#3013: Rumah Disewa oleh Bank

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya nak tanya satu soalan berkaitan dengan bank. Saya ada sebuah rumah disewakan oleh pihak bank, menjadi bangunan bank. Apakah hukumnya?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Definisi Sewa

Sewa menurut Kamus Dewan Bahasa dan Pustaka Edisi Keempat merujuk penggunaan atau peminjaman sesuatu dengan membayar sejumlah wang. Manakala takrif sewa menurut istilah syara‘ pula ialah sebuah akad perjanjian bagi mendapatkan manfaat (khidmat) tertentu yang boleh dibayar dan dihalalkan dengan barangan tertentu. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 3/438)

Akad sewa ini adalah jelas berdasarkan firman Allah SWT:

فَإِنْ أَرْضَعْنَ لَكُمْ فَآتُوهُنَّ أُجُورَهُنَّ

Maksudnya: “Kemudian jika mereka menyusukan anak untuk kamu, maka berikanlah kepada mereka upahnya.”

(Surah al-Talaq: 6)

Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji mengatakan bahawa ayat di atas adalah dalil Allah memerintahkan para bapa membayar upah atas khidmat susuan. Ini menunjukkan bahawa upah itu adalah hak ibu susuan tersebut, dan dia tidak layak mendapatkan upah tersebut melainkan dengan adanya akad perjanjian. Sekiranya dia memberikan khidmat susuan tanpa melakukan akad, maka ia dianggap sebagai khidmat sukarela. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/137)

Akad sewa secara asasnya mempunyai 4 rukun:

  • Pihak yang melakukan akad, iaitu penyewa dan yang memberi khidmat sewa.
  • Lafaz akad, iaitu lafaz ijab dan lafaz terima.
  • Manfaat yang ditawarkan.
  • Bayaran sewa atau upah. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/139-148)

 Jenis dan Syarat Penyewaan

Terdapat dua jenis kontrak sewa: Sewa barangan dan sewa jaminan.

Pertama: Sewa barangan ialah sewa yang membabitkan perkhidmatan yang diperolehi daripada barangan tertentu. Contohnya pemilik berkata: Aku sewakan rumah ini kepada kamu atau sebuah kereta yang dikenalpasti oleh kedua-dua pihak. Atau seseorang menyewa (mengupah) orang tertentu untuk sesuatu kerja, atau untuk menjahitkan baju tertentu.

Kedua: Sewa jaminan ialah sewa yang membabitkan perkhidmatan yang diperolehi melalui jaminan pemilik. Contohnya penyewa menyewa (mengupah) seseorang untuk menghantarnya ke suatu tempat menggunakan sebuah kereta yang dinyatakan sifat-sifatnya berdasarkan jaminan pemiliknya, atau menyewa sebuah kereta yang dinyatakan sifatnya berdasarkan jaminan pemiliknya untuk tempoh tertentu. Contoh lain, pengupah menetapkan sesuatu kerja yang perlu dilaksanakan dengan jaminan orang yang diupah. Contohnya membuat binaan atau menjahit pakaian atau sebagainya.

Sewaan (upah) jenis ini diguna pakai oleh pelbagai perkhidmatan pengangkutan hari ini. Sewa ini merujuk kepada perkhidmatan yang dinyatakan ciri-cirinya melalui jaminan pemilik bukan perkhidmatan yang diperolehi daripada barangan tertentu. (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 4/218)

Pada masa kini, bank yang di Malaysia kebanyakannya sudah ada dua, iaitu konvensional dan juga Islam.

Dalam isu di atas, umumnya, kita tidaklah perlu untuk menyelidik kepada apa yang dia sewa itu. Walaupun begitu, min bab al-wara’, maka aulanya adalah dengan kita meninggalkannya.

Nabi SAW pernah menasihati Abu Hurairah:

كُنْ وَرِعًا تَكُنْ أَعْبَدَ النَّاسِ

Maksudnya: “Jadilah kamu seorang yang wara’, nescaya kamu menjadi manusia yang paling beribadah.”

Riwayat al-Tirmizi (2305), Ahmad (8095) dan Ibn Majah (4217). Hadis ini dinyatakan Sahih li Ghairihi dalam Sahih al-Targhib (1741)

Maksud wara’ pada asalnya adalah menahan diri daripada perkara-perkara yang haram. (Lihat al-Mu’jam al-Islami, hlm. 1338)

Sebahagian daripada para Sahabat berkata:

كُنَّا نَدَعُ سَبْعِينَ بَابًا مِنَ الْحَلَالِ مَخَافَةَ أَنْ نَقَعَ فِي بَابٍ مِنَ الْحَرَامِ.

Maksudnya: “Kita telah meninggalkan tujuh puluh persoalan yang berkaitan dengan perkara yang halal kerana takut terkait dengan persoalan yang haram.” (Lihat Madarij al-Salikin, 2/25)

Akhir kalam, marilah sama-sama kita berdoa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *