#3010: Isteri Memilih Suami Pertama yang Sudah Meninggal Dunia Sebagai Suami di Syurga

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh ke seorang isteri memilih suaminya yang pertama yang sudah meninggal dunia sebagai suaminya di syurga jika dia berkahwin lagi dengan suami kedua di dunia? Dia berkahwin lagi dengan suami kedua di dunia untuk mengelakkan daripada berdosa memikirkan keintiman. Mohon pencerahan.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam hal ini, terdapat tiga pendapat ulama tentang perkara ini:

  • Pendapat pertama: Isteri akan bersama dengan suami yang terbaik dari sudut akhlaknya dan kelakuan bersamanya di dunia ini:

Al-Qurtubi mendatangkan riwayat daripada Anas bin Malik R.A, bahawa Ummu Habibah iaitu isteri Nabi SAW, katanya:

يَا رَسُولَ اللَّهِ أَرَأَيْتَ الْمَرْأَةَ مِنَّا تَكُونُ لَهَا زَوْجَانِ فِي الدُّنْيَا فَتَمُوتُ وَيَمُوتَانِ فَيَدْخُلُونَ الْجَنَّةَ، لِأَيِّهِمَا تَكُونُ، لِلْآخِرِ أَوْ لِلْأَوَّلِ؟ قَالَ: لِأَحْسَنِهِمَا خُلُقًا كَانَ مَعَهَا فِي الدُّنْيَا، يَا أُمَّ حَبِيبَةَ، ذَهَبَ حُسْنُ الْخُلُقِ بِخَيْرِ الدُّنْيَا وَالْآخِرَةِ

Maksudnya: “Wahai Rasulullah! Sekiranya seorang wanita itu mempunyai dua orang suami di dunia, iaitu suami yang dinikahinya selepas pernikahan yang pertama dan kesemua mereka itu memasuki Syurga. Siapakah yang akan menjadi suaminya (di Syurga nanti)? Nabi SAW menjawab: Suami yang akan bersamanya adalah yang paling baik akhlaknya.” (Lihat al-Tazkirah fi Ahwal al-Mauta wa al-Akhirah, 2/278).

Hadith ini dinilai sangat lemah kerana terdapat dua perawi yang menjadi pertikaian dalam sanad tersebut iaitu ‘Ubaid bin Ishaq al-‘Attaar dan Sinan bin Haarun yang ‘Ubaid dinilai sebagai dhaif jiddan, dan Sinan adalah dhaif.

Yahya bin Ma’in berkata: ‘Ubaid bin Ishaaq al-‘Attaar tidak ada apa-apa (iaitu, apa yang dia katakan tidak boleh diambil kira). Abu Hatim al-Raazi berkata: Kami berpendapat bahawa dia adalah orang yang baik, tetapi dia tidak boleh dipercayai dan terdapat beberapa perkara yang ganjil dalam hadithnya. (Lihat al-Jarh wa al-Ta’dil, 5/401)

Al-Zahabi berkata: Dia digolongkan sebagai lemah oleh Yahya. Al-Bukhari berkata: Dia mempunyai beberapa hadith munkar. Al-Azdi berkata: hadithnya matruk. Al-Daraqutni berkata: Dia adalah da’if. Abu Hatim pula menerimanya. Ibn ‘Adi berkata: pada umumnya hadith-hadithnya adalah munkar. (Lihat Mizan al-I’tidaal, 5/24)

Manakala Sinan bin Harun, Ibnu Hibban berkata: Hadithnya sangat mungkar, dia meriwayatkan riwayat yang mungkar daripada orang-orang yang terkenal. Yahya bin Ma’in berkata: Hadith Sinan bin Harun al-Burjami adalah tiada (tidak boleh diterima). (Lihat al-Majruhin, 1/354)

Al-‘Uqaili juga menyebutkannya dalam al-Dhu’afa’ (2/171) dan kemudian meriwayatkan hadith ini. Justeru, hadith ini tidak boleh untuk dijadikan dalil kerana ia adalah sangat lemah.

  • Pendapat Kedua: Isteri akan memilih antara mereka

Dalam al-Tazkirah fi Ahwal al-Mautaa wa al-Akhirah (2/278), perkara ini disebut, lalu penulis berkata: dan dikatakan bahawa dia akan mempunyai pilihan, jika dia mempunyai suami.”

Al-‘Ajluni berkata: “… dan dikatakan bahawa dia akan bersama yang terbaik daripada mereka berdasarkan akhlak dan tingkah laku, dan dikatakan bahawa dia akan mempunyai pilihan. (Lihat Kasyf al-Khafa’, 2/392).

Pendapat ini juga dipilih oleh Syeikh Muhammad bin Soleh ‘Uthaimin sebagaimana yang disebut dalam kitab Fatawa-nya (2/53)

  • Pandangan ketiga: Isteri bersama dengan suami terakhirnya di dunia.

Diriwayatkan ketika mana Mu’awiyah bin Abi Sufiyan ingin meminang Ummu al-Darda’ selepas kewafatan Abu al-Darda’, yang mana Ummu al-Darda’ menyatakan bahawa beliau mendengar Abu al-Darda’ berkata bahawa Rasulullah SAW bersabda:

أَيُّمَا امْرَأَةٍ تُوُفِّيَ عَنْهَا زَوْجُهَا، فَتَزَوَّجَتْ بَعْدَهُ فَهِيَ لِآخِرِ أَزْوَاجِهَا

Maksudnya: “Mana-mana wanita yang kematian suami dan dia bernikah lagi selepas daripada itu, maka suaminya di Syurga adalah yang paling akhir dinikahinya.”

Ummu Darda’ berkata lagi: “Dan aku tidak akan memilih kamu daripada Abu al-Darda’”. Maka Mu’awiyah menulis kepadanya (sambil berkata), kamu harus berpuasa, kerana ia adalah perlindungan.

Riwayat al-Tabarani (3130) di dalam al-Mu’jam al-Ausat (3/275).

Hadith ini dinilai Sahih sebagaimana dalam  Sahih al-Jami’ (2704). Manakala al-Haithami mengatakan di dalam sanad hadith ini terdapat Abu Bakar bin Abi Mariam dan dia merupakan seorang perawi yang bercampur hafalannya (tidak kuat hafalannya). (Lihat Majma’ al-Zawaid, 4/273).

Dalam riwayat ini terdapat dua ‘illah, iaitu Abu Bakar bin Abi Maryam merupakan perawi yang dhaif, dan al-Walid bin Muslim tidak menyatakan dengan jelas berkenaan tahdith (tadlis) dalam isnad yang selebihnya.

Ibnu Hibban berkata: Abu Bakar ibn Abi Maryam adalah salah seorang daripada penduduk al-Sham yang terbaik, tetapi dia mempunyai ingatan yang buruk dan akan menceritakan perkara-perkara yang jelas dia keliru… Dia pada pandanganku, riwayatnya tidak boleh dijadikan hujjah sekiranya dia hanya bersendiri dalam sanad itu. (Lihat al-Majruhin, 3/146)

Manakala tadlis al-Walid bin Muslim adalah perkara yang masyhur, dia melakukan tadlis al-taswiyah iaitu dia membuang nama perawi yang dhaif antara nama dua perawi yang thiqah. Disebabkan itulah para ulama’ menetapkan bahawa perawi jenis ini mesti dengan jelas menyatakan “tahdith” dalam setiap peringkat sanad selepas meriwayatkannya. (Lihat al-Tabyin li Asma’ al-Mudallisin oleh Sabt Ibn al-‘Ajami, hlm. 235; dan Tabaqat al-Mudallisin, oleh Ibn Hajar al-’Asqalani, hlm. 51)

Justeru, kebanyakan riwayat-riwayat yang menceritakan berkenaan permasalahan ini tidak terlepas daripada kritikan oleh para ulama atau tokoh-tokoh hadith. Untuk itu, kami simpulkan sebagaimana yang dinyatakan oleh para ulama bahawa masalah ini terbahagi kepada beberapa pendapat dan para ulama berbeza pandangan dalam menentukan masalah ini, iaitu:

  • Isteri akan bersama dengan suami yang terbaik dari sudut akhlaknya dan kelakuannya ketika di dunia ini;
  • Isteri akan memilih antara mereka
  • Isteri akan bersama suaminya yang terakhir.

Dalam meraikan kesemua riwayat-riwayat ini, Imam al-Suyuti menyatakan menyatakan bahawa seorang wanita dan isteri itu akan bersama suaminya yang terakhir sekiranya kesemua suaminya itu sama baik pada sudut akhlak dan kelakuannya. Sekiranya tidak, maka wanita tersebut akan memilih yang paling baik akhlaknya. (Lihat al-Jami’ al-Saghir, 262/1)

Kesimpulan

Sebagai kesimpulan, kami katakan bahawa dalil-dalil yang ada  dalam masalah ini adalah tidak begitu kuat melainkan pandangan bahawa dia akan bersama suaminya yang terakhir adalah pendapat yang paling mungkin benar. Hal ini kerana hadith Ummu Darda’ adalah berkemungkinan besar hasan dan marfu’ kepada Rasulullah SAW. Hal ini dikuatkan lagi dengan athar sahabat yang disebut oleh Huzaifah dan Asma’ secara mauquf yang mana ia menguatkan lagi pendapat bahawa hadith ini adalah marfu’.

Namun begitu, perkara sebegini adalah termasuk di dalam perkara-perkara yang ghaib kerana ia melibatkan hal syurga. Justeru, sebaiknya perkara ini diserahkan kepada Allah SWT. Setiap insan itu sama ada wanita atau lelaki perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk menjadi seorang isteri atau suami yang terbaik kepada pasangannya di dunia ini, agar dengan cara itu akan memasukkan kita ke dalam Syurga. Adapun berkaitan urusan di dalam Syurga kelak, kita sewajarnya menyerahkan sepenuhnya kepada Allah SWT dan perkara yang boleh dilakukan atau diusahakan oleh kita adalah memperbanyakkan berdoa kepada Allah SWT akan menghimpunkan kita bersama isteri kita dan juga menghimpunkan kita bersama orang-orang yang soleh di dalam Syurga kelak.

Akhirnya, semoga Allah SWT memasukkan kita dan seluruh ahli keluarga kita ke dalam Syurga-Nya di Akhirat kelak. Amin.

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

Surah al-Furqan (74)

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *