#3124: Menerima Hibah dari Kawan

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya mendapat satu message dari kawan saya berkenaan hibah yang diberi. Pesanannya bertulis begini: Saya dengan ini menghibbahkan wang sebanyak RM50k kepada Alizam/Arita sebagai menebus kesalahan yang dibuat selama ini. Jumlah ini adalah merujuk kepada kaedah penyelesaian yang disyorkan oleh Alizam sendiri dan dipersetujui oleh pihak saya.

Dengan selesainya pembayaran ini saya berharap tiada lagi pertukaran message antara kita untuk membincangkan perkara tersebut. Bagi saya ianya selesai seperti yang kita bersetuju dan kedua-dua pihak boleh ‘move-on’ meneruskan kehidupan masing-masing. Saya mendoakan harap Alizam dapat memulihkan hubungan dengan Arita serta memulihkan emosi Alizam yang terganggu disebabkan benda ini.

Sekali lagi, dengan penyelesaian ini juga saya berharap Alizam memaafkan saya dunia dan akhirat. Adakah wang ini halal bagi saya untuk saya gunakan?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pengertian Hibah

Hibah ialah memberi milik sesuatu barang kepada seseorang yang mana barang itu sah untuk dijual atau diberi hutang, oleh ahli tabarru’ dengan tidak adanya sebarang tukaran atau balasan (Lihat Mughni al-Muhtaj, 11/396). Pengarang kitab al-Fiqh al-Manhaji menyebut: “Hibah merupakan satu kontrak perjanjian (akad) bertujuan kepada pemindahan hak milik tanpa sebarang gantian (‘iwad) ketika masih hidup dan ia dilakukan secara sukarela.” (Lihat al-Fiqh al-Manhaji, 6/115)

Terdapat dalil al-Quran, Sunnah serta Ijma’ dalam galakan berhibah bagi membantu dan mengeratkan lagi tali silaturrahim. Firman Allah SWT:

فَإِن طِبْنَ لَكُمْ عَن شَيْءٍ مِّنْهُ نَفْسًا فَكُلُوهُ هَنِيئًا مَّرِيئًا

Maksudnya: “Kemudian jika mereka dengan suka hatinya memberikan kepada kamu sebahagian dari maskahwinnya maka makanlah (gunakanlah) pemberian (yang halal) itu sebagai nikmat yang lazat, lagi baik kesudahannya.”

 (Surah al-Nisa: 4)

Hukum Asal Hibah

Hukum asal bagi perbuatan hibah adalah mustahab (sunat) menurut ijma’ ulama’. Akan tetapi, hukum sunat tersebut boleh berubah menjadi haram jika diniatkan padanya perbuatan maksiat atau membantu kezaliman ataupun dimaksudkan dengan pemberian hibah atau hadiah tersebut sebagai tujuan rasuah para pekerja dan sebagainya, maka perbuatan ini adalah diharamkan. Dan juga ia boleh berubah menjadi makruh apabila wujudnya unsur atau perasaan riak dan takabbur (membangga diri) terhadap pemberian tersebut. (Lihat al-Mausu’ah al-Fiqhiyyah al-Kuwaitiyyah, 42/122)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab dalam artikel sebelum ini:

#838: Perbezaan Hibah, Hadiah dan Sedekah[1]

#841: Persetujuan Ahli Waris Lain dalam Melakukan Hibah[2]

#839: Mengambil Semula Barang yang Telah Hibah[3]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan tidak menjadi masalah jika saudari mengambilnya kerana ia merupakan pemberian (hibah) kawan saudari. Begitu juga, jika melihat kepada rukun hibah, ia telah menepati syarat sahnya hibah. Maka, halal bagi saudari menggunakannya.

Semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik. Amin.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَسْأَلُكَ عِلْمًا نَافِعًا، وَرِزْقًا طَيِّبًا، وَعَمَلاً مُتَقَبَّلاً

Maksudnya: “Ya Allah, kami memohon kepada-Mu ilmu yang bermanfaat, rezeki yang baik dan amalan yang diterima.”

[1] https://maktabahalbakri.com/838-perbezaan-hibah-hadiah-dan-sedekah/

[2] https://maktabahalbakri.com/841-persetujuan-ahli-waris-lain-dalam-melakukan-hibah/

[3] https://maktabahalbakri.com/839-mengambil-semula-barang-yang-telah-hibah/

Bertarikh: 18 September 2023 bersamaan 3 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *