#3012: Bersetubuh dengan Semua Isteri-Isterinya dengan Satu Mandi Wajib

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada satu soalan. Bolehkah seorang lelaki yang memiliki isteri lebih daripada seorang untuk bersama dengan isteri-isterinya itu tanpa mandi wajib terlebih dahulu. Maksudnya, dia bersetubuh dengan isteri pertamanya, kemudian dia pergi pula bersetubuh dengan isterinya yang kedua sebelum mandi wajib terlebih dahulu daripada jimaknya yang pertama? Mohon pencerahan. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Dalam menjawab soalan di atas, diharuskan bagi seorang lelaki yang telah bersetubuh dengan isterinya, untuk mendatangi pula isterinya yang lain sebelum dia mandi wajib. Ini adalah berdasarkan riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:

كُنْتُ أُطَيِّبُ رَسُولَ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَيَطُوفُ عَلَى نِسَائِهِ، ثُمَّ يُصْبِحُ مُحْرِمًا يَنْضَخُ طِيبًا

Maksudnya: “Aku pernah mengenakan pewangi kepada Rasulullah SAW, lalu Baginda mengunjungi (menyetubuhi) isteri-isterinya. Pada keesokan paginya, Baginda SAW memakai ihram dalam keadaan semerbak berbau wangi.

Riwayat al-Bukhari (267)

Begitu juga hadith lain, riwayat daripada Anas bin Malik, katanya:

كَانَ النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ يَدُورُ عَلَى نِسَائِهِ فِي السَّاعَةِ الوَاحِدَةِ، مِنَ اللَّيْلِ وَالنَّهَارِ، وَهُنَّ إِحْدَى عَشْرَةَ. قَالَ: قُلْتُ لِأَنَسٍ أَوَكَانَ يُطِيقُهُ؟ قَالَ: كُنَّا نَتَحَدَّثُ: أَنَّهُ أُعْطِيَ قُوَّةَ ثَلاَثِينَ. وَقَالَ سَعِيدٌ، عَنْ قَتَادَةَ، إِنَّ أَنَسًا، حَدَّثَهُمْ: تِسْعُ نِسْوَةٍ.

Maksudnya: “Nabi SAW pernah menyetubuhi kesemua isteri Baginda pada masa yang sama pada waktu malam dan siang, dan para isteri Nabi SAW adalah seramai sebelas orang.” Qatadah berkata: Aku berkata kepada Anas: “Adakah Baginda mampu melakukannya?” Anas berkata: “Dahulu kami (para sahabat) selalu bercakap-cakap bahawa Baginda SAW diberi kekuatan tiga puluh orang lelaki.” Sa‘id berkata daripada Qatadah bahawa Anas menyampaikan kepada mereka: “Isteri Baginda SAW sembilan orang.”

Riwayat al-Bukhari (268)

Dalam riwayat Anas yang lain, beliau berkata:

أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم كَانَ يَطُوفُ عَلَى نِسَائِهِ بِغُسْلٍ وَاحِدٍ

Maksudnya: “Nabi SAW biasanya menyetubuhi isteri-isterinya dengan satu mandi wajib.”

Riwayat Muslim (309)

Tambahan lagi, ramai ulama menukilkan ijma‘ mengenai keharusan melakukan perkara tersebut. Ini adalah sebagaimana dinyatakan oleh Ibn Battal bahawa para ulama tidak berselisih pendapat mengenai keharusan seseorang lelaki untuk melakukan persetubuhan dengan beberapa orang isterinya dengan satu mandi wajib berdasarkan hadith yang diriwayatkan oleh Aisyah dan Anas R.Anhuma. (Lihat Syarh Sahih al-Bukhari, 1/381).

Namun, adalah lebih baik (afdhal) untuk seseorang itu mandi wajib terlebih dahulu sebelum melakukan persetubuhan dengan isterinya yang lain. Hal ini adalah sebagaimana hadith daripada riwayat Abu Rafi‘ bahawa:

أَنَّ النَّبِيَّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ طَافَ ذَاتَ يَوْمٍ عَلَى نِسَائِهِ يَغْتَسِلُ عِنْدَ هَذِهِ وَعِنْدَ هَذِهِ ، قَالَ: قُلْتُ لَهُ: يَا رَسُولَ اللَّهِ أَلَا تَجْعَلُهُ غُسْلًا وَاحِدًا قَالَ : هَذَا أَزْكَى وَأَطْيَبُ وَأَطْهَرُ

Maksudnya: “Nabi SAW pada suatu hari pernah mengelilingi (menyetubuhi) isteri-isterinya, lalu Baginda mandi tiap kali selesai melakukan perhubungan bersama ini dan ini.” Beliau berkata lagi: “Aku bertanya kepada Baginda: ‘Wahai Rasulullah, tidakkah engkau menjadikannya sekali mandi sahaja?’ Baginda menjawab: ‘Yang seperti itu adalah lebih suci, lebih baik dan lebih bersih.’

Riwayat Ahmad (22742) dan Abu Daud (219)

Sekiranya seseorang lelaki itu berasa malas atau tidak mampu untuk melakukan mandi wajib (sebelum melakukan persetubuhan seterusnya), maka digalakkan (sunat) baginya untuk berwuduk di antara dua persetubuhan tersebut. Hal ini adalah berdasarkan hadith daripada riwayat Abu Sa‘id al-Khudri R.A, katanya: Rasulullah SAW bersabda:

 إِذَا أَتَى أَحَدُكُمْ أَهْلَهُ ثُمَّ أَرَادَ أَنْ يَعُودَ فَلْيَتَوَضَّأْ بَيْنَهُمَا وُضُوءًا

Maksudnya: “Apabila seseorang daripada kamu mendatangi isterinya (iaitu bersetubuh). Kemudian dia ingin  mengulanginya, maka hendaklah dia berwuduk di antara dua persetubuhan itu.

Riwayat Muslim (308)

Dalam riwayat yang lain terdapat lafaz tambahan:

 فإنّه أنشطُ للعَوْدِ

Maksudnya: “Hal ini kerana wuduk itu dapat menambah semangat (memberinya lebih banyak tenaga) untuk mengulanginya (jima‘).

Riwayat al-Hakim (1/254); Ibn Hibban (1211) dan al-Baihaqi (14468)[1]

Al-San‘ani menyebutkan, ini menunjukkan bahawa disyariatkan untuk berwuduk bagi orang yang ingin mengulangi melakukan persetubuhan dengan isterinya. Sekalipun begitu sabit juga bahawa Nabi SAW pernah bersama dengan isterinya dan tidak memperbaharui wuduk di antara dua persetubuhan tersebut. Begitu juga sabit daripada Nabi SAW bahawa Baginda pernah melakukan mandi wajib (sebanyak sekali sahaja) setelah melakukan persetubuhan dengan setiap daripada isterinya. Kesemuanya ini adalah dibolehkan. (Lihat Subul al-Salam, 1/89).

Sekiranya seseorang lelaki itu berasa malas atau tidak mampu untuk berwuduk (sebelum melakukan persetubuhan seterusnya), maka digalakkan (sunat) baginya untuk mencuci atau membersihkan kemaluannya dan mana-mana bahagian yang tercemar. Hal ini lebih ditekankan lagi bagi sesiapa yang ingin mengulangi persetubuhan dengan isterinya yang lain yang belum disetubuhi. Ini adalah sebagaimana hadith daripada riwayat Abdullah bin Umar R.Anhuma, katanya:

ذَكَرَ عُمَرُ بْنُ الخَطَّابِ لِرَسُولِ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ أَنَّهُ تُصِيبُهُ الجَنَابَةُ مِنَ اللَّيْلِ، فَقَالَ لَهُ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: تَوَضَّأْ وَاغْسِلْ ذَكَرَكَ، ثُمَّ نَمْ

Maksudnya: “Umar bin al-Khattab menyebut kepada Rasulullah SAW bahawa beliau berjunub pada suatu malam (apa seharusnya dilakukan beliau?). Maka Rasulullah SAW bersabda kepadanya: ‘Berwuduklah dan basuhlah kemaluanmu, kemudian tidurlah.’

Riwayat al-Bukhari (290) dan Muslim (306)

Imam Muslim menamakan satu bab dalam kitab sahihnya, “بَاب جَوَازِ نَوْمِ الْجُنُبِ، وَاسْتِحْبَابِ الْوُضُوءِ لَهُ وَغَسْلِ الْفَرْجِ إِذَا أَرَادَ أَنْ يَأْكُلَ أَوْ يَشْرَبَ أَوْ يَنَامَ أَوْ يُجَامِعَ” (Bab: Dibolehkan bagi Seseorang yang Berjunub untuk Tidur tetapi Disunatkan baginya untuk Berwuduk dan Membasuh Kemaluannya Apabila Dia Ingin Makan, Minum, Tidur atau Berjima‘ Lagi). (Lihat Sahih Muslim, 1/248).

Imam al-Nawawi menyimpulkan dengan menyatakan, semua hadith menunjukkan bahawa dibolehkan bagi seseorang yang berjunub untuk tidur, makan, minum dan melakukan persetubuhan lagi sebelum mandi wajib. Perkara ini disepakati oleh para ulama. Selain itu, ia juga menunjukkan bahawa disunatkan baginya untuk berwuduk dan membersihkan kemaluannya bagi tujuan melakukan perkara-perkara tersebut. Lebih-lebih lagi apabila dia ingin melakukan persetubuhan sekali lagi dengan isterinya yang lain yang belum disetubuhi kerana ia adalah sangat dianjurkan untuk membasuh zakarnya (kemaluannya) — sebelum bersetubuh dengan isterinya yang lain itu. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 1/499)

Kesimpulannya

Oleh itu, berdasarkan kepada kenyataan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa seseorang yang memiliki lebih daripada seorang isteri, tidak mengapa baginya untuk menyetubuhi dengan semua isteri-isterinya tanpa menyelanginya dengan mandi wajib, atau berwuduk atau membasuh kemaluannya terlebih dahulu bagi persetubuhan yang sebelumnya. Hal ini adalah berdasarkan nas yang sahih.

Sekalipun begitu, jika dia mandi wajib terlebih dahulu sebelum mendatangi isterinya yang lain bagi menyetubuhinya adalah lebih baik dan afdhal. Jika dia tidak mahu mandi wajib, dia boleh berwuduk terlebih dahulu sebelum mendatangi isterinya yang lain. Jika dia tidak mahu berwuduk sebelumnya, sekurang-kurangnya basuhlah kemaluannya dan tempat-tempat yang tercemar, dan ini adalah lebih baik berbanding dia terus mendatangi isterinya yang lain tanpa membersihkannya terlebih dahulu.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنَ الخَيْرِ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ الشَّرِّ كُلِّهِ عَاجِلِهِ وَآجِلِهِ ، مَا عَلِمْنَا مِنْهُ وَمَا لَمْ نَعْلَمْ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ مِنْ خَيْرِ مَا سَأَلَكَ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنْ شَرِّ مَا عَاذَ بِهِ عَبْدُكَ وَنَبِيُّكَ ، اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ الجَنَّةَ وَمَا قرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَولٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَعُوْذُ بِكَ مِنَ النَّارِ وَمَا قَرَّبَ إِلَيْهَا مِنْ قَوْلٍ أَوْ عَمَلٍ ، وَنَسْأَلُكَ أَنْ تَجْعَلَ كُلَّ قَضَاءٍ قَضَيْتَهُ لَنَا خَيْرًا

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu semua kebaikan yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta apa yang kami ketahui mahupun tidak kami ketahui. Kami berlindung kepada-Mu daripada semua keburukan, baik yang disegerakan mahupun yang ditunda, serta yang kami ketahui mahupun yang tidak kami ketahui. Ya Allah, sungguh kami memohon kepada-Mu dari kebaikan apa yang diminta oleh hamba dan Nabi-Mu Muhammad SAW kepada-Mu dan kami berlindung kepada-Mu dari apa yang diminta perlindungan oleh hamba dan nabi-Mu. Ya Allah, kami memohon kepada-Mu syurga dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan mahupun perbuatan. Dan kami berlindung kepada-Mu dari neraka dan apa yang mendekatkan kepadanya baik berupa ucapan atau perbuatan. Dan kami memohon kepada-Mu semua takdir yang Engkau tentukan baik untuk kami.”

[1] Ia dinilai sebagai sahih dalam Sahih al-Jami‘ (263); Syeikh Syu‘aib al-Arna’ut menilai sanadnya sebagai sahih dalam Takhrij Sahih Ibn Hibban (1211); Begitu juga al-Baihaqi dalam al-Sunan al-Kubra (7/192) menilai sanadnya sebagai sahih.

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *