Soalan:

Assalamualaikum Tuan. Soalan saya, jika seseorang itu tidak mempunyai rasa serba salah dengan dosa yang dilakukan, namun masih berterusan menunaikan solat taubat kerana memikirkan dosa yang dilakukan, tanpa rasa serba salah atau sedih dengan dosa tersebut, adakah solat taubat itu diterima?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan firman Allah SWT:

وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur: 31)

Ibn Kathir ketika menafsirkan ayat ini beliau menyatakan: lakukanlah apa yang telah diperintahkan kepadamu daripada sifat-sifat yang indah dan akhlak-akhlak yang mulia. Tinggalkanlah kebiasaan kaum Jahiliyyah yang memiliki akhlak dan sifat yang tercela, kerana kejayaan hanya dapat dicapai dengan mengerjakan apa yang telah diperintahkan Allah dan Rasul-Nya serta meninggalkan apa yang telah dilarang oleh Allah dan Rasul-Nya. (Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 10/225 )

Allah SWT juga berfirman:

وَأَنِ اسْتَغْفِرُوا رَبَّكُمْ ثُمَّ تُوبُوا إِلَيْهِ يُمَتِّعْكُم مَّتَاعًا حَسَنًا إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى وَيُؤْتِ كُلَّ ذِي فَضْلٍ فَضْلَهُ

Maksudnya: Dan hendaklah kamu meminta ampun kepada Tuhan kamu (dari perbuatan syirik), kemudian hendaklah kamu rujuk kembali taat kepadaNya; supaya Ia memberi kamu nikmat kesenangan hidup yang baik (di dunia) hingga ke suatu masa yang tertentu, dan (di akhirat pula) Ia akan memberi kepada tiap-tiap seorang yang mempunyai kelebihan (dalam sebarang amal yang soleh) akan pahala kelebihannya itu.

(Surah Hud: 3)

Ibn Kathir berkata: Maksudnya, dan aku memerintah kamu untuk memohon keampunan kepada Allah SWT atas dosa-dosa yang telah berlalu serta bertaubat kepada-Nya daripada perbuatan tersebut, dan kamu tetap dan berterusan atas hal yang demikian.(Lihat Tafsir al-Quran al-‘Azim, 7/411)

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan  syarat sesuatu taubat itu diterima adalah dengan memenuhi tiga perkara iaitu:

  • Menjauhi dan meninggalkan maksiat yang telah dilakukan
  • Menyesal dengan sepenuh hati terhadap maksiat yang dilakukan
  • Berazam dan bertekad untuk tidak mengulangi perbuatan maksiat itu selama-lamanya.

Talah dinyatakan dalam Taujihat Islamiyyah bahawa syarat taubat itu diterima adalah dengan tujuh perkara:

  • Ikhlas iaitu mesti taubat itu dilakukan ikhlas kerana Allah SWT bukan disebabkan yang lain
  • Menyesal atas apa yang dilakukan daripada dosa maksiat
  • Meninggalkan maksiat yang dilakukan
  • Berazam tidak mengulanginya lagi
  • Memohon keampunan daripada dosa yang dilakukan sekiranya melibatkan hak-hak Allah
  • Menunaikan hak-hak ke atas manusia
  • Hendaklah taubat tersebut dilakukan ketika masih hidup.(Lihat Taujihat Islamiyyah,113)

Ibnu Rajab al-Hanbali menyatakan: “Orang yang bertaubat kepada Allah SWT dengan taubat nasuha, memenuhi semua syarat taubat bagi dirinya, maka boleh dipastikan Allah SWT menerima taubat dirinya. Ini sepertimana boleh dipastikan Islam orang kafir yang masuk Islam dengan benar. Inilah pendapat majoriti ulama’ (Lihat Tafsir Ibn Rejab al-Hanbali,1/565 )

orang yang melakukan sesuatu dosa dan ingin memohon ampun kepada Allah SWT terhadap dosa yang dilakukan itu adalah sunat baginya mendirikan solat dua rakaat. Ini sebagaimana yang telah diriwayatkan oleh Abu Bakr al-Siddiq R.A, katanya: Aku mendengar Rasulullah SAW bersabda:

مَا مِنْ عَبْدٍ يُذْنِبُ ذَنْبًا فَيُحْسِنُ الطُّهُورَ ثُمَّ يَقُومُ فَيُصَلِّي رَكْعَتَيْنِ ثُمَّ يَسْتَغْفِرُ اللَّهَ إِلاَّ غَفَرَ اللَّهُ لَهُ ‏ثُمَّ قَرَأَ هَذِهِ الآيَةَ ‏‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ ‏ إِلَى آخِرِ الآيَةِ

Maksudnya: Tidak ada seorang hamba yang melakukan satu dosa, lalu dia memperelokkan dalam bersuci dan dia kemudiannya bangun lalu mengerjakan solat dua rakaat dan memohon keampunan kepada Allah melainkan Allah akan mengampunkan dosanya. Kemudian dia membaca ayat ini:

‏ وَالَّذِينَ إِذَا فَعَلُوا فَاحِشَةً أَوْ ظَلَمُوا أَنْفُسَهُمْ ذَكَرُوا اللَّهَ

Maksudnya: Dan mereka yang apabila melakukan satu dosa atau menzalimi diri mereka kemudian mereka mengingati Allah.

Riwayat Abu Daud (1521)

Justeru, dalam isu ini kami katakan solat sunat taubat yang dilakukan tanpa dihadiri rasa penyesalan dan bersalah adalah sah sekiranya syarat-syarat solat telah dipenuhi. Mengenai penerimaan taubat, perlu difahami bahawa ia adalah keputusan Allah SWT yang tidak dapat diketahui melainkan-Nya. Walau bagaimanapun, kami ingin menegaskan bahawa penerimaan taubat itu bergantung sama ada individu tersebut telah memenuhi syarat-syarat taubat seperti yang telah dinyatakan di atas  ataupun tidak.

Semoga kita termasuk dalam kalangan mereka yang sentiasa bertaubat dan diterima taubatnya di sisi Allah SWT. Amin. Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا ظَلَمْنَا أَنفُسَنَا وَإِن لَّمْ تَغْفِرْ لَنَا وَتَرْحَمْنَا لَنَكُونَنَّ مِنَ الْخَاسِرِينَ

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, kami telah menganiaya diri kami sendiri, dan kalau Engkau tidak mengampunkan kami dan memberi rahmat kepada kami, nescaya menjadilah kami dari orang-orang yang rugi.”

(Surah al-A’raf:23)

Wallahu a’lam.

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *