Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Saya seorang isteri dan ibu yang bekerja. Dalam tempoh 18 tahun perkahwinan, sudah banyak tahun saya yang menanggung semua perbelanjaan keluarga. Ini kerana suami seorang peniaga dan pendapatannya hanya cukup untuk membayar gaji pekerja, melunaskan pinjaman perniagaan, sumbangan ibu bapa dan sedikit perbelanjaan untuk dirinya sendiri.

Suami berikan belanja setiap bulan (lebih seribu ringgit) kepada ibu bapanya, atas alasan bapa sudah tua & tiada pendapatan utk menyara mak & seorang adik kurang upaya. Tiada sebarang perbelanjaan diberikan kepada saya untuk urusan rumahtangga. Mungkin sesekali belanja kami makan jika keluar makan bersama. Justifikasinya kerana wang gaji saya lebih dari cukup untuk menampung semua perbelanjaan keluarga kami. Saya akui, kadang-kadang timbul hasutan syaitan untuk bercerai saja.

Soalan saya:

  1. Bagaimana untuk saya mendidik hati supaya ikhlas dengan apa yang saya buat ini?
  2. Bagaimana untuk saya redha dengan pemberian suami kepada ibu bapa mertua?
  3. Adakah suami saya sebenarnya berdosa kerana tidak memberi nafkah kepada saya dan anak-anak kerana dia tidak mampu selepas menanggung ibu bapa mertua?
  4. Apakah jalan terbaik yang patut suami saya lakukan?

Sesungguhnya, saya mahu jadi isteri yang baik. Yang tidak mengungkit-ungkit walau dalam hati pun, yang hormat pada suami. Tetapi, saya belum berjaya mendidik hati ini. Terima kasih.

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami mulakan dengan sabda Rasulullah SAW:

أن تُطْعِمَها إذا طَعِمتَ ، وتَكْسوها إذا اكتسَيتَ ، أوِ اكتسَبتَ ، ولا تضربِ الوَجهَ ، ولا تُقَبِّح ، ولا تَهْجُرْ إلَّا في البَيتِ

Maksudnya: “Engkau memberi makan kepadanya, jika engkau makan. Engkau memberi pakaian kepadanya, jika engkau berpakaian. Janganlah engkau pukul wajahnya, janganlah engkau memburukkannya, dan janganlah engkau meninggalkannya kecuali di dalam rumah”.

                                     Riwayat Abu Dawud (2142), Ibn Majah (1850) dan Ahmad (20013)

Syeikh Wahbah al-Zuhaili menyatakan bahawa majoriti ulama mengatakan nafkah yang wajib diberi kepada isteri itu ialah tujuh perkara iaitu, Makanan, Barang-barang dapur, Pakaian, Tempat tinggal, Alat-alat untuk membersihkan diri, Barangan rumah, Pembantu kepada isteri jika sekiranya kebiasaannya isteri mempunyai pembantu. (Lihat al-Fiqh al-Islam wa Adillatuh, 10/7349)

Para ulama bersepakat (Ijma’) suami wajib memberi nafkah kepada isterinya. Malah, ianya termasuk juga sekiranya isteri mempunyai pendapatan, harta atau pekerjaan. Kewajipan nafkah tetap dipikul oleh suami. Hal ini bersandarkan kepada firman Allah SWT:

وَٱلۡوَٰلِدَٰتُ يُرۡضِعۡنَ أَوۡلَٰدَهُنَّ حَوۡلَيۡنِ كَامِلَيۡنِۖ لِمَنۡ أَرَادَ أَن يُتِمَّ ٱلرَّضَاعَةَۚ وَعَلَى ٱلۡمَوۡلُودِ لَهُۥ رِزۡقُهُنَّ وَكِسۡوَتُهُنَّ بِٱلۡمَعۡرُوفِۚ

Maksudnya: Dan ibu-ibu hendaklah menyusukan anak-anak mereka selama dua tahun genap iaitu bagi orang yang hendak menyempurnakan penyusuan itu; dan kewajipan bapa pula ialah memberi makan dan pakaian kepada ibu itu menurut cara yang sepatutnya.

 Surah al-Baqarah (233)

Ibn Kathir menyatakan didalam tafsirnya bahawa wajib ke atas ayah untuk memberi nafkah dari sudut pakaiannya dengan cara yang sepatutnya iaitu apa-apa pakaian yang diterima oleh adat atau seumpama dengannya di negara tersebut tanpa berlaku pembaziran dan tidak menyusahkan. Ia sekadar apa yang termampu ketika dia (ayah atau suami) dalam keadaan senang dan bersederhana serta apa yang melaziminya. (Lihat Tafsir Ibn Kathir, 1/634)

Berkenaan isu ini, kami telah jawab banyak berkaitannya dalam artikel sebelum ini:

#406 Perbuatan Baik Suami Yang Tidak Memberi Nafkah[1]

#2973: Nafkah Duit Bulanan Isteri[2]

#2653: Hak Isteri[3]

Berbalik kepada soalan di atas, kami nyatakan hukum memberi nafkah kepada isteri adalah wajib. Sekiranya suami telah menjalankan tanggungjawab memberi nafkah yang wajib kepada isteri, maka tidak wajib lagi bagi suami memberikan duit bulanan kepada isteri. Namun dalam isu ini, si suami tidak menjalankan tanggungjawabnya dengan baik. Oleh itu, nasihat kami dalam isu ini sebaiknya perkara ini dibincang bersama dan menyusun semula urusan kewangan bulanan. Begitu juga, sebaiknya perkara ini dijelaskan kepada keluarga (ibubapa) agar mereka mengetahui situasi kewangan keluarga saudari. Memberi nafkah kepada ibu bapa adalah suatu perbuatan yang mulia, namun jika sehingga meminggirkan tanggungjawab kepada isteri dan anak-anak, ia suatu perbuatan yang tidak sepatutnya terjadi. Atas sebab itu, kami nasihatkan agar saudari dan suami berbincang secara baik dan menyusun semula kewangan bulanan agar tidak tanggungan yang wajib dilepaskan begitu saja. Akhir kalam, semoga saudari diberi kesabaran dalam mengharungi bahtera kehidupan dan diluaskan rezeki buat saudari sekeluarga.

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan perintahnya dan kami akhiri dengan doa:

رَبَّنَا هَبْ لَنَا مِنْ أَزْوَاجِنَا وَذُرِّيَّاتِنَا قُرَّةَ أَعْيُنٍ وَاجْعَلْنَا لِلْمُتَّقِينَ إِمَامًا

Maksudnya: “Wahai Tuhan kami, berilah kami beroleh dari isteri-isteri dan zuriat keturunan kami: perkara-perkara yang menyukakan hati melihatnya, dan jadikanlah kami imam ikutan bagi orang-orang yang (mahu) bertaqwa.”

(Surah al-Furqan :74)

[1]https://maktabahalbakri.com/406-perbuatan-baik-suami-yang-tidak-memberi-nafkah/

[2] https://maktabahalbakri.com/2973-nafkah-duit-bulanan-isteri/

[3] https://maktabahalbakri.com/2653-hak-isteri/

Bertarikh: 22 September 2023 bersamaan 6 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply