#3259: Hukum Imam Kaki Botol

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Sekiranya Imam tu seorang kaki botol kiranya pemabuk, adakah masih menggunakan hukum yang sama seperti hukum imam seorang perokok?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada Junjungan Besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Pertama, selayaknya imam yang mempunyai akhlak yang baik, mereka yang fasih bacaan al-Quran serta betul dan mereka yang faqih dalam ilmu, di samping mereka yang lebih tua dan lebih dahulu hijrah. Hal ini berdasarkan sebuah hadith:

Diriwayatkan oleh Abu Mas’ud beliau berkata bahawa Nabi SAW berkata kepada kami:

يَؤُمُّ الْقَوْمَ أَقْرَؤُهُمْ لِكِتَابِ اللَّهِ وَأَقْدَمُهُمْ قِرَاءَةً فَإِنْ كَانَتْ قِرَاءَتُهُمْ سَوَاءً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَقْدَمُهُمْ هِجْرَةً فَإِنْ كَانُوا فِي الْهِجْرَةِ سَوَاءً فَلْيَؤُمَّهُمْ أَكْبَرُهُمْ سِنًّا وَلاَ تَؤُمَّنَّ الرَّجُلَ فِي أَهْلِهِ وَلاَ فِي سُلْطَانِهِ وَلاَ تَجْلِسْ عَلَى تَكْرِمَتِهِ فِي بَيْتِهِ إِلاَّ أَنْ يَأْذَنَ لَكَ أَوْ بِإِذْنِهِ

Maksudnya: “Yang menjadi imam bagi sesuatu kumpulan ialah orang yang lebih pandai membaca al-Quran. Sekiranya mereka setara dalam bacaan, maka yang lebih alim dalam hadith, jika dalam hadith mereka pun sama maka yang lebih dahulu berhijrah, dan jika dalam hijrah juga mereka masih sama maka yang lebih tua usianya di kalangan mereka.”

Riwayat Muslim (613)

Berdasarkan hadith ini para ulama mazhab al-Syafi’i telah pun menulis hal ini di dalam kitab-kitab mereka. Berikut merupakan susunan orang yang layak menjadi imam ketika ketiadaan imam khusus yang dilantik masjid menurut Ibn Naqib al-Masri di dalam kitabnya Umdah al-Salik (128):

  • Yang paling faqih (iaitu yang paling mengetahui dan memahami) hukum-hakam syariah Islam, terutamanya perkara yang berkaitan solat seperti sah dan batalnya solat dan lain-lain.
  • Yang paling baik bacaan al-Quran
  • Yang paling warak (iaitu mereka yang menjauhi syubhah)
  • Yang paling awal berhijrah ke kerajaan islam madinah dan anak cucunya
  • Yang paling awal memeluk islam
  • Yang mulia nasabnya atau keturunan mengikut turutan bermula daripada bani hashim, bani muthalib, kemudian diikuti quraish, kemudian bangsa arab, diutamakan anak orang yang soleh dan alim daripada yang disebutkan dari nasab
  • Yang paling baik keperibadian
  • Yang paling bersih tubuh badan dan pakaian
  • Yang paling lunak suara
  • Yang paling baik penampilan

Berkenaan dengan kaki botol atau pemabuk memang termasuk di kalangan yang fasik yang hendaklah bertaubat kepada Allah SWT. Sebaik-baiknya, biarlah yang menjadi imam orang yang beriman dan soleh di kalangan mereka kerana dia juga akan dicontohi dan diikuti serta tiada pertikaian di kalangan makmum tentang kesolehannya. Sebuah hadith menyebut:

Daripada Anas RA berkata:

لَعَنَ رَسُولُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ ثَلَاثَةً: رَجُلٌ أَمَّ قَوْمًا وَهُمْ لَهُ كَارِهُونَ، وَامْرَأَةٌ بَاتَتْ وَزَوْجُهَا عَلَيْهَا سَاخِطٌ، وَرَجُلٌ سَمِعَ حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ ثُمَّ لَمْ يُجِبْ

Maksudnya: “Rasulullah SAW telah melaknat tiga golongan, lelaki yang menjadi imam kepada sesuatu kaum sedangkan mereka membencinya, perempuan yang tidur sedangkan suaminya marah kepadanya dan lelaki yang mendengar seruan حَيَّ عَلَى الْفَلَاحِ (marilah solat) sedangkan dia tidak menyahutnya.”

Riwayat al-Tirmidzi (358)

Akhir kalam, marilah bersama-sama kita berdoa kepada Allah SWT:

اللَّهُمَّ جَنِّبْنَا مُنْكَرَاتِ الأَخْلاَقِ ، وَالأَهْوَاءِ ، وَالأَسْوَاءِ  وَالأَدْوَاءِ

Maksudnya:  “Ya Allah, jauhkanlah kami daripada akhlak yang mungkar, hawa nafsu, juga dari segala keburukan serta dari penyakit-penyakit yang membawa kepada kebinasaan.”

Bertarikh: 26 September 2023 bersamaan 10 Rabiulawwal 1445

Sokong Kami

Anda Suka Artikel Ini Tekan untuk terus menyumbang

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *