#3048: Kasihnya Nabi SAW kepada Fatimah

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Boleh terangkan bagaimana kasihnya Nabi SAW kepada Fatimah AS? Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Sebelum kami menjawab soalan yang diajukan, kami mulakan dengan menjelaskan terlebih dahulu secara ringkas biodata Fatimah R.Anha. Nama penuh beliau ialah Ummul Hasanain Fatimah binti Rasulullah SAW Abu al-Qasim Muhammad bin Abdullah bin ‘Abd al-Muttalib bin Hasyim bin ‘Abd Manaf al-Qurasyiyyah al-Hasyimiyyah. Beliau dilahirkan tidak lama sebelum Nabi diutuskan menjadi Rasul. Beliau berkahwin dengan Ali bin Abu Talib pada bulan Zulkaedah atau hampir-hampir dengan bulan tersebut, pada tahun 2 Hijrah selepas perang Badar. Ibn ‘Abd al-Bar menyebutkan, Ali R.A bersama dengan Fatimah R.Anha sebagai suami isteri selepas perang Uhud dan hasil perhubungan tersebut, lahirlah al-Hasan, al-Husain, Muhsin, Ummu Kulthum dan Zainab.

Fatimah R.Anha juga meriwayatkan hadith daripada bapanya, Rasulullah SAW. Manakala di antara mereka yang meriwayatkan hadith daripadanya pula ialah anak-anaknya, Aisyah, Ummu Salamah, Anas bin Malik dan lain-lain. Riwayat-riwayatnya itu pula terdapat dalam al-Kutub al-Sittah. Tambahan lagi, Baginda SAW sangat menyayanginya, memuliakannya dan menggembirakan hatinya. Malah kelebihan dan kebaikannya juga sangat banyak. Di samping itu, beliau merupakan seorang yang penyabar, beragama, baik hati, menjaga diri, berasa cukup dan redha dengan yang sedikit, dan selalu bersyukur kepada Allah. (Lihat Siyar A‘lam al-Nubala’, 2/118-119).

Dalam menjawab soalan di atas, kasih Baginda SAW kepada puterinya, Fatimah R.Anha tidak dapat dinafikan lagi. Ia jelas dapat dilihat melalui banyak riwayat yang menceritakannya. Cukuplah kami bawakan di sini dua hadith yang diriwayatkan oleh Imam al-Bukhari dalam sahihnya, bagi menggambarkan betapa kasihnya Baginda SAW kepada Fatimah R.Anha.

Hadith pertama, riwayat daripada al-Miswar bin al-Makhramah R.Anhuma bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَاطِمَةُ بَضْعَةٌ مِنِّي، فَمَنْ أَغْضَبَهَا أَغْضَبَنِي.

Maksudnya: “Fatimah adalah sebahagian daripadaku (darah dagingku). Sesiapa yang membuatnya marah, bererti dia telah membuatku marah.”

Riwayat al-Bukhari (4714)

Hadith kedua, riwayat daripada Aisyah R.Anha, katanya:

دَعَا النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَاطِمَةَ ابْنَتَهُ فِي شَكْوَاهُ الَّذِي قُبِضَ فِيهَا، فَسَارَّهَا بِشَيْءٍ فَبَكَتْ، ثُمَّ دَعَاهَا فَسَارَّهَا فَضَحِكَتْ، قَالَتْ: فَسَأَلْتُهَا عَنْ ذَلِكَ. فَقَالَتْ: سَارَّنِي النَّبِيُّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَأَخْبَرَنِي أَنَّهُ يُقْبَضُ فِي وَجَعِهِ الَّذِي تُوُفِّيَ فِيهِ، فَبَكَيْتُ. ثُمَّ سَارَّنِي فَأَخْبَرَنِي، أَنِّي أَوَّلُ أَهْلِ بَيْتِهِ أَتْبَعُهُ، فَضَحِكْتُ

Maksudnya: “Nabi SAW memanggil Fatimah, puterinya itu, di saat sakit yang membawa kepada kewafatan Baginda. Baginda membisikkan sesuatu kepadanya, lalu beliau pun menangis. Kemudian, Baginda membisikkan sesuatu kepadanya (kali yang kedua), lalu beliau tersenyum.” Aisyah berkata lagi: “Aku bertanya kepada beliau tentang hal itu. Lalu Fatimah berkata: ‘Nabi SAW berbisik kepadaku seraya mengkhabarkan bahawa Baginda akan diwafatkan pada sakit yang membawa kepada kewafatannya itu, maka aku pun menangis. Kemudian, Baginda membisikkan kepadaku (kali yang kedua) seraya mengkhabarkan bahawa aku adalah ahli keluarganya yang pertama sekali mengikutinya (yang akan wafat selepas Baginda), maka aku pun tersenyum.’

Riwayat al-Bukhari (3715-3716)

Kisah Fatimah binti Rasulullah SAW kami telah nyatakan dengan panjang lebar dalam buku kami Garis Masa Hayat al-Rasul SAW.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا اغْفِرْ لَنَا وَلِإِخْوَانِنَا الَّذِينَ سَبَقُونَا بِالْإِيمَانِ وَلَا تَجْعَلْ فِي قُلُوبِنَا غِلًّا لِّلَّذِينَ آمَنُوا رَبَّنَا إِنَّكَ رَءُوفٌ رَّحِيمٌ

Maksudnya: “Wahai Tuhan Kami! Ampunkanlah dosa kami dan dosa saudara-saudara kami yang mendahului kami dalam iman, dan janganlah Engkau jadikan dalam hati kami perasaan hasad dengki dan dendam terhadap orang-orang yang beriman. Wahai Tuhan kami! Sesungguhnya Engkau Amat Melimpah Belas kasihan dan RahmatMu.”

Surah al-Hasyr (10)

Bertarikh: 12 September 2023 bersamaan 26 Safar 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *