Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya ada soalan. Saya jadi grantor kepada seseorang yang mendapat pinjaman MARA, kemudian dia tak mahu teruskan belajar dan tak mahu bayar semula. Jadi saya kena bayar. Selepas perbincangan dengan semua, dan sudah turun naik mahkamah, diputuskan saya tetap kena bayar dengan diskaun 50%. Soalan saya, andainya saya mati, dan hutang yang saya jamin itu belum lagi selesai, adakah saya dikira mati dalam menanggung hutang? Budak tersebut masih tidak bekerja.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Allah SWT memerintahkan orang yang beriman untuk mencatat segala hutang dan masa bayarannya. Allah SWT berfirman di dalam al-Quran:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا إِذَا تَدَايَنتُم بِدَيْنٍ إِلَىٰ أَجَلٍ مُّسَمًّى فَاكْتُبُوهُ ۚ وَلْيَكْتُب بَّيْنَكُمْ كَاتِبٌ بِالْعَدْلِ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).”

(Surah al-Baqarah: 282)

Hutang juga merupakan satu amanah yang wajib ditunaikan dengan secara adil dan hukum untuk melangsaikannya sebagai satu akad antara sesama manusia adalah wajib,

Menurut Jabatan Bantuan Guaman, jaminan ialah janji yang dibuat oleh suatu pihak (yang dikenali sebagai penjamin) untuk membayar bagi pihak seorang yang lain (yang dikenali sebagai peminjam) sekiranya peminjam itu gagal atau enggan membayar balik pinjamannya kepada pihak yang memberi pinjaman.[1]

Al-Kafalah atau al-Dhaman bermaksud, hamalah (beban) dan za’amah (tanggungan). Oleh karena itu Ibn al-Arabi menyatakan bahawa kata (كَفِيْل),(كَافِل), (ضَمِيْنُ) dan (ضَامِن) memiliki pengertian dan makna yang sama.

Manakala al-Maziri dalam Syarh al-Talqin menyatakan: kata (الْحَمَالَةُ) dalam bahasa Arab dan kata (الْكَفَالَةُ), (الضَمَانُ) dan (الزَّعَامَةُ) semuanya satu makna yang sama. Namun hal ini diperselisihi oleh al-Mawardi yang menyatakan: Kebiasaannya dikhususkan kata dhamin (ضَمِيْنُ) untuk harta, hamil (الْحَمِيْل) untuk diyat dan za’im (الزَّعِيْمُ) untuk harta yang banyak, serta (الْكَفِيْلُ) untuk jiwa. kata (الصَّبِيْرُ) mencakupi semua itu, demikian juga kata (الْقَبِيْلُ). (Lihat al-Qamus al-Muhit, 4/243; al Mu’jam al-Wasit, 1/546)

Dari sudut syara’ pula, kafalah atau Dhaman ini didefinisikan sebagai menyatukan tanggungjawab penjamin kepada tanggungjawab orang yang dijamin dalam komitmen untuk menunaikan hak wajib, sama ada pada waktu itu atau pada masa yang akan datang. (Lihat al-Fiqh al-Muyassar, 6/106)

Selain itu, Syeikh Muhammad al-Zuhaili menyatakan bahawa al-Dhaman bermaksud suatu kontrak yang mengikat seseorang untuk membayar bebanan hutang yang pada asalnya ditanggung oleh peminjam, terutamanya dalam keadaan peminjam gagal atau ingkar untuk membayarnya. (Lihat al-Mu’tamad fi al-Fiqh al-Syafi’i, 3/483)

Asas pensyariatan al-Dhaman atau kafalah ini adalah sebagaimana firman Allah SWT:

قَالَ لَنْ أُرْسِلَهُ مَعَكُمْ حَتَّىٰ تُؤْتُونِ مَوْثِقًا مِنَ اللَّهِ لَتَأْتُنَّنِي بِهِ إِلَّا أَنْ يُحَاطَ بِكُمْ ۖ فَلَمَّا آتَوْهُ مَوْثِقَهُمْ قَالَ اللَّهُ عَلَىٰ مَا نَقُولُ وَكِيلٌ

Maksudnya: Bapa mereka berkata:” Aku tidak sekali-kali akan melepaskan dia (Bunyamin) pergi bersama-sama kamu, sehingga kamu memberi kepadaku satu perjanjian yang teguh (bersumpah) dengan nama Allah, bahawa kamu akan membawanya kembali kepadaku dengan selamat, kecuali jika kamu semua dikepong dan dikalahkan oleh musuh”. Maka ketika mereka memberikan perjanjian yang teguh (bersumpah) kepadanya, berkatalah ia: “Allah jualah yang menjadi Saksi dan Pengawas atas apa yang kita semua katakan itu.”

(Surah Yusuf: 66)

Ayat yang mulia ini menunjukkan pensyariatan pemberian jaminan. Dalam ayat ini, jaminan dilakukan dengan badan, kerana mereka menjamin dan bertanggungjawab kepada Nabi Ya’qub dengan badan mereka. Ini syariat orang sebelum kita yang juga menjadi syariat bagi kita selama tidak ada syariat kita yang menyelisihi syari’at orang sebelum kita itu. (Lihat Min Fiqh al-Mu’amalat, hlm. 230)

Begitu juga dengan firman Allah SWT:

قَالُوا نَفْقِدُ صُوَاعَ الْمَلِكِ وَلِمَنْ جَاءَ بِهِ حِمْلُ بَعِيرٍ وَأَنَا بِهِ زَعِيمٌ

Maksudnya: Orang-orang menteri menjawab: “Kami kehilangan cupak raja. Dan sesiapa yang memulangkannya akan diberi (benda-benda makanan) sebanyak muatan seekor unta, dan akulah yang menjamin pemberian itu”.

(Surah Yusuf: 72)

Ibnu Kathir dalam tafsirnya menyebut bahawa “وَأَنَا بِهِ زَعِيمٌ” termasuk dalam bab al-dhaman dan al-kafalah. (Lihat Tafsir al-Quran al-’Azim, 3/523)

Selain itu, diriwayatkan daripada Salamah bin al-Akwa’ R.A, katanya:

كُنَّا جُلُوسًا عِنْدَ النَّبِيِّ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ، إِذْ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ، فَقَالُوا: صَلِّ عَلَيْهَا، فَقَالَ: «هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟»، قَالُوا: لاَ، قَالَ: «فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟»، قَالُوا: لاَ، فَصَلَّى عَلَيْهِ، ثُمَّ أُتِيَ بِجَنَازَةٍ أُخْرَى، فَقَالُوا: يَا رَسُولَ اللَّهِ، صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ: «هَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟» قِيلَ: نَعَمْ، قَالَ: «فَهَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟»، قَالُوا: ثَلاَثَةَ دَنَانِيرَ، فَصَلَّى عَلَيْهَا، ثُمَّ أُتِيَ بِالثَّالِثَةِ، فَقَالُوا: صَلِّ عَلَيْهَا، قَالَ: «هَلْ تَرَكَ شَيْئًا؟»، قَالُوا: لاَ، قَالَ: «فَهَلْ عَلَيْهِ دَيْنٌ؟»، قَالُوا: ثَلاَثَةُ دَنَانِيرَ، قَالَ: «صَلُّوا عَلَى صَاحِبِكُمْ»، قَالَ أَبُو قَتَادَةَ صَلِّ عَلَيْهِ يَا رَسُولَ اللَّهِ وَعَلَيَّ دَيْنُهُ، فَصَلَّى عَلَيْهِ

Maksudnya: Kami pernah duduk di sisi Nabi SAW, tiba-tiba didatangkan kepadanya satu jenazah, maka mereka berkata: “Solatlah ke atasnya.” Baginda bertanya: “Adakah dia memiliki hutang?” Mereka menjawab: “Tidak.” Baginda bertanya: “Adakah dia ada meninggalkan sesuatu?” Mereka menjawab: “Tidak.” Maka Baginda mensolatkannya. Kemudian didatangkan pula jenazah yang lain dan mereka berkata: “Wahai Rasulullah, solatkanlah dia.” Baginda bertanya: “Adakah dia memiliki hutang? Dikatakan: “Ya.” Baginda bertanya lagi: “Adakah dia ada meninggalkan sesuatu?” Mereka menjawab: “Tiga dinar.” Maka Baginda mensolatkannya. Kemudian didatangkan pula jenazah yang ketiga lalu mereka berkata: “Solatkanlah dia.” Baginda bertanya: “Adakah dia ada meninggalkan sesuatu?” Mereka menjawab: “Tidak.” Baginda bertanya: “Adakah dia memiliki hutang?” Mereka menjawab: “Tiga dinar.” Baginda bersabda: “Solatlah ke atas sahabat kamu.” Lantas Abu Qatadah berkata: “Solatkanlah dia, wahai Rasulullah, dan hutangnya menjadi tanggunganku.” Maka Baginda pun solat ke atasnya.

Riwayat al-Bukhari (2289)

Terdapat lima rukun dhaman al-dayn untuk menjadikan sebuah jaminan itu sah:

  1. Dhamin (penjamin)
  • Hendaklah penjamin itu ahl al-tabarru` (berkelayakan untuk memberikan harta) yakni akil baligh dan rasyid (tidak dungu dalam pengurusan harta).
  • Hendaklah penjamin itu mukhtar (membuat pilihan sendiri) bukan dipaksa.
  1. Madhmun (hutang yang ingin dijamin)
  • Hendaklah hutang itu wujud.
  • Hendaklah hutang itu lazim (mesti dibayar dan tidak mampu digugurkan).
  • Hendaklah hutang itu diketahui oleh penjamin.
  • Hendaklah hutang itu ditentukan. Jika seseorang menjamin hutang salah seorang daripada dua orang, maka tidak sah jaminan itu.
  1. Madhmun lah (penghutang)
  2. Madhmun `anh (pemiutang)
  3. (Lihat Mughni al-Muhtaj, 2/197; al-Muhazzab, 3/311; Raudhah al-Talibin, 4/240; al-Fiqh ‘ala al-Mazahib al-Arba’ah, 3/199)

Pada asasnya, seseorang yang meninggal dunia dalam keadaan berhutang, maka rohnya akan tergantung sebagaimana riwayat daripada Abu Hurairah R.A, bahawa Rasulullah SAW bersabda:

نَفْسُ المُؤمِنِ مُعَلّقَةٌ بِدَيْنِه حَتَّى يُقْضَى عَنْهُ

Maksudnya: Jiwa seorang mukmin tergantung dengan hutangnya sehingga dilunaskan hutang baginya.

Riwayat al-Tirmizi: (1078) dan Ibn Majah (2413). Imam al-Tirmizi menilai hadith ini sebagai hasan.

Justeru, dalam menjawab persoalan di atas, kami katakan seorang penjamin yang meninggal dunia, tidaklah meninggal dunia dalam menanggung hutang tersebut, kerana harta daripada pinjaman MARA itu merupakan harta kerajaan, tambahan pula, duit pinjaman tersebut bukanlah dipinjam olehnya, tetapi dipinjam oleh orang yang dijamin tersebut.

Selain itu, kami juga menyarankan supaya pihak kerajaan mengkaji balik berkenaan dengan sistem jaminan hutang ini yang mana pihak yang menuntut janganlah terlalu menekan penjamin semata-mata sehingga menyebabkan penjamin itu muflis, sedangkan pihak yang meminjam, ibu bapanya dan keluarganya boleh hidup dengan aman tanpa gangguan daripada pihak yang menuntut. Kami juga menyarankan supaya jika hutang kerajaan itu tidak mampu dibayar oleh peminjam dan penjamin, maka bolehlah diambil daripada Baitul Mal itu untuk dibayar pada pihak kerajaan.

Syeikh Muhammad al-Zuhaili berkata: Para ulama’ menyebut penjamin berhak menuntut kepada peminjam asal untuk menyelesaikan hutang yang dituntut oleh pemiutang bagi membebaskan dirinya daripada tuntutan hutang. Selain itu, penjamin juga berhak menuntut semula segala pembayaran yang dibuat sepanjang menjadi penjamin hutang peminjam asal. Seandainya penjamin meninggal dunia, ahli waris boleh menjadi wakil untuk menuntutnya setiap kali bayaran dibuat. (Lihat al-Mu‘tamad fi al-Fiqh al-Syafi‘i, 3/499-501)

Kami juga menasihatkan supaya seseorang yang bakal menjadi penjamin hendaklah berhati-hati sebelum menjadi penjamin kerana beban kewangan yang terlibat adalah berat. Seseorang hendaklah mengelakkan diri daripada terikat sebagai penjamin kepada sesiapa sahaja yang meminta pertolongannya kecuali beliau sesungguhnya percaya dengan perwatakan dan kedudukan kewangan peminjam. Beliau hendaklah terus mendapatkan nasihat guaman bagi menentukan sama ada sesuatu dokumen itu merupakan tanggung rugi.

Kesemua alternatif yang dicadangkan di atas bertujuan mengurangkan beban penjamin di samping menunjukkan kesungguhannya melunaskan segala hutang yang dijamin. Diriwayatkan daripada Abu Hurairah R.A, daripada Nabi SAW, sabdanya:

مَنْ أَخَذَ أَمْوَالَ النَّاسَ يُرِيدُ أَداءَهَا أَدَّى اللهُ عَنْهُ وَ مَنْ أَخَذَ يُرِيدُ إِتْلَافَهَا أَتْلَفَهُ اللهُ

Maksudnya: “Barangsiapa yang mengambil harta manusia (berhutang) disertai maksud akan membayarnya, maka Allah akan membayarkannya untuknya, sebaliknya siapa yang mengambilnya dengan maksud ingin merosakkannya (yakni merugikan pemiutang), maka Allah akan merosakkannya (yakni merugikan penghutang itu).”

Riwayat al-Bukhari (2387)

Akhirnya, semoga dengan sedikit penjelasan yang diberikan ini mampu memberikan kepada kita sedikit kefahaman dalam menjalani kehidupan seharian yang lebih baik.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنَ الْهَمِّ وَالْحَزَنِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنَ الْعَجْزِ وَالْكَسَلِ ، ونَعُوذُ بِكَ مِنَ الْجُبْنِ وَالْبُخْلِ ، وَنَعُوذُ بِكَ مِنْ غَلَبَةِ الدَّيْنِ وَقَهْرِ الرِّجَالِ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada-Mu daripada kedukaan dan kesedihan. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat lemah dan malas. Kami berlindung kepada-Mu daripada sifat pengecut dan kedekut. Dan kami berlindung kepada-Mu daripada bebanan hutang dan penindasan manusia.”

Wallahua`lam.

[1] https://www.jbg.gov.my/images/doc/risalah/hak_tangungan_penjamin.pdf

Bertarikh: 20 September 2023 bersamaan 4 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply