak.”

 

Penutup

Islam membuka ruang yang banyak dalam memperolehi harta benda secara halal. Yang penting, jarakkan dari riba, syubhah, gharar serta sebarang bentuk penipuan yang diharamkan dalam Islam. Justeru, persoalan yang dikemukakan itu jelas menunjukkan keharusan kerana ia dalam bentuk pelaburan dan simpanan yang dibenarkan. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] Lihat  http://www.mybsn.com.my/content.xhtml?contentId=181

[2] Lihat http://www.mybsn.com.my/content.xhtml?contentId=187

Bertarikh: 11 September 2023 bersamaan 25 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *