#3321: Membeli Pemain di Dalam Game Menggunakan Duit

Soalan:

Assalamualaikum Dato’ Seri. Assalamualaikum. Apa hukum main game yang kita guna duit betul untuk beli pemain contohnya pes mobile?

Jawapan:

Alhamdulillah, segala puji bagi Allah SWT, selawat dan salam kepada junjungan besar Nabi Muhammad SAW, isteri dan ahli keluarga Baginda, para sahabat Baginda serta orang-orang yang mengikuti jejak langkah Baginda sehingga Hari Kiamat.

Kami bawakan dahulu firman Allah SWT:

وَأَحَلَّ ٱللَّهُ ٱلۡبَيۡعَ وَحَرَّمَ ٱلرِّبَوٰاْ

Maksudnya: “Padahal Allah telah menghalalkan berjual-beli (berniaga) dan mengharamkan riba.”

(Surah al-Baqarah: 275)

Al-Tabari ketika menafsirkan ayat ini menyatakan bahawa Allah SWT membenarkan keuntungan yang diperoleh melalui perniagaan dan jual beli. (Lihat Tafsir al-Tabari, 13/6).

Begitu juga firman Allah SWT:

يَا أَيُّهَا الَّذِينَ آمَنُوا لَا تَأْكُلُوا أَمْوَالَكُم بَيْنَكُم بِالْبَاطِلِ إِلَّا أَن تَكُونَ تِجَارَةً عَن تَرَاضٍ مِّنكُمْ

Maksudnya: “Wahai orang-orang yang beriman, janganlah kamu makan (gunakan) harta-harta kamu sesama kamu dengan jalan yang salah (tipu, judi dan sebagainya), kecuali dengan jalan perniagaan yang dilakukan secara suka sama suka di antara kamu.”

(Surah al-Nisa’: 29)

Berbalik kepada persoalan di atas, kami nyatakan hukum membeli pemain di dalam game dengan duit betul adalah kembali kepada hukum harus. Hal ini kerana ia seperti perjualan antara pembeli dan penjual cumanya dalam bentuk maya. Begitu juga, pada hari ini banyak game yang perlu menggunakan duit betul untuk  membeli skill, watak, senjata dan sebagainya bagi menguatkan lagi watak berkenaan. Sebagai contohnya, Pes Mobile, Mobile legends, PUBG Mobile, One Piece Bounty Rush dan sebagainya. Oleh itu, dalam isu ini ia diharuskan kerana ia merupakan muamalat secara maya sepertimana kita menggunakan khidmat Shoppe, Lazada dan seumpamanya.

Semoga Allah SWT memberikan kefahaman yang jelas kepada kita semua dalam beragama. Amin. Wallahu a‘lam.

Kami akhiri dengan doa:

اللَّهُمَّ إِنَّا نَعُوذُ بِكَ مِنْ زَوَالِ نِعْمَتِكَ، وَتَحَوُّلِ عَافِيَتِكَ، وَفُجَاءَةِ نِقْمَتِكَ، وَجَمِيعِ سَخَطِكَ

Maksudnya: “Ya Allah, sesungguhnya kami berlindung kepada- Mu daripada hilangnya kenikmatan yang telah Engkau berikan, daripada berubahnya kesihatan yang telah Engkau anugerahkan, daripada seksa-Mu (bencana) yang datang secara tiba-tiba, dan daripada segala bentuk kemurkaan-Mu.”

 

Bertarikh: 28 September 2023 bersamaan 12 Rabiulawwal 1445

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *