#3230: Mengambil Anak Susuan Dan Anak Angkat

Soalan:

Assalamualaikum Dr, saya ingin bertanya, saya ada anak saudara lelaki, masih bayi umur dalam 1 bulan, dia anak kakak ipar saya iaitu kakak kepada suami saya, boleh terangkan nasab saya dan bayi, adakah saya perlu jadi ibu susuan dia untuk memudahkan dalam batasan aurat saya? Sekiranya saya mengambil dia sebagai anak angkat adakah perlu lakukan seperti pengambilan anak angkat yang lain?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pada asasnya, menutup aurat adalah wajib, tidak kira sama ada lelaki atau perempuan. Dan agama Islam sangat menekankan kepada penganutnya agar menjaga batas-batas yang telah ditetapkan.  Hal ini berdasarkan perintah Allah SWT melalui firmannya:

وَقُل لِّلْمُؤْمِنَاتِ يَغْضُضْنَ مِنْ أَبْصَارِهِنَّ وَيَحْفَظْنَ فُرُوجَهُنَّ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا مَا ظَهَرَ مِنْهَا ۖ وَلْيَضْرِبْنَ بِخُمُرِهِنَّ عَلَىٰ جُيُوبِهِنَّ ۖ وَلَا يُبْدِينَ زِينَتَهُنَّ إِلَّا لِبُعُولَتِهِنَّ أَوْ آبَائِهِنَّ أَوْ آبَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ أَبْنَائِهِنَّ أَوْ أَبْنَاءِ بُعُولَتِهِنَّ أَوْ إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي إِخْوَانِهِنَّ أَوْ بَنِي أَخَوَاتِهِنَّ أَوْ نِسَائِهِنَّ أَوْ مَا مَلَكَتْ أَيْمَانُهُنَّ أَوِ التَّابِعِينَ غَيْرِ أُولِي الْإِرْبَةِ مِنَ الرِّجَالِ أَوِ الطِّفْلِ الَّذِينَ لَمْ يَظْهَرُوا عَلَىٰ عَوْرَاتِ النِّسَاءِ ۖ وَلَا يَضْرِبْنَ بِأَرْجُلِهِنَّ لِيُعْلَمَ مَا يُخْفِينَ مِن زِينَتِهِنَّ ۚ وَتُوبُوا إِلَى اللَّـهِ جَمِيعًا أَيُّهَ الْمُؤْمِنُونَ لَعَلَّكُمْ تُفْلِحُونَ

Maksudnya: “Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka melainkan kepada suami mereka, atau bapa mereka atau bapa mertua mereka atau anak-anak mereka, atau anak-anak tiri mereka, atau saudara-saudara mereka, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang lelaki, atau anak bagi saudara-saudara mereka yang perempuan, atau perempuan-perempuan Islam, atau hamba-hamba mereka, atau orang gaji dari orang-orang lelaki yang telah tua dan tidak berkeinginan kepada perempuan, atau kanak-kanak yang belum mengerti lagi tentang aurat perempuan; dan janganlah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka; dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, wahai orang-orang yang beriman, supaya kamu berjaya.”

(Surah al-Nur: 31)

Berdasarkan ayat al-Quran ini, para ulama’ menetapkan hukum wajib bagi menutup aurat bagi orang lelaki dan perempuan. Begitu juga dalam hadith Rasulullah SAW menegur Asma’ Binti Abu Bakar R.A:

يَا أَسْمَاءُ إِنَّ الْمَرْأَةَ إِذَا بَلَغَتِ الْمَحِيضَ لَمْ يَصْلُحْ أَنْ يُرَى مِنْهَا إِلَّا هَذَا وَهَذَا

Maksudnya: “Wahai Asma! Sesungguhnya wanita jika sudah baligh maka tidak boleh nampak dari anggota badannya kecuali ini dan ini (beliau mengisyaratkan ke muka dan telapak tangan).”

Riwayat Abu Dawud (4104) dan al-Baihaqi (3218)

Syeikh al-Islam Zakaria al-Ansari menyatakan bahawa batas aurat bagi seorang perempuan yang merdeka semasa dalam solat, mahupun luar solat (iaitu dengan lelaki ajnabi) adalah seluruh badannya melainkan muka dan kedua telapak tangan sama ada bahagian luar atau bahagian dalam sehingga pergelangan kedua-duanya. Kemudian, beliau telah menukilkan daripada Ibn Abbas R.A dan selainnya yang mengatakan :

مَا ظَهَرَ مِنْهَا وَجْهُهَا وَكَفَّاهَا وَإِنَّمَا لَمْ يَكُونَا عَوْرَةً؛ لِأَنَّ الْحَاجَةَ تَدْعُو إلَى إبْرَازِهِمَا وَإِنَّمَا حُرِّمَ النَّظَرُ إلَيْهِمَا؛ لِأَنَّهُمَا مَظِنَّةُ الْفِتْنَةِ

Maksudnya : “Apa yang zahir daripadanya (perempuan itu) ialah muka dan telapak tangannya. Kedua-duanya bukanlah aurat kerana terdapatnya keperluan (hajat) untuk mendedahkannya. Adapun diharamkan untuk melihat pada kedua-duanya kerana biasanya  kedua-duanya akan membawa kepada timbulnya fitnah.” (Lihat Asna al-Matalib, 1/176)

Imam al-Kasani al-Hanafi juga menyebutkan bahawa muka dan kedua telapak tangan wanita bukanlah aurat ia adalah kelonggaran yang telah diberikan oleh Allah SWT berdasarkan kepada firmanNya di dalam surah al-Nur ayat 31. Selain itu, diharuskan bagi mereka mendedahkan muka dan kedua telapak tangannya kerana mereka berhajat kepada jual beli, mengambil dan memberi. Oleh itu, secara adatnya, semua perkara itu tidak mungkin dapat dilakukan melainkan dengan mendedahkan muka dan juga kedua telapak tangan. (Lihat Badai’ al-Sanai’, 5/121-122)

Justeru, kita ketahui bahawa batas aurat seorang wanita dengan lelaki yang bukan mahramnya (ajnabi) ialah seluruh tubuhnya melainkan muka dan kedua telapak tangannya.

Menjawab bagi persoalan di atas kami katakan hubungan saudari dengan anak kepada kakak ipar adalah ibu saudara sabit kepadanya. Namun, antara ibu saudara sabit dan anak saudara sabit ia dihukumkan sebagai ajnabi yang halal untuk dikahwini dan perlu menjaga batas aurat sepertimana aurat antara lelaki dan perempuan yang ajnabi. Dalam isu ini kami katakan, untuk memudahkan dalam batasan aurat, saudari boleh mengambilnya menjadi anak susuan yang mana apabila telah bertukar status kepada anak susuan maka, haram bagi saudari mengahwininya. Ini kerana telah dinyatakan dalam firman Allah SWT:

وَأُمَّهَاتُكُمُ اللَّاتِي أَرْضَعْنَكُمْ وَأَخَوَاتُكُم مِّنَ الرَّضَاعَةِ

Maksudnya: “Dan ibu-ibu kamu yang telah menyusukan kamu, dan saudara-saudara susuan kamu.”

(Surah al-Nisa’: 23)

Diriwayatkan juga dalam sebuah hadith daripada Ummul Mukminin Aisyah R.Anha bahawa Rasulullah SAW bersabda:

فَإِنَّهُ يَحْرُمُ مِنَ الرَّضَاعَةِ مَا يَحْرُمُ مِنَ النَّسَبِ

Maksudnya: “Sesungguhnya mereka yang haram dikahwini kerana keturunan, haram juga dikahwini dengan susuan.”

Riwayat al-Bukhari (2645) dan Muslim (1445)

Mengenai batas aurat pula kami katakan diharuskan  melihat apa yang diharamkan oleh ajnabi. Yang demikian sebagaimana yang telah dinyatakan dalam kitab al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafi’e bahawa  dihalalkan anak susuan pada keharusan untuk melihat (apa yang diharamkan ajnabi) kepada ibu susuan dan keturunannya serta dihalalkan tinggal bersama. (Lihat al-Mu’tamad fi Fiqh al-Syafi’e, 4/326)

Begitu juga Imam al-Nawawi menyebutkan bahwa: Penyusuan merupakan perkara yang menyebabkan kepada pengharaman bagi anak susuan berkahwin dengan ibu susuannya selama-lamanya — yakni mahram mu‘abbad. Oleh itu, halal bagi anak susuan untuk melihat ibu susuannya, tinggal bersamanya di rumah, bermusafir dengannya seperti mana keadaan ibu kandungnya sendiri. (Lihat al-Minhaj Syarh Sahih Muslim, 10/23).

Berkaitan pengambilan anak angkat, kami katakan adalah lebih baik sekiranya mengikut prosedur yang betul bagi memastikan anak itu sah disisi undang-undang. Di sini  kami nyatakan cara memohon anak angkat di Malaysia adalah seperti berikut:

  • Secara terus daripada ibu bapa kandung kanak-kanak yang ingin diambil sebagai anak angkat itu
  • Permohonan melalui Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)

Bagi cara nombor 1 di atas, anda perlu mengikuti beberapa prosedur untuk memastikan status anak-anak itu sah di sis undang-undang iaitu melalui salah satu cara di bawah:

  • Permohonan di Mahkamah Sesyen atau Mahkamah Tinggi dalam masa 3 bulan selepas menerima Notis Pengangkatan
  • Permohonan di Jabatan Pendaftaran Negara

Bagi permohonan anak angkat melalui JKM, permohonan boleh dibuat melalui surat, faks, telefon, emel atau yang sebaiknya datang sendiri ke Pejabat Kebajikan Masyarakat Daerah (PKMD) berdekatan tempat anda tinggal.[1]

Semoga Allah memberikan kefahaman yang jelas dalam melaksanakan segala titah perintahnya dan kami akhiri dengan:

اللَّهُمَّ فَقِّهْنَا فِي الدِّينِ، وَعَلِّمْنَا التَّأْوِيلَ

Maksudnya: “Ya Allah! Berikanlah kepada kami kefahaman di dalam agama serta ajarkanlah kepada kami takwilan-takwilan.”

Wallahua’lam

[1] https://ecentral.my/permohonan-anak-angkat/

Diakses pada 21 September 2023

Bertarikh: 25 September 2023 bersamaan 9 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *