#2999: Kentut Faraj Ketika Umrah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya sedang di Tanah haram dan telah menunaikan umrah wajib. Ketika di hotel, saya telah berwuduk sebanyak 3 kali kerana was-was mengenai kentut faraj. Saya sering kali mengalami masalah kentut faraj dan juga was-was. Ketika saya sedang turun ke mataf untuk melaksanakan umrah, saya masih was-was adakah saya telah kentut faraj. Adakah umrah saya sah? Atau saya perlu bayar dam? Saya bertanya juga pada mutawif, beliau suruh abaikan sahaja dan teruskan tawaf. Saya kerap mengalami was-was dalam ibadat. Kadangkala saya mengambil wuduk sehingga 5-6 kali kerana tidak pasti sama ada kentut atau tidak.

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا قُمْتُمْ إِلَى الصَّلَاةِ فَاغْسِلُوا وُجُوهَكُمْ وَأَيْدِيَكُمْ إِلَى الْمَرَافِقِ وَامْسَحُوا بِرُءُوسِكُمْ وَأَرْجُلَكُمْ إِلَى الْكَعْبَيْنِ

Maksudnya: Wahai orang yang beriman, apabila kamu hendak mengerjakan solat (padahal kamu berhadas kecil), maka (berwuduklah) iaitu basuhlah muka kamu, dan kedua belah tangan kamu meliputi siku, dan sapulah sebahagian daripada kepala kamu, dan basuhlah kedua belah kaki kamu meliputi buku lali.

 Surah al-Ma’idah (6)

Al-Maraghi menyatakan bahawa makna ayat di atas adalah sekiranya seseorang itu hendak bangun bagi mendirikan solat — dan masih lagi dalam keadaan berhadas. Hal ini kerana seluruh kaum Muslimin menyatakan bahawa bersuci (yakni berwuduk dan mandi wajib) tidak diwajibkan ke atas orang yang ingin mengerjakan solat melainkan dia masih dalam keadaan berhadas. ( Lihat Tafsir al-Maraghi, 6/61)

 

Kentut faraj

Vaginal flatulence, queefing adalah antara nama lain bagi kentut faraj atau vagina ini. Maksud kentut vagina ini adalah satu keadaan apabila terdapat udara yang terperangkap di dalam faraj. Bunyi yang terhasil adalah hampir sama seperti bunyi angin yang keluar melalui dubur. Walau bagaimanapun, queefing tidak mempunyai sebarang bau. Keadaan ini juga dianggap normal dan tidak melibatkan sebarang risiko berkaitan kesihatan.

Kemudian, Dr. Mohd. Ramzdhan menyebutkan pula beberapa punca berlakunya masalah kentut faraj. Di antaranya ialah:

  • Aktiviti senaman dan bersukan.
  • Aktiviti seksual dan pengunaan barang mainan seks.
  • Otot bahagian pungung yang lemah.
  • Pembentukan fistula pada faraj.
  • Prosedur pemeriksaan kesihatan bahagian kemaluan.[1]

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#11: Angin Daripada Faraj Wanita[2]

#2359: Masalah Kerap Kentut[3]

Keluar angin dari faraj wanita

Menurut mazhab Syafi‘i, angin yang keluar melalui faraj wanita membatalkan wuduk. Hal ini adalah sebagaimana yang dinukilkan oleh al-Nawawi:

Benda yang keluar daripada kemaluan hadapan lelaki atau perempuan, atau kemaluan belakang kedua mereka, membatalkan wuduk. Sama ada dalam bentuk tinja, kencing, angin, ulat, muntah, darah, batu-batu dan lain-lain. Tiada beza antara keluarnya dengan jarang-jarang berlaku, atau biasa berlaku secara adat. Tiada beza juga antara yang angin yang keluar daripada qubul perempuan atau lelaki, atau dubur kedua mereka. Perkara ini dinaskan oleh al-Syafi‘i dalam kitab al-Umm, dan disepakati perkara tersebut dalam kalangan ulama Syafi‘iyyah.” ( Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 2/4)

Mereka berhujahkan dengan sebuah hadith bahawa Rasulullah SAW bersabda:

‌لَا ‌وُضُوءَ ‌إِلَّا ‌مِنْ ‌صَوْتٍ ‌أَوْ ‌رِيحٍ

Maksudnya:Tidak batal wuduk kecuali kerana bunyi atau bau.

Riwayat al-Tirmizi (74) Hadis ini dihukumkan ḥasan ṣaḥīḥ.

Namun di sana terdapat mereka yang berpendapat bahawa ia tidak membatalkan wuduk. Di antaranya Ibn ‘Abidin dalam ulama mazhab Hanafi menyebutkan bahawa tidak batal wuduk dengan keluarnya angin daripada qubul dan zakar kerana hal itu hanyalah pergerakan otot yakni bukan angin kentut secara hakikatnya, kalau angin kentut sekalipun, ternyata ia tidak muncul daripada najis, justeru tidak batal wuduk. ( Lihat al-Badai‘ al-Sanai‘, 1/25)

Jika ia berlaku dengan kerap atas faktor penyakit atau keuzuran, di sini terdapat keringanan untuk solat walaupun tetap keluar angin daripada farajnya kerana dianggap seperti darah istihadah. Pun begitu, saya menasihatkan wanita yang diuji dengan hal sebegini:

  1. Sedaya upaya menjaga kesuciannya seperti memakai atau meletakkan sesuatu yang boleh menghalang angin daripada keluar;
  2. Bersegera mengambil wuduk apabila sudah masuk waktu solat fardu;
  3. Bersegera melakukan solat tanpa bertangguh iaitu melebihi kadar masa seseorang untuk menutup aurat, mendengar azan dan iqamah, menunggu jamaah, menentukan kiblat, berjalan ke masjid atau meletakkan penghadang solat (sutrah). (Lihat al-Muʿtamad fī Fiqh al-Syafi‘i , 1/123)

Justeru itu, berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan kami lebih cenderung kepada pandangan membatalkan wuduk kerana ia keluar dari salah satu daripada dua saluran yang membatalkan wuduk iaitu dari kemaluan depan. Namun begitu, dalam situasi saudari kami melihat isu ini lebih kepada was-was kerana saudari mengambil wuduk sehingga 5-6 kali. Maka, kami nasihatkan sekiranya kentut itu benar-benar dirasai keluar, maka sebaiknya ulangilah wuduk tersebut. Namun, sekiranya tidak, maka teruskan ibadah saudari kerana was-was merupakan salah satu tipu helah syaitan. Melainkan, saudari didapati mempunyai masalah kentut oleh doktor, maka ketika itu ia boleh diqiyaskan dengan kencing tidak lawas. Oleh itu, ia dimaafkan.

Semoga jawapan yang ringkas ini dapat difahami dengan baik. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

[1] Lihat https://www.doctoroncall.com.my/soalan/kentut-vagina

[2] https://maktabahalbakri.com/angin-daripada-faraj-wanita/

 [3] https://maktabahalbakri.com/2359-masalah-kerap-kentut/

Bertarikh: 11 September 2023 bersamaan 25 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *