#30: Pengorbanan Talhah Ketika Perang Uhud

Soalan

Assalamualaikum ustaz. Siapakah tokoh Sahabat yang berjuang dalam perang Uhud, yang berperang bersama Nabi SAW sehingga cedera parah, terputus jari-jemarinya, bahkan dikatakan sehingga dipotong tangan kanannya? Benarkah beliau ialah Talhah bin Ubaidillah?

Jawapan

Alhamdulillah, puji dan syukur kepada Ilahi atas pelbagai kurniaan dan anugerah yang tidak terhitung buat kita semua. Selawat dan salam ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW, ahli keluarga, para sahabat dan mereka yang mengikut jejak langkah Baginda hingga ke Hari Kesudahan.

Allah SWT berfirman:

وَمَا مُحَمَّدٌ إِلَّا رَسُولٌ قَدْ خَلَتْ مِن قَبْلِهِ الرُّسُلُ ۚ أَفَإِن مَّاتَ أَوْ قُتِلَ انقَلَبْتُمْ عَلَىٰ أَعْقَابِكُمْ ۚ وَمَن يَنقَلِبْ عَلَىٰ عَقِبَيْهِ فَلَن يَضُرَّ اللَّهَ شَيْئًا ۗ وَسَيَجْزِي اللَّهُ الشَّاكِرِينَ ‎

Maksudnya: Dan Muhammad itu tidak lain hanyalah seorang Rasul yang sudahpun didahului oleh beberapa orang Rasul (yang telah mati atau terbunuh). Jika demikian, kalau ia pula mati atau terbunuh, (patutkah) kamu berbalik (berpaling tadah menjadi kafir)? Dan (ingatlah), sesiapa yang berbalik (menjadi kafir) maka ia tidak akan mendatangkan mudarat kepada Allah sedikitpun; dan (sebaliknya) Allah akan memberi balasan pahala kepada orang-orang yang bersyukur (akan nikmat Islam yang tidak ada bandingannya itu).”[1]

Ringkasan Peperangan Uhud

Dengan memetik pendapat tokoh sirah Rasulullah SAW iaitu Syeikh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri berkata:

Perang Uhud berlaku pada hari Sabtu, 7 Syawal atau 11 Syawal tahun ketiga hijrah (26 Mac 625 M) antara tentera Islam dengan tentera kafir Quraisy. Perang Uhud adalah medan untuk orang Quraisy membalas dendam terhadap kekalahan mereka ketika Perang Badar. Dinamakan Perang Uhud kerana ia berlaku di sebuah tempat yang dikelilingi Bukit Uhud.

Pertempuran ini disertai 1,000 orang tentera Islam yang dipimpin oleh Nabi Muhammad SAW menuju ke Uhud tetapi hanya 700 orang sahaja yang berjaya sampai ke medan Uhud. Hal ini kerana di pertengahan jalan seramai 300 orang telah berpatah balik ke Madinah setelah dihasut oleh Abdullah bin Ubai iaitu ketua orang munafiq. Tentera kafir Quraisy seramai 3,000 orang diketuai oleh Abu Sufyan ibni Harb.[2]

Keadaan Genting di Sekeliling Rasulullah SAW

Ibn Kathir dalam al-Fusul fi Sirah al-Rasul (hlm. 110) menyebut: Ketika peperangan Uhud, golongan musyrikin telah berjaya menerobos pertahanan umat Islam, dan menyerang Rasulullah SAW sehingga mengakibatkan wajah Baginda SAW yang mulia terluka, dan gigi bahagian kanan bawah Baginda retak terkena lemparan batu. Bahkan, topi besi di atas kepala Baginda juga ikut hancur.

Golongan musyrikin juga menghujani Rasulullah SAW dengan batu-batu. Salah satunya telah mengenai pinggang Baginda sehingga menyebabkan Baginda terjatuh ke dalam lubang yang sengaja digali oleh Abu Amir al-Fasiq untuk menjerat umat Islam. Ali bin Abu Talib lalu menarik tangan Nabi, kemudian Baginda pun diangkat oleh Talhah bin Ubaidillah.

Yang mengetuai penganiayaan terhadap Rasulullah adalah ‘Amr bin Qamiah dan Utbah bin Abi Waqqas. Ada riwayat yang menyebut bahawa yang melukai kepala Rasulullah adalah Abdullah bin Syihab al-Zuhri. Orang inilah yang melukai kepala Rasulullah SAW.

Mus’ab bin Umair terbunuh di hadapan Baginda. Lalu Rasulullah SAW menyerahkan panji perang kepada Ali bin Abu Talib. Terdapat dua keping pecahan baju besi yang menancap di wajah Rasulullah SAW. Lalu Abu Ubaidah bin al-Jarrah berusaha mencabut kepingan tersebut dengan menggigitnya sehingga dua giginya tertanggal. Selepas peristiwa itu, giginya diganti dengan gigi palsu. Sementara itu, Malik bin Sinan, bapa jepada Abu Said al-Khudri menyedut darah dari luka Baginda SAW.

Golongan Musyrikin cuba mendekati Rasulullah SAW lagi. Tetapi mereka dihadang oleh beberapa orang umat Islam. Mereka yang berjumlah sekitar sepuluh orang itu berjaya dibunuh. Talhah juga berjaya menghadang dan menghalau mereka agar menjauhi Rasulullah SAW. Adapun Abu Dujanah dan Simak bin Kharasyah menjadikan belakang mereka sebagai perisai bagi Rasulullah SAW. Walaupun panah menghujani tubuh mereka, namun mereka tidak berganjak walau sedikit pun.[3]

Talhah bin Ubaidillah Berjuang Sehingga Cedera Parah

Syeikh Sofiy al-Rahman al-Mubarakfuri menyebut dalam kitabnya, al-Rahiq al-Makhtum seperti berikut: Al-Nasa’ie telah meriwayatkan hadith berkenaan Talhah bin Ubaidillah, beliau meriwayatkan daripada Jabir perihal perkumpulan orang Musyrikin di sekitar Rasulullah SAW yang sedang bersama-sama sekumpulan sahabat daripada kaum Ansar. Jabir berkata: “Orang musyrikin telah dapat mengetahui kedudukan Rasulullah SAW, lalu Rasulullah SAW berkata: Siapa yang akan menentang kaum ini?” Talhah menjawab: “Saya, wahai Rasulullah.” Kemudian Jabir menceritakan bagaimana orang Ansar yang tampil ke hadapan mempertahankan Rasulullah SAW dan mereka terkorban seorang demi seorang, seperti yang telah disebutkan melalui hadis riwayat Muslim. Apabila semua orang Ansar itu terbunuh, maka tampillah Talhah.”

Jabir berkata: “Kemudian Talhah berjuang menentang 11 orang musyrikin sehingga tangannya ditetak lalu terputus jari-jarinya, lantas dia berkata, ‘Itu adalah baik.’ Mendengarkan itu, Rasulullah SAW bersabda yang bermaksud: ‘Kalau kamu mengatakan ‘Bismillah’ (dengan nama Allah), nescaya Malaikat akan mengangkat kamu sedang mereka hanya dapat memerhatikan sahaja.’ Kemudian Allah mengundurkan orang-orang musyrikin itu.[4]

Dalam kitab al-Iklil, al-Hakim meriwayatkan bahawa pada hari peperangan Uhud, Talhah mengalami 36 atau 35 luka, dan jari-jarinya putus, iaitu jari telunjuk dan yang berikutnya.[5]

Al-Bukhari meriwayatkan daripada Qais bin Abi Hazim, katanya: Aku melihat tangan Talhah yang lumpuh kerana mempertahankan Nabi SAW pada hari peperangan Uhud.” [6]

Al-Tirmizi meriwayatkan bahawa Rasulullah SAW bersabda mengenai Talhah pada hari peperangan Uhud: “Sesiapa yang mahu melihat orang yang syahid, yang masih berjalan di atas muka bumi ini, maka lihatlah kepada Talhah bin Ubaidullah.”[7]

Abu Daud al-Tayalisi meriwayatkan hadis daripada Aisyah R.Anha yang berkata: “Apabila Abu Bakar terkenangkan hari peperangan Uhud, beliau berkata: “Hari itu semuanya milik Talhah.”[8]

Abu Bakar R.A juga menyebut mengenai Talhah dalam bait-bait syairnya:

يَا طَلْحَة بن عُبَيْد الله قَدْ وَجَبَتْ        لَكَ الْجِنَان وبُوِّئتَ الْمَهَا العِينَا

Hai Talhah bin Ubaidillah, telah wajiblah

      Bagimu syurga dan menempah mata air yang memancar[9]

Penutup

Begitulah kecintaan para Sahabat terhadap Rasulullah SAW dan kesetiaan mereka dalam mempertahankan Baginda SAW demi menegakkan agama Islam.

Talhah bin Ubaidillah telah meninggal dunia pada tahun 36 hijrah, dalam usia 64 tahun. Beliau merupakan salah seorang yang dijamin syurga oleh Rasulullah SAW. Hal ini berdasarkan satu riwayat daripada Sa’id Bin Zaid, katanya:

أَشْهَدُ عَلَى رَسُولِ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِمَا سَمِعَتْهُ أُذُنَايَ وَوَعَاهُ قَلْبِي ، وَإِنِّي لَمْ أَكُنْ لأَرْوِيَ عَلَيْهِ كَذِبًا يَسْأَلُنِي عَنْهُ إِذَا لَقِيتُهُ أَنَّهُ قَالَ : أَبُو بَكْرٍ فِي الْجَنَّةِ ، وَعُمَرُ فِي الْجَنَّةِ ، وَعَلِيٌّ فِي الْجَنَّةِ ، وَعُثْمَانُ فِي الْجَنَّةِ ، وَطَلْحَةُ فِي الْجَنَّةِ وَالزُّبَيْرُ فِي الْجَنَّةِ ، وَعَبْدُ الرَّحْمَنِ بْنُ عَوْفٍ فِي الْجَنَّةِ ، وَسَعْدُ بْنُ مَالِكٍ فِي الْجَنَّةِ وَتَاسِعُ الْمُؤْمِنِينَ لَوْ شِئْتُ أَنْ أُسَمِّيَهُ لَسَمَّيْتُهُ فَرَجَّ أَهْلُ الْمَسْجِدِ يُنَاشِدُونَهُ يَا صَاحِبَ رَسُولِ اللهِ ، صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ مَنِ التَّاسِعُ ؟ قَالَ : نَاشَدْتُمُونِي بِاللَّهِ الْعَظِيمِ ، أَنَا تَاسِعُ الْمُؤْمِنِينَ وَرَسُولُ اللهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ الْعَاشِرُ أَبُو عُبَيْدَةَ بْنُ الْجَرَّاحِ رَضِيَ اللَّهُ عَنْهُ.

Maksudnya: Aku bersaksi atas nama Rasulullah SAW  yang mana aku dengar dengan kedua telingaku dan aku peliharanya dengan hatiku. Aku tidak akan meriwayatkan benda yang bohong. Nabi SAW bersabda : Abu Bakar di syurga, Umar di syurga, Ali di syurga, Uthman di syurga, Talhah di syurga, Zubair di syurga, ‘Abd al-Rahman bin ‘Auf di syurga dan Sa’ad Bin Malik[10] di syurga. Dan orang yang kesembilan jika kalian mahu akan aku namakan. Lalu kesemua orang yang berada di masjid memintanya menamakan orang yang kesembilan. Mereka berkata: wahai sahabat Rasulullah, siapakah orang yang kesembilan?. Sa’id berkata: Demi Allah, akulah orang yang kesembilan dan orang yang kesepuluh adalah Abu Ubaidah bin Al-Jarrah.”[11]

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 10 Mac 2022 bersamaan 7 Syaaban 1443H

[1] Surah Ali Imran: 144

[2] Lihat al-Rahiq al-Makhtum oleh Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri, hlm. 254–288

[3] Lihat al-Fusul fi Sirah al-Rasul, hlm. 110

[4] Lihat Fath al-Bari, 7/361; Sunan al-Nasa’ie, 2/52-53

[5] Lihat Fath al-Bari, 7/361

[6] Lihat Sahih al-Bukhari, 1/527-528

[7] Lihat Misykat al-Masabih, 2/566; Sirah Ibn Hisyam, 2/86

[8] Lihat Fath al-Bari, 7/361

[9] Lihat al-Rahiq al-Makhtum, hlm. 238; Lihat juga Tarikh Madinah Dimasyq, 25/106; Jam’u al-Jawami’, 13/490; Hayat al-Sahabah, 1/340

[10] Sa’ad Bin Malik yang disebutkan di dalam hadis ini ialah Sa’ad Bin Abi Waqqas. Kerana nama sebenar Abu Waqqas ialah Malik bin Ahib Bin Abd Manaf Bin Zuhrah Bin Kilab Bin Murrah Bin Ka’ab Bin Luayy. (Lihat Siyar ‘Alam Al-Nubala, 1/93).

[11] Riwayat al-Nasaie dalam al-Sunan al-Kubra (8193). Abu Daud juga meriwayatkan dengan lafaz yang hampir serupa di dalam kitabnya al-Sunan (4651).

Leave a Reply

Your email address will not be published.