#3011: Hadith Sahih Ada Kontradiksi?

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Baru-baru ini saya menemui saya website barat yang mendakwa bahawa hadith sahih ada kontradiksinya. Jadi bagaimana itu. Boleh jelaskan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan menjelaskan definisi hadith sahih terlebih dahulu.

Definisi Hadith Sahih

Menurut Imam al-Baiquni, beliau menjelaskan definisi hadith sahih dalam manzhumahnya seperti berikut:

أَوَّلُهَا الصَّحِيْحُ وَهْوَ مَا اتَّصَلْ                      إِسْنَادُهُ وَلَمْ يَشُذَّ أَوْ يُعَلّْ

يَرْوِيْهِ عَدْلٌ ضَابِطٌ عَنْ مِثْلِهِ                       مُعْتَمَدٌ فِي ضَبْطِهِ وَنَقْلِهِ

Pertamanya (hadith sahih) iaitu apa yang bersambung

            Sanadnya dan tiada syaz atau ‘illah (kecacatan) padanya

Diriwayatkan oleh perawi yang adil lagi dhabit yang seumpama dengannya

            Yang diakui akan kedhabitan dan perawiannya.

Berdasarkan kenyataan di atas, dapat difahami bahawa hadith sahih ialah hadith yang mempunyai sanad yang bersambung, diriwayatkan oleh perawi yang adil dan dhabit, dan selamat daripada syaz dan juga kecacatan.

Dalam kitab Aqidah Islamiyyah menyebut, Sahih (الصَّحِيْح) ialah berita yang diriwayatkan oleh seseorang yang bersifat adil dan kuat ingatan daripada orang yang bersifat sama sepertinya, hingga kepada sumber yang pertama berita tersebut tanpa sebarang kejanggalan (الشُّذُوْذ)dan kecacatan (العِلَّة).

Yang dimaksudkan dengan kejanggalan adalah, apabila seseorang yang berwibawa (الثِّقَة) itu meriwayatkan berita yang berlawan dengan berita yang lebih berwibawa daripadanya. Sementara maksud kecacatan pula ialah kelemahan dan keburukan yang tersembunyi bagi diri seseorang perawi yang dapat dikesan oleh mereka yang pakar dalam ilmu hadith.

Syarat-Syarat Hadith Sahih

Huraian bagi syarat-syarat hadith sahih adalah seperti berikut:

  • Sanad yang bersambung.

Sanad sesebuah hadith itu perlulah bersambung dari awal sehingga ke akhir serta wujudnya pertemuan atau sezaman di antara perawi-perawi di dalam rangkaian sanad. Selain itu, tidak wujud penghalang antara perawi daripada bertemu sama ada dari segi masa atau tempat.

  • Adil dan bermaruah.

Sifat adil yang dimaksudkan adalah perawi-perawi yang bertakwa serta menjauhi perkara-perkara yang fasiq dan bid’ah. Antara ciri-ciri seorang yang adil termasuklah dia seorang Muslim, baligh, berakal, tidak fasiq iaitu tidak melakukan dosa besar atau berterusan dalam melakukan dosa kecil serta menjaga maruahnya.

  • Mempunyai dhabit yang sempurna.

Dhabit bermaksud orang yang kuat dan sempurna hafazannya, selamat daripada melakukan kesalahan dan berkemampuan menghadirkan apa yang dihafalnya pada bila-bila masa yang dikehendaki. Dhabit terbahagi kepada dua, iaitu Dhabit Sodri (hafalan) dan Dhabit Kitabi (tulisan).

Dhabit Sadri bermaksud perawi yang menghafaz apa yang didengarnya dan mampu untuk memberitahu apa yang didengar atau dihafalnya pada bila-bila masa sahaja.

Dhabit Kitabi pula bermaksud perawi yang menjaga catatannya daripada hilang, dicuri, diubah atau diseleweng bermula dari saat dia mencatatnya sehinggalah dia diminta untuk mengemukakan catatannya.

  • Tidak

Hal ini dengan maksud, hadith atau riwayat tersebut tidak bertentangan dengan riwayat lain yang diriwayatkan oleh perawi yang lebih thiqah daripadanya. Hadith syaz ialah hadith yang diriwayatkan oleh perawi yang thiqah tetapi bertentangan dengan hadith atau riwayat lain yang lebih thiqah daripadanya.

  • Tidak ada ‘illah.

Riwayat atau hadith selamat daripada kecacatan iaitu sebarang kecacatan yang boleh menghalang sesebuah hadith itu daripada mencapai darjat sahih seperti hadith yang terkandung di dalam sanadnya perawi yang fasiq atau pemalsu dan pendusta hadith.

Apabila cukup syarat-syarat di atas, maka jadilah sesebuah hadith itu sahih. Adapun berita yang sahih menjadi hujah dalam bidang akidah. Walaubagaimanapun, tidak semua berita jenis ini pada tahap yang sama. Berita yang sahih pada tahap permulaannya membawa kepada maklumat zhan sahaja. Ia juga tidak boleh dijadikan hujah dalam hal ehwal aqidah, tetapi boleh diambil kira dan digunakan sebagai dalil dalam perkara-perkara amalan sebagaimana hadith hasan.

Sementara tahap berita sahih yang tertinggi ialah berita yang membawa kepada maklumat yang yakin. Para ulama’ menamakannya dengan khabar mutawatir (الخبر المتواتر). Khabar mutawatir adalah satu daripada jenis sahih tahap yang tertinggi. Para ulama’ telah mentakrifkannya sebagai berita yang diriwayatkan oleh sekumpulan orang daripada sekumpulan orang lain dan sehinggalah kepada punca beritanya. Setiap ahli kumpulan tersebut mustahil berlaku pembohongan dalam kalangan mereka. Malah pengambilan berita di kalangan setiap kumpulan tersebut berlaku secara nyata, iaitu mendengar sendiri atau secara bersemuka.

Hukum Hadith Sahih

Hukum hadith sahih adalah wajib menerima dan beramal dengannya, serta ia adalah hujjah dalam agama berdasarkan ijma’ ahli ilmu.

Contoh Hadith Sahih

Hadith sahih boleh dilihat di dalam dua buah kitab atau karya yang agung, iaitu Sahih al-Bukhari dan juga Sahih Muslim yang telah menjadi ijma’ umat ini akan kesahihan hadith-hadith yang terdapat di dalam kedua kitab tersebut. Ini kerana, kedua kitab ini hanya menghimpunkan hadith-hadith yang sahih daripada Rasulullah SAW.

Isu Mukhtalaf al-Hadith

Dalam persoalan di atas, perlu difahami juga berkenaan perbincangan mukhtalaf al-hadith. Ia adalah berkenaan dua hadith yang kelihatan secara zahirnya nampak bercanggah antara satu sama lain, tetapi sebenarnya dapat dihilangkan percanggahan tersebut melalui tiga kaedah iaitu al-jam’u (pengharmonian atau penyelarasan), kaedah tarjih (pemilihan) atau kaedah naskh (pemansuhan).

Perbincangan ilmu ini dinamakan sebagai mukhtalaf al-hadith. Antara kitab yang dikarang dalam bab ini ialah Ikhtilaf al-Hadith oleh Imam al-Syafi’i, Ta’wil Mukhtalif al-Hadith oleh Ibn Qutaibah dan al-Tahqiq fi Ahadith al-Khilaf oleh Ibn al-Jauzi.

Lafaz mukhtalaf merupakan kata terbitan daripada perkataan ikhtalafa (اختلف), yang berlawanan dengan ittafaqa (اتفق). (Lihat al-Qamus al-Muhit, 3/138) Ibn Manzur menyatakan bahawa dua perkara yang bertentangan adalah berbeza dan tidak sekata, sesuatu yang tidak sama adalah berbeza antara satu sama lain. (Lihat Lisan al-’Arab, 9/90) Al-Fayyumi pula menjelaskan bahawa sesuatu kaum yang saling berselisihan, mereka adalah bertentangan pendapat di mana satu pihak mempunyai pandangan yang berbeza dengan pandangan suatu pihak yang lain. (Lihat al-Misbah al-Munir, 1/178)

Manakala dari sudut istilah, menurut Imam al-Nawawi, mukhtalaf al-hadith bermaksud suatu keadaan di mana terdapat dua hadith yang saling berbeza (متضادان) dari sudut makna secara zahir, lalu kemudian diselaraskan antara kedua-duanya, atau ditarjihkan salah satu daripadanya. (Lihat Tadrib al-Rawi, 2/192)

Subhi Salih menyatakan bahawa mukhtalaf al-hadith adalah suatu bidang ilmu yang mengkaji hadith-hadith Nabi SAW yang secara zahirnya kelihatan berbeza (التناقض), yang boleh diselaraskan sesamanya sama ada mentaqyidkan yang mutla atau mentakhsiskan yang umum, atau kerana hadith-hadith tersebut berada dalam situasi yang berbeza dan seumpamanya. (Lihat ‘Ulum al-Hadith, hlm. 111)

Menurut Syeikh Muhammad Abu Syahbah, mukhtalaf al-hadith adalah keadaan di mana terdapat dua hadith atau lebih daripada itu yang berbeza antara satu sama lain (متضادان) dai sudut maknanya secara zahir. Ia kemudian diharmonikan antara kedua-duanya atau dikesan salah satunya sebagai nasikh  ke atas yang satu lagi, ataupun ditarjihkan salah satu daripadanya. (Lihat al-Wasit fi ‘Ulum wa Mustalah al-Hadith, hlm. 441)

Justeru, berdasarkan kenyataan di atas, mukhtalaf al-hadith boleh difahami sebagai ilmu yang mengkaji hadith-hadith Rasulullah SAW yang secara zahirnya nampak berbeza, dan boleh dihilangkan perbezaan tersebut melalui beberapa kaedah, iaitu:

  • Pengharmonian hadith atau penyelarasan (al-jam’u) (الجَمْعُ),

Al-Jam’u pada bahasa adalah merupakan kata dasar daripada perkataan jama’a (جمع). Perkataan ini mempunyai pelbagai makna, dan salah satunya adalah menghimpunkan sesuatu dengan cara mendekatkan sebahagian dengan sebahagian yang lain, menyatukan sesuatu yang terpisah, menghimpunkan sesuatu daripada sana dan sini sekalipun tidak menjadikan ia seumpama sesuatu yang sama. (Lihat Mu’jam Maqayis al-Lughah, 1/479; al-Qamus al-Muhit, hlm. 68 dan Lisan al-’Arab, 1/45)

Dari sudut istilah, antaranya seperti yang dijelaskan oleh Imam al-Syafi’i: “Kami tidak temui sesuatu daripadanya (Nabi Muhammad SAW) dua perkara yang bercanggah lalu kami mampu menyelesaikan percanggahannya – melainkan kami dapat menemui satu sudut yang dapat difahami bahawa ia tidaklah bercanggah dan ia termasuk dalam salah satu jenis-jenis yang telah kami sebutkan kepada kamu.” (Lihat al-Risalah, hlm. 272)

  • Pemansuhan (al-naskh) (النَّسْخُ)

Menurut Ibn al-Qayyim, lafaz al-Naskh yang digunakan oleh salaf bagi menunjukkan takhsis al-’am, taqyid al-mutlaq, bayan al-mujmal, istithna dan bentuk-bentuk yang dapat menghilangkan percanggahan hadith yang berlaku. (Lihat I’lam al-Muwaqqi’in, 2/66)

  • Pemilihan (al-tarjih) (التَّرْجِيْحُ).

Tarjih pada bahasa bermaksud memberatkan dan menguatkan. Dalam bidang ilmu Usul, ia bermaksud memberatkan atau menguatkan satu keterangan atau beberapa keterangan yang pada zahirnya kelihatan berlawanan. Tarjih adalah usaha untuk menentukan sanad atau matan yang lebih kuat pada hadith-hadith yang kelihatan bercanggahan.

Pendapat Ulama Terhadap Mukhtalaf al-Hadith

Jumhur ulama menolak berlakunya mukhtalaf al-hadith kecuali terdapat sebab-sebab tertentu seperti pemansuhan hukum, perbezaan situasi, perbezaan antara ‘am dan khas, dan lain-lain.

Antara tokoh yang terawal dalam menjelaskan perkara ini adalah Imam al-Syafi’i, di mana beliau menyatakan bahawa tidak benar terdapat dua hadith yang sahih daripada Rasulullah SAW, yang saling berbeza antara satu sama lain, melainkan salah satu daripadanya adalah khas dan yang satu lagi ‘am, atau yang satu adalah mujmal dan yang satu lagi adalah mufassil , melainkan dalam perkara al-naskh. (Lihat Ikhtilaf al-Hadith, hlm. 64-65)

Ibn Khuzaimah menegaskan: “Aku tidak mengetahui terdapat dua hadith Rasulullah SAW yang sahih, yang berbeza antara satu sama lain. Sesiapa yang mendapati keadaan berikut, maka bawalah kepadaku, nescaya aku dapat menyelaraskannya.” (Lihat al-Kifayah, hlm. 432)

Al-Khatib al-Baghdadi meriwayatkan ucapan daripada Muhammad bin ‘Ubaidullah al-Maliki dan ia dipersetujui oleh al-Qadhi Abu Bakar al-Tayyib, katanya: “Setiap daripada dua hadith yang diucapkan oleh Rasulullah SAW, maka tidak benar berlakunya perbezaan antara kedua-duanya sekalipun secara zahir. Ini kerana, makna percanggahan antara hadith dan al-Quran dari sudut suruhan atau larangan, atau seumpama dengannya sudah tentu salah satu akan mewajibkan, sekaligus menafikan kewajipan yang satu lagi. Maka dalam keadaan ini, terbatallah bebanan taklif atau sekiranya kedua-duanya hadith, maka salah satu daripadanya sahih dan yang satu lagi palsu. Dan Nabi SAW adalah terpelihara daripada segala kekeliruan di atas, malah beliau adalah ma’sum sepertimana ijmak umat Islam seluruhnya. Oleh itu, sekiranya didapati terdapat dua hadith yang secara luarannya kelihatan berbeza, nescaya kedua-dua hadith itu diucapkan dalam dua masa yang berlainan, atau dua kumpulan yang berlainan, atau dua orang yang berlainan, atau dua sifat yang berlawanan antara satu sama lain.” (Lihat al-Kifayah fi ‘Ilm al-Riwayah, hlm. 433)

Penutup

Sesungguhnya, ucapan Nabi SAW adalah benar belaka. Hal ini kerana Rasulullah SAW merupakan rasul utusan Tuhan. Justeru, antara ucapan nabi dan ucapannya yang lain tidak ada sebarang tanaqud (pertentangan). Para ulama telah menjawab dengan panjang isu ini dalam kitab masing-masing bagaimana cara untuk menggabungkan hadith Nabi SAW. Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *