Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak tanya apakah hukum menggunakan Atome? Terima kasih.

 

Jawapan:

Waalaikumussalam w.b.t
Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga Baginda SAW, sahabat Baginda SAW serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda SAW.

Kami katakan sebarang hukum yang ingin diputuskan mesti mendapat sebuah gambaran yang jelas. Ini berdasarkan kaedah:

الْحُكْمُ عَلَى الشَّيْءِ فَرْعٌ عَنْ تَصَوُّرِهِ

Maksudnya: “Hukum atas suatu perkara terbina atas pandangan keseluruhan perkara tersebut.” (Lihat Syarh al-Kaukab al-Munir, 1/50)

Kami mulakan terlebih dahulu dengan memberi penjelasan ringkas berkenaan Atome. Atome ialah satu platform yang bekerjasama dengan lebih 2,000 peruncit dalam talian dan luar talian terkemuka untuk menyediakan pelan pembayaran jangka pendek yang membolehkan individu seperti anda membuat pembelian dan membayarnya kemudian.

Jika anda memilih Atome sebagai pilihan pembayaran di tapak web pedagang rakan kongsi Atome, atau mengimbas kod QR kami di juruwang, Atome akan membahagikan bil anda secara automatik kepada 3 pembayaran yang sama. Pembayaran pertama akan didebitkan 3 hari selepas pembelian anda, dan dua pembayaran seterusnya akan dipisahkan 30 hari.

Dalam laporan My Metro bertarikh 22 April 2022, PayHalal, gerbang pembayaran patuh Syariah yang pertama di dunia telah menjalin kerjasama dengan Atome iaitu aplikasi pengguna yang menyediakan kemudahan Beli Sekarang Bayar Kemudian (BNPL) sehingga RM5,000 dengan bayaran ansuran sebanyak tiga kali.

Kerjasama strategik antara PayHalal dengan Atome adalah untuk memberi kemudahan patuh Syariah kepada peniaga di samping meluaskan peluang perniagaan dan meningkatkan jualan untuk peniaga pada fasa peralihan endemik ini dalam usaha pemulihan ekonomi negara.

Pengarah Jualan PayHalal, Azhani Azman berkata, PayHalal menyediakan kemudahan BNPL Islamic atau iBNPL untuk pengguna dan peniaga. “Melalui kemudahan ini, pengguna dapat membeli barang lebih banyak dengan bayar secara ansuran tetap, manakala peniaga menerima pembayaran sebaik sahaja selesai jualan, tanpa menunggu ansuran penuh dibayar pengguna,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, iBNPL ini mengunakan kontrak Murabahah di mana ia berdasarkan akad kontrak jual beli Syariah berdasarkan persetujuan keuntungan jual beli tetap. “Kemudahan ini membolehkan peniaga meningkatkan saiz jualan purata. Malah, peniaga menerima pembayaran secara penuh.” “Pembeli boleh menikmati kemudahan bayaran ansuran tiga kali tanpa sebarang caj tambahan,” katanya.

Katanya, bagi peniaga yang berhasrat menggunakan kemudahan ini, selain sokongan perniagaaan seperti iklan digital, latihan untuk migrasi perniagaan atas talian, pihaknya turut menawarkan peluang jualan kepada ribuan penggguna sedia ada Atome. “Peniaga dapat memaksimakan urusan jualan mereka, kerana peniaga menerima kemudahan Business Cash Advance untuk produk mereka daripada PayHalal, yang mana risiko dan juga modal berkenaan ditanggung PayHalal dan Atome,” katanya.

Berdasarkan kepada penerangan di atas, kami berpendapat hukum atau mengikut hukum, penggunaan Atome adalah harus jika selamat dari sebarang bentuk gharar, riba, syubhah dan tidak patuh syariah.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Wallahu a’lam

Bertarikh: 11 September 2023 bersamaan 25 Safar 1445

Leave a Reply